Majlis Nuzul Al-Quran & Iftar Perdana
Peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2026
2 Mac 2026
Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung pada 2 Mac 2026 bersamaan 12 Ramadan 1447H bertempat di Masjid Sultan Ibrahim UTHM, bermula jam 3.00 petang hingga 6.30 petang dalam suasana penuh keberkatan dan penghayatan. Program dimulakan dengan sesi tadarus Al-Quran melibatkan para pelajar institusi jemputan seperti Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR), Maahad Integrasi Tahfiz Al Fathi, Pusat Syahadah Parit Raja & Ambilan Jawahir serta staf UTHM.
Seterusnya, para hadirin menunaikan Solat Asar secara berjemaah sebelum majlis khatam dimulakan secara rasmi. Majlis khatam telah diketuai oleh Ustaz Amirulhakim bin Saparudin, dengan penyempurnaan bacaan serta doa khatam Al-Quran. Program diteruskan dengan pengisian ceramah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Hanafiah Abdul Razak, Pendakwah Bertauliah JAINJ, yang menekankan bahawa keberkatan bulan Ramadan membawa pelbagai kebaikan dan dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan turunnya Al-Quran. Sebagai pengisian terakhir majlis, sesi penyampaian sumbangan turut diadakan melibatkan beberapa kategori penerima.
Sumbangan Kelab Staf kepada Ibu Tunggal dan Anak-anak Yatim Staf UTHM telah disampaikan oleh Ybhg. Dato' Sri Ibrahim bin Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UTHM, dengan diiringi oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi bin Mohd Ali. Sumbangan Pusat Islam kepada golongan asnaf masyarakat Parit Raja telah disampaikan oleh Naib Canselor UTHM dengan diiringi oleh Hj. Shafry Salim, Pengarah Pusat Islam UTHM.
Manakala sumbangan Yayasan UTHM kepada golongan asnaf masyarakat Parit Raja telah disampaikan oleh YB Dato' (Dr.) Haji Nooh bin Gadot, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, dengan diiringi oleh En. Norzaimi bin Hamisan, Pengarah Yayasan UTHM. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam menyemarakkan budaya cinta Al-Quran, memperkukuh ukhuwah serta menyantuni masyarakat melalui pendekatan kerohanian dan kebajikan secara menyeluruh.