Sambutan Maulidurrasul 1446H
7 Oktober 2024
Pusat Islam UTHM telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidurrasul Peringkat Universiti bertempat di Dewan Sultan Ibrahim (DSI) UTHM. Program dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan perarakan sebanyak 19 kontinjen melibatkan penyertaan lebih 900 staf universiti yang mewakili pusat-pusat tanggungjawab di dalam universiti. Perarakan bermula dari Foyer Perpustakaan Tunku -
Tun Aminah (PTTA) menuju ke DSI.
Majlis diserikan dengan kehadiran YBhg. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq, yang mewakili YBhg Naib Canselor UTHM. Sesi ceramah telah disampaikan oleh As Sheikh Tuan Hj. Mohd Nasri bin Rahman, Kadi Daerah Batu Pahat yang mewakili Timbalan Mufti Negeri Johor. Turut Hadir Prof. Ts. Dr Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), En Naim Maslan, Pendaftar dan Tn Hj Shafry Salim Pengarah Pusat Islam.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Barzanji dan Mahalul Qiyam oleh pelajar-pelajar Program Pengajian Al-Wasith UTHM. Turut diundang membuat persembahan adalah kumpulan nasyid dari pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Padang Sari, Mukim 4, Batu Pahat, Johor.
Bersempena majlis sambutan ini, dua kategori pertandingan telah diadakan iaitu Pertandingan Perarakan Terbaik dan Sepanduk Terbaik. Berikut adalah keputusan bagi pertandingan yang diadakan:
- Pertandingan Perarakan Terbaik:
- Tempat Pertama (RM700): Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)
- Tempat Kedua (RM600): Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA)
- Tempat Ketiga (RM500): Pejabat Pendaftar - Pertandingan Sepanduk Terbaik:
-Tempat Pertama (RM300): Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)
-Tempat Kedua (RM200): Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP)
-Tempat Ketiga (RM100): Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA)
Pusat Islam UTHM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan Majlis Sambutan Maulidurrasul ini. Penghargaan juga diberikan kepada pihak yang menghulurkan sumbangan untuk menjayakan majlis ini iaitu Kelab Staf UTHM (KSUTHM), Yayasan UTHM, UTHM Holdings dan staf UTHM.