
Majlis Pengijazahan Selawat Al-Fatih 2026
Anjuran bersama Pusat Islam UTHM, Jawatankuasa Masjid Sultan Ibrahim UTHM dan Badan Kebajikan Zawiyah Johor
24 April 2026
Majlis Pengijazahan Selawat Al-Fatih anjuran bersama Pusat Islam UTHM, Jawatankuasa Masjid Sultan Ibrahim UTHM dan Badan Kebajikan Zawiyah Johor telah dilaksanakan yang bertempat di Masjid Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Majlis ini dianjurkan sebagai satu usaha memperkasa amalan selawat dalam kalangan warga kampus serta menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
Majlis diserikan dengan pengisian tausiyah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Taufik bin Khamis, penceramah bertauliah Negeri Johor. Dalam tausiyah beliau, ditekankan kepentingan memperbanyakkan selawat sebagai amalan yang membawa keberkatan hidup, ketenangan jiwa serta menjadi asbab mendekatkan diri kepada Allah SWT. Beliau turut mengupas kelebihan Selawat Al-Fatih sebagai salah satu selawat yang masyhur diamalkan oleh para ulama dan orang soleh.
Kemuncak majlis diteruskan dengan sesi pengijazahan Selawat Al-Fatih yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Sayyidi Ahmad Al-Hadi Al-Hassani. Sesi ini berlangsung dengan penuh adab dan penghayatan, di mana para hadirin menerima ijazah amalan selawat tersebut sebagai satu sanad amalan yang bersambung kepada para ulama terdahulu.
Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga UTHM serta masyarakat setempat. Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh amalan kerohanian dan menyemarakkan budaya selawat dalam kehidupan seharian.






