Program Prihatin Asnaf Pusat Islam UTHM
Santuni Lebih 60 Penerima Sepanjang Ramadan
20 Mac 2026
Sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan melalui penganjuran beberapa siri Program Prihatin Asnaf yang melibatkan pelbagai lokasi sekitar Batu Pahat dan Rengit. Program yang berlangsung pada 7, 11, 13 dan 17 Mac 2026 ini telah berjaya menyantuni lebih 60 penerima dalam kalangan keluarga dan pelajar asnaf melalui pelbagai bentuk bantuan dan kerjasama strategik bersama fakulti serta komuniti setempat.
Pada 7 Mac 2026, Pusat Islam dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) telah menyampaikan sumbangan kepada lima keluarga asnaf di sekitar Rengit, melibatkan kawasan Kampung Sungai Dulang Laut, Kampung Parit Besar Darat dan Kampung Sungai Bagan Darat. Lawatan ziarah ini turut dibantu oleh wakil komuniti bagi memastikan penyampaian bantuan berjalan lancar.
Seterusnya pada 11 Mac 2026, Pusat Islam telah terlibat dalam Program Jejak Qaseh Ramadan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading (SEGA) dengan kerjasama Mech Club Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP). Dalam program ini, seramai 17 pelajar asnaf telah menerima sumbangan daripada dana Fidyah di bawah inisiatif Prihatin Asnaf, manakala keseluruhan program menyaksikan lebih 130 pelajar menerima bantuan hasil kolaborasi pelbagai pihak.
Program diteruskan pada 13 Mac 2026 di Kampung Sungai Lurus melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pusat Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Jumaat Hj. Taha serta kepimpinan kampung setempat. Seramai 20 keluarga asnaf telah menerima sumbangan dalam program ini yang turut melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat dan sukarelawan.
Kemuncak siri program ini berlangsung pada 17 Mac 2026 dengan penyampaian bantuan kepada 20 keluarga asnaf melalui inisiatif pembelian barangan keperluan harian. Bantuan ini disalurkan secara langsung bagi membantu meringankan beban kos sara hidup penerima, khususnya dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Keseluruhan program ini mencerminkan keprihatinan berterusan Pusat Islam UTHM dalam membantu golongan yang memerlukan, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama antara universiti, fakulti dan komuniti setempat.
Pihak Pusat Islam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, rakan kerjasama dan sukarelawan yang telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan menjadi asbab keberkatan serta memberi manfaat berpanjangan kepada para penerima.
“Sedikit Sumbangan, Seribu Keberkatan.”