Skip to main content

Program Ibadah Korban & Akikah UTHM 2026

Anjuran Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

28 Mei 2026

 Sambutan Aidiladha UTHM tahun ini diraikan dengan program korban dan akikah yang melibatkan penyembelihan 23 ekor lembu dan 9 ekor kambing. Daripada jumlah ini, seekor lembu disumbangkan oleh RHB Bank Berhad dan seekor lagi dari Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sri Gading.

 Program yang diselaraskan oleh Pusat Islam ini telah melibatkan lebih 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar UTHM, komuniti setempat dan turut disertai sukarelawan dari KPTM dan RHB Bank.

 Secara keseluruhan, lebih 2 tan daging lembu diagihkan pada hari ini dan lebih 900 penerima adalah dalam kalangan asnaf. Turut menerima agihan adalah golongan orang asli, mualaf serta beberapa pusat tahfiz sekitar Batu Pahat.

 Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fauzi Mohd Ali telah bersama-sama hadir mengagihkan bungkusan daging kepada staf dan komuniti. Agihan telah berlangsung secara pandu lalu di hadapan kuarters staf Pusat Islam yang terletak bersebelahan tapak penyembelihan. Turut sama adalah Pengarah Pusat Islam, Hj Shafry Salim.