Cetak

Aktiviti 2014

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

PROGRAM 2014

 KURSUS TAJHIZ JENAZAH

Program 2014 Pusat Islam UTHM dimulai dengan Kursus Tajhiz Jenazah. Kursus ini disertai oleh anggota Sukarelawan Pengurusan Jenazah UTHM yang terdiri dari warga kerja UTHM bagi memperkenalkan dan memantapkan kemahiran dan pengetahuan mengenai pengurusan jenazah Islam. Kursus ini diadakan selama 2 hari iaitu bermula dari 20 sehingga 21 hb Januari 2014 bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi bagi kursus berbentuk teori dan bilik Jenazah Masjid UTHM bagi kursus praktikal. Kursus ini dikendalikan oleh Ustaz Adam Ahmad dari Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat.

 

KEM MOTIVASI DAN PENINGKATAN SAHSIAH PELAJAR PRA DIPLOMA

Pusat Islam UTHM dengan kerjasama UTHM Holding telah mengadakan satu program motivasi bagi pelajar pra-diploma yang seramai 174 orang. Program dijalankan dengan 2 siri iaitu siri 1 diadakan pada 23 sehingga 25 hb Januari 2014 dan siri 2 yang diadakan pada 13 sehingga 15 hb Februari 2014 bertempat di Masjid UTHM. Peserta didedahkan dengan aktiviti-aktiviti seperti Ice breaking, Dinamika Kumpulan, Kembara Iman di kawasan hutan berhampiran UTHM dan sebagainya. Tenaga fasilitator terdiri dari staf Pusat Islam dan UTHM Holding dengan dibantu oleh pelajar-pelajar dari kelab Rakan Masjid UTHM.

 

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT UNIVERSITI

Bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pusat Islam UTHM telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidurrasul 1435 Hijriyyah bersamaan 2014 Masihi bertempat di Masjid UTHM pada hari Khamis, 27 Februari 2014 yang lalu. Majlis dimulakan dengan bacaan Qasidah dari kumpulan Qasidah UTHM yang terdiri dari warga siswa UTHM yang diketuai oleh Ust. Kamal Izhar b. Kamarulzaman, Imam Masjid UTHM. Bacaan Qasidah dilakukan di Pentas Terbuka, Dataran Masjid Lama UTHM, dan perarakan kontinjen jabatan/fakulti bermula pada jam 8.00 pagi. Sebanyak 30 kontijen staf dan pelajar yang berjumlah 1000 orang, dan didahului oleh Y.Bhg Dato’ Prof. Dr. Mohd. Noh b. Dalimin, Naib Canselor UTHM serta para pegawai kanan universiti telah berarak dari Dataran Masjid Lama UTHM, ke Masjid UTHM sambil mengalunkan selawat dan diiringi oleh paluan kompang dari staf Unit Keselamatan UTHM.

Ceramah dimulakan setelah bacaan Al-Quran yang disampaikan oleh Encik Megat Azhari b. Chulan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan bacaan Selawat dari Kumpulan Selawat UTHM. Ceramah disampaikan oleh Ust. Mohd. Rasyiq b. Mohd. Alwi, Pengurus Institut Darul Hijrah, Temerloh Pahang. Beliau yang lebih dikenali sebagai Ust. Abu Syafiq al-Ash’ary adalah Ustaz yang popular di rancangan televisyen Astro Oasis dan rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ di TV9. serta terkenal di dalam laman sosial facebook. Ceramah beliau menekankan mengenai kepentingan beraqidah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, selain dari menanamkan rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW.

Kemuncak majlis iaitu pengumuman dan penyampaian hadiah kepada Kontijen Perarakan Maulidurrasul. Tempat yang pertama dimenangi kontijen dari Pejabat Pendaftar, tempat kedua dimenangi oleh kontijen dari Perpustakaan, manakala Pejabat Naib Canselor dan Kolej Kediaman Perwira di tempat ketiga dan keempat. Penyampaian hadiah bagi kontingen perarakan disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Prof. Dr. Mohd. Noh b. Dalimin, Naib Canselor UTHM. Pengadilan kontijen dilakukan oleh pengadil jemputan dari Pejabat Agama daerah Batu Pahat.

Antara dif kehormat yang hadir di dalam majlis ini ialah Y.Bhg Dato’ Prof. Dr. Mohd. Noh b. Dalimin, Naib Canselor UTHM dan lain-lain pegawai kanan universiti.

 

MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL PERDANA

Pusat Islam telah bekerjasama dengan Biro Kerohanian Kelab kebajikan Staf Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana pada 5 hb Mac 2014 bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi, Masjid UTHM. Majlis diadakan bertujuan untuk menghimpun dan menyedekahkan pahala bacaan Yasin dan Tahlil kepada arwah penama-penama yang dihimpunkan dari waris dari kalangan staf UTHM. Majlis dimulai dengan bacaan Yasin dan Tahlil untuk penama-penama yang diserahkan oleh waris masing-masing.  Majlis diserikan dengan Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Ust. Kamal b. Mohd. Said, mantan pengetua Madrasah Arabiyyah Kluang.

 

MAJLIS SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN UNTUK MH370 DAN SOLAT ISTISQA

Negara dikejutkan dengan kehilangan Pesawat MAS MH370 yang melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, ditambah lagi dengan cuaca panas akibat kemarau selama hampir 2 bulan. Pusat Islam UTHM menyahut saranan kerajaan dengan mengadakan Majlis Solat Hajat selama seminggu iaitu selepas solat Zuhur, manakala kemuncaknya diadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin bagi mememohon keselamatan para penumpang dan krew MH370 dan memohon agar dipermudahkan operasi SAR (Search and Rescue) pesawat berkenaan. Selepas solat Isya’ diadakan pula Solat Istisqa bagi memohon ke hadrat Allah agar menurunkan hujan lantaran lamanya kemarau yang melanda. Khutbah Istisqa’ disampaikan oleh Ust. Kamal Izhar b. Kamarulzaman, Imam Masjid UTHM.

 

PINTAR

Seramai 38 orang pelajar Tingkatan 3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Semberong dan Sekolah Menengah Sains Kluang telah menyertai program PINTAR yang dianjurkan oleh pihak Pusat Islam UTHM dengan kerjasama dari pihak sekolah masing-masing yang bermula dari 13hb Mac Sehingga 15 hb Mac  2014. Program diadakan bertempat di Dewan Seminar Al-FArabi, Masjid UTHM dan di sekitar kawasan universiti. Sepertimana program PINTAR yang lepas, pengisian dan tujuannya tidak banyak berubah.

 

KEM SMART SOLAT 2014

Biro Kebajikan dan Kerohanian, Kelab Staf UTHM (KS UTHM) dengan kerjasama Pusat Islam UTHM telah mengadakan Kem Smart Solat 2014 bertempat di Masjid UTHM, 25 dan 26 Mac 2014. Seramai 80 orang kanak-kanak dan remaja yang berusia dari 10 tahun sehingga 16 tahun menyertai kem ini. Kem ini diadakan bertujuan untuk mengisi masa anak-anak ketika cuti sekolah sekaligus memberikan mereka pendedahan tatacara solat yang betul. Kem ini menerima sambutan yang menggalakkan kerana bukan sahaja warga kerja UTHM berminat menghantarkan anak masing-masing ke kem ini, bahkan kem ini disertai oleh anak-anak penduduk tempatan.

 

BENGKEL TAJHIZ JENAZAH WANITA

Bengkel Tajhiz Jenazah Wanita telah diadakan pada 19 hb Mac 2014 di Dewan Seminar Pejabat Pendidikan Agama Daerah Batu Pahat, ianya merupakan program kerjasama Antara Pusat Islam UTHM dengan Pejabat Qadhi Daerah Batu Pahat dengan disertai oleh 55 peserta wanita dari kalangan warga kerja UTHM. Bengkel terbahagi kepada 2 jenis pengajian iaitu secata teori dan amali. Kelas Teori yang terdiri dari modul ‘Adab-adab dan Kewajiban Sebagai Pesakit’ yang disampaikan oleh Ust. Kasbullah Kusni dan teori tajhiz jenazah disampaikan oleh Ustaz Adam Ahmad dari Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat. Manakala pengajaran secara amali dikelolakan oleh Ustz. Norhayati bte Mohd.

 

PROGRAM ZIKIR DAN QIAMULLAIL PERDANA

Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan telah mengadakan Program Zikir dan Qiamullail Perdana bertempat di Masjid UTHM, 27 dan 28 Mac 2014. Peserta merupakan warga universiti yang berjumlah lebih 900 orang. Program bertujuan untuk memupuk sifat berlumba-lumba mengerjakan amalan sunat disamping mendekatkan warga kampus dengan masjid. Antara pengisian di dalam program ini ialah ceramah mengenai hikmah solat yang disampaikan oleh Y.Bhg Ust. Hj. Baharudin b. Yaman, Ketua Pusat Islam, pembacaan Surah Al-Mulk dan Surah Ar-Rahman sebelum tidur, Qiamullail dan Solat Fardhu Subuh Berjemaah disertai dengan bacaan Ratib Al-Attas.

 

KURSUS HAJI MINGGUAN

Masjid UTHM telah terpilih menjadi lokasi kursus Haji Mingguan yang diadakan oleh pihak Lembaga Urusan Tabung Haji (Tabung Haji) bagi Mukim 8 Parit Raja bermula dari 25 Januari 2014 sehingga 15 hb Mei 2014. Kursus ini dihadiri oleh bakal-bakal haji dan hajjah dari sekitar mukim 8 (Parit Raja) yang rata-ratanya berjumlah 200-300 orang perminggu. Peserta didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah haji dan umrah berdasarkan silibus yang telah digariskan oleh pihak Tabung Haji. Penceramah merupakan Ketua Pusat Islam UTHM, Ust. Hj. Baharudin b. Yaman@ Abd. Ghani dan dibantu oleh tenaga pengajar dari pihak Tabung Haji.

 

KURSUS PRAKTIKAL HAJI DAN UMRAH SERTA PROGRAM QIAMULLAIL ZON PARIT RAJA

Kursus ini merupakan kemuncak bagi Kursus Haji Mingguan yang diadakan di Masjid UTHM. Objektif kursus ini ialah sebagai platform ulangkaji bagi modul Kursus Haji Mingguan.  Kursus ini diadakan pada 15 hb Mei 2014 selepas solat Isya’, bertempat di ruang solat Masjid UTHM. Antara pengisian Kursus ini selain dari praktikal haji dan umrah ialah sedikit ceramah yang disampaikan oleh Ust. Hj. Baharudin b. Yaman@ Abdul Ghani; Ketua Pusat Islam UTHM dan qiamullail pada sebelah paginya.

 

MUNAJAT PERDANA

Bertepatan dengan musim peperiksaan semester akhir, Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Rakan Masjid UTHM, Kelab Iqra’ dan Majlis Perwakilan Pelajar telah mengadakan Munajat Perdana pada 22 hb Mei 2014 bertempat di Masjid UTHM. Program bertujuan untuk memberi persediaan rohani kepada mahasiswa dan mahasiswi selain dari membina sahsiah diri sebagai seorang muslim dan muslimat di dalam menghadapi peperiksaan. Antara pengisian program ialah solat berjemaah Maghrib dan Isya’, Solat Hajat, bacaan Yasin dan Tahlil serta Qiamullail.

 

PROGRAM ZIKIR RATIB AL HADDAD

Majlis Zikir Ratib Al-Attas adalah suatu yang lazim dan biasa bagi Jemaah Masjid Sultan Ismail, Batu Pahat. Pusat Islam UTHM berminat untuk mengadakan majlis ini sebulan sekali sebagai wadah membersihkan rohani bagi warga UTHM. Majlis ini dikendalikan oleh Bilal Masjid Sultan Ismail; Hj. Hasan b. Arba’. Majlis ini diadakan pada 29 hb April, 29 hb Mei dan 24 hb Jun 2014 dan mendapat sambutan menggalakkan dari warga UTHM dan masyarakat sekitar.

 

KULIAH DHUHA DAN MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MIKRAJ

Pusat Islam UTHM menganjurkan program Kuliah Dhuha bersempena dengan Isra’ dan Mikraj pada 27 Mei 2014 bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM. Penceramah jemputan untuk kali ini ialah Sahibul Fadhilan Tuan Qadi Daerah Batu Pahat yang menyampaikan ceramahnya yang bertajuk:”Bukti Kebesaran Allah”.

 

KURSUS HAJI INTENSIF

Pusat Islam UTHM dengan kerjasama UTHM Holding dan Tabung Haji Berhad telah mengadakan kursus haji secara intensif bagi 800 bakal haji dan hajjah dari daerah Batu Pahat dan Muar dari 13 hb Jun sehingga 14 hb Jun bertempat di Masjid UTHM dan Perpustakaan UTHM. Selama 2 hari, para peserta didedahkan dengan praktikal haji dan ceramah-ceramah yang berkaitan dengan haji dan umrah, yang dikelolakan oleh penceramah-penceramah yang mahir dari Tabung Haji.

