Cetak

Arkib Suara Jumaat

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

HUKUM  UCAP  SELAMAT  PERAYAAN  BUKAN  ISLAM

25 hb Disember 2015/ 14 Rabiul Awwal 1437H

Hidup dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia). Satu persoalan yang sering dibahaskan adalah hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini. 

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sudah sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (Surah ali-’Imran: ayat 19)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah memutuskan bahawa:

  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa: 86). Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Ini termasuk memakai pakaian Santa Claus atau memakai topi Santa.

Merungkai isu ini, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menegaskan, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu. Oleh itu, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn ‘Abbas RA menyebut:

“Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Sumber : http://www.utusan.com.my/rencana/hukum-ucap-selamat-perayaan-bukan-islam-1.35435#sthash.RIYarKj1.dpuf

MOHD. RADZI MOHD. ZIN 

Utusan Malaysia, 12 Disember 2014 1:07 AM

 

KENAPA PERTIKAI MAULID NABI?

18hb Disember 2015/ 7 Rabiul Awwal 1437H

Alhamdulillah, sambutan umat Islam di serata pelosok dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat. Masih banyak majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabiulawal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita.

Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid. 

Pada tahun ini, suara-suara ini turut 'menumpang' isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama yang mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid. Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud bidaah yang sesat). 

Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan. Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan. 

Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi.

Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita singkapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar. Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya. 

Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah 'Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah. Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama:

Pertamanya: Fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep bidaah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan bidaah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua bidaah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan bidaah ini. 

Kedua: Mereka terlalu menekankan sikap Ittiba' (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba' dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi) Ta'dzim (mengagungkan), Tasyaffu' (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya. 

Ketiga: Mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana umat. 

Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurang pun dikira sebagai bidaah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut;

 "Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku." (Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba', Hubb, Ta'dzim, Tasyaffu', Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Akidah/Tauhid, Syariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik. 

Para pemuka ulama umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma' Sukuti (ijma' senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Oleh YBHG. DATO’ SHEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI

*Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Sudut Rencana, Utusan Malaysia 5/3/2010

 

ABU HURAIRAH BAK MUTIARA

11 hb Disember 2015/ 29 Safar 1437H

”An Abi Hurayrata radialLahu anhu.....”

Abu Hurairah r.a, antara sahabat Nabi Muhammad SAW, dikatakan biasa berpuasa sunat tiga hari pada setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam tahun Hijrah) dan mengisi malamnya dengan membaca al-Quran dan solat tahajud.Beliau akrab dengan kemiskinan dan sering mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Dalam sejarah, beliau dikenal sebagai tokoh yang paling banyak meriwayatkan hadis. Orang mengenalinya sebagai Bapa Kucing Kecil (Abu Hurairah).

Abu Hurairah adalah sahabat yang sangat akrab dengan nabi. Beliau dikenal sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu golongan fakir yang tinggal di wakaf masjid (pondok ini juga diperuntukkan bagi para musafir yang ingin bermalam).Begitu rapatnya beliau dengan nabi sehingga baginda selalu memanggil Abu Hurairah untuk mengumpulkan ahli suffah, jika ada makanan yang hendak diagihkan.

Abu Hurairah adalah salah seorang 'tokoh kaum fakir.' Beliau sering berada dalam keadaan kelaparan. Tetapi beliau terkenal sebagai tokoh yang teguh berpegang pada sunnah Rasulullah SAW. Beliau sering menasihati orang agar jangan hanyut dalam kehidupan duniawi dan dorongan hawa nafsu.Beliau tidak membezakan antara golongan kaya dengan golongan miskin, pembesar negeri atau rakyat jelata dalam menyampaikan kebenaran. Malah selalu bersyukur kepada Allah sama ada dalam keadaan susah mahupun senang.

Pemilik nama Abdul Rahman (versi lain Abdul Syams) ibn Shakhr Ad-Dausi itu juga terkenal sebagai seorang yang periang dan suka berlawak. Beliau banyak menulis anekdot. Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang suka menghibur anak-anak kecil dan menyayangi anak-anak kucing. Ke mana-mana sahaja pergi, beliau akan membawa haiwan itu sehingga julukan Abu Hurairah (bapa kucing kecil) melekat pada dirinya.

Usianya muda 30 tahun daripada Rasulullah SAW. Beliau lahir di Daus, sebuah perkampungan miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah-tengah kabilah Azad, beliau menjadi yatim sejak kecil - yang membantu ibunya menjadi penggembala kambing.Beliau memeluk Islam tidak lama setelah berhijrah ke Madinah pada tahun ketujuh Hijrah, bersamaan dengan rancangan keberangkatan Nabi SAW ke medan Perang Khaibar.

Bagaimanapun, ibunya enggan memeluk Islam. Malah ibunya pernah menghina Nabi SAW. Hal ini membuatkan Abu Hurairah berasa sedih. Oleh sebab itu, beliau memohon kepada Rasulullah agar berdoa moga-moga pintu hati ibunya terbuka untuk memeluk Islam.Tidak berapa lama Abu Hurairah kembali menemui ibunya, memujuk ibunya memeluk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadah.

Abu Hurairah berhijrah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana beliau melakukan pelbagai pekerjaan - menjadi buruh kasar bagi sesiapa yang memerlukan tenaganya. Seringkali beliau terpaksa mengikatkan batu di perutnya bagi menahan kelaparan yang bukan kepalang.Begitu cintanya beliau kepada Rasulullah sehingga sesiapa yang disayangi oleh nabi, beliau akan turut menyayanginya. Misalnya, beliau suka mencium Hassan dan Hussain kerana selalu melihat Rasulullah mencium kedua-dua cucu baginda itu.

Tatkala kediaman Khalifah Uthman ibn Affan dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-Fitnatul Kubra (bencana besar), Abu Hurairah bersama 700 orang Muhajirin dan Ansar mengawal rumah tersebut dengan penuh taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap khalifah.

Pada era pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib, Abu Hurairah ditawar menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, beliau menolak. Ketika terjadi persengketaan antara Saidina Ali dengan seterunya, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Hurairah mengambil keputusan untuk bersikap neutral.

Hinggalah era Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah bersedia menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, terdapat versi lain mengatakan, Marwan bin Hakam merupakan orang yang memujuk Abu Hurairah bertugas sebagai pembantunya di pejabat gabenor Madinah.

Abu Hurairah menghembus nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M) dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau meninggalkan warisan yang amat berharga, iaitu sejumlah 5,374 hadis Nabi Muhammad SAW yang terus bersinar bak butiran mutiara yang memancarkan kilauan cemerlang hingga ke hari ini.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 21/02/2012

 

30 ORANG YANG PERTAMA DALAM ISLAM 

4 Disember 2015/ 22 Safar 1437H

30 orang individu yang berjaya menjadi yang 'pertama' di dalam sejarah/ sirah Nabawi dan para Sahabat:-

1.   Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.

2.   Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.

3.   Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS.

4.   Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.

5.   Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS.

6.   Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah : Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS).

7.   Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW.

8.   Orang yang pertama menjadi khalifah dalam Islam : Abu Bakar As Siddiq RA.

9.   Orang yang pertama mengasaskan dan menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab RA.

10. Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.

11. Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW : Thuwaibah RA.

12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah RA.

13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat RA.

14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA.

15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas RA.

16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan: Bilal bin Rabah RA.

17. Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib RA.

18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary RA.

19. Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam RA.

20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW : Ibban bin Othman bin Affan RA.

21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah binti Khuwailid RA.

22. Orang yang pertama mengaplikasi sistem perang Farsi dalam taktik perangan Islam: Salman Al Farisiy RA

23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib RA.

24. Orang yang pertama menjadi raja dan mengasaskan sistem monarki dalam Islam : Muawiyah bin Abi Sufyan RA.

25. Orang yang pertama mengaplikasi sistem peperangan Rome (balista/ manjaniq. dabaabah) dalam taktik peperangan      

      Islam: Thufail Ad Dausi

26. Orang yang pertama mengadakan baitul mal dan system pos : Umar Al-Khattab RA.

27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib RA.

28. Orang yang pertama dari kalangan Yahudi memeluk Islam : Abdullah ibn Salam RA

29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair RA.

30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW

 

*tambahan

31. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah : Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur RH.

32. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.

33. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam : Harun Ar-Rasyid RH.

34Khalifah yang pertama dibunuh dalam Islam : Umar Al-Khattab RA

35. Orang yang pertama menyusun Al-Quran menjadi sebuah Mushaf : Uthman Al Affan RA

36. Orang yang pertama menakluki Qonstantinople : Sultan Muhammad Al-Fatih

37. Orang yang pertama berqasidah/ bersyair di hadapan Rasulullah SAW : Hassan b. Thabit RA

38. Orang yang pertama mengasaskan kerajaan Turki Uthmaniyyah : Uthman b. Ertugrul b. Sulaiman Shah

39. Orang yang pertama menyambut Maulidur Rasul SAW secara besar-besaran: Salahuddin Al-Ayyubi

40. Orang yang pertama terbunuh akibat pemberontakan : Uthman Al Affan RA

 

HIKMAH DI SEBALIK PERBEZAAN KALENDAR HIJRAH, MASIHI

27 November 2015/ 13 Safar 1437H

DARIPADA Aisyah, katanya: 

“Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi SAW pada hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zuhur, lalu kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. 

Berkata Abu Bakar: Nabi SAW tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting. Ketika Nabi SAW masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma’. Sabda Nabi SAW: Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)? Berkata Abu Bakar: Anda perlu teman, ya Rasulullah! Sabda Baginda: Ya, kawan. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja ku sediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda. Sabda Nabi: Ku ambil seekor dengan harganya.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab ketika beliau memegang jawatan khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda. 

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: 

“Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.”

Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). 

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai. 

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas. 

 

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sudut agama, Berita Harian 25/11/2011

 

BERSIHKAN ROHANI, JASMANI

20 November 2015/ 6 Safar 1437H

Secara umum manusia gemar kepada kebersihan, kesucian dan kesuburan. Pakaian kotor dibersihkan, kenderaan berdebu dicuci, malah kediaman yang kelihatan kian suram diceriakan dengan sentuhan baru, seperti cat dan perabot baru.

Diri manusia juga lebih-lebih lagi memerlukan usaha penyucian, kerana sekiranya dibiar, tidak dirawat dan disuburkan, kekotoran yang melekat pada diri menjadi makin degil dan sukar dibersihkan.Sebab itu ada manusia yang bersifat dengki khianat, makin menjadi-jadi gelagat buruknya, manakala yang bertabiat jahat seperti suka mencuri, menyamun dan merompak, makin menjadi-jadi pula.

Jika sifat keburukan itu tidak dirawat segera dan tidak dibersihkan sebaiknya, kemungkinan besar diri akan terus bergelumang dengan kekotoran, sehingga berpenghujung dengan kemusnahan.

Pembersihan, penyucian dan penyuburan diri dalam istilah Arab dipanggil ‘tazkiyah nafs’. Ia adalah suatu usaha bersungguh untuk membersihkan dan menyucikan diri manusia dari sifat yang rendah dan hina, buruk dan keji.Tetapi usaha penyucian ini tidak sempurna jika tidak disertai dengan usaha pengisian dan perhiasan diri manusia iaitu dengan sifat yang tinggi lagi mulia, baik dan terpuji.

Dalam ilmu akhlak, tazkiyah mengandungi dua sudut, iaitu membuang sifat yang rendah dan tercela (disebut juga takhalli/takhliyah) serta menghias dengan sifat mulia lagi terpuji (disebut tahliyah/tahalli). 

Antara sifat buruk yang perlu dibersihkan ialah takbur, suka berbangga dan menunjuk-nunjuk, riak, syirik dan kufur manakala sifat baik yang perlu dihias seperti bercakap benar, ikhlas, reda dan sabar.

Jika mencuci pakaian menggunakan cara tertentu termasuk menggunakan bahan pencuci yang disyorkan bagi mendapatkan tahap kebersihan berkualiti, usaha menyucikan diri juga memerlukan kaedah dan panduan, supaya tidak tersasar dari matlamat.Dalam Islam usaha penyucian diri mestilah berasaskan tauhid iaitu keimanan kepada Allah dan cirinya, keimanan berasaskan ilmu yang benar. Iman yang berasaskan ilmu menghasilkan keyakinan, iaitu keyakinan yang berasaskan ilmu. 

Tauhid adalah teras yang mendasari binaan hidup manusia yang sebenar, sentiasa berinteraksi dengan semua sudut di dalam binaan terbabit. Dengan lain perkataan, tauhid yang menjadi teras itu yang menjiwai, menyuburkan, mengukuhkan dan mengindahkan binaan Islam.

Antara amalan penting yang dapat memberikan kesan terhadap usaha pembersihan dan penyucian diri ialah solat, membelanjakan harta seperti berzakat, puasa, mengerjakan haji, membaca al-Quran, zikir dan tafakur.Bagaimanapun amalan yang memberikan kesan positif adalah amalan yang dilakukan dengan sempurna, selari dan menepati di antara amalan zahir (fizikal) dan batin (rohani).

Tuntutan zahir dilaksanakan dengan memenuhi syarat dan rukunnya, sebelum, semasa dan selepasnya, wajib dan sunatnya serta meraikan adab lahir dan batinnya.Sejauh mana amalan itu dilaksanakan dengan sempurna, sejauh itulah kesan dalam usaha penyuciannya, sama ada ketika berusaha membuang sifat tercela atau memasukkan sifat terpuji.

 

Dalam usaha penyucian ini, sudah tentulah anggota lahir yang tujuh seperti tangan, kaki, telinga, mata, lidah, perut dan jantina dibersihkan dan dipelihara dari perbuatan keji. Ini kerana kebersihan anggota berkenaan memberikan kesan secara langsung terhadap kebersihan diri.Kemudian, ilmu pengetahuan berkaitan proses penyucian dan penyuburan juga perlu diketahui, termasuk tabiat nafsu dan hubungannya dengan hawa (nafsu), seperti kelemahannya yang menjadi saluran syaitan menggoda dan memperdayakan diri.

Apabila manusia, khususnya umat Islam dapat memahami konsep penyucian dan penyuburan diri, mengamalkannya dengan kesungguhan sudah pasti akan menghasilkan kesejahteraan, kebahagiaan dan kelapangan - bak cahaya menyinari hidup. 

Sudut Ad-din, Harian Metro

 

10 KEBAIKAN DIBERIKAN KEPADA INSAN TAK LEKANG AMALAN ZIKIR

4 hb September 2015/ 20 Zul Qaidah 1436H

Dalam kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama. 

Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir? 

Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah. Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan. 

Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: 

“Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35 

Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud: 

“Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik. 

Pesan Imam Al-Bukhari: 

‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ 

Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: 

‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’ 

Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: 

“Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi 

Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan. Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah, dimurahkan ruang rezekinya, membangkitkan aura sahsiah peribadi murni, dapat menghidup dan menjernihkan hati. 

Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah, mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji. Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik dan bersedia hidup penuh berani. Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq. Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti. 

Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah. 

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Sudut Agama, Berita harian 22/3/2010

 

 

SYUKURI NIKMAT MERDEKA

28 hb Ogos 2015/ 13 Zul Qaidah 1436H

KEMERDEKAAN boleh difahami sebagai bebas daripada perhambaan, keterikatan, lepas daripada dikenakan tuntutan, tidak bergantung nasib kepada orang, bangsa atau negara lain.Merdeka juga bermakna bebas daripada belenggu kelemahan peribadi dan keruntuhan moral, penyakit dan kemiskinan yang membingkai serta menghalang manusia daripada mencapai darjat kemanusiaan sejati. 

Dalam konteks negara, kemerdekaan bermaksud terlepas daripada penjajahan, seperti penjajahan politik, ketenteraan, ekonomi, budaya dan maklumat.

Kemerdekaan disorot menurut sirah Islam terkandung dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika bertemu panglima tentera Rom, maksudnya: 

“Allah mengutuskan kami (orang Islam), untuk memerdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam serta daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.” 

Rub’ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehnya daripada didikan Nabi s.a.w bahawa penjajahan bukan saja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri. Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah s.a.w berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan Baginda? 

Penemuan sirah memaparkan tujuannya ialah untuk memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia sama ada agama yang dicipta manusia yang dijadikan sembahan, fahaman atau anutan.Selain itu, ia membebaskan manusia daripada dibelenggu matlamat dunia yang sempit melalui kesedaran bahawa dunia adalah sementara dan menjadi tempat persinggahan serta menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat sebagai kehidupan sebenar. 

Agama perlu menjadi tunjang utama kepada masyarakat bagi mengekalkan kemerdekaan negara dan diikuti oleh pendidikan. Nilai agama yang murni serta sistem pendidikan yang sempurna mampu membawa negara ke puncak kejayaan.

Realitinya, sambutan Hari Kebangsaan ini sepatutnya bukan sekadar disambut hanya dengan bersuka ria semata-mata, tetapi dengan semangat tersendiri.

Pertama, menghayati kemerdekaan serta bersyukur di atas rahmat kemerdekaan, pengisian kemerdekaan dan pengekalan kemerdekaan. Tanpa ini semua, kemerdekaan yang dicapai tiada maknanya. 

Kedua, menguasai ilmu bukan saja soal fiqah, tetapi bidang sains yang menjadi asas kepada tamadun manusia. Ketiga, meletakkan kepentingan ummah dalam merumuskan ijtihad. Ia adalah satu seruan yang penuh dengan sinergi. Ia juga titik tolak kepada kebangkitan ummah Islam khususnya dalam menyambut tanggal 31 Ogos. 

Masih ramai anak muda yang rendah daya minda, beku intelektual dan longlai gerak langkah, sedangkan Barat sudah melahirkan ramai sarjana yang memiliki ufuk cendekiawan serta tahap kebijaksanaan berkualiti namun kita masih lagi meraba-raba dalam gelap kejahilan. Kabus akhlak kian terhakis dan motivasi keimanan semakin tercabut daripada nilai kemanusiaan. Barat dengan kekuatan dan kekuasaannya meneruskan penjajahan serta imperialisme.

Justeru, marilah kita menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan penuh kesedaran dan penghayatan, melihat kelemahan dan cuba memperbaikinya, supaya kita sama-sama maju dalam erti kata, sebenarnya - maju minda, maju akhlak dan budi pekerti serta maju kehidupan keseluruhannya. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-58.

Bersama Mohd Zawawi Yusoh 

Tazkirah Remaja, Sudut Addin, Harian Metro

 

 

 

AL QURAN DAN SUNNAH TERAS PERPADUAN

21 hb Ogos 2015/ 6 Zul Qaidah 1436H

SABAN hari kita membaca di akhbar-akhbar berkaitan pertelingkahan antara orang Islam di serata dunia. Malah senario yang sama juga berlaku di Malaysia. Umat Islam sudah tidak lagi menjadi model kepada umat-umat lain di dalam sikap berkasih sayang bertolak ansur dan saling faham-memahami antara satu sama lain. 

Adakah perpaduan di dalam Islam ini hanyalah retorik semata-mata dan tidak mempunyai justifikasi di dalam agama?

Ironinya perpecahan sesama orang Islam sudah seolah-olah menjadi norma di dalam kehidupan orang Islam sedangkan agama Islam begitu menitikberatkan perpaduan di kalangan orang Islam. Fenomena ini sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan agama Islam langsung kerana Islam tidak menganjurkan umatnya berpecah. Perseteruan atau perselisihan faham di dalam isu-isu tertentu mungkin sudah menjadi lumrah namun Islam telah menyediakan jalan penyelesaiannya.

Ia sebagaimana terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud: ...kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (al-Nisa': 59)

Umat Islam yang membentuk seperlima dari jumlah penduduk dunia dipertautkan hati mereka dengan tautan akidah yang sama. 

Amin Al Jarumi di dalam bukunya Bicara Ad Din Mutiara Kehidupan Beragama menjelaskan terdapat empat elemen penting yang perlu diberi penekanan bagi penyatuan umat Islam seluruh dunia iaitu: 

•Akidah tunggal yang sempurna.

•Syariat Islam yang dikuatkuasakan.

