Cetak

PERASMIAN MASJID SULTAN IBRAHIM UTHM

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

Pada 20 hb November 2015 bersamaan 6 Safar 1437H, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta’zim berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Universiti Tun Hussein Onn sekaligus dinamakan sebagai Masjid Sultan Ibrahim bersempena nama baginda.

Acara yang penuh gilang gemilang dimulakan dengan syarahan ringkas yang disampaikan oleh Penasihat Agama kepada baginda Sultan Johor iaitu Dato’ Mohd. Nooh b. Gadut. Pada 12.50 tengahari, rombongan DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar tiba dan disambut oleh Y. Bhg. Professor Datuk Dr. Mohd. Noh bin Dalimin dan lain-lain dif-dif kehormat, serta diiringi dengan bacaan Selawat yang dikumandangkan oleh warga UTHM. 

Baginda mencemar duli menandatangani plak perasmian dengan diiringi bacaan doa oleh Sohibus Samahah Dato’ Hj. M. Tahrir b Dato’ Kiyai Hj. Samsudin, Mufti Negeri Johor dan terus menuju ke dewan solat bagi mengerjakan solat sunat tahiyyatul Masjid seterusnya bersolat Jumaat di masjid tersebut.

Antara dif-dif kehormat yang hadir ialah Y.B Tan Sri Mohamad b Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut selain dari Y. Bhg. Professor Datuk Dr. Mohd. Noh bin Dalimin, Naib Canselor UTHM, pegawai-pegawai kanan Universiti, para ketua agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat sekitar Parit Raja dan daerah Batu Pahat.

Sumber berita (Utusan Malaysia) : klik sini

Sumber berita (website rasmi UTHM) : klik sini

Untuk lebih banyak paparan gambar Majlis Perasmian (FB UCITV UTHM) : klik sini

Gambar Ihsan FB Sultan Johor Official