  

BENGKEL TAHSIN AL-QURAN; SURAH AL-FATIHAH

Seramai 30 orang warga kerja UTHM menyertai Bengkel Tahsin Al-Quran; Surah Al-Fatihah yang diadakan selama 2 hari iaitu dari 18hb Jun dan 19 hbu Jun 2014 bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi, Masjid UTHM. Bengkel ini dikendalikan oleh Ustaz Mat Isa dari Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO) Batu Pahat. Objektif bengkel ini ialah mendedahkan kepada para peserta dengan kaedah-kaedah yang betul di dalam membaca Al-Fatihah yang mana ianya sebahagian dari rukun solat dan kaedah-kaedah qiraat dalam Al-Quran.

 

KULIAH DHUHA; MARHABAN YA RAMADHAN

Pada 19 hb Jun 2014, Pusat Islam UTHM telah mengadakan Kuliah Dhuha; Marhaban Ya Ramadhan bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi, Masjid UTHM. Program ini dihadiri oleh kira-kira 150 orang warga kerja UTHM dan penceramah jemputan untuk kali ini ialah Kiyahi Hj. Sohaili b. Solihin, seorang penceramah yang tidak asing lagi di Negeri Johor. Kupasan Ramadhan yang dibawa oleh beliau amat menarik hati pendengar dengan kupasan yang ringkas tapi padat dan bersahaja.

Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Y.Bhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd. Noh b. Dalimin, Naib Canselor UTHM.

 

SEMINAR TARANNUM PERINGKAT IPT JOHOR

Pusat Islam dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor telah bekerjasama menganjurkan satu seminar mengenai seni tarranum Al-Quran bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM pada 21 Jun 2014. Seminar ini disertai oleh 40 orang peserta dari IPT di negeri Johor seperti UTHM, MARSAH, UiTM Segamat dan UTM Skudai, Institut perguruan Temenggung Ibrahim, Pasir Gudang dan Kampus Batu Pahat serta Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik Mersing . Para peserta telah didedahkan dengan teknik-teknik tarannum dari Ustaz Muslim b. Ali, penggiat Al-Quran negeri Johor dan Ustazah Norhaffni bte Salleh, Jurulatih Tarannum Al-Quran, Yayasan Warisan Johor. Seminar dirasmikan oleh YB Zulkarnain b. Hj. Kamisan, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor.

 

 IHYA’ RAMADHAN 1435H/ 2014

Ramadhan adalah bulan yang amat dinanti-nanti oleh umat Islam sedunia, kerana ianya adalah bulan 1001 rahmat, keampunan dan gandaan amalan seharian. 30 hb Jun 2014 merupakan tarikh bermulanya ibadah puasa dan bermulanya program Ihya Ramadhan yang dianjurkan oleh Pusat Islam UTHM. Antara pengisian program ialah solat sunat tarawikh, majlis berbuka puasa (iftar) yang dihadiri hampir 600 orang warga siswa dan siswi UTHM, kaunter pembayaran zakat fitrah, harta dan fidyah dan lain-lain.

Majlis Khatam Al-Quran diadakan pada 15 hb Julai 2014 iaitu selepas solat zuhur dengan pembahagian juzuk dan pembacaan berdasarkan jumlah fakulti dan jabatan dan majlis Khatam Al-Quran yang disertai oleh warga staf UTHM. Sebelah petangnya pula diadakan Majlis Iftar Perdana anjuran Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Kelab Staf UTHM yang dihadiri seramai 800 orang warga UTHM. Sedikit tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Al-fadhil Ustaz Assubhi Sidon, Imam Masjid Jamek BAtu Pahat merangkap Penolong Pendaftar Nikah Daerah Batu Pahat.

Manakala program memasak bubur lambuk, diadakan seperti biasa setiap hari Rabu iaitu 2 hb Julai, 9 hb Julai, 16 hb Julai dan 23 hb Julai 2014 yang dijayakan oleh warga kerja UTHM. AKRAB UTHM dan PAP PRO Club serta KEKAS antara Kelab-kelab staf yang membantu di dalam menjayakan program memasak bubur lambuk kali ini. 

 

Cetak

Suara Jumaat Minggu Ini

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

HUDUD SISTEM PERUNDANGAN ADIL

22 hb Mac 2015/ 29 Jamadil Awwal 1436H

Masyarakat perlu diberi kefahaman jelas mengenai hukuman bersifat mencegah, mendidik

Pengumuman oleh kerajaan Brunei Darussalam beberapa tahun lalu berkenaan pelaksanaan hukum hudud di negara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi di rantau ini dan seluruh dunia. Hudud telah lama menjadi polemik dan perbahasan pakar perundangan syariah.  Malah, perbincangan mengenai hudud telah mengundang masuk campur golongan bukan Islam yang turut berbahas mengenainya. Hudud sejak sekian lama dimomokkan sebagai undang-undang lapuk, tidak sesuai suasana masa kini dan ada mengatakan ia kejam serta memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan.

Cetak

Arkib Suara Jumaat

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

AKHLAK BELIA PAPARAN IMEJ NEGARA MASA DEPAN

Jumaat, 18 hb Disember 2014/ 26 Safar 1436H

Patriotisme ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan tanah air. Dalam Bahasa Arab ia diwakili dengan perkataan wataniah. Jika ditinjau dari sudut pandangan Islam, ia dihubung kait dengan sifat cintakan tanah air.  

Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan ketua negara memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Bimbingan ini akan menentukan belia menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW: 

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (Hadis riwayat Ahmad) 

Patriotisme bukanlah satu ideologi tetapi semangat dan gagasan mendidik serta memberi kefahaman kepada manusia supaya mencintai kehidupan dan tanah air. Manusia perlu membina semangat patriotik untuk menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat. 

Membina semangat patriotisme ini, berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil al-Quran dan hadis, ulama sepakat mengatakan taat kepada pemerintah fardu kepada setiap Muslim, manakala menderhaka adalah satu dosa besar. 

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: 

“Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaannya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Golongan belia penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang. 

Tokoh ulama semasa yang berpengaruh, Syeikh Yusof Al-Qaradhawi berkata: 

“Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” 

Kebangkitan golongan belia akhir-akhir ini amat menggembirakan namun ada juga kes yang mana idealisme kebebasan dan hak diperjuangkan mereka perlu diberi arah tujuan selaras prinsip Islam. Kegelojohan menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak menyebabkan ada segelintir mereka terjebak aktiviti ekstrim, demonstrasi jalanan, melakukan kekacauan dan huru-hara. 

Golongan belia sebenarnya mempunyai idealisme tetapi pada masa sama masih mentah pengalaman hidup dan terbawa-bawa dengan jiwa muda bergelora. Ingatlah, Islam telah menetapkan setiap insan tidak memiliki kebebasan hakiki, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang bersumberkan wahyu Allah SWT. 

Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi diri untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara untuk membentuk tamadun Islam dihormati dan disegani masyarakat dunia. 

Firman Allah yang bermaksud:

“Ingatkanlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah Al-Kahfi, ayat 10)

Sudut Agama, Berita Harian, 25/05/2012

AL FILL KISAH KEKALAHAN TENTERA ABRAHAH

Jumaat, 12 hb Disember 2014/ 19 Safar 1436H

TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi peristiwa besar, iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah. 

Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman. Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka tidak memberikan tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui kawanan burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang terdapat dalam surah al-Fil.

Burung Ababil

Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.Burung-burung itu melempar pasukan bergajah dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut. 

Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing. Abrahah sendiri, menurut salah satu riwayat, menemui ajal ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.

Pasukan tentera bergajah 

Kata ashbab al-fil dalam surah al-Fil ayat pertama merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman yang berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah. Abrahah dan pasukannya yang menunggang gajah berhasrat untuk menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi menunaikan ibadah haji di sana, tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.

Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan pasukannya mengalahkan semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka. Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama pasukan bergajahnya menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa penyerangan dilakukan itu bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk memerangi masyarakat kota itu.

Kekuasaan Allah SWT

Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya. 

Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.

Surah Makkiyah

Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang diterima oleh Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran, surah ini ditempatkan pada urutan ke-105. Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek yang terdapat pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah. Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan sebagai surah Makkiyah. 

Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat pertama surah ini yang bererti "gajah".

Maksud surah al-Fil

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?”

“Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?”

“Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.”

“Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar.”

“Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Kapsyen

ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/5/2012

 

AKIDAH TERGADAI ANGKARA TUKANG TILIK

Jumaat, 5 hb Disember 2014/ 12 Safar 1436H

Umat dituntut jauhi sebarang bentuk ramalan 

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini melayakkan seseorang itu disebut sebagai manusia tetapi belum layak dipanggil sebagai mukmin (orang yang beriman), apatah lagi muttaqin (orang yang bertaqwa). Jika jasad memerlukan makanan dan minuman, maka begitu juga rohani. Jika jasmani yang tidak mendapat makanan secukupnya akan mengalami gangguan pada tubuh badan, maka begitu jugalah halnya dengan rohani.

Atas dasar itu, salah satu daripada keperluan rohani adalah memahami aqidah secara tepat, benar dan jitu. Rukun Islam pertama yang menjadi teras aqidah seorang Islam wajar difahami dan dihayati secara benar dan tepat. 

Oleh itu, seseorang tidak dianggap beriman kepada Allah SWT jika mereka belum mampu membebaskan diri daripada perkara yang boleh merosakkan aqidah seperti meyakini ramalan bomoh, mendatangi dan mempercayai tukang ramal, tukang sihir atau tukang tilik. Bahkan, pada masa kini, remaja Islam khususnya memberikan maklum balas cukup positif terhadap tukang tilik zaman moden seperti mempercayai ramalan horoskop serta meyakini bahawa potensi diri seseorang bergantung sepenuhnya kepada kedudukan tahi lalat, bentuk kening dan hari kelahiran. 

Nabi SAW mengancam perlakuan demikian seperti tercatat dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: 

“Sesiapa yang datang kepada tukang tenung/tilik lalu bertanya sesuatu daripadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan (oleh Allah) kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ibn Majah) 

Kedua-dua hadis melarang pembabitan secara langsung ataupun tidak dengan sebarang bentuk ramalan. Pembabitan seseorang tidak diukur sama ada dia mempercayai atau tidak sebaliknya, pergi berjumpa tukang ramal pun sudah dianggap berdosa. Bayangkan, hanya kerana ramalan seseorang menggadaikan akidahnya. Jika tilikan atau ramalan itu benar sekalipun, maka ia tetap merosakkan akidah kerana penyerahan diri bukan lagi kepada Allah SWT, sebaliknya diserahkan 100 peratus kepada tilikan itu. 

Oleh itu, jauhilah hal yang boleh merosakkan akidah kerana orang terbabit ramalan disamakan Nabi SAW seperti pengamal sihir. 

Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mengambil sebahagian daripada ilmu bintang (nujum), maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian daripada sihir. Setiap kali bertambah ilmu bintangnya maka bertambah pula ilmu sihirnya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) 

Jika perkara ghaib boleh diketahui manusia, nescaya Bagindalah insan yang paling layak untuk mengetahuinya tetapi Baginda SAW tidak mengetahuinya melainkan apa yang ditakdirkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188) 

Justeru, luruskanlah akidah dan kembalilah kepada asas akidah yang benar kerana ia adalah teras utama dalam membentuk muslim sejati. 

Oleh Zulkifli Hussin . Penulis ialah Pensyarah Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) 

Sudut Agama, Berita Harian,  23/7/2012

 

AKHLAK ISLAM PENAWAR SEGALA MASALAH, PERSOALAN MENIMPA UMAT

Jumaat, 28 hb November 2014/ 5 Safar 1436H

Firman Allah SWT bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 159) 

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dengan tujuan membentuk peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil membanggakan dalam waktu singkat. 

Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur penuh pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan. 

Selaras seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka dalam masa sama umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat. 

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Apa dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwah selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut. Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat serta peribadi terbilang Baginda. 

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim. 

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda dan masyarakat yang tidak harmoni. 

Jangan pula bersikap keras atau kasar dalam pergaulan seharian kerana orang di sekeliling akan segan untuk menghampiri. Malah, orang ramai akan mula menjauhi. Dalam hal ini, seorang pemimpin yang bersikap kasar dan keras dalam kepemimpinannya, tidak akan berjaya. Tetapi, seorang pemimpin wajib tegas mempertahankan pendiriannya seperti mana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiah biarpun tidak dipersetujui beberapa sahabat. 

Seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap semua rakyatnya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras semasa menghadapi kerenah dan tuntutan rakyat. 

Masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima pandangan yang diutarakan dan berusaha menghapuskan bibit permusuhan daripada mengakari. Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan. 

Skop sifat lemah lembut amat luas, tidak terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain. 