•Persaudaraan berdasarkan keimanan dan keislaman.

•Cita-cita bersama.

Menurut Amin Al Jarumi, berbanding orang bukan Islam yang bersatu atas dasar materialisme umat Islam perlu bersatu di bawah akidah yang sama dan sempurna. 

Keseluruhan sistem ibadat, muamalat, munakahat, jenayah dan hukuman perlulah berpaksikan kepada akidah yang sempurna ini. Malah menguatkuasakan syariat Islam yang sama akan dapat mengelakkan umat Islam meniru orang lain dalam menjalani kehidupan umat Islam.Syariat Islam tersebut mencakupi pelbagai sistem yang anjal boleh disesuaikan dalam apa juga keadaan dan masa. 

Ia sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. (al-Maidah: 3)

Sementara itu, ukhuwah di kalangan umat Islam berteraskan keimanan dan keislaman adalah amat dipentingkan. Hal yang demikian boleh difahami melalui hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad yang bermaksud: Bandingan orang mukmin dalam hubungan baik mereka rahmat merahmati mereka, sayang menyayangi mereka seperti sebuah jasad apabila suatu anggota daripadanya sakit maka semua anggota lain terpaksa berjaga malam dan terasa demam. (riwayat Muslim)

Masyarakat Islam juga mesti mempunyai cita-cita yang sama iaitu mengembalikan hak orang Islam mengamalkan agama mereka termasuklah di negara luar seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain negara Islam.

Keempat-empat elemen di atas adalah resipi kepada perpaduan umat Islam di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Namun begitu umat Islam sering dilihat berbalah antara satu sama lain kerana masing-masing mengatakan merekalah yang benar dan pihak yang satu lagi itulah yang salah. Seharusnya piawaian yang disediakan oleh al-Quran iaitu berbalik kepada kitab Allah dan sunnah rasul-Nya jika berlaku perbalahan hendaklah menjadi parameter bagi menyelesaikan kemelut dan masalah antara umat Islam.Kemusykilan yang lebih besar adalah apabila terdapat sesetengah umat Islam yang lebih mempercayai orang bukan Islam berbanding orang Islam atas pelbagai alasan. 

Semua pihak yang berseteru di kalangan orang Islam seharusnya menginsafi diri dan mengelak menuding jari kepada orang lain sahaja dan terlalu ego serta mendabik dada merekalah yang lebih baik daripada orang Islam yang lain.

Tuntutan perpaduan di dalam Islam dapat direalisasikan melalui kerjasama antara yang kuat dan yang lemah, orang kaya dengan orang miskin, berkongsi kegembiraan dan kesusahan, bertukar-tukar ucapan tahniah serta menyebarkan salam. Malah perdamaian atau sulh juga amat dianjurkan oleh Islam.

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

SUDUT AGAMA, UTUSAN MALAYSIA 6/10/2011

 

AKHLAK SEBAGAI PEKERJA

14 hb Ogos 2015/ 29 Syawwal 1436H

Kita memerlukan kewangan yang cukup untuk meneruskan kehidupan, menyara keluarga dan membantu golongan yang memerlukan. Secara fitrahnya, dengan bekerja seseorang itu boleh memperolehi biaya dalam bentuk pendapatan.Dalam Islam, bekerja adalah suatu yang dituntut dan dianggap sebagai satu kewajipan. Malah mereka diseru agar tidak bergantung kepada bantuan serta kasihan belas orang lain. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: 

"Mencari kerja yang halal itu adalah fardu selepas fardu". (riwayat al-Baihaqi)  

Dalam Islam, sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah ia halal di sisi syarak. Dengan kata lain, ia tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti arak, judi, riba, menipu, menindas dan sebagainya. Di samping itu, ia juga mestilah pekerjaan yang tidak menjejaskan kepentingan umum dan merosakkan reputasi masyarakat Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

”Barang siapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” (riwayat al- Bukhari)

Dalam pekerjaan bukan sahaja perlu dipastikan pekerjaan itu halal malah perlu juga memberikan perhatian kepada persoalan berkat. Untuk menikmati pekerjaan yang berkat di antara perkara yang perlu ialah dengan menjaga dan memelihara akhlak sebagai pekerja. Persoalan inilah yang gagal dihayati dan diamalkan oleh kebanyakan pekerja. Kebijaksanaan dan kemahiran yang tinggi tidak cukup untuk menjadikan seseorang itu cemerlang. 

Sebuah syarikat atau organisasi tentunya tidak akan mengambil seseorang yang berkelulusan tinggi sebagai pekerja apabila mengetahui individu tersebut mempunyai sikap malas, kedekut, angkuh dan sifat-sifat negatif yang lain. Kelulusan dan IQ yang tinggi adalah sia-sia kalau tidak digabungkan bersama akhlak yang baik.Dalam sesi temuduga kerja umpamanya, pihak penemuduga tidak harus hanya melihat kelayakan calon dari sudut akademik dan pengalaman kerja tetapi perlu mengambil kira sudut akhlak dan etika. Ini kerana akhlak sangat penting dalam membantu seseorang itu mencapai kecemerlangan berorganisasi. Justeru Islam memerintahkan umatnya bukan sahaja perlu menjaga hubungan dengan Allah SWT (hablum minallah) tetapi juga hubungan dengan manusia (hablum minannas). Tanpa akhlak yang baik, tentunya pekerja tidak dapat bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja yang lain secara harmoni. 

Dalam memilih seseorang pekerja, Islam meletakkan dua syarat penting agar pekerja itu bukan sahaja cemerlang dalam kerjanya malah cemerlang juga di sisi Allah, iaitu mempunyai fizikal yang sempurna dan mempunyai sifat amanah. Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: 

”Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau hendak mengupahnya ialah yang kuat lagi amanah” (al-Qasas: 26)

Seorang pekerja yang cemerlang perlu memahami dengan baik tugasnya. Dia tidak boleh bertindak semberono dalam melaksanakan tugas harian di tempat kerja. Tanpa kefahaman yang jelas, pekerja itu akan menjadi seperti robot yang hanya tahu melakukan kerja tanpa memahaminya. Maka apabila berlaku sebarang masalah teknikal kerana kerosakan peralatan dan sebagainya, pekerja itu tidak dapat meneruskan kerjanya secara manual. Ini juga memerlukan komitmen pegawai atasan untuk memberikan bimbingan dan nasihat kepada pekerja di bawah kelolaannya. 

Untuk memahami tugas yang diamanahkan dengan lebih mendalam, maka pekerja itu tidak boleh merasa malu dan takut untuk bertanya.Memang menjadi haknya untuk mengetahui perkara yang dilakukan. Pekerja juga perlu mengambil inisiatif tersendiri untuk berdikari di samping tidak terlalu bergantung kepada arahan pegawai atasan. Pekerja juga perlu memelihara suasana yang penuh harmoni ketika berinteraksi dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Jauhilah sikap iri hati sesama sendiri. Bersaing dengan rakan-rakan lain secara baik. Jangan mereka-reka cerita dan memfitnah rakan-rakan yang lain agar dirinya dapat dilihat yang terbaik berbanding yang lain. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: 

”Muflis di kalangan umatku, datang di hari kiamat dengan solat, puasa, zakat namun datang juga cercaannya kepada orang ini, makan harta orang itu, menumpahkan darah sana, memukul sini lalu diganti rugi dengan amalan baiknya sehingga habis semuanya lalu ia mengambil dosa mangsanya sehingga ia dilontar ke neraka.” (riwayat Muslim)

Mutakhir ramai yang didapati meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pegawai-pegawai atasan atau majikan melalui saluran Internet seperti facebook, twitter, blog dan laman sosial yang lain. Perlakuan ini jelas bercanggah dengan etika dan akhlak sebagai anggota organisasi. Ia akan menyebabkan imej syarikat atau organisasi buruk pada pandangan masyarakat luar. Maka reputasi baik syarikat akan terjejas dan sekali gus memberi kesan negatif terhadap pembangunan dan pertumbuhan syarikat.

Sepatutnya, para pekerja yang tidak berpuas hati terlebih dahulu berbincang dan mengadakan pertemuan dua hala dengan pihak majikan. Berikan ruang kepada pihak majikan memberi penjelasan berhubung isu yang ditimbulkan. Jangan terlalu mengikut emosi sehingga membataskan akal yang waras untuk berfikir dan mencari penyelesaian dengan penuh bijaksana. Mungkin ada perkara-perkara sulit yang perlu dipertimbangkan oleh pihak majikan dalam membuat keputusan tersebut. Di sinilah perlunya semangat saling-mempercayai antara satu sama lain. Tanpa kepercayaan antara satu sama lain, bagaimana sebuah organisasi yang kukuh dan utuh dapat dibina. Lebih-lebih lagi ketika cabaran dan ujian dalam melaksanakan tugas tersebut terlalu berat. Tentunya memerlukan sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai wehdatul fikr (kesatuan pemikiran), wehdatul 'amal (kesatuan kerja) dan wehdatul qalb (kesatuan hati).Allah SWT berfirman: 

”Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (as-Saff: 3)

Seorang pekerja yang mementingkan semangat setiakawan dalam berorganisasi tidak boleh terlalu berkira dalam bekerja. Kadang-kadang dia perlu melakukan kerja lain untuk menggantikan rakan sekerja yang mungkin bermasalah. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri. Contoh yang paling mudah ialah apabila telefon di meja rakan sekerja berdering, dan dia tiada di tempatnya ketika itu, maka perlulah rakan sekerja yang lain tolong menjawabnya atas dasar tanggungjawab bersama. Namun, ada yang tergamak membiarkan sahaja telefon tersebut berdering tanpa rasa bersalah. Dia seolah-olah tidak menyedari bahawa individu yang membuat panggilan telefon itu mungkin sedang mempunyai hajat yang sangat penting. 

Sifat keakuan dan pentingkan diri juga menghalang budaya tolong-menolong dan bantu-membantu sesama rakan sekerja. Akhirnya ia menimbulkan sikap benci-membenci dan iri hati di antara satu sama lain. Apabila rakan sekerja mengalami kesulitan, dia akan merasa gembira dan seronok. Baginya, melihat rakan-rakan berada dalam kesusahan adalah merupakan kepuasan. Sedangkan Islam menyuruh umatnya untuk membantu rakan-rakan yang ditimpa musibah. Rasulullah bersabda: 

”Barang siapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan hari kiamat darinya. Barang siapa memudahkan orang yang dilanda kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan akhirat.”(riwayat Muslim)

CEMERLANG

Pekerja yang cemerlang juga sentiasa menjaga reputasi dan imej syarikat di mana sahaja dia berada. Ini termasuklah cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan para pelanggan. Memberi perkhidmatan dan layanan terbaik dengan penuh mesra kepada pelanggan mestilah diutamakan. Tetapi, jangan sampai melebihi batasan yang dibenarkan oleh Islam.

Para pekerja juga tidak boleh mendedahkan rahsia syarikat termasuk kepada kaum keluarga sendiri. Sebabnya, pihak yang mengetahui maklumat rahsia berkenaan mungkin akan menyebarkannya kepada rakan-rakan yang lain. Fenomena ini akan menjadi risiko kepada syarikat untuk bersaing dalam pasaran apabila pihak pesaing menggunakan maklumat tersebut untuk menyerang dan menjatuhkan syarikat.

Para pekerja juga tidak boleh menggunakan peralatan pejabat untuk tujuan peribadi. Terdapat pekerja yang menggunakan telefon di pejabat untuk menelefon isteri dan anak-anak di rumah. Tidak kurang juga mereka yang menggunakan fotostat pejabat untuk menyalin dokumen peribadi. Ada yang pulang ke rumah dengan membawa barangan pejabat untuk diberi kepada anak-anaknya. Ada juga yang menggunakan peralatan pejabat untuk mencari pendapatan sampingan. Lalu digunakan masa yang ada untuk tujuan lain, bukannya untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan majikan, khususnya ketika pegawai atasan tiada di tempat kerja. Kesannya, kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan tertangguh dan menyusahkan rakan sekerja yang lain. 

Kesimpulannya, pendapatan yang mempunyai keberkatan adalah bukan sahaja dari kerja yang halal, tetapi mesti juga digabungkan dengan akhlak dan etika sebagaimana yang digagaskan oleh al-Quran dan sunnah. Inilah tujuan utama pengutusan Baginda Rasulullah SAW kepada umatnya sebagaimana dinyatakan sendiri oleh baginda:

”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (riwayat Bukhari).

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

 

Sudut Agama, Utusan Malaysia 24/3/2010

 

ADAB KUNJUNGI RUMAH TERBUKA

7 hb Ogos 2015/ 22 Syawwal 1436H

SETIAP kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga secara ‘eksklusif’.Ada yang menempah juadah makanan istimewa daripada pihak katering atau lebih selesa menyediakan sendiri bagi dihidangkan kepada tetamu jemputan.

 

Bagi yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan pasti mendapat limpahan rahmat dan keberkatan. Jemputan juga perlu diperluaskan kepada jiran tetangga berlainan agama serta bangsa.Jelas Islam amat menitikberatkan umatnya saling hidup dalam kerukunan. Rumah terbuka pada Aidilfitri antara peluang yang perlu digunakan bagi memupuk persefahaman serta permuafakatan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia.

Tetamu yang hadir perlu dimuliakan kerana ia bertepatan dengan saranan agama yang mahu umatnya saling hormat menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku maka dia memuliakan Allah. Dan, sesiapa menjadi kemarahan tetamu, maka sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Dan sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.”

Antara tujuan utama rumah terbuka diadakan bagi menghidupkan suasana kemesraan dan paling penting dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.

Berbeza suasananya di bandar, barangkali masih ada yang tidak mengenali 

rapat jirannya walaupun tinggal di sebelah rumah. Justeru, peluang bertemu dalam majlis itu cukup besar hikmahnya dalam merapatkan ikatan persaudaraan.

Di sesetengah tempat, ada yang meraikan rumah terbuka dengan mengadakan majlis marhaban sebelum menikmati juadah. Tidak kiralah apa cara sekali pun sambutannya asalkan ia tidak melanggar tuntutan syarak seperti tidak menyediakan makanan secara berlebihan, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram serta tiada majlis tari menari.

Persepsi masyarakat juga perlu diubah supaya mereka tidak mengaitkan amalan ziarah hanya dilakukan apabila ada rumah terbuka. Namun tidak bermakna kita boleh ‘menyerbu’ rumah jiran kita sesuka hati. Dalam situasi itu, adab ketika berkunjung perlu diberi perhatian dan sebelum bertandang, pastikan kita memaklumkan terlebih dulu kepada tuan rumah dan waktunya pula sesuai.

Adab bagi mereka yang berkunjung ke rumah terbuka perlu dijaga supaya ia menyenangkan hati tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu yang hadir dan tempat terhad.Patuhilah masa yang sudah ditetapkan pihak tuan rumah. Apabila hendak pulang, jangan lupa minta izin daripada tuan rumah serta ucapkan terima kasih kepadanya atas jemputan itu.

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat ayat 13).

Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaannya sangat terserlah.Baginda sering menziarahi keluarga berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.Pernah satu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan daripada kaum Nasrani dari Najran. Baginda membentangkan serban dan mempersilakan mereka duduk di atasnya.Tindakan Rasulullah itu menjadikan utusan terbabit merasai kemurnian dalam Islam. Tidak lama selepas peristiwa itu, mereka dengan rela hati memeluk Islam.

Jelas kepada kita, pastinya tiada pertikaian mengenai amalan mengadakan rumah terbuka selagi berpeluang menyerlahkan matlamat ke arah kebaikan.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, konsep rumah terbuka sempena Aidilfitri antara wadah perlu digunakan sebaiknya bagi mengeratkan hubungan silaturahim termasuk yang berlainan agama atau bangsa.

“Bagaimanapun, pastikan tiada anasir yang berkeinginan merosakkan majlis atau memperolok-olokkan sikap toleransi yang diamalkan Islam.

“Rumah terbuka untuk semua kaum menjadi lambang keindahan Islam. Ia hasil semangat muhibah antara manusia yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu walaupun bukan satu syariat yang diwajibkan Islam, namun jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, ia menjadi ibadat yang menguntungkan kepada pelakunya.

“Positifnya, majlis rumah terbuka menyediakan ruang luas bagi umat Islam melakukan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan menjamu tetamu yang hadir.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga hingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?”. Jawab Baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)” (Hadis Riwayat Muslim).

“Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik juga antara amalan Rasul. Hal ini seperti dijelaskan Allah s.w.t di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

Mohd Shahrizal berkata, rumah terbuka menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan saudara dan kenalan hadir secara serentak.

“Faktor cuti yang terhad membataskan pergerakan kita hadir ke rumah setiap rakan. Adanya majlis rumah terbuka pada Aidilfitri ini memberi peluang kepada kita bertemu,” katanya. Beliau berkata, majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan keindahan Islam dan menggalakkan umatnya menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam.

“Islam tidak pernah melarang umatnya menjemput masyarakat bukan Islam hadir bersama-sama ke majlis umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

“Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang. Antaranya, majlis itu diadakan tidak bertujuan untuk bermegah-megah,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata, keharusan untuk bergembira pada hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain.

“Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka adalah tetamu yang hadir. Sewajarnya penganjur menjemput tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup.

“Tidak kira sama ada kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan, penganjur tidak boleh ‘memilih bulu’ dengan menjemput tetamu di kalangan yang kaya dan ternama saja hadir ke majlis rumah terbukanya,” katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin 

Sudut Ad-Din, Ekspersi, Harian Metro

 

BIAR BERSEDERHANA BUKA PUASA, SAMBUT RAYA 

5 hb Julai 2015/ 18 Ramadhan 1436H

Umat Islam diseru ganti sikap boros dengan amalan bersedekah

Amalan boros tidak dapat dielakkan setiap kali menjelang Ramadan. Boros dalam aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan berbuka puasa, sama ada ketika membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan hingga tidak mampu dihabiskan. 

Seperti biasa, ketika berbuka dapat disaksikan ramai yang menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai macam hidangan. Tidak keterlaluan jika dikatakan majlis berbuka sering dijadikan acara ‘membalas dendam.’ Akibat makan terlalu banyak ketika berbuka, apabila hendak melaksanakan ibadah, mata mulai berat akhirnya menggagalkan mereka melaksanakan ibadah sunat yang amat dituntut pada Ramadan ini.

Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang. Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman, sekali gus akan berbaki atau lebihan makanan dibuang.

Untuk bersederhana ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa atau membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kita perlu berusaha mengehad dan mengawal kemahuan diri yang tidak terhad terlebih dulu. 

Caranya ialah dengan berusaha menghapuskan nafsu jahat seperti nafsu ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik (mahmudah), seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah. Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. 

Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan.

Kedua, sentiasa mengingati dan mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa atau menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kedaifan. Mereka juga ingin menjamah makanan yang lazat dan pakaian baru seperti orang lain. Namun, kedaifan mereka membuatkan mereka berbuka dan beraya dengan makan dan pakai apa saja yang ada. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan berwawasan. Allah SWT berfirman bermaksud: 

“Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat 26) 

Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji. 

Mohd Shukri Hanapi, Sudut Agama, Berita Harian, 29/7/2012

 

EMOSI BULAN RAMADAN

26 hb Jun 2015/ 9 Ramadhan 1436H

Ibadah puasa mempunyai rahsia yang terlalu istimewa. Ia bukan sahaja berfungsi melahirkan manusia yang beriman, malah mendidik umatnya mengawal emosi kemarahan.

 

Ramadhan sudah menghampiri pertengahan bulan. Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini semestinya dinanti-nantikan seluruh umat-Nya di muka bumi ini. Memang benar apa yang dijelaskan. Kehadirannya bukan sahaja mampu membentuk peribadi insaniah, malah menjana emosi manusia agar sentiasa terkawal.

Ibadat puasa menuntut kita bukan sahaja menahan lapar dan dahaga malah, anggota yang lain juga hendaklah turut berpuasa. Ini bermaksud, menyekat kejahatan percakapan lidah dan anggota tubuh daripada menyakiti orang lain terutama pasangan suami-isteri. 

