Majlis Sinergi Zakat UTHM 2025
Anjuran Pusat Islam UTHM 2025
Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini menganjurkan Majlis Sinergi Zakat UTHM 2025 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim UTHM. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pembayar zakat UTHM yang menunaikan zakat melalui Skim Infaq iaitu potongan gaji secara bulanan, sekali gus mengiktiraf sumbangan mereka dalam memperkukuh agenda kesejahteraan ummah.
Majlis gemilang ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Sahibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal bin Mohamed, Timbalan Mufti Johor, Profesor Dr. Mas Fawzi bin Mohd Ali, Naib Canselor UTHM, Hj Naim bin Maslan, Pendaftar UTHM, Ustaz Mohd Shafie bin Mustapha, Penolong Pengarah Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Pengarah Pusat Islam, Hj Shafry Salim.
Antara pengisian utama ialah Forum Mega bertajuk “Merdeka dengan Zakat: Tunjang Kesejahteraan Masyarakat” yang menampilkan dua ahli panel iaitu Timbalan Mufti Johor sendiri bersama Dr. Mohd Shafiq bin Sahimi, Pensyarah Kanan UTHM, manakala forum dikendalikan oleh pendakwah terkenal, Dai’ Azam Al-Kankari. Perbincangan forum berjaya membuka wacana yang segar tentang peranan zakat sebagai instrumen pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai merdeka, bebas daripada belenggu kemiskinan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cek simbolik Upah Amil Institusi Tahun 2024 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berjumlah RM1,139,674.40 yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shafie bin Mustapha. Turut diadakan ialah penyerahan Sumbangan Wakalah Zakat daripada rakan strategik iaitu Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) berjumlah RM80,000.00 yang disampaikan oleh Puan Nadia Edmaz Abdul Hadi, Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM15,000.00 disampaikan oleh Encik Mohamed Zaki bin Atip, dan RHB Bank Berhad juga berjumlah RM15,000.00 yang disampaikan oleh Encik Mohd Nazri bin Hasan kepada Pengarah Pusat Islam UTHM, Tuan Hj. Shafry bin Salim dan disaksikan Naib Canselor UTHM.
Suasana kemeriahan majlis diperkaya lagi dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan sebanyak 25 hadiah saguhati dan 5 hadiah utama. Antara hadiah utama yang menjadi tumpuan ialah sebuah televisyen bersaiz 43 inci, kuali panggang elektrik, pembersih hampagas tanpa wayar, ketuhar gelombang mikro serta penggoreng udara elektrik.
Sebagai penutup tirai, hadirin dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid terkenal tanah air, Hijjaz, yang membangkitkan rasa syukur dan ketenangan dengan alunan lagu-lagu berunsur kerohanian.
Penganjuran Majlis Sinergi Zakat UTHM 2025 ini membuktikan komitmen UTHM dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan institusi zakat dan rakan strategik, di samping menzahirkan penghargaan kepada seluruh pembayar zakat UTHM. Semoga sinergi yang terjalin ini terus memberi manfaat besar kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.