Untuk mencipta negara yang aman dan masyarakat sejahtera, contoh terbaik daripada Rasulullah dan sahabat sangat relevan untuk dipraktikkan. Akhlak Islam adalah penawar bagi segala masalah dan persoalan menimpa umat Islam. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin 

Sudut Agama, Berita Harian 3/3/2011

 

ABDUL RAHMAN MENGAGUMI DUA BUDAK ANSAR

Jumaat, 21 November 2014/ 28 Muharram 1436H

Abdul Rahman bin Auf adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berbangsa Quraisy. Nama sebenar beliau ialah Abdul rahman bin Auf bin al-Haris bin Zahrah. Beliau tergolong dalam golongan yang awal memeluk agama Islam.Beliau tidak terkecuali daripada menyertai Perang Badar dan siri peperangan yang lain. Beliau juga dalah salah seorang daripada 10 orang yang dijamin masuk syurga. Beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah bersamaan 652 Masihi. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Baqi'. 

Semasa Perang Badar, Abdul Rahman bin Auf bertempur dengan tentera musuh. Dalam kesibukan melawan musuh, dua orang budak Ansar datang kepadanya. Mereka ialah Muaz bin Amar bin Jamuh dan Muaz bin Afra.Salah seorang budak Ansar itu memegang tangannya. Dia bertanya kepada Abdul Rahman, 

"Adakah pakcik kenal Abu Jahal?"

Kemudian Abdul Rahman menjawab,

 "Pakcik kenal Abu Jahal. Mengapa anak bertanya mengenai Abu Jahal kepada pakcik?"

Budak Ansar itu berkata lagi, 

"Abu Jahal adalah orang yang mencari dan mengeji Nabi Muhammad. Dia adalah musuh kita yang utama. Sekiranya saya dapat menangkap Abu Jahal, saya tidak mahu melepaskannya. Saya akan bunuh dia biarpun nyawa saya terancam!"

Seorang lagi budak Ansar yang berada di sebelah rakannya juga bersetuju dengan kata-kata kawannya itu.

Abdul Rahman bin Auf terkejut melihat semangat dua orang budak Ansar itu.

Semasa Abdul Rahman dan dua orang budak Ansar itu berbual-bual, tiba-tiba Abdul Rahman terlihat Abu Jahal menunggang kudanya dalam keadaan mundar-mandir. Abu Jahal yang angkuh cuba melawan tentera Islam.Kemudian Abdul Rahman menjerit memberitahu kepada dua orang budak Ansar tadi,  

"Itu Abu Jahal."

Keduadua orang budak Ansar itu berlari ke tempat Abu Jahal. Di tangan mereka terdapat pedang yang tajam. Pedang itu adalah bagi membunuh Abu Jahal. Salah seorang daripada budak Ansar itu memotong kaki kuda Abu Jahal. Sementara seorang lagi menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terjatuh daripada kudanya.

Abu Jahal masih belum mati. Pada masa itu Ikramah, tentera musuh turut berada di sana mengawal Abu Jahal.Apabila Ikramah melihat Abu Jahal diapa-apakan oleh dua budak Ansar itu, Ikramah menyerang balas, lalu memotong tangan Muaz bin Amar bin Jamuh. Muaz cuba melawan dalam keadaan tangannya yang berlumuran darah. Namun, beliau tidak berjaya kerana pergerakan badannya terbatas. Kemudian Muaz bin Afra cuba melawan Abu Jahal menggunakan pedangnya.

Melihat keadaan itu, Abdullah bin Mas'ud datang menyerang menggunakan pedangnya yang tajam. Abdullah bin Mas'ud menyerang Abu Jahal sehingga kepala Abu Jahal terputus daripada badannya. Abu Jahal tewas dan akhirnya mati terbunuh.

Kesungguhan dua orang budak Ansar itu membuatkan Abdul Rahman bin Auf berasa terharu. Berkat usaha, kerjasama dan cita-cita yang tinggi bagi mengalahkan lawannya itu akhirnya tercapai. Semangat mereka yang tinggi bagi menegakkan agama terbukti usia bukan penghalang walaupun mereka masih kecil.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 6/10/2010

 

AKHLAK REMAJA PENANDA ARAS PEMBANGUNAN BANGSA, NEGARA

Jumaat, 14 November 2014/ 21 Muharram 1436H

Isu gejala sosial sudah sering dibahaskan cendekiawan dulu dan mereka secara umumnya berpendapat ia satu fakta sosial yang menyerlahkan warna, rupa, bentuk dan jati diri masyarakat itu dengan sendirinya.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai sifat yang mewakili atau contoh untuk memahami keadaan masyarakat yang berada suatu masa tertentu. Hakikatnya, sejarah penularan gejala sosial sudah melewati setiap ruang dan waktu setiap zaman. 

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini, gejala sosial semakin berleluasa dalam masyarakat negara apabila semakin banyaknya kes dilaporkan akhbar arus perdana dewasa ini. Lebih-lebih lagi, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara banyak bergantung kepada kestabilan institusi masyarakat yang tidak terencat dengan masalah atau krisis sosial. Oleh itu, permasalahan sosial yang semakin meruncing sewajarnya menjadi topik utama pihak berwajib dalam merencana tindakan segera dan susulan bagi mengatasi gejala itu. 

Dalam konteks pengajian ilmu sosiologi, isu sosial bolehlah ditakrifkan sebagai persoalan atau perkara menjadi bahan perbincangan orang ramai. Di samping itu, ia juga mengenai fenomena masyarakat bermasalah yang timbul daripada masyarakat atau sesuatu yang menimpa masyarakat suatu masa dan tempat. Namun, sebahagian besar masyarakat negara ini sudah membataskan atau menyempitkan pengertian dan skop gejala sosial. Apabila disebut gejala sosial atau masalah sosial, maka ia secara langsung membabitkan golongan remaja. 

Padahal, gejala sosial dari sudut konsepnya adalah ungkapan yang luas maknanya sama ada dipandang dari segi makro mahupun mikro. Yang bersifat makro seperti kemiskinan, rasuah, perkauman, penindasan pekerja dan pemusnahan alam sekitar. Sementara yang bersifat mikro seperti bunuh diri, salah guna dadah, buang bayi, bohsia, lepak, persundalan, pecah amanah, pecah rumah, perceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan anak. Selain itu, skop gejala sosial dari sudut empirikal bukan hanya membabitkan remaja atau muda mudi saja. Malah, ia juga turut membabitkan semua lapisan manusia sama ada secara berkelompok atau individu tanpa mengambil kira had umur, jantina, kelas, taraf, kaum dan kasta. 

Ringkasnya, konsep gejala sosial berkait rapat dengan faktor perbezaan sosial, wujudnya jurang atau jarak komunikasi sosial dan keadaan masyarakat yang bercelaru atau tidak terurus. Namun, semua faktor itu berupaya memberi impak negatif secara langsung kepada pembinaan insan dan pembangunan ummah dalam sesebuah negara. 

Berdasarkan fenomena gejala sosial yang berlaku secara meluas dewasa ini, dapatlah disimpulkan antara punca menyebabkan indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya. 

Pengaruh ibu bapa penting dalam mendidik dan mengasuh anak mengenal erti kehidupan penuh mencabar. Namun, fenomena ibu bapa bekerja sepanjang hari sedikit sebanyak menyebabkan wujudnya perubahan sosial. Kebanyakan ibu bapa terlalu mementingkan pekerjaan, mengejar kekayaan dan menimbunkan harta daripada memberikan perhatian sewajarnya kepada anak menyebabkan mereka rasa terbiar tanpa kasih sayang serta penjagaan sempurna. Akibatnya, mereka mula mencari alternatif dengan bercampur rakan sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan gejala sosial di kalangan anak. 

Pendidikan agama penting dalam membentuk sifat mulia dan moral terpuji dalam lingkungan masyarakat umum. Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memiliki matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama. Dalam satu segi lain, dasar pendidikan negara yang lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi sesuai dengan peredaran zaman tanpa memberi penekanan kepada pendidikan agama sebagai perisai konkrit untuk berdepan dengan cabaran semasa. Tanpa pendidikan agama, pelajar tidak mampu mengharungi gelombang hidup. 

Faktor pembangunan tidak seimbang dilaksanakan kerajaan juga dikenal pasti antara punca mencetuskan gejala tidak sihat ini. Biarpun pada hakikatnya, pembangunan negara sudah mencapai kemajuan pesat dalam pelbagai aspek kehidupan, namun ia tidak menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Perkembangan teknologi semakin canggih sehingga segala maklumat tersebar di seluruh dunia dapat diperoleh dan disebarkan tanpa sempadan dalam masa yang singkat. Tanpa pegangan kukuh, manusia akan menjadi lemas ditenggelami banjir budaya besar yang dominan ini. 

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang banyak terhadap sebarang tindakan dan perlakuan anak muda kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan berbanding dengan ibu bapa. Rakan sebaya mendedahkan mereka kepada dunia baru lagi asing dan akhirnya mengubah sedikit demi sedikit perkembangan sosial serta psikologinya. 

Remaja adalah aset penting kepada kelangsungan pembangunan bangsa dan negara. Jika baik remaja, maka baik dan majulah negara. Sebaliknya, jika buruk akhlak remaja, maka akan punah dan hancurlah negara. Oleh itu, isu gejala sosial anak muda sewajarnya diberi perhatian serius dan menuntut perhatian serta rasa tanggungjawab semua pihak bermula ibu bapa, guru, masyarakat dan seterusnya pihak kerajaan dalam menangani krisis sosial yang semakin meruncing ini. 

Justeru, agenda drastik dan susulan hendaklah disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh dalam usaha pihak kerajaan menjana kembali kekuatan bangsa serta keutuhan ummah. 

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 

 

Sudut Agama, Berita Harian 14/5/2009

 

AMALAN PERTAMA MANUSIA DIHITUNG PADA HARI AKHIRAT

Jumaat, 7 November 2014/ 14 Muharram 1436H

Imam Ahmad menyatakan, jarak antara seorang lelaki dengan kekufuran adalah meninggalkan solat.

Di dalam riwayat At-Tabrani pula 

“Siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia kafir nyata.” 

Tidak seperti ibadah lain, Allah memfardukan ibadah solat secara langsung kepada Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Antara kelebihan dan kepentingan solat dalam hidup kita ialah berpeluang berinteraksi dengan Allah.Solat memelihara serta membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kemanisan bermunajat dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.Seperti yang diajarkan Rasulullah, solat bermula dengan berdiri, rukuk, ‘iktidal, sujud dan berakhir dengan salam.

Semua itu dilakukan bertujuan membesarkan Allah atas segala nikmat kurniaan kehidupan di dunia ini seperti kesihatan yang baik, zuriat, pasangan suami isteri, ibu bapa dan keluarga.Maka perbanyakkanlah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada segala bahaya dan tipu daya syaitan.

Solat memberi manusia peluang menggandakan pahala serta menghapuskan segala dosa. Kita perlu mengucapkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana Allah memberikan banyak kelebihan kepada umat Nabi Muhammad yang tidak terdapat pada umat sebelumnya.Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: 

“Bahawasanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya?” Lalu baginda bersabda: Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah ia dapat menghapuskan segala dosa” (Muttafaq Alaih).

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.

Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Malah rahsia solat juga tersingkap 1,001 makna kerana ia memberi riadah kepada tubuh badan harian selain memberikan kerehatan jiwa.Maka solat menjadi salah satu cara merawat kegelisahan dan gundah gulana dalam diri manusia.

Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah SAW mengalami satu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan: 

“Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”

Meninggalkan solat pula menjadikan hati manusia jauh untuk melakukan amal kebaikan malah buruk akhlaknya.Malah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari pembalasan kelak ialah solat. Jika sempurna solatnya maka baiklah seluruh amalannya.

Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam tidak membataskan manusia walau di mana atau dalam apa juga keadaan sekalipun.Ia perlu dilaksanakan sama ada dalam keadaan sihat, sakit, dalam peperangan, sedang bermusafir dan tidak mengira golongan sama ada kaya atau miskin.

Solat tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu kepada kesabaran dan kekuatan dalaman yang kuat.Malah seseorang yang inginkan diri mereka sentiasa menjaga serta memelihara solat perlu ada rasa tanggungjawab tinggi untuk melakukan amalan itu hanya kerana Allah. Tidak boleh sesekali seseorang menggunakan cara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memakai susuk atau ilmu sihir bagi mendorong mereka ‘rajin’ beribadah.

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi berkata, bagi mereka yang menggunakan susuk atau sihir bagi menzahirkan kekuatan untuk beribadah boleh membawa implikasi besar terhadap akidah mereka.

“Bahkan, jika tidak dikeluarkan susuk itu daripada tubuh badan, ia akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi saat nazak sakaratulmaut.

“Susuk ialah amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan kelebihan sama ada secara nyata mahupun ghaib.

“Antara jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya untuk tujuan pelacuran, susu beruang untuk ilmu kebal dan susuk buluh perindu untuk memerdukan suara atau menggoda,” katanya.