Namun, pertengkaran adalah suatu perkara yang tidak boleh dihindari. Jika ia tidak berhati-hati, masalah kecil akan menjadi besar. Sebagai contoh, disebabkan terasa lapar dan keletihan, kadangkala menyebabkan perkara kecil seperti membeli juadah berbuka atau mencari destinasi berbuka juga boleh menimbulkan pertengkaran.

Untuk menghindari hal yang tidak diingini ini berlaku, semak beberapa tip dalam mengharmonikan suasana rumah tangga, pada bulan Ramadan ini.

*** Tenang 

Ambil sedikit masa untuk menenangkan fikiran kamu apabila perasaan ingin marah semakin menjelma. Kamu seharusnya pergi ke tempat lain atau ke satu sudut yang dapat mententeramkan jiwa amarah dan lepaskan ledakan itu di sana.

Sekiranya perlu, ambil waktu untuk pulihkan semula keadaan walaupun dalam masa yang lama. Setelah keadaan kembali tenang, temui kembali pasangan dan selesaikan masalah secara profesional dan bukannya dengan cara bertikam lidah.

Paling berkesan, sekiranya pasangan menimbulkan kemarahan atau membuat sesuatu yang boleh mencetuskan pergaduhan seperti mencerca dan berkata kesat kepada kamu, jangan kamu menyahutnya. Sebaliknya, hendaklah kamu berkata: 'saya sedang berpuasa'.

*** Hindari berkata, 'selalu' dan 'tidak pernah'

'Kamu selalu bersikap begini' atau 'kamu tidak pernah sedikitpun memahami perasaan saya'. Ucapan seperti ini seringkali terlontar dari mulut kamu mahupun pasangan pada setiap kali kemarahan memuncak. Padahal, penggunaan kata-kata seumpama ini akan mengeruhkan lagi keadaan kamu berdua. Hindari ucapan sedemikian atau cuba luahkan dengan cara yang lebih spesifik dan jelas. 

*** Jauhi kata 'putus'

Walau apa pun masalah yang dihadapi, pertengkaran bukanlah faktor utama berakhirnya sebuah perhubungan. Jadi, janganlah sesekali kamu mengakhiri dengan mudah perhubungan yang dijalin sejak sekian lama atau mendeklarasikan hubungan kamu yang telah berakhir. 

Fokus perhatian kamu pada intipati masalah yang sedang berlaku. Jangan biarkan diri hanyut dibawa arus emosi yang tiada kesudahan dan titik noktahnya. 

*** Toleransi 

Taktik bagus untuk menenangkan dan mendinginkan suasana adalah dengan berkata lembut dan halus kepada pasangan yang sedang 'panas' hati. Bersikap lebih toleransi, sabar dan tempatkan diri kamu di posisinya. Jika kamu tidak pernah melakukan hal ini terhadap pasangan, jangan harapkan dia akan berbuat perkara yang sama kepada kamu.

*** Jangan akhiri pertengkaran dengan pertengkaran 

Ini bermaksud, jangan menjadikan pertengkaran yang berlaku itu berlarutan sehingga memberi kesan mendalam kepada kedua-dua pasangan. Siapa yang mulakannya dahulu bukannya menjadi persoalan penting, jika kamu berdua setuju untuk berdamai. Hentikan tindakan atau ucapan yang boleh mengeruhkan lagi pertengkaran baru. 

*** Ucapan 'maaf' 

Kata-kata ini sememangnya memiliki kekuatan magis yang amat besar dalam menyelesaikan pertengkaran. Mohon maaf sekiranya kamu menyakiti hati pasangan, selama tercetusnya pertengkaran, meskipun pertengkaran itu bukan berpunca daripada kamu sendiri.

Langkah terbaik daripada sebuah pertengkaran adalah saat menyatukan semula perhubungan. Jadi, titipkan hubungan cinta kamu dengan menyatakan perasaan sayang yang mendalam terhadapnya, bersempena bulan yang penuh keberkatan ini. – 

NOOR HASLIZA NUSI Sudut famili, Kosmo!

 

ELAK PEMBAZIRAN DI BULAN RAMADAN

19 hb Jun 2015/ 2 Ramadhan 1436H

ESOK hari kedua umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga ini. Gamaknya, berapa ramai di antara kita yang masih setia berpuasa mulut, perut dan nafsu?

Berapa ramai pula yang masih setia beriktikaf di masjid atau berjaga sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat, membaca al-Quran, beristighfar memohon keampunan atau berzikir mengingati Allah?

Bagaikan satu kelaziman bagi masyarakat kita selepas menempuh separuh Ramadan.

Setiap kali selepas sahur, ramai kembali membungkus badan dengan selimut hingga naik matahari. Tidak kurang juga ambil ‘pakej’ tinggalkan sahur, lupakan subuh.

Menjelang waktu berbuka, benda yang paling dititikberatkan ialah juadah apa yang belum dirasa atau restoran mana hendak menjamu selera.Selesai berbuka, melambak makanan tidak habis di atas meja, yang belum dibuka beg plastiknya pun masih ada.

Bagi sesetengah syarikat besar dan korporat ternama, agenda berbuka puasa bersama anak yatim menjadi acara ‘wajib’ setiap tahun.Dan, setiap tahun juga tetamu kehormat diletakkan mengepalai meja utama manakala anak yatim dan golongan kurang upaya terpinggir di meja penjuru ballroom. Pandai sungguh orang kita beramal.

Waktu malam lain pula ceritanya. Umat Islam ‘berjemaah’ di Jalan Tunku Abdul Rahman atau lebih sedap disebut Jalan TAR untuk mencari baju, seluar, kasut dan selipar, langsir dan bantal, bunga dan kuih muih untuk dijadikan penyeri hari raya.

Jangankan hendak bertarawih lapan rakaat, solat Maghrib dan Isyak pun entah ke mana.

Inilah senario yang sering terjadi setiap Ramadan. Puasa yang asalnya membawa maksud menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, bertukar menjadi amalan yang dilengkapkan dengan perbuatan menurut hawa nafsu.Puasa yang membawa pengertian jalan penentangan terhadap musuh Allah iaitu syaitan yang menggunakan syahwat dan hawa nafsu sebagai jalannya, berubah kepada jalan persaudaraan pada musuh Allah sebagaimana pembaziran itu ditakrifkan sebagai ‘saudara syaitan’.

Sebagai contoh, kita teliti amalan berbuka puasa di hotel. Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berpendapat amalan berbuka puasa di hotel tidak digalakkan kerana Ramadan bukan pesta makanan yang membawa pembaziran, sebaliknya ia bulan berjimat cermat.Malah, beliau berkata, amalan itu jelas bercanggah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Apabila seorang daripada kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka puasa dengan beberapa biji buah tamar. Jika kamu tidak mendapat buah tamar, hendaklah berbuka dengan air.”

Berbuka di hotel bukan saja memerlukan perbelanjaan tinggi, malah boleh menimbulkan riak dan pengambilan makanan berlebihan mengakibatkan seseorang yang berpuasa itu malas beribadat.Kita sudah menjalani separuh daripada Ramadan dan hanya tinggal setengah bulan lagi yang perlu dilalui.

Semoga kita melalui Ramadan dengan penuh keberkatan.Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Apabila kamu berpuasa, hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram.

“Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama." (Hadis riwayat Bukhori)

Sudut Pedoman, Ekspresi, Harian Metro

 

MENILAI KEMULIAAN DIRI PADA SYAABAN, RAMADAN

14 hb Jun 2013/ 5 Syaaban 1434H
Diterbitkan kembali pada : 22 hb Mei 2015/ 4 Syaaban 1436H

Keberkatan kedua-dua bulan wajar jadi dorongan kepada manusia melipatgandakan amal 

"Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka ia dendam. Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan, ia perkara biasa. Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan, ia adalah zalim. Tetapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan itu adalah mulia dan terpuji," 

kata novelis terbilang berasal dari Kanada pada awal abad ke-20, Moza de la Roche. Dia menjadi terkenal dengan novel bersirinya bertajuk Jalna yang mula diterbitkan pada 1927 walaupun sebenarnya dia sudah menerbitkan kisahnya untuk pertama kali dalam Munsey's Magazine pada 1902. 

Kita melihat hikmah yang mendalam di sebalik kata-kata novelis yang meninggal dunia pada 1961 itu. Nilai kebaikan sejagat yang ada di dalamnya ialah – balaslah kejahatan dengan kebaikan jika kita ingin hidup mulia dan terpuji dan jangan sekali-kali kita berbuat sebaliknya kerana ia satu kezaliman. Dengan andaian bahawa La Roche tidak pernah membaca al-Quran, bagaimana dengan ayatnya yang bermaksud: 

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang sudah ditimpa kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar." (Surah al-Nahl: 126) 

Nilai kebaikan sejagat yang ada pada ayat ini ialah sifat mulia dan terpuji yang ada pada kesabaran dengan tidak membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita walaupun ia dibenarkan atas dasar qisas sebagai 'semangat' keadilan. Oleh itu kita dapati baginda Rasulullah SAW menarik balik sumpahnya untuk mengqisas Wahsyi, budak yang membunuh bapa saudara Rasulullah, Hamzah ra kerana baginda mahu mendapatkan pahala sabar yang besar di samping melaksanakan anjuran Allah SWT dalam ayat di atas. 

Maha Benar Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud: 

"Dan bersabar (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." – (Surah al-Nahl: 127). 

Pada bulan yang mulia ini, Syaaban sebagai pembuka kepada bulan mulia yang lain, Ramadan ada baiknya kita menilai diri di manakah keadaan kita sebenarnya di antara orang yang mulia? Orang yang mulia berakhlak baik kerana akhlak yang baik itu adalah kebahagiaan tersendiri, sedangkan akhlak yang buruk adalah petaka dan bencana. 

Dalam hadis bermaksud: 

"Sesungguhnya akhlak yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan sembahyang malam." 

Baginda sentiasa berdoa pada Syaaban ini dengan doanya yang masyhur Allahumma barik lana fi Sya'ban, wa ballighna Ramadan, Ya Allah, anugerahkan kami keberkatan pada Syaaban dan sampaikan hidup kami ke Ramadan. Betapa mulianya Ramadan sehingga Baginda mengharapkan dapat hidup di dalamnya walaupun di antara Syaaban dan Ramadan tinggal selangkah lagi. Betapa besarnya Ramadan sehinggakan Baginda ingin mendapatkan kebesarannya walaupun masih berada dalam Syaaban. 

Kebaikan yang ada dalam kedua-dua bulan mulia ini sangat banyak dan tidak seperti bulan lain. Baginda tidak pernah banyak berpuasa sunat kecuali pada Syaaban, sedangkan selama Ramadan baginda menunaikan kewajipan puasa. Pada Syaaban, ada malam Nisfu Syaaban dan dalam Ramadan ada malam Nuzul al-Quran. Dalam Syaaban ada solat sunat Nisfu Syaaban bagi sesetengah umat yang mahu melakukannya, manakala pada Ramadan ada solat tarawih bagi semua umat. Pada Syaaban pengampunan Allah SWT ke atas umat manusia kecuali orang musyrik, orang yang bermusuhan, pembunuh diri dan pelaku zina manakala pada Ramadan ada pembebasan manusia daripada api neraka. 

Kebaikan sedemikian yang kita cari di dunia sebagai jalan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak. Melalui kebaikan itu kita akan mendapatkan kemuliaan dan kemuliaan akan mendekatkan kita kepada al-Khaliq, Maha Pencipta.

Allah berfirman yang bermaksud: 

"Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT) kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan. Kepada Allah jugalah segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang salih pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa." – (Surah Fatir: 10) 

Jika kemuliaan boleh didapati dengan melaksanakan perintah Allah SWT seperti dikatakan ayat di atas, maka sebaliknya kehinaan akan diperoleh seseorang jika dia mengetepikan perintah berkenaan. 

Dalam realiti kehidupan negara, kemuliaan warga negara dapat diperoleh jika dia melaksanakan semua peraturan negara dengan baik. Bagi pemimpin pula, kemuliaan kepemimpinannya akan semakin terserlah dengan lapan perkara. 

Abu Ja'far bin Babawaih al-Sijistani berkata: 

"Seorang raja pernah menulis surat kepada raja negeri lain. "Bagaimana engkau mengatur kerajaanmu dan memerintah rakyatmu? Raja negeri itu menjawab: "Dengan lapan cara; tidak bergurau ketika memerintah dan melarang; tidak melanggar satu pun janji dan ancaman; menghukum berdasarkan kesalahan bukan berdasarkan kedengkian; mengangkat pegawai berdasarkan kecekapan bukan berdasarkan keinginan; memujuk hati rakyat dan tidak memaksa; mempermudah pemberian kebenaran bukan kerana kelemahan; menyediakan bahan makanan dengan merata dan menghindari perkara yang berlebihan." 

Kemuliaan itu bukanlah diukur dengan kegagahan dan penampilan. Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara. Demikian pula kebahagiaan, tidak dinilai daripada banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan.

Nilai manusia yang mulia sebenarnya diukur daripada kemurahan hati dan sifat terpuji, bukan baju yang dipakainya, kasut yang digunakannya, bukan istananya dan bukan pula rumahnya. Justeru, yang menjadi ukuran ialah nilai ilmu, dermawan, kesabaran dan akalnya yang dirangkumkan dalam istilah takwa. 

"Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa," maksud firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13. 

Syaitan sebagai musuh yang wajib kita lawan menyuruh berbuat jahat dengan tidak mengendahkan ajaran Allah. Dengan mengikuti jejaknya itu kita akan tersesat dan hina. Oleh itu supaya kita tidak tersesat dan menjadi mulia, kita wajib melawannya dengan tidak membalasnya melakukan perbuatan dosa tetapi dengan melakukan perbuatan baik. Di situlah kemuliaan manusia terserlah dan pada Syaaban dan berikutnya Ramadan adalah masa sesuai untuk bertindak menuju kepada kemuliaan.

Allahumma barik lana fi Sya'bana wa ballighna Ramadana. 

Oleh Abdul Rahman Haqqi

Sudut Agama, Berita Harian 2/8/09

 

ISRA DAN MIKRAJ BUKTI KUKUH KEHIDUPAN DI AKHIRAT

15 hb Mei 2015/ 26 Rejab 1436H

FIRMAN Allah yang bermaksud:

“Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem, manakala Mikraj pula perjalanan Rasulullah SAW menuju ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Singgahsana (Kursi) Allah dan menerima wahyu dari Allah Yang Maha Besar.

Peristiwa ini menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal sekali gus pemangkin kebangkitan umat. Di masjid itulah, umat Islam memulakan kehidupan seharian mereka seterusnya meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang seperti diasaskan Rasulullah SAW seperti firman Allah bermaksud:

”Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan peristiwa biasa dan bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya.

Imam Fakhrurrazi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan, apa yang dimaksudkan firman Allah dalam surah al-Isra’ memberi pengertian Allah mahu memperlihatkan apa disediakan sebagai balasan kepada hamba-Nya di akhirat, keindahan syurga dan kecelakaan neraka.

Baginda SAW diperjalankan dengan makhluk Allah bernama Buraq menjelajah bumi dan angkasa menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka ini menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda untuk terus berusaha menyampaikan risalah tauhid.

Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu pada malam itu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril. Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.

Tanggal 27 Rejab setiap tahun, umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Majlis memperingati peristiwa itu disambut penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam mengambil iktibar terkandung dalam peristiwa terbabit. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sudut Agama, Berita Harian 23/6/2011

 

AKIDAH ISLAM BUKAN IDEOLOGI CIPTAAN MANUSIA

1 hb Mei 2015/ 12 Rejab 1436H

ISLAM adalah agama yang diwahyukan oleh Allah kepada manusia. Setiap perkara berkaitan akidah, syariah dan akhlak adalah berdasarkan kepada panduan Ilahi dan Rasulullah SAW. Setiap ayat al-Quran yang diwahyukan oleh Allah sepatutnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan dan fatwa. Kejahilan terhadap disiplin penafsiran ayat-ayat al-Quran merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan umat Islam sering tersasul dan membuat kesilapan dalam menghuraikan intisari pengajaran al-Quran. 

Umat Islam diajar supaya bertawaddu' dalam aspek berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan ilmu wahyu. Salah tafsir terhadap ayat-ayat al-Quran dan syariah Islam semakin hari kian dipaparkan oleh umat Islam sendiri sehingga perkara berkaitan fundamental ajaran Islam juga ditafsirkan mengikut logik akal dan ideologi perjuangan politik.

Umat Islam yang berfikiran liberal cuba menafsirkan ayat-ayat al-Quran seperti mana penganut agama lain mereformasikan agama mereka. Mereka tidak memahami ilmu wahyu tidak boleh disamakan dengan ideologi yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan peredaran zaman. Sikap liberal begini boleh menyebabkan keaslian ajaran Islam tergugat seperti mana berlaku kepada agama Samawi yang lain (agama yang menerima wahyu daripada Allah sebelum Islam di mana intisari ajaran kitab suci dipinda dan diubahsuai mengikut keadaan masa dan zaman). Golongan fanatik Islam pula menafsirkan ayat-ayat al-Quran dalam konteks pemikiran mereka yang jumud dan radikal sehingga ke tahap mengagungkan ketua kumpulan sebagai wali atau Imam Mahdi. Corak pemikiran begini boleh menggambarkan Islam sebagai agama yang pasif dan ganas.

Sebab dan musabab penurunan ayat-ayat al-Quran perlu difahami secara menyeluruh kerana setiap penurunan wahyu Ilahi itu mempunyai kaitan dengan konteks dan peristiwa yang berlaku ketika itu. Umat Islam yang tidak memahami disiplin penafsiran al-Quran sepatutnya merujuk kepada ahli ilmu yang arif dalam bidang itu supaya kenyataan dan pandangan yang mereka tidak menimbulkan keadaan kemelut di kalangan masyarakat. Perkara berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu wahyu amat memerlukan kepada proses pembelajaran yang khusus bukan seperti membaca dan menganalisis ideologi ciptaan manusia yang boleh dibahaskan secara bebas mengikut pemahaman masing-masing. Ayat-ayat al-Quran sering dipergunakan oleh kebanyakan ahli politik bagi menyakinkan masyarakat bahawa perjuangan mereka adalah selaras dengan ajaran al-Quran. 

Jika prinsip dan objektif perjuangan politik hanya berdasarkan kepada 'perjuangan untuk mendapat kemenangan dan memperolehi kuasa memerintah negara' tanpa menghiraukan kesan negatif terhadap agama, bangsa dan negara, maka ahli-ahli politik beragama Islam akan menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan pelbagai penafsiran mengikut keadaan dan suasana pergolakan parti politik mereka.

Perkara berkaitan akidah adalah ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak mempunyai hak meminda hukum hakam tersebut. Ayat al-Quran dalam Surah 2 (al-Baqarah) : 256, yang bermaksud, 

" Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada Thagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada genggaman tali yang kuat yang tidak akan putus. Dia Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". 

Ayat al-Quran tersebut mempunyai kaitan dengan peristiwa di mana orang Ansar yang beragama Islam memaksa anak-anak mereka yang dipelihara oleh orang Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Jalaluddin Abd. Rahman Abi Bakr al-Suyuti, dalam bukunya bertajuk al-Dhur al-Manthur fi Tafsir al-Ma'thur menjelaskan ketika zaman sebelum Islam orang-orang Musyrik Madinah amat tertarik dengan personaliti masyarakat Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi). Sebahagian daripada wanita Ansar ketika mengandung, bersumpah untuk menyerahkan anak mereka kepada Ahli Kitab jika anak yang dilahirkan itu hidup. 

Al-Sha'bi menceritakan kisah wanita Ansar yang kecewa apabila anak mereka meninggal dunia selepas bersalin. Mereka bersumpah akan menyerahkan anak mereka kepada orang Kristian dan Yahudi serta menganut agama bapa angkat mereka jika anak yang dilahirkan itu hidup. Mereka berpendapat agama ahli kitab adalah lebih baik daripada agama mereka. Apabila Islam tersebar di Madinah, orang Musyrik Madinah memeluk agama Islam. Mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Berdasarkan kepada peristiwa ini maka Allah mewahyukan surah 2 (al-Baqarah): 256 menegaskan bahawa tidak ada paksaan dalam agama. Selepas penurunan wahyu ini maka mereka tidak memaksa anak mereka memeluk agama Islam. 

