Skip to main content

Jalinan Ukhuwah Masjid dan Surau (JUMS) 2025

Anjuran Pusat Islam UTHM bersama MAINJ Daerah Mersing dengan Kerjasama Pejabat Daerah Mersing, Agensi Penguatkuasaan Maritim Daerah Mersing, Jabatan Perikanan Mersing, Pusat Wakaf & Endowmen serta Pejabat Pemasaran & Komunikasi Korporat UTHM

14-17 Ogos 2025 | Pulau Sibu, Mersing

 Program Jalinan Ukhuwah Masjid & Surau (JUMS) merupakan program khidmat masyarakat tahunan anjuran Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 Pada tahun ini JUMS 2025 dilaksanakan di Pulau Sibu, Mersing dengan penglibatan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Mersing sebagai penganjur bersama.

 JUMS kali ini juga mendapat kerjasama strategik dari beberapa pihak lain iaitu Pejabat Daerah Mersing, Agensi Penguatkuasaan Maritim Daerah Mersing, Jabatan Perikanan Mersing, Pusat Wakaf & Endowmen serta Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM.

 Sepanjang empat hari ia berlangsung iaitu bermula 14 hingga 17 Ogos 2025, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan. Antaranya gotong-royong membaik pulih dan membersihkan masjid, edaran Bubur Lambuk, sambutan Citra Merdeka & Anakku Sayang, program kebajikan Kasih Tiada Sempadan, KenduRIA (rewang) Sepulau, Forum Ehwal Islam, aktiviti khidmat masyarakat di bawah tema Menabur Sebutir Bakti, serta acara sukan rakyat dan kembara ukhuwah menawan puncak Bukit Pasu.

 Pusat Islam dan MAINJ juga menyantuni lebih 50 keluarga penduduk Pulau Sibu dengan agihan sumbangan berupa barang keperluan harian.

 Seramai 31 orang urus setia UTHM terlibat dalam program JUMS 2025 yang terdiri daripada staf Pusat Islam UTHM dan disertai Sukarelawan Geng Dapo Masjid Sultan Ibrahim, UTHM yang bertanggungjawab memasak dan menyediakan jamuan sepanjang hari program berlangsung.

 Perjalanan menuju ke Pulau Sibu adalah dengan menggunakan bot yang disediakan oleh Pejabat Daerah Mersing, Maritim Mersing dan Jabatan Perikanan Mersing, melancarkan lagi urusan logistik sepanjang program ini.

 Pusat Islam UTHM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan JUMS 2025. Program ini telah mencapai objektifnya untuk menjalin perhubungan yang baik di antara UTHM dan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti keagamaan, kerohanian, pendidikan dan khidmat sosial.

 Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang program ini menjadi amal jariah yang berterusan, mengeratkan ukhuwah antara warga universiti dan masyarakat, serta memberi manfaat yang berkekalan kepada komuniti Pulau Sibu.