Beliau berkata, tujuan memakai susuk itu untuk menaikkan seri wajah, hebat dalam hubungan seksual, kebal, pelaris perniagaan dan juga sebagai kekuatan tenaga termasuk mendirikan solat.

“Pantang larang bagi pemakai susuk antaranya mereka tidak boleh memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti sate dan tidak boleh melihat cermin dalam tempoh tertentu dan dilarang menghadiri majlis pengebumian atau pergi ke tanah perkuburan.

“Amalan ini masih menjadi amalan segelintir masyarakat disebabkan kedangkalan mereka. Jelas ia membawa syirik kepada Allah,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, terdapat banyak kes pemakai golongan muda disebabkan ibu atau nenek mereka memaksa memakai susuk sejak kecil bagi tujuan kecantikan.

“Lebih malang, pemakai tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun lamanya.

“Malah mereka melakukan ibadat seperti solat, puasa dan pergi menunaikan haji dalam keadaan bersusuk,” katanya.

Beliau berkata, hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk adalah haram.

“Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir.

“Kedua, menggunakan susuk atau cara amalan yang tidak dipastikan kesahihan ibadat itu sehingga terdengar ada suara ghaib menyuruh seseorang mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan disepakati haram.

“Ini berdasarkan tarjih ulama, amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat dilakukan.

“Masyarakat kita juga sering dibelenggu pengamalan ayat tertentu sehingga didatangi ‘khadam’ atau penjaga.

“Hukumnya tetap haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan akidah. 

Terdapat kisah ketua wali sheikh Qadir al-Jailani hampir ditipu iblis yang datang dalam bentuk cahaya gilang gemilang dan memaklumkan kepadanya sudah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan untuk bersolat.

“Namun ia dihidu Sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan menyebut ‘auzubillahi mina syaitonirrojim’ supaya dapat berlindung daripada hasutan iblis yang sering memperdayakan manusia,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, bagi pesalah yang melakukan amalan khurafat itu, mereka perlulah segera bertaubat dengan sebenar-benarnya.

“Pemakai susuk perlu membuang bahan yang dimasukkan itu ke dalam mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman.

“Akidah pesalah juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri yang mempunyai bahagian pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas berkenaan.

“Di sinilah hikmah mengapa kita seringkali mengulangi bacaan surah al-Fatihah memohon supaya sentiasa dibimbing ke arah jalan yang lurus,” katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Sudut Ad-din, Ekspresi, Harian Metro

 

AL FILL KISAH KEKALAHAN TENTERA ABRAHAH

Jumaat, 12 hb Disember 2014/ 19 Safar 1436H

TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi peristiwa besar, iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah.

Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman. Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka tidak memberikan tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui kawanan burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang terdapat dalam surah al-Fil.

Burung Ababil

Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.Burung-burung itu melempar pasukan bergajah dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut. 

Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing. Abrahah sendiri, menurut salah satu riwayat, menemui ajal ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.

Pasukan tentera bergajah 

Kata ashbab al-fil dalam surah al-Fil ayat pertama merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman yang berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah. Abrahah dan pasukannya yang menunggang gajah berhasrat untuk menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi menunaikan ibadah haji di sana, tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.

Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan pasukannya mengalahkan semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka. Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama pasukan bergajahnya menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa penyerangan dilakukan itu bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk memerangi masyarakat kota itu.

Kekuasaan Allah SWT

Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya. 

Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.

Surah Makkiyah

Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang diterima oleh Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran, surah ini ditempatkan pada urutan ke-105. Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek yang terdapat pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah. Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan sebagai surah Makkiyah. 

Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat pertama surah ini yang bererti "gajah".

Maksud surah al-Fil

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?”

“Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?”

“Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.”

“Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar.”

“Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Kapsyen

ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/5/2012

 

AKIDAH TERGADAI ANGKARA TUKANG TILIK

Jumaat,5 hb Disember 2014/ 12 Safar 1436H

Umat dituntut jauhi sebarang bentuk ramalan 

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini melayakkan seseorang itu disebut sebagai manusia tetapi belum layak dipanggil sebagai mukmin (orang yang beriman), apatah lagi muttaqin (orang yang bertaqwa). Jika jasad memerlukan makanan dan minuman, maka begitu juga rohani. Jika jasmani yang tidak mendapat makanan secukupnya akan mengalami gangguan pada tubuh badan, maka begitu jugalah halnya dengan rohani.

Atas dasar itu, salah satu daripada keperluan rohani adalah memahami aqidah secara tepat, benar dan jitu. Rukun Islam pertama yang menjadi teras aqidah seorang Islam wajar difahami dan dihayati secara benar dan tepat. 

Oleh itu, seseorang tidak dianggap beriman kepada Allah SWT jika mereka belum mampu membebaskan diri daripada perkara yang boleh merosakkan aqidah seperti meyakini ramalan bomoh, mendatangi dan mempercayai tukang ramal, tukang sihir atau tukang tilik. Bahkan, pada masa kini, remaja Islam khususnya memberikan maklum balas cukup positif terhadap tukang tilik zaman moden seperti mempercayai ramalan horoskop serta meyakini bahawa potensi diri seseorang bergantung sepenuhnya kepada kedudukan tahi lalat, bentuk kening dan hari kelahiran. 

Nabi SAW mengancam perlakuan demikian seperti tercatat dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: 

“Sesiapa yang datang kepada tukang tenung/tilik lalu bertanya sesuatu daripadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan (oleh Allah) kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ibn Majah) 

Kedua-dua hadis melarang pembabitan secara langsung ataupun tidak dengan sebarang bentuk ramalan. Pembabitan seseorang tidak diukur sama ada dia mempercayai atau tidak sebaliknya, pergi berjumpa tukang ramal pun sudah dianggap berdosa. Bayangkan, hanya kerana ramalan seseorang menggadaikan akidahnya. Jika tilikan atau ramalan itu benar sekalipun, maka ia tetap merosakkan akidah kerana penyerahan diri bukan lagi kepada Allah SWT, sebaliknya diserahkan 100 peratus kepada tilikan itu. 

Oleh itu, jauhilah hal yang boleh merosakkan akidah kerana orang terbabit ramalan disamakan Nabi SAW seperti pengamal sihir. 

Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mengambil sebahagian daripada ilmu bintang (nujum), maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian daripada sihir. Setiap kali bertambah ilmu bintangnya maka bertambah pula ilmu sihirnya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) 

Jika perkara ghaib boleh diketahui manusia, nescaya Bagindalah insan yang paling layak untuk mengetahuinya tetapi Baginda SAW tidak mengetahuinya melainkan apa yang ditakdirkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188) 

Justeru, luruskanlah akidah dan kembalilah kepada asas akidah yang benar kerana ia adalah teras utama dalam membentuk muslim sejati. 

Oleh Zulkifli Hussin . Penulis ialah Pensyarah Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) 

Sudut Agama, Berita Harian,  23/7/2012

 

 

AKHLAK ISLAM PENAWAR SEGALA MASALAH, PERSOALAN MENIMPA UMAT

Jumaat, 28 hb November 2014/ 5 Safar 1436H

Firman Allah SWT bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 159) 

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dengan tujuan membentuk peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil membanggakan dalam waktu singkat. 

Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur penuh pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan. 

Selaras seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka dalam masa sama umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat. 

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Apa dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwah selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut. Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat serta peribadi terbilang Baginda. 

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim. 

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda dan masyarakat yang tidak harmoni. 

Jangan pula bersikap keras atau kasar dalam pergaulan seharian kerana orang di sekeliling akan segan untuk menghampiri. Malah, orang ramai akan mula menjauhi. Dalam hal ini, seorang pemimpin yang bersikap kasar dan keras dalam kepemimpinannya, tidak akan berjaya. Tetapi, seorang pemimpin wajib tegas mempertahankan pendiriannya seperti mana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiah biarpun tidak dipersetujui beberapa sahabat. 

 

Seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap semua rakyatnya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras semasa menghadapi kerenah dan tuntutan rakyat. 

Masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima pandangan yang diutarakan dan berusaha menghapuskan bibit permusuhan daripada mengakari. Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan. 

Skop sifat lemah lembut amat luas, tidak terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain. 

Untuk mencipta negara yang aman dan masyarakat sejahtera, contoh terbaik daripada Rasulullah dan sahabat sangat relevan untuk dipraktikkan. Akhlak Islam adalah penawar bagi segala masalah dan persoalan menimpa umat Islam. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin 

Sudut Agama, Berita Harian 3/3/2011

 

HIJRAH RASULULLAH KE YATHRIB

Jumaat, 31 Oktober 2014/ 7 Muharram 1436H

Ketika Rasulullah SAW dan sahabat mengalami tekanan di Mekah, baginda telah memberi keizinan kepada umat Islam di Mekah supaya berhijrah ke Yathrib bagi memulakan kehidupan baru di sana. Maka umat Islam di Mekah pun keluar dengan senyap dan berhati-hati agar tidak disedari oleh Musyrikin Quraisy.

Mereka keluar tanpa sebarang jaminan kehidupan yang bakal ditempuh di Yathrib melainkan jaminan yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itulah Allah SWT memuji mereka atas dasar keimanan yang kukuh.

Manakala Rasulullah SAW pula masih berada di Makkah menunggu wahyu daripada Allah untuk berhijrah. Apabila wahyu daripada Allah turun, dalam masa yang sama kaum Musyrikin Quraisy telah merancang untuk membunuh Rasulullah di Darul Nadwah. Dengan melantik wakil setiap kabilah untuk membunuh baginda, mereka berkumpul dan mengepung rumah Rasulullah SAW pada waktu malam. Namun dengan kuasa Allah, mereka tertidur dengan nyenyaknya lalu Rasulullah SAW pun keluar dengan menaburkan pasir di atas kepala mereka. Manakala tempat tidur baginda diganti oleh Ali bin Abu Talib yang sangat berani.

Maka berangkatlah Rasulullah ke rumah Abu Bakar as-Siddiq. Dengan perancangan yang teliti, mereka pun bergerak menuju ke Yathrib sebelum fajar menyingsing. Mereka melalui jalan yang jarang dilalui orang ramai, lalu singgah di Gua Thur di pertengahan jalan ke arah Yaman. Abu Bakar mendahului Rasulullah SAW untuk masuk ke dalam gua kerana risaukan keselamatan baginda. Apabila Rasulullah masuk, baginda pun berehat sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertolak.

Kaum Musyrikin Quraisy yang terjaga daripada tidur telah tertipu apabila orang yang disangka Rasulullah rupanya Ali bin Abu Talib. Maka mereka pun bertindak mengejar Rasulullah sehinggalah sampai di Gua Thur. Abu Bakar mula panik apabila kaum kafir mengepung gua tersebut lalu ditenteramkan oleh Rasulullah.

"Janganlah takut dan janganlah sedih sesungguhnya Allah bersama kita."

Lalu Allah memerintahkan labah-labah dan merpati membuat sarang di pintu gua. Kaum kafir sekali lagi tertipu. Mereka tidak menyangka ada orang yang bersembunyi di dalam gua tersebut apabila melihat sarang labah-labah dan merpati tidak terusik.

Setelah kaum kafir jauh beredar, Abdullah bin Uraiqit pun tiba dengan membawa dua ekor kuda yang sangat pantas. Beliau sendiri diupah sebagai jurupandu untuk membawa Rasulullah dan Abu Bakar ke Yathrib.

Lalu mereka bergerak ke arah selatan Yaman, apabila sampai di jalan yang tidak dilalui orang mereka pun beralih ke utara menghampiri Laut Merah. Tujuan mereka berbuat demikian adalah supaya pergerakan mereka tidak dapat dijejaki oleh kaum kafir Quraisy sebelum mereka selamat tiba ke Yathrib.

Rasulullah SAW tiba di Quba' iaitu terletak di pinggir kota Yathrib pada 8 Rabiul Awwal 14 tahun kerasulan baginda. Di sana baginda mendirikan masjid yang terawal sepanjang menyebarkan dakwah Islam. Umat Islam yang mendapat berita ketibaan Rasulullah SAW di pinggir Kota Yathrib berasa amat gembira kerana Rasulullah telah selamat sampai. Mereka berkumpul beramai-ramai di tanah lapang Hurrah. Mereka begitu sabar menunggu walaupun panas terik kerana ingin melihat insan mulia yang diberitakan dalam kitab-kitab terdahulu. Justeru itu, bergemalah takbir memuji kebesaran Allah.

Mereka menyambut ketibaan Rasulullah dengan selawat dan puji-pujian. Anak-anak pula mengalunkan puisi-puisi indah. Rasulullah menamakan Yathrib dengan 'Madinah Al-Munawwarah' yang bermaksud 'Kota Yang Bercahaya'.

lPetikan daripada buku 366 Kisah dari Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 8/10/2010

 

HUKUM MEMELIHARA ANJING

Jumaat, 24 Oktober 2014/ 29 Zulhijjah 1435H

Sejak kebelakangan ini terdapat ramai umat Islam di negara ini, terutamanya yang Melayu membela anjing walaupun haiwan itu termasuk dalam kategori najis mughalazzahiaitu jika terkena air liur atau terpegang badan anjing yang basah maka wajib dibasuh dengan air yang bercampur tanah sekali diikuti dengan enam kali air yang bersih.