Berdasarkan kepada konteks ayat al-Quran tersebut maka jelas menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam. Orang bukan Islam yang baru memeluk agama Islam juga tidak dibenarkan memaksa anak-anak mereka menganut agama Islam jika mereka masih yakin dengan agama asal mereka.

Konsep kemanusiaan di dalam Islam adalah terlalu tinggi nilainya di mana hak dan kebebasan manusia dalam agama diperakui. Sedangkan golongan yang memperjuangkan ideologi mengetepikan hak bersuara dan beragama. Setiap individu yang tidak menganuti ideologi mereka akan ditindas dan disiksa. Rumah-rumah ibadah dimusnahkan dan para ulama dan ketua agama dibunuh seperti mana berlaku dalam negara yang mengamalkan ideologi komunis. Kebebasan beragama yang dimaksud dalam al-Quran ini bukan bererti umat Islam bebas menganut agama lain. Umat Islam tidak dibenarkan memeluk agama lain kerana perbuatan demikian dianggap sebagai satu dosa yang besar. 

Setiap ulama sama ada ahli fekah atau teologi berpendapat murtad merupakan kes yang paling serius berkaitan akidah. Perbezaan pendapat di kalangan mereka hanya berkaitan bentuk hukuman sama ada termasuk dalam hukuman had (hukuman tertentu yang ditentukan oleh Allah dalam al-Quran) atau ta'zir (hukuman yang ditentukan oleh negara Islam). Setiap penganut agama beranggapan bahawa agama mereka adalah benar dan pertukaran agama merupakan satu perkara yang serius. Sejarah menunjukkan kebanyakan agama di dunia menghukum penganut agama mereka yang bertukar agama. Bentuk hukuman terhadap individu yang murtad juga berbeza di antara satu agama dengan agama lain. 

Hak kebebasan beragama hanya disuarakan oleh agama tertentu dalam persekitaran abad ke-20 di mana dalam sejarah agama mereka penyiksaan terhadap individu yang menukar agama adalah terlalu berat. Urusan berkaitan akidah sesuatu agama adalah hak kepada penganut agama itu. Agama lain tidak mempunyai hak mencampuri urusan agama lain. Jika sesuatu agama memberi hak yang penuh kepada penganut agamanya bertukar kepada agama lain, maka umat Islam tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan keagamaan itu kerana setiap agama mempunyai perbezaan kepercayaan, prinsip dan budaya. 

Umat Islam sepatutnya memahami bahawa perkara berkaitan akidah bukanlah perkara yang boleh dikompromi dengan prinsip agama lain. Setiap perkara berkaitan akidah Islam adalah berdasarkan kepada konsep tauhid yang tulen dan sempurna. Ia merupakan satu konsep yang amat ketara perbezaannya dengan agama lain.

Bagi mencapai sebuah negara yang aman dan harmoni setiap penganut agama perlu menghormati prinsip ajaran agama lain. Hak kemanusiaan yang diperjuangkan oleh umat Islam sepatut perlu berlandaskan kepada etika Islam supaya tindak tanduk mereka tidak membangkitkan suasana yang kronik.

Oleh  PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel Penuh:

SUDUT RENCANA, UTUSAN MALAYSIA 13/11/2012

 

ANTARA SABAR DAN MENGELUH

17 Mac 2006/ 17 Safar 1426H
3 April 2015/ 13 Jamadil Akhir 1436H (dikeluarkan semula)

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf itu, tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. Hati Abul Hasan berdetik:-

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."  

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, 

"Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini." 

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" 

Wanita itu menjawab; 

"Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" 

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, 

"Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" 

Wanita itu menjawab, 

"Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka." 

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,: 

" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." 

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: 

" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang." 

Dan sabdanya pula, 

" Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah) 

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah dan kesukaran hidup.

 

KESABARAN ADALAH PENYELESAIAN

27 Mac 2015/ 7 Jamadil Akhir 1436H

Kadang kala dalam kehidupan kita terdapatnya masalah yang tidak kita temui penyelesaiannya. Sudah terlalu ramai orang yang kita temui termasuklah pakar-pakar kaunseling dan alim ulama untuk menyelesaikan masalah yang berlaku namun masih belum mendapat cara penyelesaiannya. Maka, ketahuilah jawapan kepada permasalahan tersebut ialah kesabaran.Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menjelaskan bahawa seorang yang beriman tidak akan memasuki syurga sehinggalah imannya itu diuji. Antaranya ayat kedua dalam surah Al-Ankabut yang mana Allah SWT menjelaskan: 

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

Bukan mudah sebenarnya untuk kita mendapat nikmat syurga Allah SWT di akhirat kelak dengan hanya mengisytiharkan keimanan melalui mulut sahaja. Allah SWT semestinya akan menguji keimanan setiap hambanya untuk mengetahui sejauh mana kualiti keimanan itu. Keimanan ini harus dibuktikan melalui ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan melakukan dengan anggota badan.

Cabaran-cabaran ini boleh datang daripada luar atau dalaman diri kita sendiri. Sengaja Allah SWT menurunkan cabaran-cabaran ini sebagai ujian untuk mengenalpasti siapa yang akan terus iltizam dan istiqamah dalam keimanan ini. Ia seolah-olah merupakan proses penapisan (filtering process) secara langsung daripada Allah SWT untuk mengetahui siapa yang benar-benar beriman kepada-Nya.Allah SWT menjelaskan bahawa cara untuk berhadapan dengan ujian ini adalah dengan meminta pertolongan daripada-Nya dengan sabar dan mengerjakan solat. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah: ayat 45)

Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah mintalah pertolongan di atas segala bala yang menimpa ke atasmu dengan cara bersabar menanggung segala kesusahan (masyaqqah) dan segala kesukaran terhadap jiwa daripada segala taklif syarak. 

Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: 

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Thalaq: ayat 2-3)

Imam Nawawi dalam menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa ia diturunkan berhubung satu peristiwa di mana seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kerisauannya kerana anaknya telah ditawan oleh pihak musuh. Lalu dia dinasihatkan bersabar oleh Rasulullah SAW maka dia bersabar. Tidak lama kemudian, anaknya berjaya melepaskan diri daripada tawanan musuh. 

Malah bukan itu sahaja, dia berjaya membawa pulang beberapa ekor kambing kepunyaan musuh tersebut. Maka dengan kepulangan anaknya, bergembiralah dia serta mendapat untung rezeki yang tidak disangka-sangka. Inilah salah satu kelebihan daripada kesabaran.

Sabar ada batasan

Kita juga perlu menyedari bahawa sabar ada batasannya. Kita tidak boleh bersabar apabila melihat Islam dinodai, nyawa saudara kita terancam, hak kita dipijak-pijak dan sebagainya. Nabi SAW akan bersabar sekiranya diri Baginda dihina oleh kafir Quraisy. Sebaliknya, Baginda SAW akan bertindak apabila Islam dihina dan dicaci oleh pihak musuh. Walau bagaimanapun, tindakan Baginda SAW terhadap musuh bukanlah secara semborono, tetapi dengan mengambil kira hukum syariat, etika dan adab dalam Islam.

Lantaran itu, jangan serik dan jemu untuk terus bersabar. Jangan biarkan nafsu dan kemarahan menguasai diri kita. Insya-Allah, segala masalah dan cabaran yang kita hadapi, anggaplah ia merupakan ujian daripada Allah SWT. Ia pasti akan berlalu apabila tiba masanya nanti.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Sudut Agama, Utusan Malaysia, 3/4/2013

Panel penulis ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. 

 

Artikel Penuh

 

HUDUD SISTEM PERUNDANGAN ADIL

22 hb Mac 2015/ 29 Jamadil Awwal 1436H

Masyarakat perlu diberi kefahaman jelas mengenai hukuman bersifat mencegah, mendidik

Pengumuman oleh kerajaan Brunei Darussalam beberapa tahun lalu berkenaan pelaksanaan hukum hudud di negara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi di rantau ini dan seluruh dunia. Hudud telah lama menjadi polemik dan perbahasan pakar perundangan syariah.  Malah, perbincangan mengenai hudud telah mengundang masuk campur golongan bukan Islam yang turut berbahas mengenainya. Hudud sejak sekian lama dimomokkan sebagai undang-undang lapuk, tidak sesuai suasana masa kini dan ada mengatakan ia kejam serta memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan. 

Hukum hudud disebut jelas dalam al-Quran dan Sunnah. Setiap Muslim mesti mempercayainya kerana keraguan terhadap wujudnya arahan mengenai hukum hudud dikhuatiri akan membatalkan akidah.

Apabila menyebut hudud, tergambar potong tangan atau hukuman rejam. Penyokong hudud juga menjadi pendesak yang radikal dan pada satu ketika timbul isu kafir mengkafir kerana kegagalan menjalankan hukum hudud oleh sebahagian golongan. Hudud dilabel setengah pihak sebagai ekstrim.

Hudud ialah pelaksanaan undang-undang Islam, termasuk yang telah dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Islam adalah cara hidup begitu juga perundangan Islam yang menjadi peraturan dalam menjalani kehidupan.Memahami hudud memerlukan kita mendalami semua aspek berkaitan perundangan Islam termasuk aspek pembuktian, cara menjalankan hukuman, rasional undang-undang, hikmah serta pengajaran daripadanya untuk mengelakkan salah faham terhadap hukum telah ditetapkan oleh Allah SWT. 

Hari ini, ramai orang yang mengkritik pemotongan tangan untuk pencuri atas dasar ia dilihat sebagai kejam dan ganas, tetapi tidak memahami maksud jenayah mencuri serta kesannya kepada masyarakat. Apa lagi mengetahui falsafah kepada hukuman itu. 

Sejarah perundangan dan hukuman jenayah telah menyaksikan pindaan undang-undang yang lebih keras apabila kes jenayah meningkat dan falsafah pindaan itu untuk mencegah kejadian jenayah terus dilakukan berulang-ulang.

Dalam Islam, hukum yang dilihat keras bertujuan untuk pencegahan dan pendidikan bukan hendak menonjolkan mengenai hukuman itu semata-mata, tetapi bagaimana sistem perundangan adil terutama dari segi pembuktian perlu dipatuhi untuk memastikan hanya penjenayah sebenar dihukum.Oleh itu, undang-undang yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak perlu ditakuti melainkan kita memang merancang untuk melakukan jenayah. Sebaliknya, ia perlu difahami dan dilaksanakan seperti mana dianjurkan.Justeru, sebelum hukum hudud dijalankan, masyarakat perlu mendapat kefahaman jelas mengenai pelaksanaannya dan sedar bahawa ia adalah sebahagian daripada agama Islam. Jangan hanya tahu mengkritik saja.

Hukum hudud disebut jelas dalam al-Quran dan Sunnah. Setiap Muslim mesti mempercayainya kerana keraguan terhadap wujudnya arahan mengenai hukum hudud dikhuatiri akan membatalkan akidah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu Nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah menetapkan hukum bagi mereka (orang Yahudi) dan dengannya juga ulama dan pendeta mereka menjalankan hukum Allah, sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya. Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang yang kafir.” (Surah al-Maidah, ayat 44) 

Walau bagaimanapun, untuk menjalankan hukum hudud memerlukan kepada persediaan infrastruktur teratur seperti mewujudkan sekumpulan orang yang terlatih dan faham peraturan ditetapkan supaya sistem keadilan ini berkesan.

Di samping itu, masyarakat juga harus dididik untuk menerima hukum hudud adalah sebahagian daripada apa yang diarahkan oleh Allah SWT. Islam sebagai cara hidup dibina atas akidah dan keimanan dalam diri umat Islam.

Hukum hudud tidak boleh dijalankan oleh mana-mana individu atau organisasi Islam secara bersendirian. Sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyatnya adalah umat Islam, di harap satu hari nanti dapat melaksanakan hukum hudud. Pemimpin Islam perlu memberi imej dan menunjukkan wajah sebenar Islam serta ajarannya. 

Pengumuman kerajaan Brunei untuk melaksanakan hukum hudud amat mengujakan dan bagaimana pelaksanaan seperti diwartakan nanti boleh dijadikan panduan. Pelaksanaan hukum Islam diharap mampu menonjolkan imej Islam sebenar, menghapuskan syak wasangka serta ketakutan terhadap hukum hudud.

 

Oleh Moeis Basri 

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) 

13/11/ 2013 

 

6 JENIS GOLONGAN BERILMU TAPI RUGI 

13hb Mac 2015/ 22 Jamadil Awwal 1435H

Ilmu pengetahuan sangat penting bagi manusia. Dengannya manusia beroleh kemajuan, kejayaan dan kesejahteraan. Oleh kerana itu, Nabi SAW bersabda mafhumnya: 

“Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim.” 

Ilmu yang wajib ialah ilmu bermanfaat khususnya dalam hubungan manusia dengan Tuhannya yang membabitkan tauhid, ibadat zahir dan batin serta akhlak, seterusnya berkaitan hubungan kemasyarakatan seperti muamalat, munakahat dan hukum jenayah. 

Menurut Ibn Qayyim, ilmu yang wajib diketahui merangkumi empat bidang membabitkan rukun iman, hukum Islam, berkaitan yang haram dan ilmu muamalat.

Bagi Imam al-Ghazali, ilmu diwajibkan ialah ilmu makrifat iaitu ilmu untuk mengenal Allah, ilmu tasawuf (berhubung dengan ibadat batin seperti ikhlas dan tawakal) serta ilmu syarak (masalah halal dan haram, muamalat, munakahat dan jenayah).

Islam memandang tinggi kepada orang berilmu seperti dijelaskan dalam surah Fathir, ayat 28 maksudnya: 

“...sebenarnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

Kalangan ulama, orang soleh dan ahli zuhud memberi perhatian yang lebih kepada ilmu pengetahuan kerana ia adalah inti kepada ibadat dan asas ketaatan kepada Allah. Bagaimanapun dalam hal ini, kita janganlah sampai tergolong dalam kalangan mereka yang terpedaya. Menurut huraian al-Ghazali, mereka yang terpedaya terbahagi kepada beberapa golongan iaitu: 

Orang yang berasa dirinya memiliki ilmu makrifat dan mampu melihat Tuhan dengan hatinya, lalu mengganggap dirinya hampir dengan Allah. 

Padahal mereka hanya mengetahui nama-Nya, yang mereka dengar daripada lafaz yang boleh menjadikannya sesat dan keliru. Dengan semua itu, mereka beranggapan memiliki ilmu tertinggi daripada kalangan umat sejak awal hingga akhir. Mereka memandang rendah dan menghina ulama, faqih, ahli tafsir dan hadis, lebih-lebih lagi orang awam dianggap sebagai haiwan peliharaan. 

Orang yang hanya cenderung kepada ilmu zahir dan tidak memikirkan ilmu batin. Mereka berasa bangga dengannya dan berfikir berlebihan sehingga beranggapan dirinya mendapat tempat di sisi Allah. 

Mereka menganggap sudah bebas daripada seksaan Allah, malah mampu memberikan syafaat dan dosanya tidak akan dituntut. 

Orang yang tidak beramal dengan ilmunya. Mengetahui semuanya tidak membawa sebarang erti jika tidak diamalkan. Apa gunanya seseorang mengetahui sesuatu ilmu dan cara untuk beribadat jika tidak mengamalkannya. 

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: 

“Sesungguhnya Allah tidak akan memandang rupa dan hartamu melainkan hati dan amalanmu.” 

Dalam Kitab Tanbihul Ghafilin, dinyatakan Nabi Isa bin Maryam berkata: 

“Sesiapa mengetahui (berilmu) lalu diamalkan dan diajarkan, maka itulah orang yang disebut besar di alam malaikat langit.” 

Sesungguhnya malaikat itu takut kepada tiga perkara: orang alim yang fasik, mengajarkan orang apa yang tidak dikerjakannya, tanah perkuburan orang derhaka yang dibangunkan bata dan simen serta mengukir nama pada kubur orang yang derhaka. Al-Auzai berkata: 

“Sesiapa mengamalkan apa yang diketahui, akan diberi taufik untuk mencapai apa yang belum diketahui.” 

Sufyan ats-Tsauri pula berkata: 

“Ilmu itu yang pertamanya diam, kedua mendengar (memerhati), ketiga mengingat, keempat mengamalkan dan kelima menyebarkannya.” 

Golongan yang menghabiskan waktunya untuk membersihkan diri daripada segala jenis hinaan, tetapi terlalu berlebihan sehingga berterusan mencari aib dirinya dan mengkaji tipu daya dilakukan, yang akhirnya menjadi urusan harian. 

Segala perbuatan mereka terlalu terperinci, sehingga ini aib, itu buruk dan seumpamanya. Orang seperti ini sama keadaannya yang selalu membayangkan dan menghitung bahaya dalam menunaikan ibadat haji dan akhirnya tidak jadi untuk melaksanakannya. 

Orang yang beranggapan sudah memenuhi kewajipan dengan menghadiri majlis ilmu. 

Mereka menjadikan ia sebagai suatu kebiasaan dan beranggapan bahawa mendengar tanpa beramal juga sudah melayakkan mereka untuk mendapat pahala daripada Allah SWT. 

Mereka yang menuntut ilmu hanya untuk menarik perhatian orang dan mengejar kekayaan. Ilmunya tidak akan memberi sebarang manfaat, manakala perniagaannya (pekerjaan) pula tidak akan berhasil, malah hanya menampakkan kerugian. 

Sabda Nabi SAW: 

“Sesiapa menuntut ilmu dengan maksud bersaing dengan kalangan ulama, untuk bermujahadah dengan orang jahil atau menarik perhatian orang, dia akan masuk neraka.” 

Justeru, berhati-hatilah ketika menuntut ilmu. Apalah gunanya mempelajari dan mempunyai ilmu yang tinggi, tetapi semata-mata dengan niat mengumpul kekayaan, pangkat dan darjat, sehingga menyombong diri. 

Demikian juga mereka yang belajar sehingga ke menara gading, sedangkan apabila berkhidmat tidak amanah, menipu dan mengambil rasuah. Malah, tiada yang boleh dibanggakan, andai khidmat bakti bukannya demi agama, nusa dan bangsa. 

Sudut Rencana, Harian Metro, 30 /10/2013

 

4 GOLONGAN LAKSANA RISALAH ALLAH

1 hb Mac 2015/ 15 Jamadil Awwal 1436H

Nabi, siddiqin, syuhada dan salihin tonggak keberhasilan masyarakat unggul

Setiap Muslim wajib membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam jika dia masih mahu diperakui sebagai seorang Muslim. Dalam surah yang dibahagikan menjadi dua bahagian oleh Allah itu membabitkan sebahagian milik-Nya dan sebahagian lagi milik hamba-Nya – seorang Muslim selalu berdoa, ihdinassiratal mustaqim, anugerahkan kami petunjuk menuju jalan yang lurus. Dan jalan yang lurus ini adalah jalan orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT. Siapa mereka?Dalam surah lain, orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah adalah maksudnya: 

“Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi, siddiqin, orang yang mati syahid dan orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." – (Surah al-Nisa: 69) 

Ayat ini datang sejurus selepas ayat yang bermaksud: 

"Dan pasti Kami tunjukkan mereka kepada jalan yang lurus." – (Surah al-Nisa: 68) 

Begitu pula apabila kita membaca tahlil dan doa arwah, kita sentiasa mendoakan mereka supaya dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan orang dianugerahi nikmat daripada nabi, siddiqin, orang mati syahid dan orang soleh. Allahumma unqulhum min diq al-qabri wa al-luhud ila jannatika jannatil khulud... Ya Allah, pindahkan mereka daripada sempitnya kubur dan liang lahat ke taman syurga-Mu yang kekal bersama orang yang Engkau anugerahkan nikmat daripada golongan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin. 

Empat golongan inilah yang menjadi tonggak keberhasilan dakwah setiap nabi yang membawa risalah agama. Jika tidak ada mereka, maka risalah itu akan sia-sia tanpa makna. Mereka adalah golongan yang mempercayai risalah ajaran agama yang diturunkan Allah kepada manusia.

Nabi sebagai pemimpin membawa risalah agama, siddiqin sebagai pengikut mempercayai bulat-bulat ajaran risalah berkenaan. Syuhada pula sebagai pengawal memperjuangkan dengan harta dan nyawa mereka risalah yang dibawa nabi itu, manakala salihin sebagai pelaksana adalah golongan manusia yang mengamalkan risalah secara amnya agar agama Allah tetap dilaksanakan di muka bumi. Dengan kewujudan empat golongan manusia ini maka terserlah pelaksanaan risalah Allah dan sempurnalah agama. 

Keempat-empat golongan ini adalah tonggak keberhasilan masyarakat utama yang unggul yang dicita-citakan al-Quran. Dengan kewujudan mereka, nikmat dan rahmat kurnia Allah akan diperoleh oleh sesuatu umat.

Imam Fakhrurrazi dalam kitab tafsirnya, Mafatih al-Ghaib, jilid 5, muka surat 273-278 menjelaskan secara terperinci keempat-empat golongan dalam ayat 69 Surah al-Nisa di atas. 

Jika nabi sudah jelas siapa sebenarnya mereka, tapi siddiqin, syuhada dan salihin belum jelas personaliti mereka. Oleh itu, Imam Fakhrurrazi ketika sampai pada penjelasan nabi tidak menjelaskan secara terperinci. Tapi, baki tiga golongan dijelaskan lebih lanjut. Kenabian adalah sifat yang tidak boleh didapati oleh siapa pun kecuali diberikan Allah, manakala sifat siddiq, syahid dan soleh boleh diperoleh oleh sesiapa yang mendambakan dan mencarinya. 

Dalam mentafsir tiga sifat berkenaan, al-Razi menyebut bahawa ada yang berpendapat ketiga-tiga sifat itu hanya dimiliki oleh seseorang saja tapi ada juga yang berpendapat bahawa ia boleh dipisahkan yakni masing-masing satu sifat bagi tiga golongan manusia. 

Siddiqin pula ada yang berpendapat bahawa mereka adalah mana-mana individu yang mempercayai mana-mana agama, atau pembesar di kalangan sahabat nabi, atau orang yang terdahulu mempercayai nabi. 

Di pihak lain, syuhada tidak hanya dikhaskan bagi orang yang mati syahid dalam memerangi orang kafir tapi ia lebih luas lagi daripada sekadar terbunuh dalam peperangan. Al-Razi mempunyai beberapa alasan mengenainya termasuk pengertian syahadah lebih luas daripada hanya mati syahid tapi ia juga boleh bermakna apapun perjuangan dan orang mukmin diajarkan untuk berdoa meminta syahadah di mana jika ia diertikan dengan mati syahid saja maka ia dilarang oleh agama kerana kita dilarang untuk memohon kematian dari Allah. Jadi, pengertian syuhada dalam ayat ini adalah orang yang mempercayai kebenaran agama Allah menerusi perjuangan dengan hujah dan penjelasan mahupun perjuangan pedang dan alat peperangan yang lain. 

Akhirnya, orang soleh adalah orang yang betul dan benar akidah serta amal ibadahnya kerana kebodohan adalah kerosakan i'tikad, manakala maksiat adalah kerosakan amal ibadah. Kesimpulannya menurut al-Razi setiap siddiq adalah syahid tapi tidak setiap syahid adalah siddiq. Begitu pula, setiap syahid adalah orang soleh tapi tidak setiap orang soleh adalah syahid. 

Keempat-empat golongan di atas adalah pelaku dakwah, sekali gus hasil daripada kejayaannya yang dilakukan berdasarkan ayat yang bermaksud: 

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk." – (Surah al-Nahl:125) 

Dalam konteks umat Nabi Muhammad SAW, keempat-empat golongan adalah hasil upaya Nabi yang dijelaskan al-Quran maksudnya: 

"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." – (Surah al-Nahl:127) 

Dalam beberapa riwayat hadis dikisahkan bahawa ada beberapa sahabat nabi berasa sedih dan gundah gulana apabila memikirkan keadaan masa hadapan di akhirat. Seorang antara mereka ada yang berkata kepada Rasulullah bahawa dia selalu mengingati Baginda walaupun dia sudah sampai di rumah kemudian kembali lagi ke masjid hanya untuk berjumpa dengan Baginda. Yang menyedihkannya adalah jika di akhirat kelak, bagaimana dia boleh berjumpa dengan Nabi kerana dia tidak sedarjat. Allah mendengar rintihan ini dan tidak membiarkan kesedihan lama berlaku maka diturunkan wahyu yang memberi khabar gembira dalam ayat 69 Surah al-Nisa di atas. 

Walaupun mereka tidak sedarjat dengan Nabi, tapi mereka boleh bersama dengan Nabi sebagai habuan daripada taat mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Satu pertanyaan yang mungkin dibangkitkan di sini adalah bagaimana dengan kehidupan hari ini di mana sudah tidak ada Nabi lagi? 

Kemusykilan di atas boleh diatasi dengan satu kenyataan bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Jadi penyebar ajaran agama menjadi tanggungjawab ulama dan di samping ulama ada siddiqin, syuhada dan salihin yang selalu berganding bahu dalam menegakkan agama Allah. 

Agama Allah memerlukan ulama, siddiqin, syuhada dan orang salih agar ia tetap hidup menurut rancangan Ilahi. Dengan tegaknya agama Allah yang dilaksanakan oleh keempat-empat golongan ini maka kenikmatan hidup di dunia akan dikecapi oleh umat sebagaimana mereka akan mengecapi di akhirat kelak. Oleh itu, jika masyarakat ingin mendapatkan nikmat dunia maka mereka mestilah menghargai keempat-empat golongan ini agar keberkahan hidup dianugerahkan Allah. 

Dalam sebuah hadis disebutkan maksudnya: 

"Hai manusia, sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar, dan faham agama itu dengan menuntut faham, dan siapa yang Allah menghendaki kebaikan pada dirinya, Dia menjadikannya memahami agama, dan sesungguhnya yang takutkan Allah itu adalah ulama'. (Hadis riwayat Bukhari) 

Keempat-empat golongan ini dalam menjunjung tugas melaksanakan ajaran agama akan sentiasa mengingati perintah nabi yang bermaksud:

"Tegakkan batas-batas Allah pada yang hampir dan yang jauh dan jangan pedulikan celaan orang yang mencela di dalam perkara agama Allah." – (Hadis riwayat Ibnu Majah). Dan juga hadis yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kamu dibangkitkan sebagai orang yang bersikap pemudah bukannya pemayah." – (Hadis riwayat Bukhari) 

Keempat-empat golongan ini akan menjadikan manusia sebagai manusia dan menonjolkan kemanusiaan manusia bukan kebinatangan manusia agar mengecapi kenikmatan hidup. Mempromosi kemanusiaan manusia adalah satu keindahan. 

Oleh Abdurrahman Haqqi

Berita Harian, Sudut Agama 13 Julai 2008

 

SENI QASIDAH

27 hb Februari 2015/ 9 Jamadil Awwal 1436H

Salah satu jenis muzik dan sastera tertua dalam Islam adalah qasidah. Bahkan jika dikaji dari sejarahnya, seni ini sudah ada sebelum kedatangan Islam. Orang Arab yang terkenal memilik cita rasa tinggi terhadap puisi dan syair memperkenalkan qasidah sebagai salah satu bentuk syair yang diagung-agungkan mereka.

Dalam masyarakat pra-Islam, qasidah adalah bait- bait syair (terdiri daripada 6-10 bait) yang memuatkan puji-pujian dan penghormatan kepada tokoh atau orang tertentu yang dianggap berjasa kepada masyarakat. 

Ketika Islam datang, kandungan qasidah berisi puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Qasidah kemudiannya dilagukan dengan iringan muzik.

Qasidah moden

Di Malaysia, qasidah sering dikaitkan dengan muzik Arab atau gambus yang diiringi rebana atau alat muzik khas Arab lain. Seiring dengan kemajuan teknologi dan penerimaan orang Islam terhadap muzik, qasidah turut mengalami modenisasi. 

Beberapa kumpulan qasidah bahkan menamakan diri mereka sebagai kumpulan "qasidah moden". Nyanyian mereka tidak lagi hanya diiringi rebana tetapi juga alat muzik elektronik moden.

Al- Muhalhal bin Rabiah al- Tuglabi

Para penulis sastera Arab berpendapat, orang pertama yang mencipta qasidah ialah penyair Arab al- Muhalhal bin Rabiah al- Tuglabi yang hidup beberapa tahun sebelum Nabi Muhammad SAW lahir.

Qasidah kemudian mengalami perkembangan ketika para penyair pra- Islam terkenal seperti Umru al-Qais, Alqamah dan ubaid menulis syair-syair qasidah dan membacakannya di depan Kaabah. Bahkan ada beberapa qasidah yang ditulis oleh Umru al- Qais yang menjadi sebahagian daripada syair yang digantung di dinding Kaabah.

Rebana

Biasanya lagu-lagu qasidah diiringi rebana dan tamborin. Rebana berfungsi sebagai alat muzik yang mengiringi nyanyian lagu keagamaan berupa pujian terhadap Allah SWT dan rasul-Nya.

Oleh sebab fungsinya yang demikian itulah maka alat muzik ini disebut rebana. Rebana berasal daripada kata rabbana, yang maksudnya wahai Tuhan kami (suatu doa atau pujian terhadap Tuhan).

Al- mutanabbi

Qasidah mencapai kemuncaknya pada zaman Abbasiyah. Para penyair Islam seperti al- Mutanabbi, tidak hanya mencipta syair qasidah, tetapi juga mengembangkan ilmu yang menjadi kaedah penulisannya, iaitu 'ilm 'arud. 

Pada zaman Mamluk, qasidah mendapat perhatian bersungguh- sungguh. Al-Busyiri, seorang penyair, mengarang himpunan qasidah yang dikenali dengan qasidah Burdah. Qasidah ini memuatkan pujian kepada Nabi Muhammad SAW.

Penulisan syair lagu Qasidah berzanji yang kini popular di kalangan masyarakat di Indonesia dan Malaysia, banyak dipengaruhi oleh buku karangan al-Busyiri.

Qasidah zaman nabi 

Tradisi qasidah ialah salah satu peninggalan budaya, jahiliah yang tidak mati dengan datangnya Islam. Qasidah tetap hidup dan disukai orang Arab. Cuma kandungan qasidah tetap hidup dan disukai orang Arab.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 6/12/2011

 

PERSAUDARAAN ISLAM JAMIN KEAMANAN HIDUP BERMASYARAKAT

20 hb Februari 2015/ 5 Jamadil Awwal 1436H

Kedatangan Islam ialah untuk menjamin kerahmatan sekalian alam. Hukum hakam dan syariatnya bertujuan menyatukan hati manusia dan menghimpunkannya dalam satu barisan, mencegah daripada berlaku perpecahan dan persengketaan. Matlamat akhirnya nanti, terbentuklah masyarakat yang tunduk hanya kepada Allah, cita-citanya meninggikan kalimah-Nya jua, yang hak ditegakkan, kebaikan dilaksanakan dan kemungkaran dijauhkan.

Namun perlu diberi penekanan, setinggi manapun cita-cita dan semurni manapun tujuan, tidak dapat tidak, usaha menegakkan kalimah Allah adalah kerja jamaie atau berkumpulan dan bersama, bukannya mudah untuk dapat dicapai secara bersendirian. 

Hubungan sesama masyarakat Islam diikat melalui ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam. Walaupun keturunan berbeza, tahap kekayaan tidak sama, bahasa dan warna kulit yang pelbagai, mereka diikat dengan satu ikatan akidah. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” – (Surah al-Hujurat ayat 10) 

Persaudaraan ini bukan sekadar hubungan biasa setakat bertegur sapa atau bertukar-tukar juadah pada Ramadan, tetapi menuntut kepada pelaksanaan beberapa hak kerana Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: 

“Perumpamaan orang mukmin itu dari sudut kasih sayang ialah seumpama satu jasad yang apabila sakit satu anggota badan, seluruh anggota lainnya akan turut berasa sakit dan berjaga malam”. 

Dalam menjaga ikatan persaudaraan ini, Islam menyusun atur beberapa adab bagi memastikan ukhuwah Islamiah itu selari dengan tuntutan syarak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain, janganlah ia menzalimi dan menganiaya serta mencela saudara Muslimnya. Setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram darahnya ditumpahkan, harta dan maruahnya tidak boleh dimusnahkan.”

Islam juga memerintahkan supaya menjaga kehormatan saudara Muslimnya. Sehubungan itu, perasaan orang Islam lain mesti dijaga. Islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan mendedahkan aib orang lain, mencari keburukannya, berburuk sangka atau memulaunya. Sifat mazmumah ini adalah antara faktor yang memutuskan perhubungan, merobek simpulan kasih sayang, menyemai perasaan benci dalam hati dan melebarkan rasa permusuhan sesama manusia. Sehubungan itu, Allah SWT memberi petunjuk-Nya secara jelas dan menyeluruh melalui firman-Nya yang bermaksud: 

“Wahai orang yang beriman, janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.” – (Surah al-Hujurat ayat 11) 

Dalam ayat selanjutnya, Allah SWT menyambung firman-Nya yang bermaksud: 

Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” – (Surah al-Hujurat ayat 12)

Agama yang mulia ini juga mengajar nilai murni menunaikan janji dan menjaga amanah. Perbuatan mungkir dalam berjanji dan khianat akan membawa kepada mudarat yang sangat besar dan melumpuhkan rasa saling percaya mempercayai di antara sesama mukmin. Kesannya juga seseorang itu tidak lagi akan dipercayai kata-katanya pada masa yang akan datang, amalannya dipertikaikan, malah boleh dianggap sebagai orang yang telah hilang nilai keimanan dalam dirinya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian.” – (Surah al-Maidah ayat 1). 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna seseorang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama mereka yang tidak menunaikan janji.”

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman bermaksud: 

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” – (Surah al-Anfaal ayat 27) 

INFO: Adab menjaga ikatan persaudaraan

•  Islam melarang menzalimi, mencela dan menganiaya sesama Muslim apatah lagi hingga menyebabkan pertumpahan darah

•  Kita dilarang mengumpat dan mengaibkan orang lain kerana ia akan mencetuskan permusuhan dan kebencian

•  Umat Islam digalak menunaikan janji.

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

 

Sudut Agama, Berita Harian, 20/10/2011

 

“VALENTINE DAY”; PERSOALAN DAN HAKIKAT

13 hb Februari 2015/ 24 Rabiul Akhir 1436

Kasih sayang dan cinta mengikut Islam tidak perlu Hari Valentine, akan tetapi cinta berlandaskan syarak kena dipupuk sepanjang masa.Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain. Tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat. 

Hakikatnya, Islam adalah agama yang praktikal, bukan mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang antara umatnya.

Dalam Islam ada tiga kategori kasih, iaitu:-

(Pertama), kasih Pencipta (Allah) kepada hamba-Nya.

(Kedua), kasih hamba kepada Pencipta dan 

(Ketiga) kasih makhluk sesama makhluk.

Banyak ayat al-Quran dan hadis menyatakan mengenai hikmat dan besarnya faedah berkasih saying. Allah menjelaskan keagungan nikmat-Nya kepada makhluk-Nya melalui nikmat kasih sayang yang tafsirnya: 

"Dan (Dialah) yang menyatupadukan antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di muka bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan antara (hati) mereka." 

(Surah al-Anfaal, ayat 63).

Firman-Nya lagi bermaksud: 

"Lalu Allah menyatukan antara hati (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." 

(Surah Ali Imran, ayat 103).

Dengan penjelasan ayat di atas bahawa Allah sangat mencela dan mengingatkan dengan keras terhadap perpecahan sesama makhluk. Allah juga memerintahkan umat Islam supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah dan melarang berpecah belah dan bermusuhan.

Kasih sesama makhluk pada sifatnya tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan. Tetapi kasih hamba kepada pencipta-Nya dengan iman dan takwa dan kasih Pencipta kepada hamba-Nya adalah berkekalan. Hal ini jelas seperti firman Allah bermaksud: 

"Katakanlah (Wahai Muhammad SAW): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui." (Surah Ali Imran, ayat 31).

Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Maznah Daud, berkata nilai kasih sayang itu begitu tinggi.

Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah bermaksud: 

"Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, kamu tidak dapat masuk syurga selagi tidak beriman, dan tidak beriman selagi tidak berkasih sayang sesama manusia. Sukakah saya tunjukkan perbuatan yang kalau kamu kerjakan dapat menimbulkan kasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu." 

(Hadis riwayat Muslim)

Katanya, banyak cara untuk masyarakat Islam menunjukkan kasih sayang berterusan seperti berziarah, menghebahkan salam dan mensejahterakan hubungan sesama manusia dengan mengelak perbuatan yang boleh merosakkan hubungan harmoni.Beliau berkata, sekiranya ingin juga diluahkan perasaan sayang dengan cara lebih istimewa, ia boleh dilakukan pada hari lain seperti hari ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan atau dengan mengadakan jamuan meraikan insan tersayang.

“Kita boleh meraikan orang yang disayang tetapi jangan terikat atau terikut kerana banyak cara untuk menunjukkan kasih sayang mengikut landasan yang dibenarkan,” katanya.

Maznah berkata, umat Islam tidak sepatutnya mengikat hasrat melahirkan perasaan kasih sayang dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat lain. Katanya, pemilihan hari tertentu untuk melahirkan perasaan sayang seperti 14 Februari yang dikaitkan dengan sambutan Hari Valentine menampakkan sangat kita suka mengikut-ikut.

“Takut nanti disebabkan terikut, hanya hari itu kita beri layanan istimewa kepada orang tersayang, sedangkan Islam mengajar kita untuk sentiasa menyayangi sesama insan,” katanya.

Pendakwah dan perunding motivasi, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, Hari Valentine bukan budaya Islam kerana Islam tidak menetapkan hari khusus untuk melahirkan perasaan kasih sayang.

Beliau berkata, 14 Februari yang diisytiharkan orang Barat sebagai Hari Kekasih dengan jelas merujuk kepada mitos yang berkisar peristiwa menimpa seorang paderi bernama Valentine atau Velentino.

Oleh itu katanya, tidak wajar hari yang tiada kaitan dengan perayaan dalam Islam itu disambut terutama dengan cara sambutan yang boleh menjurus kepada perkara mungkar atau maksiat.

“Usah terjerat hendak merayakan hari kekasih seperti dilakukan orang Barat. Kita sepatutnya kembali kepada tatacara Islam sebenar kerana kasih sayang menurut Islam sepanjang masa, bukan pada hari tertentu.

“Kasih sayang kita sepatutnya tidak bermusim dan amalan membeli bunga serta bertemu itu perkara yang boleh menjerumus remaja atau pasangan yang hangat bercinta ke arah perkara maksiat,” katanya.

Katanya, umat Islam sewajarnya mengambil pengajaran daripada sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, ia akan termasuk dalam kaum itu.”

Wan Akashah berkata, pihak berkuasa, ibu bapa dan guru juga perlu mengambil tanggungjawab menerangkan kepada kanak-kanak serta remaja bahawa Hari Valentine bukan budaya kita dan perlu dielakkan daripada menyambutnya.

 

INTI PATI

Cara umat Islam tunjukkan kasih sayang berterusan

Berziarah.

•Menghebahkan salam.

•Mensejahterakan hubungan sesama manusia.

•Mengelakkan perbuatan yang boleh merosakkan hubungan harmoni.

•Luahkan perasaan kasih sayang atau mengadakan jamuan meraikan hari istimewa seperti hari ulang tahun kelahiran insan tersayang, ulang tahun perkahwinan.

Petikan dari Berita Harian, Sudut Agama, 11 hb Februari 2006.