Antara alasan-alasan yang mereka beri:

1) Tidak terdapat dalam al-Quran yang menyatakan orang Islam tidak boleh membela anjing.

2) Rasullullah SAW tidak pernah mengharamkan orang Islam membela anjing.

3) Anjing juga seperti haiwan-haiwan yang lain adalah makhluk Allah.

4) Terdapat ramai pemimpin-pemimpin Islam di negara luar juga membela anjing malah ada yang membiarkan anjing mereka memasuki rumah dan bilik tidur.

5) Ramai penganut-penganut Islam di negara-negara Arab, Pakistan dan Afghanistan membela anjing.

6) Ada kisah yang menceritakan tentang tiga orang pemuda terkurung di dalam gua bersama seekor anjing selama 300 tahun, kemudian dibebaskan Allah yang mana dikatakan pemuda-pemuda tersebut termasuk anjing mereka dimasukkan Allah ke dalam syurga.

7) Ada kisah di Amerika seorang penganut Islam yang buta kedua-dua matanya mempunyai seekor anjing penunjuk jalan untuk ke masjid.

8) Terdapat sebilangan ustaz-ustaz dan guru-guru agama yang berpendapat tidak salah orang Islam membela anjing.

Seperkara lagi, benarkah Rasullullah ada bersabda: 

"Tidak akan masuk Malaikat Rahmat ke dalam rumah seseorang Islam itu yang mana di rumah tersebut ada membela anjing."

JAWAPAN

Pada dasarnya, ketetapan najis bagi air liur anjing ini dipandang daripada dimensi yang bersifat ritual, bukan rasional, sehingga tidak harus ada alasan logik. Dimensi akal masih jauh daripada kesempurnaan untuk menganalisis secara teliti tentang najis air liur anjing.

Memang, agama tidaklah diukur dengan akal. Sayidina Ali mengatakan: 

"Andaikan agama diukur dengan akal, maka mengusap sisi bawah muzah (sepatu) lebih utama daripada mengusap sisi atasnya. Dan Rasulullah SAW telah mengusap di atas dua sepatu." (riwayat Abu Dawud).

Ada yang berpendapat apa salahnya memelihara anjing kerana ia juga makhluk ciptaan Allah SWT. Lagi pula, ia sangat taat pada tuannya. Sebab itu agama Islam tidak boleh dikias sesuka hati mengikut perasaan.Apa yang digaris oleh Islam dalam syariatnya ialah lebih kepada menjaga kemaslahatan penganutnya. Bukan sekadar menyuruh Muslim membuat itu dan meninggalkan ini, malahan lebih daripada itu.

Sebagai pembuka perbincangan, suka saya nukilkan beberapa dapatan kajian saintifik yang kebanyakan kita tidak mengetahuinya.

Walaupun sesuatu suruhan dan tegahan yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya pada awalnya diterima oleh sahabat dan para salaf soleh dengan tanpa bantahan, tanpa bertanya hikmah mahupun falsafah di sebaliknya. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan tegahan dan suruhan dapat dibuktikan hikmah dan falsafahnya.Antaranya, kenapa najis kedua ini diwajibkan membasuhnya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah? Sains ada jawapannya.

Sebanyak 79.7 peratus penderita barah payudara ternyata sering berdampingan dengan anjing seperti memeluk, mencium, menggendong, memandikan dan semua aktiviti perawatan anjing. Hanya 4.4 peratus pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan. Di Norway, 53.3 peratus daripada 14,401 pemilik anjing mengidap barah.Ternyata barah pada anjing dan manusia disebabkan oleh virus yang sama iaitu mammary tumor virus (MMTV).Dalam satu kajian oleh para penyelidik Munich Universiti mengenai kuman yang dibawa oleh anjing dan kesannya pada manusia, menunjukkan 80 peratus punca penyakit payudara berpunca daripada kuman yang dibawa oleh anjing.

Dari sudut fiqh, suka saya kemukakan pandangan Imam al-Syafie sebagai pandangan yang terpilih dengan beberapa alasan tanpa memperkecilkan pandangan mazhab lain. Ini kerana rakyat Malaysia berpegang dengan mazhab al-Syafie.

Pendapat Pertama: Anjing adalah najis keseluruhannya, sama ada kecil atau besar adalah najis, berdasarkan adanya perintah mencuci bejana yang dijilatnya sebanyak tujuh kali. Bahkan, menurut pendapat Imam al-Syafie tentang najisnya anjing ini termasuk najis mughallazah (najis berat).Sebab mencuci bejana yang kena najis tersebut sampai tujuh kali dan satu kali di antaranya harus dicampuri dengan debu tanah. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafie dan Hanbali yang amat ketat dalam persoalan anjing. Pendapat ini diikuti umumnya kaum Muslimin di Malaysia dan yang bermazhab al-Syafie.

Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini. 

Dalil Pertama berdasarkan kaedah Qiyas. Menurut mereka anjing dan babi serta yang lahir daripada keduanya adalah najis, termasuk keringatnya. Suruhan Rasulullah SAW untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing.

Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama di mana tanpa lidah dan mulut haiwan tersebut akan mati kerana tidak boleh mendapatkan makanan dan minuman. Jika lidah dan mulut dikategorikan sebagai najis, maka sudah tentu lain-lain anggotanya adalah najis juga. Selain itu, air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar daripada mulut (air liur) adalah najis, maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga.

Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: 

"Yang disebut najis itu adalah setiap cecair yang memabukkan, anjing babi dan apa-apa yang lahir daripada keduanya…" (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini:1/110).

Kata al-Qardhawi, hukum membela anjing sebagai binatang kesayangan (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh Rasulullah. Dalilnya: 

“Daripada Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath.” (riwayat Bukhari dan Muslim dan semua ahli hadis yang lain).

Inilah juga pendapat majoriti mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Zahiri (al-Majmuu', IX/234)

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: 

"Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." (Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940).

Juga daripada Ibnu Umar RA berkata: 

"Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak. (riwayat Muslim no. 1571)"

Antara alasan-alasan fuqaha seperti Ibnu Hajar ialah

1. Ia menakutkan jiran dan orang lalu lalang di luar rumah atau orang yang mengunjunginya.

2. Berkurangnya pahala kepada pemeliharanya.

3. Keengganan Malaikat masuk rumah yang ada anjing.

4. Ada anjing yang menjadi daripada jelmaan jin (anjing hitam pekat).

5. Tabiat anjing yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya. (al-Fath, X/395)

Ada pendapat yang mengatakan ia makruh sahaja kerana tiada larangan yang tegas, demikian kata Ibnu Abdil Barr (at-Tamhid, 14/221).

Imam al-Nawawi berpendapat bahawa selain alasan untuk tiga tujuan membela anjing yang diharuskan melalui sabda baginda, iaitu boleh atau tidak membela anjing selain menjaga ternakan, menjaga tanaman dan memburu. Baginda mengharuskan sekiranya anjing itu dipelihara untuk menjaga keselamatan rumah dan tuan. Ini kerana alasan keharusan yang terdapat dalam hadis menunjukkan keperluan untuk membela anjing dengan adanya keperluan.

Namun, ini tidak bermaksud anjing disimpan dalam rumah kerana Nabi SAW telah menegaskan bahawa Malaikat (rahmat) tidak akan memasuki rumah yang terdapat anjing, sekali gus mengelak sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku kerana anjing. Ini kerana tuan rumah tidak akan dapat memantau setiap gerak geri anjing sepanjang di dalam rumah. Juga dikhuatiri jilatan yang sukar dikesan bila kering. Justeru mengelak itu adalah lebih baik.

Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0309&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz2auyc26LQ © Utusan Melayu (M) Bhd 

 

 

3 FAKTOR PEROSAK MANUSIA

Jumaat, 17 Oktober 2014/ 22 Zulhijjah 1435H

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, ke sejahteraan dan keharmonian.Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka mengganggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang Maha Kuasa. Menghindari lebih baik daripada mencegah. Kali ini kita bermuhasabah untuk menghindari faktor perosak.

Saiyidina Umar r.a berkata: 

“Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

“Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati dan kekaguman pada diri sendiri.”

 

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia di bangunkan, rasa cinta kepada harta, takhta dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan. Pada masa itu pekak telinganya, buta matanya dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pen dengaran dan hatinya.”

 

Ini yang dibimbangkan terhadap sebilangan remaja kita, belajar di universiti, ilmu banyak, ijazah tinggi, jawatan serta gaji lumayan tetapi menjadi ‘pak turut’ kepada hawa nafsu jahat. Kebanyakan mereka ditangkap kerana rasuah, pecah amanah, merogol, seks bebas, buang bayi dan pelbagai kesalahan jenayah.

Tidak dinafikan juga ada jenayah dilakukan mereka yang berpelajaran. Hakikatnya, jika kita ingin menjadi insan yang baik, bukan hanya perlu kepada ilmu dan segulung ijazah tetapi lebih penting ialah bungkusan azimat iman untuk mengekang kemahuan nafsu menggila.Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk me ngendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya.

Ada sesetengah remaja menghambur duit di tempat perjudian, untuk minuman keras dan melayan teman wanita yang luar biasa idaman kebendaannya. Malangnya derma anak yatim tidak dipandang, tabung masjid yang disediakan dibiarkan. 

Kedekut bukan terbatas kepada duit saja tetapi merangkumi kedekut idea, pendapat, kedekut nota kuliah, resipi dan tenaga. Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mendapat sokongan memberangsangkan di kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa saja untuk menikmatinya.

Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosak diri, keluarga dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu di tandingi orang lain. Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan kebolehan orang lain. Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menuding orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelek.

Bersama Mohd Zawawi Jusoh, Harian Metro, Bicara Addin

 

10 PESANAN IMAM SHAFIE YANG PERLU DIIKUT

Jumaat, 10 Oktober 2014/ 15 Zulhijjah 1435H

Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. berikut adalah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara:  

•Hak kepada diri: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. 

•Hak kepada malaikat maut: mengqadakan kewajiban-kewajiban yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH. 

•Hak kepada kubur: membuang tabiat suka menabur fitnah, tabiat kencing merata-rata (tidak menjaga najis atau tidak berthoharah- bersuci), memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu org yang dizalimi. 

•Hak kepada Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati. 

•Hak kepada mizan (neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menahan kesulitan. 

•Hak kepada sirat (titian yang merintangi neraka pada hari kiamat): mmbuang tabiat suka mengumpat, warak (berhati-hati dalam segala perkara terutama yang suybhah da haram dan berusaha untuk mencari yang halal), suka membantu orang beriman dan suka berjamaah. 

•Hak kepada Malik (malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak. 

•Hak kepada Ridhzuan (malaikat penjaga syurga): merasa redha kepada qadha’ ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dari melakukan maksiat. 

•Hak kepada Nabi Muhammad SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada al sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari ALLAH. 

 •Hak kepada ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan

 

KORBAN MANIFESTASI KESYUKURAN KEPADA ALLAH

Jumaat, 3 Oktober 2014/ 8 Zulhijjah 1435H

Ahad ini Aidiladha bakal menyusul, sekali gus meraikan kejayaan umat Islam dalam mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah.Sebagaimana kita sedia maklum, Aidiladha juga berkait dengan pelaksanaan ibadat korban bagi umat Islam sebagai tanda keikhlasan dan lambang pengorbanan terhadap Allah SWT, tuhan yang satu serta wajib disembah. 

Korban berasal daripada perkataan ‘qoruba’ yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatnya. Allah SWT berfirman: 

“Dan bagi tiap-tiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang direzekikan Allah kepada mereka.” (Surah al-Hajj, 34) 

Malah, Rasulullah SAW juga bersabda bahawasanya: 

“Barang siapa mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah) 

Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah selain merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya di mana hukumnya adalah sunat ‘muakkad’ (yang ditekankan untuk melakukannya). Namun, Imam Abu Hanifah menyatakan hukum melaksanakan ibadat korban adalah ‘wajib’ bagi yang berkemampuan melaksanakannya dan yang bernazar. 

Jika melakukan korban sunat, sunat bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dan sebahagian lagi dihadiahkan atau disedekahkan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan fakir miskin. Imam Syafie dalam pendapat awalnya (qawl jaded) menyatakan, sebaik-baiknya satu pertiga dimakan dan yang lainnya dihadiahkan kepada sahabat, jiran tetangganya dan fakir miskin. 

Namun, pendapat paling sahih dan jelas ialah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban, walaupun sedikit, kepada orang Islam yang fakir walaupun hanya seorang. Lebih afdal, disedekahkan semuanya kecuali memakan beberapa suap untuk mengambil berkat. 