 

BAHAYA LIDAH TAK BERTULANG

30 hb Januari 2015/ 9 Rabiul Akhir 1436

Manusia diberikan kebebasan untuk bercakap dan berbuat sesuatu. Namun, setiap tindakan tidak terlepas begitu saja. Semuanya akan dihitung serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8 bermaksud: 

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”   

Percakapan ataupun tutur kata adalah antara perlakuan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Dengan anugerah dikurniakan Allah, manusia berupaya untuk menuturkan apa-apa saja mengikut dorongan hati, nafsu dan akal.  Malah, tanpa iman, kata-kata yang dikuasai oleh nafsu akan sentiasa membasahi lidah.  

Hakikatnya, dengan kata-kata pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada kepada yang baik atau sebaliknya.  Keadaan saling menghina dan mengeluarkan perkataan kesat, perselisihan faham, keruntuhan institusi kekeluargaan dan keruntuhan moral dalam kalangan remaja semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal.Apabila demikian akan ada yang menghamburkan pelbagai bentuk perkataan tidak wajar pada tempatnya.

Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di dunia, kita haruslah sentiasa ingat bahawa setiap yang kita tuturkan tidak terlepas daripada catatan malaikat yang sentiasa memerhati setiap gerak-geri kita.  Firman Allah dalam surah Qaf, ayat 18 bermaksud: 

“Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” 

Ucapan yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam di dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, ramai akan terpikat dengan keindahan dan kebenaran Islam.  Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri manusia.  Hal ini amat jelas apabila Allah memerintah Nabi Musa dan Nabi Harun AS untuk menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya kepada jalan Allah.  Lalu diperintahkan kedua-duanya menuturkan perkataan baik, bukannya dengan angkuh dan bermegah-megah.  Firman-Nya dalam surah Thaha, ayat 43 dan 44 bermaksud: 

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.”  

Begitulah pentingnya kata-kata yang baik dan benar dalam proses dakwah. Keadaan ini bukan saja akan mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu mencerminkan keindahan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi dan mulia.

Selain itu, Allah menyatakan antara ciri hamba-Nya yang cemerlang adalah mereka mendapat gelaran ‘ibad ar-Rahman’ iaitu mereka yang baik tutur katanya.  Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil, mereka tidak membalasnya melainkan dengan ucapan yang baik.  Inilah suatu keadaan yang mungkin bagi kita berasa sukar untuk mempraktikkannya.  Namun, bagi mereka yang betul-betul memiliki ciri keperibadian mulia, ia sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.  Firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 63 bermaksud: 

“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.”  

Tidak dinafikan, meskipun tutur kata yang digunakan indah dan baik, tetapi barangkali ia tidak sesuai dilafazkan pada tempatnya, maka ia juga boleh membawa kepada konflik dalam hubungan sesama manusia.  Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah sesuai dengan keadaan dan adat kelaziman pendengar.  Hal ini perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi di negara yang memiliki pelbagai jenis bahasa dan budaya.  Menyedari hakikat ini, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan sentiasa menjaga tutur kata agar ia tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah.

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Penulis ialah pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : 11/10/2014

 

CARA RASULULLAH ATASI KRISIS EKONOMI

23hb Januari 2015 / 3 Rabiul Akhir 1435H

Sebenarnya persoalan krisis ekonomi pernah terjadi pada masa Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Namun dengan metod, kerjasama dan kesabaran, krisis tersebut dapat ditangani dengan jayanya terutama pasca hijrah Baginda dan sahabat di kota Madinah (Yathrib) yang terkenal dalam sektor pertanian dan perniagaan.Di sana terdapat pasar yang mengandungi segala sektor perekonomian, perindustrian, penternakan serta perdagangan telah berjalan dengan baik dan lancar.  

Madinah adalah sebuah kota lokasi sangat strategik yang sebahagian besar berorientasi bahan pertanian. Oleh kerana itu, sebahagian besar penduduknya bergantung pada sektor pertanian dan perdagangan. Produk pertanian yang utama adalah buah anggur dan kurma. Situasi Madinah dapat dilihat dari gambaran yang diinformasikan al-Quran yang maksud-Nya: 

“Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Ra'du: ayat 4).

Selain itu, kota Madinah juga kaya dengan produksi dari hasil tanaman gandum, sayur-sayuran, buah-buahan dan juga barli. Tidak hanya itu, kota ini juga adalah pengeluar terbesar buah kurma atau tamar terutama menjelang musim kemarau. Daripada penghasilan ini saja, kota Madinah dapat memainkan peranan penting dalam perekonomian di kawasan sekitarnya.

Kurma adalah suatu jenis pohon yang mempunyai multi fungsi, sebab seluruh bahagian pohon tersebut mempunyai manfaat, buahnya sebagai makanan, batangnya dapat dijadikan tiang-tiang rumah, sedangkan daunnya dapat dijadikan bahan penguat dan juga makanan haiwan.

Gambaran strateginya lokasi Madinah juga dapat dilihat dari kebun-kebun yang dipagari serta dipenuhi dengan telaga-telaga kandungan air mineral yang banyak. Tegasnya Madinah adalah kota yang sangat strategik ditambah penghuninya sangat mahir dalam bidang pertanian.Dengan banyaknya infrastruktur ekonomi yang ada di Madinah, para pelaku pasar telah menerapkan berbagai sistem ekonomi pada ketika itu. Di antaranya sistem perekonomian yang dijalankan seperti sistem al-Muzara'ah, al-Mu'ajarah, al-Muzabanah, al-Mu'awamah. Sistem--sistem yang ada itu sebahagian digunakan sebagai sistem ekonomi Islam dan sebahagian lainnya dimurnikan oleh ajaran Islam.

Sebagai kota penting pada masa itu, walaupun Madinah adalah kota yang kaya dengan bahan makanan pokok, namun tetap mengimport beberapa produk sebagai tambahan makanan yang sedia ada. Misalnya tepung gandum, lemak sapi, madu dan beberapa jenis makanan lainnya diimport dari negara jiran seperti Jordan dan negara sekitarnya.

Peristiwa ini dirakam oleh hadis dari Qatadah bin Nu'man yang diriwayatkan Imam Tirmizi. Makanan pokok masyarakat Madinah adalah kurma dan gandum. Kadang-kadang mereka bawa masuk barang dari luar dengan menggunakan dafitah (alat pemikul barang diletakkan di kiri kanan belakang unta, kuda dan sebagainya).

Madinah yang mempunyai sumber daya dan letaknya yang sangat strategik, ternyata tidak menjamin terjadinya kemakmuran di negeri itu. Bahkan sebaliknya Madinah pernah diterpa dan terlibat krisis ekonomi yang berpanjangan.Kesejahteraan tidak terjadi secara merata, perbezaan taraf ekonomi masyarakat sangat ketara. Sebahagian masyarakat sangat kaya, namun sebahagian lainnya miskin. Lebih dari itu, ditambah dengan krisis politik yang disebabkan terjadi pertikaian dan konflik para elit politik waktu itu. Keadaan ini memberi impak negatif terhadap pengurusan sumber daya alam dan manusia di kota Madinah.

Di samping itu, ketika kaum Muhajirin berhijrah dari Mekah ke Madinah sebenarnya tidak membawa bekal yang cukup seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Namun sebagai seorang pemimpin yang bijak, keadaan ini telah dikuasai Rasulullah SAW.

Justeru sebelum berangkat berhijrah ke Madinah, sesungguhnya Rasulullah telah melakukan penyelidikan, mengumpulkan data hasil pemerhatian awal yang dilakukan para sahabat. 

Sebelum berhijrah ke Madinah, Rasulullah mengutus Mus'ab bin Umair untuk melihat keadaan sosio politik dan sosio ekonomi Madinah sebagai bekal sebelum memasuki tempat kota berhijrah tersebut.Lagi pula dalam sektor ekonomi, pada waktu itu di Madinah telah berada dalam cengkaman sistem kapitalis Yahudi, di mana mereka telah memegang sumber-sumber ekonomi yang berdasarkan sistem riba yang berleluasa. Sistem monopoli telah merosak norma-norma kemanusiaan.

Kaum Yahudi juga telah melakukan berbagai propaganda dalam menghancurkan dakwah Islam yang dijalankan Rasulullah dan para sahabat. Mereka juga melakukan usaha penghasutan dengan pemboikotan agar tidak memberikan bantuan makanan kepada kaum Muhajirin yang datang dari Mekah.

Krisis ekonomi juga ketika itu disebabkan peperangan antara suku Aus dan Khazraj yang berpanjangan. Peperangan yang memakan waktu cukup lama itu tentunya mengeluarkan biaya perang yang bukan sedikit, seperti membeli peralatan senjata dan alat perang lainnya.

Kaum Muhajirin juga sedang mengalami masa transisi ekonomi akibat perpindahan yang mereka lakukan. Kemampuan ekonomi mereka sangat terbatas, apa lagi krisis ekonomi bawaan dari Mekah yang telah mereka hadapi sebelumnya. Tentunya keadaan ini menjadikan krisis ekonomi di Madinah semakin parah dan bertambah.Keadaan yang sangat ketara ini juga, ditambah lagi terjadi pada tahun sembilan hijrah, iaitu berhadapan dengan tentera Romawi pada perang Tabuk. Di mana waktu itu berlaku musim panas yang berpanjangan di Madinah, tentera Romawi lebih bersiap sedia dengan peralatan dan gendangan perangnya.

Berbagai himpitan situasi krisis ekonomi yang dihadapi Rasulullah SAW dan para sahabat dengan segala faktor yang melingkunginya. Namun Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan bijaksana mengatasi krisis tersebut dengan tekun dan jayanya.

Ibrahim Abdullah

Bicara Agama, Utusan Malaysia 11/5/09

 

ADAKAH MAULIDURRASUL MERUPAKAN SATU BID’AH?

25 hb Februari 2010/ 12 Rabiul Awwal 1431H

Siaran semula 16 hb Januari 2015 bersamaan 25 Rabiul Awwal 1435H

Hari Maulidurrasul (kelahiran) Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk memuliakan Nabi Muhammad SAW berasaskan firman Allah dalam Al-Quran (terjemahannya ) :- 

"maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) mereka itulah yang beruntung." 

(Surah Al-Araf: ayat 157 ) 

Hari Maulidurrasul pertama kali diselenggarakan oleh Sultan Salahudin al Ayyubi ketika menghadapi pasukan Salibiah bagi membakar semangat berjuang dan berkorban, untuk menyelamatkan umat Islam dan sebagai memperingati kejayaan Sultan Salahuddin al Ayyubi berhasil memimpin tentera Islam memasuki Jerusalem. 

Maulidurrasul disambut setiap 12 Rabiul Awal dimana zikir khusus akan diadakan di masjid-masjid dan bacaan berzanji akan diperdengarkan seawal Rawi yang pertama. Perarakan secara besar-besaran yang disertai oleh lelaki, perempuan, dan kanak-kanak akan diadakan di bandar dan kampung sambil menyanyikan lagu-lagu memuji Nabi Muhammad S.A.W. juga akan diadakan untuk memeriahkan hari yang mulia ini. Jamuan makan juga dianjurkan diadakan oleh orang perseorangan atau pertubuhan untuk semua orang khususnya fakir miskin. Di dalam majlis inilah, banyak ceramah-ceramah yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama bagi memberi kesedaran bagi umat Islam di dalam memperingati hari kelahiran Junjungan kita yang mulia ini.

Terdapat 2 pendapat mengenai Maulidurrasul, iaitu:-

(Pendapat pertama) melakukannya adalah satu perbuatan yang dianjurkan (digalakkan) bagi umat Islam agar dapat memupuk sikap menyayanigi Rasulullah s.a.w dan memperingati sirah dan perjuangan Baginda. 

(Pendapat kedua) pula menyatakan menyambut hari Maulud adalah satu bidaah disebabkan ia tidak pernah dilakukan semasa zaman Rasullullah dan para sahabat. Sungguhpun ianya bid’ah, akan tetapi ianya tergolong di bawah kategori bid’ah hasanah; bid’ah yang tidak bertentangan bahkan dibenarkan dan digalakkan agama.

Menurut pendapat pertama, hujah mengapa Maulidurrasul boleh diraikan adalah :- 

Bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. datang ke Madinah maka beliau mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi S.A.W. bertanya kepada orang Yahudi itu: 

"Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" 

Jawab mereka: 

“Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan. “

Maka Nabi S.A.W. berkata: 

"Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu." (Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata bahawa dari hadis ini dapat dipetik hukum: 

Umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya Maulidurrasul, Isra’ dan Mikrajj dan lain-lain. Nabi pun turut memperingati hari tenggelamnya Firaun dan bebasnya Musa, dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

Rujukan http://www.kusza.edu.my/~hakim/Islam/Masalah/maulud.html

 

MAULIDUR RASUL DEKATKAN GENERASI MUDA DENGAN NABI MUHAMMAD

9 hb Januari 2015 bersamaan 18 Rabiul Awwal 1435H

Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini menimbulkan pertikaian kerana ada pihak bersetuju tradisi itu diteruskan dan ada juga melarang program itu dianjurkan sebagai menterjemahkan perasaan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad. Ada sesetengah pendapat yang melampau menyamakan perarakan Maulidurrasul sama dengan perarakan Thaipusam; satu pendapat yang sanagt merendahkan dan jumud pemikirannya, bukan dari seorang kafir tetapi dari seorang yang bertitle ustaz.

Sejak berzaman, perarakan sempena Maulidur Rasul dianjurkan umat Islam di negara ini tanpa ada pandangan sinis masyarakat majmuk. Ia adalah ekspresi terhadap kasih sayang umat Islam sempena lahirnya pembawa kalamullah. 

Rasulullah adalah kekasih umat Islam. Tetapi bagi pihak yang lebih suka bercerita mengenai budaya agama lain, membicarakan mengenai Nabi Muhammad mungkin dianggap sebagai kurang menarik perhatian. Kita semua jangan terpedaya dengan psikologi songsang yang dibicarakan orientalis sejak dulu; kini bukan sahaja dari orientalis tetapi pendapat jumud dan berlapuk dari satu puak pelampau yang kononnya melabel diri mereka sebagai salafi. Kepada yang masih kabur kenapa kita wajar menzahirkan kasih serta ingatan terhadap Nabi Muhammad, banyak perkara perlu diberi perhatian. 

Adalah menyedihkan apabila isu perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dijadikan modal politik dengan dilihat seperti upacara tarik tali dan langsung tidak menyumbang kepada kesyumulan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. 

Apakah budaya dan agama dianggap perkara remeh oleh pihak terbabit. Buka mata kepada perkembangan semasa yang menakutkan apabila bayi dibuang secara berleluasa dan dibakar seperti sampah dan dalam masa yang sama kita menganggap amalan agama tidak penting serta tidak mendatangkan kebaikan. 

Tanpa amalan agama disemarakkan dalam masyarakat, apa akan jadi kepada anak yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan negara. Apa garis panduan boleh dijadikan sempadan kepada mereka apabila berhadapan dengan isu keagamaan. 

Isu membabitkan kepentingan umat Islam terutama perkara berkaitan akidah serta amalan keagamaan tidak boleh dipandang remeh apatah lagi usaha penghapusan program yang memberi kesedaran terhadap nilai murni Islam. Agama bukan soal kecil yang boleh diperbetulkan seperti mengganti minyak hitam dalam enjin kereta atau seperti menambah nilai talian pra-bayar. Umat Islam perlu sedar, Malaysia yang aman ini kerana agama Islam progresif yang menjadi akidah selama ini. 

Bukan kerana kemajuan dan wawasan dibuat tanpa ada asas agama di dada. Oleh itu, pemimpin perlu lantang mempertahankan amalan agama yang menjadi sebahagian syiar Islam. 

Berarak atau tidak bukan isu tetapi natijah daripada amalan itu yang menunjukkan penghormatan terhadap insan idola umat Islam yang banyak memberi panduan daripada perkataan dan perbuatan dalam membentuk kehidupan baik di dunia serta akhirat. 

Alangkah sedihnya jika generasi akan datang bertanyakan kepada kita siapa Muhammad bin Abdullah sedangkan kita mempunyai banyak peluang memperkenalkan nama hebat itu sama ada secara langsung atau tidak. 

Sekurang-kurangnya sambutan meraikan kelahiran Nabi Muhammad setiap tahun menyemarakkan ingatan serta menjawab persoalan yang menjurus kepada riwayat hidup Baginda yang penuh warna dan sumber pendidikan kepada semua lapisan masyarakat. 

Diubah suai dari artikel asal:

Oleh Abdul Razak Idris

Sudut Agama, Berita Harian 24/2/2010

 

 

MUSIBAH UJI KESABARAN, KEIMANAN UMMAH

Jumaat, 9hb Januari 2015/ 18 Rabiul Awwal 1435H

Daripada Anas ra katanya, Rasulullah SAW bersabda:

"Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki hambanya dengan keburukan, ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya pada hari kiamat." 

Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi) 

Berdasarkan hadis itu, dapat difahami bahawa setiap perbuatan manusia sama ada baik atau buruk akan menerima balasan pahala atau dosa. Malah bagi setiap perbuatan itu, sudah ditetapkan yang balasan itu akan diturunkan kepada manusia tetapi tidak diketahui sama ada diturunkan dengan segera atau lambat. 

Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah. - Riwayat Tirmizi 

Bagi orang beriman, mereka akan akan diuji menurut tahap keimanan dan kedudukan mereka di sisi Allah. Malah ujian yang ditimpakan kepada manusia adalah sesuai dengan kemampuan untuk menanggungnya seperti firman Allah SWT bermaksud:

 “Allah tidak menguji seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah ayat 286)

Sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu adalah sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Cuma sebagai hamba, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Sekiranya seseorang itu tidak berusaha untuk menghadapinya, sudah pasti mereka tidak mampu berdepan dengan ujian yang sedang menimpanya.Walaupun begitu, hamba yang ditimpa ujian tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya perlu menginsafi setiap kesalahan dan kesilapan yang dilakukan sebelum ini kerana ujian itu adalah kifarah (balasan) setiap perbuatan jahat manusia sepanjang hidupnya.

Manusia yang menerima ujian perlu bersabar sama ada menghadapi ujian penyakit atau bala bencana kerana ia bertujuan menghapus dosa. Ujian yang menimpa orang beriman juga adalah satu petanda yang seseorang itu disayangi Allah SWT. 

Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 

“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebajikan, baginya ditimpakan penderitaan ke atasnya.”

Dalam hadis lain diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: 

“Allah berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud, “Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang Aku ambil kembali kekasihnya di dunia, kemudian dia mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan (orang itu akan mendapat balasan) syurga.”

Hadis ini agak unik kerana memberi maksud, kesusahan atau keperitan hidup dialami seseorang sebenarnya akan menerima lebih banyak kelebihan. Musibah yang ditimpakan ke atas orang yang beriman akan meningkatkan darjatnya di sisi Allah atau menghapuskan dosanya jika dihadapi dengan reda dan sabar. Di sini dapat diakui, antara musibah yang menimpa manusia yang beriman dan dituntut bersabar ialah apabila kehilangan orang yang disayangi. Hadis itu menuntut kita supaya bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa, kerana ganjaran sabar di sisi Allah ialah syurga.

Allah menjanjikan tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat selain daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar menghadapi bala dunia.

Uniknya, orang kafir tidak akan mendapat sebarang ganjaran daripada amalan yang baik kerana dia tidak beriman kepada Allah dan tidak percaya wujudnya ganjaran itu.

Mengharapkan ganjaran pahala dan bersabar terhadap musibah adalah tanda kesempurnaan iman seseorang, manakala marah dan gelisah atas musibah menunjukkan kelemahan iman. 

Sudut Agama, Berita Harian, 29/03/2012

 

MAULID NABI ADALAH HARI KEGEMBIRAAN

Jumaat, 2hb Januari 2015/ 11 Rabiul Awwal 1435H

Telah banyak perbicaraan mengenai hukum menyambut Maulid Nabi. Akan tetapi tatkala ramai di kalangan umat Islam yang ingin mengetahui secara khusus mengenai dalil keharusannya, maka eloklah dipaparkan di sini beberapa sandaran yang elok untuk kita jadikan pegangan.Sesungguhnya berhimpun bagi mendengar sirah baginda, syair puji-pujian yang menyatakan tentang diri baginda, mengadakan jamuan makan adalah satu cara untuk memasukkan perasaan gembira ke dalam hati umat Islam. 