Begitupun, mengikut pendapat jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali, korban sunat, harus dimakan sebahagiannya, tetapi jika ia korban wajib (nazar) haramlah dimakan dagingnya oleh yang berkorban. 

Berdasarkan hadis Riwayat Al-Hakim, seseorang yang ingin melakukan korban itu disunatkan menyembelih sendiri binatang korban itu namun jika tidak mampu melakukannya, hendaklah mereka menyaksikan sendiri ketika ia (binatang korban) disembelih sebagaimana perintah Rasulullah SAW yang menyuruh Fatimah melihat binatang korbannya ketika disembelih. Sabda baginda bermaksud: 

“Pergilah engkau melihat binatang korbanmu, sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. 

Lalu Fatimah bertanya: 

“Ini untuk kita Ahlul Bait saja atau juga untuk semua orang Islam? Kemudian Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan untuk kita dan semua orang Islam.” 

Justeru, ibadat korban sangat dituntut kerana manfaatnya kepada orang yang melaksanakan ibadat korban itu sendiri berkorban.Selain keampunan dosa, ibadat korban membuka ruang dan peluang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. 

Oleh itu, dalam meraikan Aidiladha atau Hari Raya Korban, hendaklah kita sentiasa memperingatkan diri dan meningkat amalan, semoga sama-sama mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT. 

Sudut Pedoman, Variasi, Harian Metro

 

MATINYA ABU JAHAL DALAM PERANG BADAR

Jumaat, 19 hb September 2014/ 24 Zulqaidah 1435H

Akhirnya kepala Abu Jahal berjaya dipenggal oleh Abdullah bin Mas'ud dalam Perang Badar, sekali gus membawakan kemenangan kepada tentera Islam apabila ketua tentera kafir Quraisy berjaya dibunuh.Namun Abu Jahal atau nama sebenarnya Amr bin Hisham atau dikenali juga sebagai Abu Al Hakam akan sentiasa menjadi satu figura yang melambangkan kejahatan seorang manusia tidak sahaja dalam soal agama malah terutama sekali soal akhlak. Terkenal dengan sikap sombong dan bongkak, Abu Jahal suatu gelaran yang diberikan kerana jahil dalam agama (Bapa kepada segala kejahilan).Namun kejahilan Abu Jahal di sini bukan bermakna beliau seorang yang bodoh, dungu atau buta mengenai Islam. Dia tahu bahawa agama itu agama yang benar.

Tinggal lagi hanya kerana tidak mahu kehilangan kedudukan, pangkat, nama dan pengaruh apabila mendapati Nabi Muhammad yang diutus untuk membawa dan menyebarkan Islam itu, yang jauh lebih muda daripada Abu Jahal, dikatakan cuba merampas semua itu daripadanya. Kerana itu juga beliau dikenali sebagai Abu Al Hakam, bermaksud seorang yang bijaksana dan mengetahui segala serba serbi yang memberikan beliau satu kedudukan yang cukup lumayan, tinggi dan hebat oleh masyarakat Arab Quraisy. 

Tetapi bila hadirnya Nabi Muhammad, mengapa tidak dia sahaja dipilih sebagai Rasul yang dikatakan lebih mulia, lebih bangsawan dan mempunyai kedudukan. mengapa Muhammad? Mengapa tidak Abu Jahal?

Lalu perasaan hasad seperti itu menyebabkan Abu Jahal cukup dengki terhadap baginda Rasulullah.Maka tidak henti-henti dia menyakiti baginda, malah seluruh para pengikut baginda dan pantang sekali sesiapa yang menyebut mengenai Islam di hadapannya.

(Begitu pun dikatakan Nabi Muhammad sendiri tidak pernah berputus asa untuk menyeru dakwah kepada Abu Jahal. malah dikatakan baginda pernah menjadi tetamu Abu Jahal sebanyak 70 kali semata-mata tujuan dakwah dan berbaik sesama manusia).Namun Abu Jahal walaupun pernah ditakutkan dengan kehadiran unta sebesar raksasa ketika hendak membunuh Rasulullah, tidak pernah mengenal erti serik untuk terus menyakiti Nabi Muhammad dan umat Islam di Mekah.

Bahkan apabila Nabi Muhammad terpaksa meninggalkan Kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, Abu Jahal adalah manusia yang paling gembira sekali.Seolah-olah dia telah mencapai kemenangan besar kerana berjaya mengusir musuh ketatnya keluar dari Mekah.

Sehingga kini nama Abu Jahal tetap relevan untuk diguna pakai.

Sedangkan Abu Jahal itu seorang yang kafir dan masyarakat Melayu yang sudah tentunya beragama Islam tetapi pada hari ini jika berperangai tidak ubahnya seperti Abu Jahal pasti akan dilemparkan kata-kata: "Jahat atau degil macam Abu Jahal!" 

Jahatnya Abu Jahal itu telah menyebabkan Allah menunjukkan kekuasan-Nya di hadapan Abu Jahal itu sendiri agar dia sedar. Namun tetap jugalah dia degil pada tahap yang melampau-lampau.

Ini apabila kita mengambil iktibar daripada kisah hamba sahaya milik Abu Jahal sendiri, iaitu seorang hamba perempuan yang bernama Zunairah yang memeluk Islam. Dia cuba menyembunyikan pengislamannya itu daripada pengetahuan majikannya. Ini kerana jika diketahui Abu Jahal, pasti maut yang akan menunggu. 

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

 Sudut Agama, Utusan Malaysia 2/2/2011

 

 

ADAB MEMBERI TEGURAN

Jumaat, 12 hb September 2014/ 17 Zulqaidah 1435H

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah perkara yang lumrah bagi manusia.

Justeru, apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka, kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga wujud cabar-mencabar. 

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud: 

”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Pun begitu, sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran. Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. 

Kita tidak harus melatah, apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah SWT.Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita. Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan: 

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Oleh Wan Jemizan W. Deraman,

Sudut Agama, Utusan Malaysia 16/5/2012

 

 

AKHLAK MULIA ASAS MASYARAKAT UNGGUL

Jumaat, 5 hb September 2014/ 10 Zulqaidah 1435H

Kejayaan Rasulullah didik sahabat patut diteladani

Dalam menghadapi arus kemajuan, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan pelbagai masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia.

Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah, dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman, bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan. 

 "‘Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain akhlak yang baik" Riwayat Abu Daud dan Tirmizi

Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai Allah SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: 

“Hanya bangsa itu kekal berakhlak. Bila akhlaknya lenyap, maka lenyap pula bangsa itu”. 

Kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.


Bina masyarakat selepas hijrah

Asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mula membina masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah ialah membentuk akhlak yang mulia.Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Turmuzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

‘Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik’. 

Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah dengan mudah meskipun ada cabarannya kerana akhlak yang Baginda tonjolkan menjadi pengajaran yang paling berkesan. Sejarah membuktikan bahawa keperibadian yang mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan para sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran. Tanpa sebarang kepentingan dunia, Baginda memimpin dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada buntu Baginda sama syurakan. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri. Ia juga adalah kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta ia juga faktor pembinaan sesebuah tamadun, bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

“Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” 

 

Pendidikan qudwah hasanah

Salah satu cara yang terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah dengan cara pendidikan qudwah hasanah atau contoh teladan yang baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai contoh antara satu sama lain. 

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar.

Di antara akhlak mulia yang ditunjukkan Rasulullah kepada sahabat ialah bersifat benar dan amanah dalam perkataan dan perbuatan. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati.Tidak ada sekelumit dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain, tetapi juga kemurkaan Allah SWT yang dijadikan ikutan, malahan itulah sempadan yang dijauhi sahabat dalam meningkatkan keperibadian selari dengan perintah agama.Selain dari itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara yang paling mudah, tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. 

Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah sehingga dikagumi oleh sahabat dan musuh yang bersama Baginda ketika hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini betapa kesabaran Rasulullah sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk tentulah sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi, daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam-padam. 

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penulis ialah Penyelaras Unit Penerbitan, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

Berita Harian, Sudut Agama, 1/4/2013

 

 AKHLAK TERPUJI LUQMAN AL-HAKIM

22 hb Ogos 2014/ 25 Syawwal 1435H

AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi hikmah). Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura.

Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah sebagai nasihat selalu keluar dari bibirnya.

Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran) sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.

Seseorang pernah bertanya kepadanya, 

"Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" 

Luqman menjawab, "Benar". 

Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?" 

Beliau menjawab, "Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku".

Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir tebal. 

Pada waktu itu, Luqman mengatakan: 

"Sekalipun bibirku ini tebal, tetapi apa yang keluar dari mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih bagaikan kaca bersih".

Isteri majikan Luqman pernah marah kepada suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya (maksudnya isterinya). 

Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya. Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman. Isterinya berkata, 

"Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku". Suaminya marah lalu memanggil Luqman. 

Luqman menjawab, "Hamba telah memberikan juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan".

Luqman menambah, "Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan Tuan kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi dipukul".

Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia. 

Ketakwaan dan kemuliaan akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran. Ketakwaannya kepada Allah SWT ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar (Surah Luqman: ayat 13). 

Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (Surah Luqman: ayat 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara adalah suara keldai (Surah Luqman: ayat 19).

Sudut Agama, Utusan Malaysia 3/5/2011

 

 

Majlis rumah terbuka Syawal bukan untuk bermegah

Jumaat 8/8/2014 bersamaan 1 Syawwal 1435H

Syawal dan bulan seterusnya menjadi medan dan landasan terbaik untuk kita menguji sejauh mana madrasah Ramadan benar-benar menjadikan kita insan yang bertakwa. Jika mengikut Indeks Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard takwa ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran? Jika kita berjaya berpuasa sebulan,khatam al-Quran, banyak solat malam, berzikir, bersedekah dan sebagainya pada Ramadan, maka amalan berkenaan hendaklah diteruskan dan ditingkatkan di luar Ramadan. 

Pesan ulama, jadilah kamu 'rabbaniyin' dan janganlah jadi 'ramadhaniyin' iaitu jadilah hamba Allah dan janganlah menjadi hamba Ramadan. Oleh itu, amat rugi jika kita hanya hebat beribadah pada Ramadan tetapi ambil mudah atau sambil lewa saja ketika di luar Ramadan. Madrasah Ramadan sepatutnya menjadikan kita lebih komited, tekun dan bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah dan berbakti serta melaksanakan segala tuntutan agama. 

Latihan berpuasa selama sebulan sepatutnya diteruskan lagi dengan amalan sunat puasa enam Syawal di mana dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda:

"Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim).

Di samping puasa enam pada Syawal, kita juga disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis serta hari sunat lain kerana puasa bukanlah sekadar amalan ritual saja, malahan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan manusia. 

Amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi saudara-mara, sahabat, jiran tetangga menjadi kelaziman kepada masyarakat Islam di negara kita sememangnya sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan lagi silaturahim. Rasulullah bersabda, bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam." (Riwayat Muslim) 

Suasana berhari raya juga menjadi bertambah meriah dengan majlis rumah terbuka yang kini menjadi trend positif dalam masyarakat kita dan perlu digalakkan lagi. Majlis berkenaan kebiasaannya dianjurkan individu, badan korporat, parti politik dan sebagainya mewujudkan suatu kelainan serta keunikan sambutan hari raya. Konsep rumah terbuka seperti dianjurkan membuka landskap baru kepada sambutan Aidilfitri yang mungkin agak janggal suatu ketika dulu dalam masyarakat Melayu. 

Namun, dalam keghairahan menganjur dan menghadiri majlis rumah terbuka sepanjang sebulan Syawal ini, maka perlu diberi penekanan kepada beberapa perkara asas iaitu meliputi aspek menjaga batasan pergaulan dan aurat; menghindari hiburan melalaikan; tidak boros dan berlebih-lebihan ketika berbelanja; di samping bersyukur dengan rezeki yang ada; serta tidak melupai saudara, jiran atau sahabat yang berada di dalam kesusahan. 

Dalam pada itu juga, apa yang paling penting ialah niat mengadakan majlis sedemikian adalah untuk berkongsi rezeki dan meraikan sahabat-handai, saudara-mara, jiran tetangga, pekerja dan sebagainya. Oleh demikian, penganjuran majlis berkenaan bukanlah bertujuan bermegah-megah sehinggakan ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis sosial itu. 

Sudut Agama, Berita Harian 28/9/2009

Sila klik sini untuk mendapatkan versi softcopy.(Masih di dalam Pembinaan. Harap maaf)

 

 

 

 

 

Cetak

ARKIB 2014

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

Program 2013

 

Kem Pembangunan Sahsiah Diri Pelajar Pra Diploma

Taqwim aktiviti Pusat Islam dimulakan dengan Kem Pembangunan Sahsiah Diri Pelajar Pra Diploma yang diadakan selama 2 hari iaitu dari 18 sehingga 19 hb Januari 2013 bertempat di Telok Gorek Beach Resort, Mersing. Program ini disertai 100 pelajar pra Diploma UTHM bertujuan untuk membentuk sahsiah pelajar melalui kerja secara berkumpulan dan modul kerohanian yang menjana kemahiran insaniah pelajar.

Kuliah Agama: Ibadah sebagai Kerjaya

Kuliah ini telah diadakan di Dewan Jamuan 5 UTHM pada 18 Januari 2013 dan disertai oleh 40 orang warga kerja UTHM. Penceramah iaitu Ust. Mohd. Sabri b. Omar telah dijemput untuk memberikan ceramah yang bertajuk Kerjaya sebagai Ibadah, yang mana beliau mengingatkan bahawa kerja yang dilakukan selain mencari rezeki yang halal, ianya boleh mendapatkan redha Allah dengan berniat untuk beribadah dan ikhlas keranaNya.

Program Mahabbah Rasulullah SAW

Program Mahabbah Rasulullah SAW telah diadakan pada 24 Januari 2012 di Masjid UTHM. Program ini merupakan sambutan kecil bagi Maulid Rasulullah SAW sebelum diadakan Majlis Sambutan Maulidurrasul SAW Peringkat Universiti. Pada sebelah paginya diadakan majlis gotong royong dan rewang yang dilakukan oleh staf Pusat Islam dan ahli keluarga masing-masing untuk menyediakan jamuan bagi sebelah malamnya. Manakala pada sebelah malam, diadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat serta pembacaan Qasidah. Selepas Solat Isyak pula, diadakan majlis pembacaan Kitab Syamailil Muhammadiyyah (Kesempurnaan Rasulullah SAW) oleh Ust. Kamal Izhar b. Kamarulzaman al-hafiz dan Ustaz Mohammad Shahrir b. Hj. Abdul Muttalib al-hafiz.

Kem Pembangunan Sahsiah Diri Pelajar Pra Diploma

Sekali lagi  Kem Pembangunan Sahsiah Diri Pelajar Pra Diploma telah diadakan dari 1 sehingga 3 hb Februari 2013 bertempat di Telok Gorek Beach Resort, Mersing. Program ini disertai 100 pelajar pra Diploma UTHM bertujuan untuk membentuk sahsiah pelajar melalui kerja secara berkumpulan dan modul kerohanian yang menjana kemahiran insaniah pelajar.

Kursus Pengurusan Zakat Siri 1

Pusat Islam UTHM melalui Unit Zakat telah mengadakan Kursus Pengurusan Zakat pada 5 dan 6 Februari 2012 bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM. Kursus ini disertai oleh 40 orang kakitangan sokongan dan dikelolakan oleh tenaga pengajar dari Bahagian Zakat dan Baitulmal iaitu Ust. Mohd. Said b. Rasid. Kursus ini bertujuan untuk memberikan kaedah pengiraan zakat yang tepat, penerangan mengenai pembahagian zakat kepada asnaf memerlukan dan menyuntik kesedaran dan semangat untuk menunaikan ibadah berzakat.

Kursus Pendedahan Pengajaran Kaedah Iqra’: Cara Cepat

Unit Pembangunan Modal Insan Pusat Islam dengan kerjasama Darul Fikir Publisher telah mengadakan Kursus Pendedahan Pengajaran Kaedah Iqra’ secara mudah dan cepat bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM pada 19 Februari lepas. Seramai 60 orang warga kerja UTHM menyertai kursus yang menarik ini. Kursus ini diadakan dengan tujuan untuk memberikan kefahaman dan teknik-teknik mudah mengaji mengikuti kaedah Iqra’. @ orang pemudah cara telah dijemput untuk mengendalikan kursus ini iaitu Ustaz Mohd. Mukri b. hj. Abdullah yang merupakan orang yang bertanggung jawab yang memperkenalkan kaedah Iqra’ ke Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Ust. Dr. Mohd. Furqon b. Mohamad Jamil Rifani iaitu utusan khas dari Pusat Iqra Jogjakarta ke Malaysia. Beliau juga merupakan anak murid kepada Almarhum Ust. As’ad Hummam pengasas kaedah Iqra’.

 

 

 

Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Universiti

Pusat Islam UTHM telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti bertempat di Padang Kawad dan Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada 1 Mac 2013 yang lepas. Bertemakan ’Wasatiyyah Tunggak Perpaduan Ummah’, majlis ini dimulakan dengan perarakan dari Padang Kawad UTHM, menyusuri Jalan Batu Pahat – Kluang dan berakhir di Dewan Tunku Ibrahim Ismail dengan disertai sebanyak 29 kumpulan perarakan menyertai terdiri daripada 6 jemputan luar dan23 kumpulan dari warga UTHM. Anggaran peserta ialah lingkungan 600-700 peserta. Manakala persembahan di dalam DTII pula ialah bacaan al-Quran (pelajar tempatan dan antarabangsa),persembahan nasyid dari pelajar diploma dan bacaan berzanji dan qasidah ’ Ya Hanana’ oleh  staf dan pelajar UTHM.

Kemuncak majlis yang mulia ini ialah ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Sidek bin BabaProfesor Pendidikan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Diakhir majlis pula, diadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi pertandingan Perarakan Maulidur Rasul yang dimenangi Pejabat Naib Canselor, Pej. PNC (HIM), Pej. TNC (P&I).Pej.TNC (A&A), Unit Audit Dalaman, UCiTV, ORRIC bagi peringkat dalaman. Manakala Naib Johan disandang oleh Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan dan pemenang tempat Ketiga dirangkul oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan. Manakala bagi kategori jemputan luar pula dimemangi oleh UTHM Holdings, manakala Naib Johan :Pusat Pengajian Diploma dan tempat ketiga pula dimemangi oleh Sek.Men.Keb.Temenggong Ibrahim.

Hadiah disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM.

Kursus Pra Perkahwinan Islam

Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Pejabat Agama Batu Pahat telah mengadakan Kursus Pra Perkahwinan Islam pada 14 dan 15 Mac 2013 bertempat di Dewan Kuliah Blok G3. Seramai 400 orang peserta yang terdiri dari warga siswa dan siswi UTHM telah menyertai kursus selama 2 hari yang bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang tersebut.

Majlis Syarahan Akademik

Buat julung kalinya, Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan mengadakan Majlis Syarahan Akademik bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM pada 22 Mac 2013. Penceramah jemputan untuk majlis ini ialah Syeikh As-Syarif Al-Imam Yusuf Muhyiddin Riq Al-Bakhur Al-Hasani, Mantan Mufti Kanada merangkap Pengarah Yayasan Islam Kanada.

 

Seminar Harta Pusaka

Kepentingan untuk mengagihkan harta pusaka secara adil dan mengikut syara’ telah mendorong Pusat Islam UTHM dengan  kerjasama konsultan luar iaitu Wassiyah Shoppe Sdn. Bhd. Untuk menganjurkan Seminar Harta Pusaka: Realiti Kehidupan bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM, 11 hb April 2013 yang lalu. Seramai 110 orang warga kerja UTHM telah menyertai seminar sehari ini. Para peserta didedahkan dengan isu-isu berkaitan dengan Harta Pusaka oleh En. Adzreen b. Sabirin, Ketua Pegawai eksekutif Wassiyyah Shoppe dab En. Herman Hidayat b. Md. Johari, Ketua Perunding Eksekutif Wassiyah Shoppe merangkap Presiden Rakan Mawarith.

 

 

Kem Motivasi Pelajar PINTAR 1 (KEM KETARA SEDAR JATI DIRI)

Seramai 53 pelajar Kolej Vokasional Kluang telah berkampung selama 3 hari iaitu dari 10 hb Mei sehingga 12 hb Mei 2013 bertempat di Masjid UTHM bagi menyertai program Kem Ketara Sedar Jati Diri yang dianjurkan oleh pihak Kolej dengan pihak Pusat Islam. Selama 3 hari, para pelajar telah didedahkan dengan LDK, ceramah agama dan juga pelbagai aktiviti luar yang menimbulkan keinsafan dan memberi pengajaran kepada mereka.

Lawatan Kerja Unit Masjid Universiti Malaysia Sabah

Pada 29, 30 dan 31 Jun 2013, Pusat Islam UTHM telah menerima lawatan seramai 18 orang pegawai dan kakitangan Unit Hal Ehwal Islam dan Masjid yang diketuai oleh Dr. Muhammad Suhaimi b. Taat, pengarah  unit tersebut dan juga Bendahari Universiti Malaysia Sabah; Tuan Haji Rizal b. Othman. Lawatan ini adalah sebahagian dari lawatan kerja ke Pusat Islam IPTA yang berada di selatan tanah air, dengan tujuan untuk bertukar pendapat dan pengalaman bagaimana untuk mengurus tadbir sebuah Pusat Islam IPTA secara efisyen dan terbaik. Selain Pusat Islam UTHM, delegasi tersebut telah melawat ke Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) dan Pusat Islam UTM.

Kursus Praktikal Haji

Pusat Islam dengan kerjasama pihak Tabung Haji daerah Batu Pahat telah mengadakan Kursus Praktikal Haji bagi bakal haji dan hajjah bertempat di Sekolah Menengah Sri Gading dan sekitar kawasan UTHM dari 1hb Jun sehingga 2 hb Jun 2013. Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan praktikal ibadah haji dan umrah secara intensif, selain dari ceramah-ceramah yang disampaikan oleh guru-guru haji yang diadakan di Masjid UTHM. Selain dari staf Pusat Islam dan Tabung Haji, anggota SISPA juga membantu di dalam menjayakan kursus tersebut. Kursus telah dirasmikan oleh Professor Ir. Dr. Amir Hashim bin Mohd KassimTimbalan Naib Canselor  (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Majlis Sambutan Isra’ dan Mikraj

Pada 6 hb Jun 2013 bersamaan dengan 27 Rejab, telah diadakan satu majlis sambutan Isra’ dan Mikraj bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi. Penceramah jemputan untuk kali ini ialah Ustaz Kasbullah b. Kusni, iaitu seorang Pegawai Dakwah dari Pejabat Agama Daerah Batu Pahat telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Isra’ Mikraj; Perjalanan menuju Ke Rabb.

Kem Motivasi Pelajar PINTAR 2 (KEM KETARA SEDAR JATI DIRI)

Pada 14 hingga 16 Jun 2013, program motivasi PINTAR bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Bugisiah, Tampok Pontian telah diadakan bertempat di Dewan Al-Farabi, Pusat Islam UTHM. Seramai 95 pelajar lelaki dan perempuan menyertai program ini yang diadakan dengan aktiviti-aktiviti seperti  LDK, Eksplorace di sekitar kampus UTHM dan slot Oh Ibu. Program Perasmian Penutup yang diadakan pada 16 hb Jun dirasmikan oleh Ust. Hamdan b. Abd. Razak, selaku wakil kepada pengetua Sekolah Menengah Agama Bugisiah.

KARNIVAL PRODUK HALAL

Satu program yang memberikan info mengenai produk halal dan isu halal dan haram dalam pemakanan telah diadakan di Dewan Seminar Al- Farabi, Masjid UTHM dari 26 Jun sehingga 28 Jun 2013. Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Islam dengan Persatuan Kebajikan Staf Akademik (PERKASA UTHM). Antara aktiviti yang dijalankan ialah pameran produk barangan halal dari syarikat Bumiputera dan Industri Kecil dan Sederhana Muslim seperti Beras Al-Faiza, HPA dan sebagainya. Program dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Ir. Dr. Amir Hashim b. Mohd. Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

IHYA RAMADHAN

Program tahunan Pusat Islam iaitu Ihya’ Ramadhan dimulakan dengan program Marhaban Ya Ramadhan anjuran bersama Pusat Islam UTHM dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan yang diadakan di Dewan Seminar Al-Farabi, Masjid UTHM pada 5 Julai 2013. Penceramah jemputan untuk kali ini ialah Ust. Hj. Muzaini b. Rashid, Mantan Timbalan Mufti Negeri Melaka. Beliau mengupas perihal persediaan menghadapi bulan Ramadhan dan juga telah memberikan tips-tips amalan antaranya pengamalan ayat 20 Surah Al-Baqarah untuk amalan seharian.

Ramadhan 1434 H yang bermula dari 10 Julai 2013 diisi dengan pelbagai program yang pastinya mendapat sambutan dari warga kampus dan masyarakat sekitar antaranya majlis berbuka puasa yang secara puratanya mencatat seramai 400 jemputan antaranya dari pelajar antarabangsa dan pelajar semester pendek yang ada di kampus UTHM. Selain dari itu, banyak jabatan dan kelab-kelab pelajar yang mengadakan Majlis berbuka Puasa di Masjid UTHM antaranya briged RELASIS, Fakulti Sains dan Kejuruteraan Teknologi Maklumat, Pejabat Naib Canselor dan lain-lain. Selain dari jabatan dan kelab-kelab pelajar, Sekolah Rendah Islam dan Tahfiz Parit Raja dan Sekolah Menengah Tun Ismail juga mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Masjid UTHM.