Tambahan pula, apabila ia diraikan pada bulan kelahiran Rasulullah SAW, suasananya lebih kuat untuk mengajak umat Islam berhimpun dan gejolak perasaan mereka melimpah-ruah untuk meraikannya disebabkan ikatan waktu yang bertepatan antara satu sama lain. 

Perhimpunan itu adalah satu wasilah yang besar bagi usaha dakwah kepada Allah yang juga merupakan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Bahkan wajib ke atas para pendakwah dan ulama mengingatkan umat tentang segala akhlak, adab dan ibadat Nabi SAW, memberi nasihat dan menunjukkan mereka ke arah kebaikan dan kejayaan serta memberi amaran kepada mereka mengenai bidaah, kejahatan dan fitnah.

Dalil keharusan

Terdapat beberapa dalil mengenai keharusan menyambut Maulid Nabi SAW.

Yang pertama sesungguhnya sambutan Maulid Nabi adalah cara bagi melahirkan rasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW. Diriwayatkan dalam Sahih al Bukhari bahawa telah diringankan azab Abu Lahab pada setiap hari Isnin disebabkan dia telah membebaskan hamba perempuannya Thuwaibah yang mengkhabarkan tentang kelahiran Muhammad SAW.

Berkaitan ini, al Hafiz Ibnu Nasiruddin al Dimasyqi telah menyatakan di dalam syairnya yang bermaksud: 

"Jikalaulah si kafir yang telah didatangkan cercaan ke atasnya di dalam surah al Masad dan dia kekal di dalam neraka Jahim. Sesungguhnya diberikan minuman pada tiap-tiap hari Isnin bagi meringankan azabnya kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad. Maka apakah pula sangkaanmu terhadap seorang hamba yang seumur hidupnya bergembira dengan Ahmad, melainkan dia mati dalam keadaan mentauhidkan Allah."

Yang kedua, sesungguhnya baginda mengagungkan hari kelahirannya, bersyukur kepada Allah SWT atas curahan nikmat yang sangat besar ke atasnya, melimpahkan kemurahan-Nya dengan kelahiran ini yang memberikan kebahagiaan bagi setiap yang wujud. Abi Qatadah berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai puasanya pada hari Isnin. Maka Baginda SAW bersabda: 

"Pada hari Isnin saya dilahirkan dan padanya juga diturunkan ke atas saya al-Quran." 

Ini adalah makna sambutan Maulid Nabi. Walaupun gambarannya berbeza akan tetapi maknanya tetap wujud, sama ada meraikannya dengan berpuasa atau menjamu makanan atau perhimpunan zikir atau mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW atau mendengar hadis-hadis kesempurnaan baginda yang mulia.

Yang ketiga, sesungguhnya bergembira dengan baginda adalah dituntut berdasarkan perintah al Quran daripada firman Allah: 

“Katakanlah (wahai Nabi) dengan kelebihan dan rahmat-Nya, maka dengan yang demikian itu mereka bergembira. “ (Surah Yunus: 58)

“Maka Allah memerintahkan kita agar bergembira dengan rahmat dan Nabi SAW adalah sebesar-besar rahmat.” (rujuk Surah al-Anbiya': 107)

Bergembira dengan baginda adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat serta kelebihan yang diperoleh. Akan tetapi ia lebih dirasai pada setiap hari Isnin dan setiap Rabiulawal disebabkan bertepatan dengan tarikh peristiwa.

Fakta keempat, sesungguhnya Nabi SAW mengaitkan ikatan zaman dengan peristiwa-peristiwa agung dalam agama yang telah berlalu dan berlaku. Apabila tiba waktu yang bertepatan dengan peristiwa tersebut maka menjadi satu peluang untuk mengenangnya dan mengagungkan hari tersebut. 

Nabi SAW telah mengasaskan sendiri kaedah ini sebagaimana dijelaskan di dalam hadis sahih. 

Tatkala baginda sampai ke Madinah dan melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura lalu dikatakan kepadanya:,

"Sesungguhnya mereka berpuasa kerana Allah telah menyelamatkan Nabi mereka dan menenggelamkan musuh mereka. Mereka berpuasa kerana bersyukur kepada Allah atas nikmat ini. Maka Baginda SAW bersabda, Kami lebih utama meraikan kejayaan Musa daripada kalian. Baginda SAW berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa."

Yang kelima, sesungguhnya Maulid Nabi menyeru manusia mengucapkan salawat dan salam yang kedua-duanya adalah dituntut. (rujuk Surah al-Ahzab: 56)

Apa jua yang menyeru kepada sesuatu yang dituntut di sisi syarak, maka turut dituntut di sisi syarak. Berapa banyak faedah-faedah Nabawi yang terdapat dalam selawat dan kelebihan-kelebihan yang tidak mampu dicoret oleh pena atau digambarkan dengan lisan.

Keenam, sesungguhnya Maulid Nabi meliputi peringatan terhadap kisah kelahirannya, mukjizat, sirah dan pengenalan mengenai baginda. Tidakkah kita diperintahkan untuk mengenali dan dituntut untuk mengambil petunjuk serta berpegang dengan amalannya, beriman dan membenarkan mukjizat-mukjizat baginda Kitab-kitab maulid memaparkan secara lengkap mengenai makna ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130129/ba_01/Maulid-Nabi-adalah-hari-kegembiraan#ixzz2K7n990cP 

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bicara Agama, Utusan Malaysia, 29/1/2013

 


 

AZAM BAIK TIDAK PERLU TUNGGU TAHUN BARU UNTUK DITERAP

Jumaat , 26 Disember 2014/ 4 Rabiul Awwal 1435H

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan. 

Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk. Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah. 

”Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, Ayat 60) 

Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa. 

 

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60) 

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain. 

Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera. Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya. 

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: 

“Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: 

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya. 

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

Oleh Lokman Ismail, 

Sudut Agama, Berita Harian, 28/12/2011

 

AKHLAK BELIA PAPARAN IMEJ NEGARA MASA DEPAN

Jumaat, 18 hb Disember 2014/ 26 Safar 1436H

Patriotisme ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan tanah air. Dalam Bahasa Arab ia diwakili dengan perkataan wataniah. Jika ditinjau dari sudut pandangan Islam, ia dihubung kait dengan sifat cintakan tanah air.  

Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan ketua negara memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Bimbingan ini akan menentukan belia menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW: 

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (Hadis riwayat Ahmad) 

Patriotisme bukanlah satu ideologi tetapi semangat dan gagasan mendidik serta memberi kefahaman kepada manusia supaya mencintai kehidupan dan tanah air. Manusia perlu membina semangat patriotik untuk menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat. 

Membina semangat patriotisme ini, berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil al-Quran dan hadis, ulama sepakat mengatakan taat kepada pemerintah fardu kepada setiap Muslim, manakala menderhaka adalah satu dosa besar. 

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: 

“Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaannya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Golongan belia penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang. 

Tokoh ulama semasa yang berpengaruh, Syeikh Yusof Al-Qaradhawi berkata: 

“Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” 

Kebangkitan golongan belia akhir-akhir ini amat menggembirakan namun ada juga kes yang mana idealisme kebebasan dan hak diperjuangkan mereka perlu diberi arah tujuan selaras prinsip Islam. Kegelojohan menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak menyebabkan ada segelintir mereka terjebak aktiviti ekstrim, demonstrasi jalanan, melakukan kekacauan dan huru-hara. 

Golongan belia sebenarnya mempunyai idealisme tetapi pada masa sama masih mentah pengalaman hidup dan terbawa-bawa dengan jiwa muda bergelora. Ingatlah, Islam telah menetapkan setiap insan tidak memiliki kebebasan hakiki, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang bersumberkan wahyu Allah SWT. 

Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi diri untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara untuk membentuk tamadun Islam dihormati dan disegani masyarakat dunia. 

Firman Allah yang bermaksud:

“Ingatkanlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah Al-Kahfi, ayat 10)

Sudut Agama, Berita Harian, 25/05/2012

AL FILL KISAH KEKALAHAN TENTERA ABRAHAH

Jumaat, 12 hb Disember 2014/ 19 Safar 1436H

TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi peristiwa besar, iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah. 

Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman. Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka tidak memberikan tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui kawanan burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang terdapat dalam surah al-Fil.

Burung Ababil

Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.Burung-burung itu melempar pasukan bergajah dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut. 

Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing. Abrahah sendiri, menurut salah satu riwayat, menemui ajal ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.

Pasukan tentera bergajah 

Kata ashbab al-fil dalam surah al-Fil ayat pertama merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman yang berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah. Abrahah dan pasukannya yang menunggang gajah berhasrat untuk menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi menunaikan ibadah haji di sana, tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.

Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan pasukannya mengalahkan semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka. Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama pasukan bergajahnya menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa penyerangan dilakukan itu bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk memerangi masyarakat kota itu.

Kekuasaan Allah SWT

Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya. 

Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.

Surah Makkiyah

Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang diterima oleh Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran, surah ini ditempatkan pada urutan ke-105. Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek yang terdapat pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah. Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan sebagai surah Makkiyah. 

Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat pertama surah ini yang bererti "gajah".

Maksud surah al-Fil

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?”

“Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?”

“Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.”

“Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar.”

“Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Kapsyen

ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/5/2012

 

AKIDAH TERGADAI ANGKARA TUKANG TILIK

Jumaat, 5 hb Disember 2014/ 12 Safar 1436H

Umat dituntut jauhi sebarang bentuk ramalan 

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini melayakkan seseorang itu disebut sebagai manusia tetapi belum layak dipanggil sebagai mukmin (orang yang beriman), apatah lagi muttaqin (orang yang bertaqwa). Jika jasad memerlukan makanan dan minuman, maka begitu juga rohani. Jika jasmani yang tidak mendapat makanan secukupnya akan mengalami gangguan pada tubuh badan, maka begitu jugalah halnya dengan rohani.

Atas dasar itu, salah satu daripada keperluan rohani adalah memahami aqidah secara tepat, benar dan jitu. Rukun Islam pertama yang menjadi teras aqidah seorang Islam wajar difahami dan dihayati secara benar dan tepat. 

Oleh itu, seseorang tidak dianggap beriman kepada Allah SWT jika mereka belum mampu membebaskan diri daripada perkara yang boleh merosakkan aqidah seperti meyakini ramalan bomoh, mendatangi dan mempercayai tukang ramal, tukang sihir atau tukang tilik. Bahkan, pada masa kini, remaja Islam khususnya memberikan maklum balas cukup positif terhadap tukang tilik zaman moden seperti mempercayai ramalan horoskop serta meyakini bahawa potensi diri seseorang bergantung sepenuhnya kepada kedudukan tahi lalat, bentuk kening dan hari kelahiran. 

Nabi SAW mengancam perlakuan demikian seperti tercatat dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: 

“Sesiapa yang datang kepada tukang tenung/tilik lalu bertanya sesuatu daripadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan (oleh Allah) kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ibn Majah) 

Kedua-dua hadis melarang pembabitan secara langsung ataupun tidak dengan sebarang bentuk ramalan. Pembabitan seseorang tidak diukur sama ada dia mempercayai atau tidak sebaliknya, pergi berjumpa tukang ramal pun sudah dianggap berdosa. Bayangkan, hanya kerana ramalan seseorang menggadaikan akidahnya. Jika tilikan atau ramalan itu benar sekalipun, maka ia tetap merosakkan akidah kerana penyerahan diri bukan lagi kepada Allah SWT, sebaliknya diserahkan 100 peratus kepada tilikan itu. 

Oleh itu, jauhilah hal yang boleh merosakkan akidah kerana orang terbabit ramalan disamakan Nabi SAW seperti pengamal sihir. 

Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mengambil sebahagian daripada ilmu bintang (nujum), maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian daripada sihir. Setiap kali bertambah ilmu bintangnya maka bertambah pula ilmu sihirnya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) 

Jika perkara ghaib boleh diketahui manusia, nescaya Bagindalah insan yang paling layak untuk mengetahuinya tetapi Baginda SAW tidak mengetahuinya melainkan apa yang ditakdirkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188) 

Justeru, luruskanlah akidah dan kembalilah kepada asas akidah yang benar kerana ia adalah teras utama dalam membentuk muslim sejati. 

Oleh Zulkifli Hussin . Penulis ialah Pensyarah Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) 

Sudut Agama, Berita Harian,  23/7/2012

 

AKHLAK ISLAM PENAWAR SEGALA MASALAH, PERSOALAN MENIMPA UMAT

Jumaat, 28 hb November 2014/ 5 Safar 1436H

Firman Allah SWT bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 159) 

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dengan tujuan membentuk peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil membanggakan dalam waktu singkat. 

Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur penuh pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan. 

Selaras seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka dalam masa sama umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat. 

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Apa dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwah selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut. Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat serta peribadi terbilang Baginda. 

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim. 

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda dan masyarakat yang tidak harmoni. 

Jangan pula bersikap keras atau kasar dalam pergaulan seharian kerana orang di sekeliling akan segan untuk menghampiri. Malah, orang ramai akan mula menjauhi. Dalam hal ini, seorang pemimpin yang bersikap kasar dan keras dalam kepemimpinannya, tidak akan berjaya. Tetapi, seorang pemimpin wajib tegas mempertahankan pendiriannya seperti mana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiah biarpun tidak dipersetujui beberapa sahabat. 

Seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap semua rakyatnya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras semasa menghadapi kerenah dan tuntutan rakyat. 

Masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima pandangan yang diutarakan dan berusaha menghapuskan bibit permusuhan daripada mengakari. Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan. 

Skop sifat lemah lembut amat luas, tidak terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain. 

Untuk mencipta negara yang aman dan masyarakat sejahtera, contoh terbaik daripada Rasulullah dan sahabat sangat relevan untuk dipraktikkan. Akhlak Islam adalah penawar bagi segala masalah dan persoalan menimpa umat Islam. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin 

Sudut Agama, Berita Harian 3/3/2011

 

ABDUL RAHMAN MENGAGUMI DUA BUDAK ANSAR

Jumaat, 21 November 2014/ 28 Muharram 1436H

Abdul Rahman bin Auf adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berbangsa Quraisy. Nama sebenar beliau ialah Abdul rahman bin Auf bin al-Haris bin Zahrah. Beliau tergolong dalam golongan yang awal memeluk agama Islam.Beliau tidak terkecuali daripada menyertai Perang Badar dan siri peperangan yang lain. Beliau juga dalah salah seorang daripada 10 orang yang dijamin masuk syurga. Beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah bersamaan 652 Masihi. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Baqi'. 

Semasa Perang Badar, Abdul Rahman bin Auf bertempur dengan tentera musuh. Dalam kesibukan melawan musuh, dua orang budak Ansar datang kepadanya. Mereka ialah Muaz bin Amar bin Jamuh dan Muaz bin Afra.Salah seorang budak Ansar itu memegang tangannya. Dia bertanya kepada Abdul Rahman, 

"Adakah pakcik kenal Abu Jahal?"

Kemudian Abdul Rahman menjawab,

 "Pakcik kenal Abu Jahal. Mengapa anak bertanya mengenai Abu Jahal kepada pakcik?"

Budak Ansar itu berkata lagi, 

"Abu Jahal adalah orang yang mencari dan mengeji Nabi Muhammad. Dia adalah musuh kita yang utama. Sekiranya saya dapat menangkap Abu Jahal, saya tidak mahu melepaskannya. Saya akan bunuh dia biarpun nyawa saya terancam!"

Seorang lagi budak Ansar yang berada di sebelah rakannya juga bersetuju dengan kata-kata kawannya itu.

Abdul Rahman bin Auf terkejut melihat semangat dua orang budak Ansar itu.

Semasa Abdul Rahman dan dua orang budak Ansar itu berbual-bual, tiba-tiba Abdul Rahman terlihat Abu Jahal menunggang kudanya dalam keadaan mundar-mandir. Abu Jahal yang angkuh cuba melawan tentera Islam.Kemudian Abdul Rahman menjerit memberitahu kepada dua orang budak Ansar tadi,  

"Itu Abu Jahal."

Keduadua orang budak Ansar itu berlari ke tempat Abu Jahal. Di tangan mereka terdapat pedang yang tajam. Pedang itu adalah bagi membunuh Abu Jahal. Salah seorang daripada budak Ansar itu memotong kaki kuda Abu Jahal. Sementara seorang lagi menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terjatuh daripada kudanya.

Abu Jahal masih belum mati. Pada masa itu Ikramah, tentera musuh turut berada di sana mengawal Abu Jahal.Apabila Ikramah melihat Abu Jahal diapa-apakan oleh dua budak Ansar itu, Ikramah menyerang balas, lalu memotong tangan Muaz bin Amar bin Jamuh. Muaz cuba melawan dalam keadaan tangannya yang berlumuran darah. Namun, beliau tidak berjaya kerana pergerakan badannya terbatas. Kemudian Muaz bin Afra cuba melawan Abu Jahal menggunakan pedangnya.

Melihat keadaan itu, Abdullah bin Mas'ud datang menyerang menggunakan pedangnya yang tajam. Abdullah bin Mas'ud menyerang Abu Jahal sehingga kepala Abu Jahal terputus daripada badannya. Abu Jahal tewas dan akhirnya mati terbunuh.

Kesungguhan dua orang budak Ansar itu membuatkan Abdul Rahman bin Auf berasa terharu. Berkat usaha, kerjasama dan cita-cita yang tinggi bagi mengalahkan lawannya itu akhirnya tercapai. Semangat mereka yang tinggi bagi menegakkan agama terbukti usia bukan penghalang walaupun mereka masih kecil.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 6/10/2010

 

AKHLAK REMAJA PENANDA ARAS PEMBANGUNAN BANGSA, NEGARA

Jumaat, 14 November 2014/ 21 Muharram 1436H

Isu gejala sosial sudah sering dibahaskan cendekiawan dulu dan mereka secara umumnya berpendapat ia satu fakta sosial yang menyerlahkan warna, rupa, bentuk dan jati diri masyarakat itu dengan sendirinya.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai sifat yang mewakili atau contoh untuk memahami keadaan masyarakat yang berada suatu masa tertentu. Hakikatnya, sejarah penularan gejala sosial sudah melewati setiap ruang dan waktu setiap zaman. 

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini, gejala sosial semakin berleluasa dalam masyarakat negara apabila semakin banyaknya kes dilaporkan akhbar arus perdana dewasa ini. Lebih-lebih lagi, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara banyak bergantung kepada kestabilan institusi masyarakat yang tidak terencat dengan masalah atau krisis sosial. Oleh itu, permasalahan sosial yang semakin meruncing sewajarnya menjadi topik utama pihak berwajib dalam merencana tindakan segera dan susulan bagi mengatasi gejala itu. 

Dalam konteks pengajian ilmu sosiologi, isu sosial bolehlah ditakrifkan sebagai persoalan atau perkara menjadi bahan perbincangan orang ramai. Di samping itu, ia juga mengenai fenomena masyarakat bermasalah yang timbul daripada masyarakat atau sesuatu yang menimpa masyarakat suatu masa dan tempat. Namun, sebahagian besar masyarakat negara ini sudah membataskan atau menyempitkan pengertian dan skop gejala sosial. Apabila disebut gejala sosial atau masalah sosial, maka ia secara langsung membabitkan golongan remaja. 

Padahal, gejala sosial dari sudut konsepnya adalah ungkapan yang luas maknanya sama ada dipandang dari segi makro mahupun mikro. Yang bersifat makro seperti kemiskinan, rasuah, perkauman, penindasan pekerja dan pemusnahan alam sekitar. Sementara yang bersifat mikro seperti bunuh diri, salah guna dadah, buang bayi, bohsia, lepak, persundalan, pecah amanah, pecah rumah, perceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan anak. Selain itu, skop gejala sosial dari sudut empirikal bukan hanya membabitkan remaja atau muda mudi saja. Malah, ia juga turut membabitkan semua lapisan manusia sama ada secara berkelompok atau individu tanpa mengambil kira had umur, jantina, kelas, taraf, kaum dan kasta. 