Iftar Perdana UTHM telah diadakan di Masjid UTHM pada 29 hb Julai 2013 bertempat di Masjid UTHM dan ianyanya merupakan program kerjasama Pusat Islam UTHM dan Kelab Staf UTHM (KSKUiTTHO). Prof. Madya Dr. Ajmain b. Safar dari UTM telah dijemput untuk memberikan tazkirah sebelum berbuka puasa.

Majlis Khatam Al-Quran pula diadakan pada 16 Ogos 2013 bertempat di Dewan Solat Masjid UTHM selepas solat Zuhur, manakala Ceramah Nuzul Al-Quran diadakan pada sebelah pagi dengan menjemput Al-Fadhil Kiyai Suhaili bin Solihin sebagai penceramah. Uniknya untuk kali ini, sebelum memulakan ceramah, beliau telah memimpin majlis Ratib dan Zikir Tariqat Naqsyabandiyyah selama setengah jam. Di dalam ceramahnya beliau menyebutkan kelebihan malam Nuzul Al-Quran dan Lailatul Qadar serta keutamaan untuk merebut kelebihan malam keramat tersebut.

Program Bubur Lambok diadakan seperti biasa iaitu setiap Rabu manakala Pusat Islam UTHM juga terlibat menyediakan bubur lambok bagi diedarkan bagi pesakit di Hospital Enche Besar Hajah Kalthom, Kluang pada 1 dan 2 hb Ogos 2013.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI.

Seperti yang diketahui, Hari Raja Aidil fitri bagi tahun 2013 bersamaan dengan 1434 Hijriyyah jatuh pada 8 hb Ogos 2013. Pusat Islam UTHM mengambil inisiatif menadakan sedikit jamuan selepas solat sunat hari raya bagi menjamu jemaah yang terdiri dari warga UTHM dan masyarakat setempat.

MAJLIS BACAAAN YASIN DAN TAHLIL SEMPENA 20 TAHUN PENUBUHAN UTHM 1 DAN 2

Pada 4 September 2013, Pusat Islam UTHM telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena 20 Tahun Penubuhan UTHM bertempat di ruang solat Masjid UTHM.  Majlis disertai oleh pelajar-pelajar baru Ijazah Pengambilan 2013-2014. Majlis diserikan dengan kehadiran Penasihat Agama Negeri Johor iaitu Sahibus Samahah Dato’ Mohd. Noh b. Gadut yang mengetuai bacaan Yasin dan Tahlil serta beliau memberikan sedikit tazkirah motivasi bagi pelajar-pelajar baru. Majlis dihadiri oleh Y. Bhg Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM dan juga Pegawai-pegawai Kanan Universiti.

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Sempena 20 Tahun UTHM diadakan buat kali yang kedua bertempat di Masjid UTHM pada 18 hb September 2013. Majlis yang diadakan sebelum solat Zuhur ini dihadiri oleh Ybhg Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM, Pegawai-pegawai Kanan Universiti dan juga warga kerja UTHM. Sedikit tazkirah disampaikan oleh Ketua Pusat Islam, YBhg Ust. Hj. Baharudin b. Yaman@ Abdul Ghani.

KULIAH TAFAQQUH FID DIN

Pada 13 September 2013, Pusat Islam UTHM telah mengadakan Kuliah Tafaqquh Fiddin bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi. Majlis dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil kemudian diikuti oleh Bacaan Qasidah Burdah. Kuliah dimulakan oleh penceramah iaitu Prof. Madya dr. Husin b. Junoh dari Jabatan Pendidikan Ikhtisas, Fakulti Pendidikan Teknologi dan Vokasional, dengan tajuk 10 HAK DIRI INDIVIDU MUSLIM MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.  Antara isi ceramahnya menyentuh pesanan Imam Syafie kepada anak muridnya agar menjaga 10 perkara yang menjadi hak antaranya Hak kepada Allah, Rasulullah, Hak kepada Malaikatul Maut dan lain-lain.

MAJLIS MERAIKAN BAKAL HAJI DAN HAJJAH UTHM

Pusat Islam UTHM telah mengadakan Majlis bagi meraikan bakal haji dan hajjah dari kalangan warga kerja UTHM pada 18 September 2013 bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi. Seramai 6 orang bakal haji dan hajjah telah diraikan dalam majlis tersebut dan cenderahati telah disampaikan oleh Y. Bhg Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM.

KEM PEMBANGUNAN SAHSIAH@ PINTAR 2013

Pusat Islam UTHM dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sembrong telah mengadakan Kem Motivasi Pemantapan Insaniah bertempat di  Dewan Seminar Al-Farabi, Masjid UTHM. Kem ini disertai oleh 40 orang pelajar dan dikendalikan oleh para pelajar Rakan Masjid dan staf Pusat Islam UTHM. Tujuan bengkel ini diadakan ialah untuk memberikan kesedaran mengenai kepentingan hidup beragama.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI.

Hari Raja Aidil Adha bagi tahun 2013 bersamaan dengan 1434 Hijriyyah jatuh pada 15 Oktober 2013. Pusat Islam UTHM mengambil inisiatif mengadakan sedikit jamuan selepas solat sunat hari raya bagi menjamu jemaah yang terdiri dari warga UTHM dan masyarakat setempat.

PROGRAM IBADAH QURBAN DAN AQIQAH PERINGKAT UNIVERSITI

Pada pagi 16 Oktober 2013, Pusat Islam UTHM menganjurkan Program Ibadah Qurban dan Aqiqah peringkat Universiti bertempat di kawasan lapang dan parkir Rumah Staf Masjid UTHM. Tarikh tersebut dipilih kerana ianya masih didalam Hari Tasyrik dan memudahkan warga universiti untuk turun membantu. Sebanyak 11 ekor lembu  bagi ibadah qurban dan seekor kambing  bagi ibadah aqiqah. Majlis dijayakan oleh warga UTHM yang bersama-sama bergotong royong bagi membantu menjayakan program tersebut. Daging-daging yang sudah diproses telah diberikan kepada mereka yang memerlukan terutama sekali kepada orang-orang miskin dan fakir yang berada di Kampung Parit Salleh Ros.

KEM KEMBARA SISWA (KEMSIS) 2013

Rakan Masjid UTHM telah bekerjasama dengan Pusat Islam UTHM di dalam menjayakan Kem Kembara Siswa (KEMSIS) 2013 yang diadakan dari 18 hb Oktober sehingga 20 hb Oktober 2013 bertempat di Kem Dayang, Pontian, Johor. Seramai 40 peserta dari kalangan pelajar UTHM telah menyertai kem tersebut. Antara aktiviti kem ialah Dinamika Kumpulan, Jalan Malam, Kembara Hutan dan lain-lain.

KURSUS PENGURUSAN ZAKAT DAN WAQAF SIRI 2

Pusat Islam UTHM melalui Unit Zakat telah mengadakan Kursus Pengurusan Zakat Siri 2 pada 29 dan 30 Oktober 2012 bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid UTHM. Kursus ini disertai oleh 40 orang kakitangan sokongan dan dikelolakan oleh tenaga pengajar dari Bahagian Zakat dan Baitulmal iaitu Ust. Shaari b. Yatim. Kursus kali ini merupakan kursus lanjutan yang bagi Kursus Pengurusan Zakat dan Wakaf yang telah diadakan pada awal tahun 2013. Kursus ini bertujuan untuk memberikan kaedah pengiraan zakat yang tepat, penerangan mengenai pembahagian zakat kepada asnaf memerlukan dan menyuntik kesedaran dan semangat untuk menunaikan ibadah berzakat.

 

 

MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA ULANG TAHUN KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA TUANKU CANSELOR

Bagi meraikan ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Canselor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, sepertimana masjid-masjid yang ada di dalam negeri Johor Darul Ta’zim, Pusat Islam UTHM telah mengadakan majlis bacaan Yasin, Tahlil dan doa selamat di Masjid UTHM pada 21 November 2013. Majlis yang diadakan selepas solat Asar menghimpunkan warga universiti yang terdiri staf dan pelajar.

KEM TAHFIZ DAN TADABBUR AL-QURAN

Satu kem motivasi bagi pelajar tahfiz Pusat Tahfiz Al-Azim, Taman Bukit Perdana, Batu Pahat telah diadakan di Masjid UTHM dari 6 hb Disember sehingga 9 hb Disember 2013. Program ini merupakan program kerjasama Pusat Islam, Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PNC HUM) serta pihak pengurusan Pusat Tahfiz Al-Azim. Seramai 70 orang pelajar tahfiz menyertai kem ini dalam rangka mengisi masa lapang cuti sekolah selain dari meningkatkan sahsiah dan peribadi unggul peserta. Kem ini dikendalikan oleh pelajar dari Kelab Rakan Masjid dengan dibantu oleh staf Pusat Islam. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Ceramah Motivasi, amalan-amalan sunat seperti Ma’thurat, Solat Dhuha, Qiamullail dan lain-lain.

PROGRAM ‘MARI BERJEMAAH KE MASJID UTHM’

Rakan Masjid UTHM dengan kerjasama pihak Pusat Islam UTHM telah mengadakan program ‘Mari Berjemaah ke Masjid UTHM selama sebulan iaitu dari 4 hb Disember sehingga 26 hb Disember 2013. Program bertujuan untuk merapatkan warga siswa dan siswi dengan Masjid UTHM, memperkasa mahasiswa/ siswi yang beriman dan berintegriti tinggi selain mengimarahkan masjid UTHM dengan program-program yang berbentuk keislaman seperti Qiamullail, Majlis Berbuka Puasa bagi yang berpuasa sunat Isnin dan Khamis, serta tazkirah. Selain dari itu, terdapat juga pertandingan ping pong, seminar kesihatan dan pertandingan “Jom Imarah Masjid” yang dijalankan oleh 5 kumpulan pelajar

Program dirasmikan oleh Ustazah Zurina bte Muhammad@Shamsuddin selaku wakil dari Ketua Pusat Islam pada 4 hb Disember 2013. Sebelum perasmian, satu forum yang bertajuk “Dunia Dikejar, Akhirat Dikecapi” yang disampaikan oleh Ust. Mohammad Shahrir b. Hj. Abd. Muttalib, Imam Masjid UTHM dan Saudara Saufi Wakil Pelajar.

Sepanjang tempoh tersebut, ramai pelajar yang sama-sama mengimarahkan masjid UTHM seawal jam 6 petang dengan persiapan berbuka puasa, solat berjamaah, study group di ruangan bacaan dan ruangan Masjid UTHM serta qiamullail dari jam 4.30 pagi.

PROGRAM ‘KELUARGA SAKINAH’

Bagi memantapkan institusi kekeluargaan selaras dengan acuan Islamiyyah, selain dari mengeratkan hubungan kekeluargaan,  Pusat Islam UTHM telah menganjurkan program ‘Keluarga Sakinah’ pada 19 hb Disember 2013 bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi, Masjid UTHM. Program disertai kira-kira 30 orang warga kerja UTHM. Ceramah kekeluargaan disampaikan oleh Encik Juri b. Azwan dari Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPK Darul Ta’zim) cawangan Batu Pahat.

MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA SEMPENA BULAN PEPERIKSAAN AKHIR 2013

Bertepatan dengan peperiksaan akhir semester, Pusat Islam UTHM telah mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana untuk para siswa dan siswi muslim yang bakal menghadapi peperiksaan tersebut pada 28 Disember 2013 di Masjid UTHM. Program bertujuan untuk memberi ruang kepada warga siswa dan siswi bermunajat ke hadrat Illahi setelah berhempas pulas berusaha membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan disamping mentarbiyyah jiwa agar menjadi ikhlas dan tenang menghadapi peperiksaan. Program bermula selepas solat Maghrib dengan solat hajat berjamaah serta bacaan Yasin dan tahlil serta Ceramah Munajat Perdana yang disampaikan oleh Ust. Abu Hanifa b Abu Mukhtar dari Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Sambutan yang diberikan oleh para pelajar amat diluar jangkaan iaitu kehadiran seramai 800 orang pelajar ke majlis ini, sedangkan jangkaan hanyalah 300 orang pelajar.

MAJLIS DOA SELAMAT SEMPENA TAHUN BARU 2014

Kedatangan Tahun baru 2014 disambut meriah dengan cara Islamik pada 31 hb Disember 2014 yang di Masjid UTHM. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan Doa Selamat selepas Solat Maghrib dan sedikit tazkirah yang disampaikan Ust. Mohammad Shahrir b. Hj. Abd. Muttalib, Imam Masjid UTHM. Selepas solat Isyak, satu tayangan filem berunsur dakwah iaitu “Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang” ditayangkan sementara menanti kedatangan  detik 12 malam 1 Januari 2014. Setibanya detik tersebut, doa selamat dibaca dan Qiamullail diadakan pada pukul 4 pagi.