Ringkasnya, konsep gejala sosial berkait rapat dengan faktor perbezaan sosial, wujudnya jurang atau jarak komunikasi sosial dan keadaan masyarakat yang bercelaru atau tidak terurus. Namun, semua faktor itu berupaya memberi impak negatif secara langsung kepada pembinaan insan dan pembangunan ummah dalam sesebuah negara. 

Berdasarkan fenomena gejala sosial yang berlaku secara meluas dewasa ini, dapatlah disimpulkan antara punca menyebabkan indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya. 

Pengaruh ibu bapa penting dalam mendidik dan mengasuh anak mengenal erti kehidupan penuh mencabar. Namun, fenomena ibu bapa bekerja sepanjang hari sedikit sebanyak menyebabkan wujudnya perubahan sosial. Kebanyakan ibu bapa terlalu mementingkan pekerjaan, mengejar kekayaan dan menimbunkan harta daripada memberikan perhatian sewajarnya kepada anak menyebabkan mereka rasa terbiar tanpa kasih sayang serta penjagaan sempurna. Akibatnya, mereka mula mencari alternatif dengan bercampur rakan sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan gejala sosial di kalangan anak. 

Pendidikan agama penting dalam membentuk sifat mulia dan moral terpuji dalam lingkungan masyarakat umum. Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memiliki matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama. Dalam satu segi lain, dasar pendidikan negara yang lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi sesuai dengan peredaran zaman tanpa memberi penekanan kepada pendidikan agama sebagai perisai konkrit untuk berdepan dengan cabaran semasa. Tanpa pendidikan agama, pelajar tidak mampu mengharungi gelombang hidup. 

Faktor pembangunan tidak seimbang dilaksanakan kerajaan juga dikenal pasti antara punca mencetuskan gejala tidak sihat ini. Biarpun pada hakikatnya, pembangunan negara sudah mencapai kemajuan pesat dalam pelbagai aspek kehidupan, namun ia tidak menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Perkembangan teknologi semakin canggih sehingga segala maklumat tersebar di seluruh dunia dapat diperoleh dan disebarkan tanpa sempadan dalam masa yang singkat. Tanpa pegangan kukuh, manusia akan menjadi lemas ditenggelami banjir budaya besar yang dominan ini. 

Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang banyak terhadap sebarang tindakan dan perlakuan anak muda kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan berbanding dengan ibu bapa. Rakan sebaya mendedahkan mereka kepada dunia baru lagi asing dan akhirnya mengubah sedikit demi sedikit perkembangan sosial serta psikologinya. 

Remaja adalah aset penting kepada kelangsungan pembangunan bangsa dan negara. Jika baik remaja, maka baik dan majulah negara. Sebaliknya, jika buruk akhlak remaja, maka akan punah dan hancurlah negara. Oleh itu, isu gejala sosial anak muda sewajarnya diberi perhatian serius dan menuntut perhatian serta rasa tanggungjawab semua pihak bermula ibu bapa, guru, masyarakat dan seterusnya pihak kerajaan dalam menangani krisis sosial yang semakin meruncing ini. 

Justeru, agenda drastik dan susulan hendaklah disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh dalam usaha pihak kerajaan menjana kembali kekuatan bangsa serta keutuhan ummah. 

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 

 

Sudut Agama, Berita Harian 14/5/2009

 

AMALAN PERTAMA MANUSIA DIHITUNG PADA HARI AKHIRAT

Jumaat, 7 November 2014/ 14 Muharram 1436H

Imam Ahmad menyatakan, jarak antara seorang lelaki dengan kekufuran adalah meninggalkan solat.

Di dalam riwayat At-Tabrani pula 

“Siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia kafir nyata.” 

Tidak seperti ibadah lain, Allah memfardukan ibadah solat secara langsung kepada Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Antara kelebihan dan kepentingan solat dalam hidup kita ialah berpeluang berinteraksi dengan Allah.Solat memelihara serta membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kemanisan bermunajat dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.Seperti yang diajarkan Rasulullah, solat bermula dengan berdiri, rukuk, ‘iktidal, sujud dan berakhir dengan salam.

Semua itu dilakukan bertujuan membesarkan Allah atas segala nikmat kurniaan kehidupan di dunia ini seperti kesihatan yang baik, zuriat, pasangan suami isteri, ibu bapa dan keluarga.Maka perbanyakkanlah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada segala bahaya dan tipu daya syaitan.

Solat memberi manusia peluang menggandakan pahala serta menghapuskan segala dosa. Kita perlu mengucapkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana Allah memberikan banyak kelebihan kepada umat Nabi Muhammad yang tidak terdapat pada umat sebelumnya.Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: 

“Bahawasanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya?” Lalu baginda bersabda: Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah ia dapat menghapuskan segala dosa” (Muttafaq Alaih).

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.

Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Malah rahsia solat juga tersingkap 1,001 makna kerana ia memberi riadah kepada tubuh badan harian selain memberikan kerehatan jiwa.Maka solat menjadi salah satu cara merawat kegelisahan dan gundah gulana dalam diri manusia.

Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah SAW mengalami satu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan: 

“Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”

Meninggalkan solat pula menjadikan hati manusia jauh untuk melakukan amal kebaikan malah buruk akhlaknya.Malah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari pembalasan kelak ialah solat. Jika sempurna solatnya maka baiklah seluruh amalannya.

Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam tidak membataskan manusia walau di mana atau dalam apa juga keadaan sekalipun.Ia perlu dilaksanakan sama ada dalam keadaan sihat, sakit, dalam peperangan, sedang bermusafir dan tidak mengira golongan sama ada kaya atau miskin.

Solat tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu kepada kesabaran dan kekuatan dalaman yang kuat.Malah seseorang yang inginkan diri mereka sentiasa menjaga serta memelihara solat perlu ada rasa tanggungjawab tinggi untuk melakukan amalan itu hanya kerana Allah. Tidak boleh sesekali seseorang menggunakan cara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memakai susuk atau ilmu sihir bagi mendorong mereka ‘rajin’ beribadah.

Pegawai Agama Masjid Putra Nilai, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanafi berkata, bagi mereka yang menggunakan susuk atau sihir bagi menzahirkan kekuatan untuk beribadah boleh membawa implikasi besar terhadap akidah mereka.

“Bahkan, jika tidak dikeluarkan susuk itu daripada tubuh badan, ia akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi saat nazak sakaratulmaut.

“Susuk ialah amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan kelebihan sama ada secara nyata mahupun ghaib.

“Antara jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya untuk tujuan pelacuran, susu beruang untuk ilmu kebal dan susuk buluh perindu untuk memerdukan suara atau menggoda,” katanya.

Beliau berkata, tujuan memakai susuk itu untuk menaikkan seri wajah, hebat dalam hubungan seksual, kebal, pelaris perniagaan dan juga sebagai kekuatan tenaga termasuk mendirikan solat.

“Pantang larang bagi pemakai susuk antaranya mereka tidak boleh memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti sate dan tidak boleh melihat cermin dalam tempoh tertentu dan dilarang menghadiri majlis pengebumian atau pergi ke tanah perkuburan.

“Amalan ini masih menjadi amalan segelintir masyarakat disebabkan kedangkalan mereka. Jelas ia membawa syirik kepada Allah,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, terdapat banyak kes pemakai golongan muda disebabkan ibu atau nenek mereka memaksa memakai susuk sejak kecil bagi tujuan kecantikan.

“Lebih malang, pemakai tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun lamanya.

“Malah mereka melakukan ibadat seperti solat, puasa dan pergi menunaikan haji dalam keadaan bersusuk,” katanya.

Beliau berkata, hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk adalah haram.

“Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir.

“Kedua, menggunakan susuk atau cara amalan yang tidak dipastikan kesahihan ibadat itu sehingga terdengar ada suara ghaib menyuruh seseorang mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan disepakati haram.

“Ini berdasarkan tarjih ulama, amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat dilakukan.

“Masyarakat kita juga sering dibelenggu pengamalan ayat tertentu sehingga didatangi ‘khadam’ atau penjaga.

“Hukumnya tetap haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan akidah. 

Terdapat kisah ketua wali sheikh Qadir al-Jailani hampir ditipu iblis yang datang dalam bentuk cahaya gilang gemilang dan memaklumkan kepadanya sudah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan untuk bersolat.

“Namun ia dihidu Sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan menyebut ‘auzubillahi mina syaitonirrojim’ supaya dapat berlindung daripada hasutan iblis yang sering memperdayakan manusia,” katanya.

Mohd Fakhrurrazi berkata, bagi pesalah yang melakukan amalan khurafat itu, mereka perlulah segera bertaubat dengan sebenar-benarnya.

“Pemakai susuk perlu membuang bahan yang dimasukkan itu ke dalam mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman.

“Akidah pesalah juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri yang mempunyai bahagian pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas berkenaan.

“Di sinilah hikmah mengapa kita seringkali mengulangi bacaan surah al-Fatihah memohon supaya sentiasa dibimbing ke arah jalan yang lurus,” katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Sudut Ad-din, Ekspresi, Harian Metro

 

AL FILL KISAH KEKALAHAN TENTERA ABRAHAH

Jumaat, 12 hb Disember 2014/ 19 Safar 1436H

TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal dengan nama Tahun Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi peristiwa besar, iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah.

Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah, maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman. Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka tidak memberikan tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui kawanan burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang terdapat dalam surah al-Fil.

Burung Ababil

Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.Burung-burung itu melempar pasukan bergajah dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui maut. 

Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing. Abrahah sendiri, menurut salah satu riwayat, menemui ajal ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.

Pasukan tentera bergajah 

Kata ashbab al-fil dalam surah al-Fil ayat pertama merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, gabenor Yaman yang berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah. Abrahah dan pasukannya yang menunggang gajah berhasrat untuk menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi menunaikan ibadah haji di sana, tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.

Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan pasukannya mengalahkan semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka. Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama pasukan bergajahnya menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa penyerangan dilakukan itu bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk memerangi masyarakat kota itu.

Kekuasaan Allah SWT

Surah al-Fil mengajar kepada kita akan kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki, baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang aturan-Nya. 

Hal ini terbukti ketika Allah SWT menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.

Surah Makkiyah

Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang diterima oleh Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran, surah ini ditempatkan pada urutan ke-105. Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek yang terdapat pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah. Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan sebagai surah Makkiyah. 

Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat pertama surah ini yang bererti "gajah".

Maksud surah al-Fil

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?”

“Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?”

“Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.”

“Yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar.”

“Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”

Kapsyen

ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/5/2012

 

AKIDAH TERGADAI ANGKARA TUKANG TILIK

Jumaat,5 hb Disember 2014/ 12 Safar 1436H

Umat dituntut jauhi sebarang bentuk ramalan 

Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang terdiri daripada dua unsur iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini melayakkan seseorang itu disebut sebagai manusia tetapi belum layak dipanggil sebagai mukmin (orang yang beriman), apatah lagi muttaqin (orang yang bertaqwa). Jika jasad memerlukan makanan dan minuman, maka begitu juga rohani. Jika jasmani yang tidak mendapat makanan secukupnya akan mengalami gangguan pada tubuh badan, maka begitu jugalah halnya dengan rohani.

Atas dasar itu, salah satu daripada keperluan rohani adalah memahami aqidah secara tepat, benar dan jitu. Rukun Islam pertama yang menjadi teras aqidah seorang Islam wajar difahami dan dihayati secara benar dan tepat. 

Oleh itu, seseorang tidak dianggap beriman kepada Allah SWT jika mereka belum mampu membebaskan diri daripada perkara yang boleh merosakkan aqidah seperti meyakini ramalan bomoh, mendatangi dan mempercayai tukang ramal, tukang sihir atau tukang tilik. Bahkan, pada masa kini, remaja Islam khususnya memberikan maklum balas cukup positif terhadap tukang tilik zaman moden seperti mempercayai ramalan horoskop serta meyakini bahawa potensi diri seseorang bergantung sepenuhnya kepada kedudukan tahi lalat, bentuk kening dan hari kelahiran. 

Nabi SAW mengancam perlakuan demikian seperti tercatat dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: 

“Sesiapa yang datang kepada tukang tenung/tilik lalu bertanya sesuatu daripadanya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari.” (Riwayat Muslim) 

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan (oleh Allah) kepada Muhammad SAW.” (Riwayat Ibn Majah) 

Kedua-dua hadis melarang pembabitan secara langsung ataupun tidak dengan sebarang bentuk ramalan. Pembabitan seseorang tidak diukur sama ada dia mempercayai atau tidak sebaliknya, pergi berjumpa tukang ramal pun sudah dianggap berdosa. Bayangkan, hanya kerana ramalan seseorang menggadaikan akidahnya. Jika tilikan atau ramalan itu benar sekalipun, maka ia tetap merosakkan akidah kerana penyerahan diri bukan lagi kepada Allah SWT, sebaliknya diserahkan 100 peratus kepada tilikan itu. 

Oleh itu, jauhilah hal yang boleh merosakkan akidah kerana orang terbabit ramalan disamakan Nabi SAW seperti pengamal sihir. 

Nabi SAW bersabda: 

“Sesiapa yang mengambil sebahagian daripada ilmu bintang (nujum), maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian daripada sihir. Setiap kali bertambah ilmu bintangnya maka bertambah pula ilmu sihirnya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah) 

Jika perkara ghaib boleh diketahui manusia, nescaya Bagindalah insan yang paling layak untuk mengetahuinya tetapi Baginda SAW tidak mengetahuinya melainkan apa yang ditakdirkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi orang yang beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 188) 

Justeru, luruskanlah akidah dan kembalilah kepada asas akidah yang benar kerana ia adalah teras utama dalam membentuk muslim sejati. 

Oleh Zulkifli Hussin . Penulis ialah Pensyarah Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) 

Sudut Agama, Berita Harian,  23/7/2012

 

 

AKHLAK ISLAM PENAWAR SEGALA MASALAH, PERSOALAN MENIMPA UMAT

Jumaat, 28 hb November 2014/ 5 Safar 1436H

Firman Allah SWT bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 159) 

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dengan tujuan membentuk peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil membanggakan dalam waktu singkat. 

Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur penuh pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan. 

Selaras seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka dalam masa sama umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat. 

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Apa dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwah selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut. Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat serta peribadi terbilang Baginda. 

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim. 

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda dan masyarakat yang tidak harmoni. 

Jangan pula bersikap keras atau kasar dalam pergaulan seharian kerana orang di sekeliling akan segan untuk menghampiri. Malah, orang ramai akan mula menjauhi. Dalam hal ini, seorang pemimpin yang bersikap kasar dan keras dalam kepemimpinannya, tidak akan berjaya. Tetapi, seorang pemimpin wajib tegas mempertahankan pendiriannya seperti mana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiah biarpun tidak dipersetujui beberapa sahabat. 

 

Seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap semua rakyatnya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras semasa menghadapi kerenah dan tuntutan rakyat. 

Masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima pandangan yang diutarakan dan berusaha menghapuskan bibit permusuhan daripada mengakari. Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan. 

Skop sifat lemah lembut amat luas, tidak terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain. 

Untuk mencipta negara yang aman dan masyarakat sejahtera, contoh terbaik daripada Rasulullah dan sahabat sangat relevan untuk dipraktikkan. Akhlak Islam adalah penawar bagi segala masalah dan persoalan menimpa umat Islam. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin 

Sudut Agama, Berita Harian 3/3/2011

 

HIJRAH RASULULLAH KE YATHRIB

Jumaat, 31 Oktober 2014/ 7 Muharram 1436H

Ketika Rasulullah SAW dan sahabat mengalami tekanan di Mekah, baginda telah memberi keizinan kepada umat Islam di Mekah supaya berhijrah ke Yathrib bagi memulakan kehidupan baru di sana. Maka umat Islam di Mekah pun keluar dengan senyap dan berhati-hati agar tidak disedari oleh Musyrikin Quraisy.

Mereka keluar tanpa sebarang jaminan kehidupan yang bakal ditempuh di Yathrib melainkan jaminan yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itulah Allah SWT memuji mereka atas dasar keimanan yang kukuh.

Manakala Rasulullah SAW pula masih berada di Makkah menunggu wahyu daripada Allah untuk berhijrah. Apabila wahyu daripada Allah turun, dalam masa yang sama kaum Musyrikin Quraisy telah merancang untuk membunuh Rasulullah di Darul Nadwah. Dengan melantik wakil setiap kabilah untuk membunuh baginda, mereka berkumpul dan mengepung rumah Rasulullah SAW pada waktu malam. Namun dengan kuasa Allah, mereka tertidur dengan nyenyaknya lalu Rasulullah SAW pun keluar dengan menaburkan pasir di atas kepala mereka. Manakala tempat tidur baginda diganti oleh Ali bin Abu Talib yang sangat berani.

Maka berangkatlah Rasulullah ke rumah Abu Bakar as-Siddiq. Dengan perancangan yang teliti, mereka pun bergerak menuju ke Yathrib sebelum fajar menyingsing. Mereka melalui jalan yang jarang dilalui orang ramai, lalu singgah di Gua Thur di pertengahan jalan ke arah Yaman. Abu Bakar mendahului Rasulullah SAW untuk masuk ke dalam gua kerana risaukan keselamatan baginda. Apabila Rasulullah masuk, baginda pun berehat sambil menunggu masa yang sesuai untuk bertolak.

Kaum Musyrikin Quraisy yang terjaga daripada tidur telah tertipu apabila orang yang disangka Rasulullah rupanya Ali bin Abu Talib. Maka mereka pun bertindak mengejar Rasulullah sehinggalah sampai di Gua Thur. Abu Bakar mula panik apabila kaum kafir mengepung gua tersebut lalu ditenteramkan oleh Rasulullah.

"Janganlah takut dan janganlah sedih sesungguhnya Allah bersama kita."

Lalu Allah memerintahkan labah-labah dan merpati membuat sarang di pintu gua. Kaum kafir sekali lagi tertipu. Mereka tidak menyangka ada orang yang bersembunyi di dalam gua tersebut apabila melihat sarang labah-labah dan merpati tidak terusik.

Setelah kaum kafir jauh beredar, Abdullah bin Uraiqit pun tiba dengan membawa dua ekor kuda yang sangat pantas. Beliau sendiri diupah sebagai jurupandu untuk membawa Rasulullah dan Abu Bakar ke Yathrib.

Lalu mereka bergerak ke arah selatan Yaman, apabila sampai di jalan yang tidak dilalui orang mereka pun beralih ke utara menghampiri Laut Merah. Tujuan mereka berbuat demikian adalah supaya pergerakan mereka tidak dapat dijejaki oleh kaum kafir Quraisy sebelum mereka selamat tiba ke Yathrib.

Rasulullah SAW tiba di Quba' iaitu terletak di pinggir kota Yathrib pada 8 Rabiul Awwal 14 tahun kerasulan baginda. Di sana baginda mendirikan masjid yang terawal sepanjang menyebarkan dakwah Islam. Umat Islam yang mendapat berita ketibaan Rasulullah SAW di pinggir Kota Yathrib berasa amat gembira kerana Rasulullah telah selamat sampai. Mereka berkumpul beramai-ramai di tanah lapang Hurrah. Mereka begitu sabar menunggu walaupun panas terik kerana ingin melihat insan mulia yang diberitakan dalam kitab-kitab terdahulu. Justeru itu, bergemalah takbir memuji kebesaran Allah.

Mereka menyambut ketibaan Rasulullah dengan selawat dan puji-pujian. Anak-anak pula mengalunkan puisi-puisi indah. Rasulullah menamakan Yathrib dengan 'Madinah Al-Munawwarah' yang bermaksud 'Kota Yang Bercahaya'.

lPetikan daripada buku 366 Kisah dari Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 8/10/2010

 

HUKUM MEMELIHARA ANJING

Jumaat, 24 Oktober 2014/ 29 Zulhijjah 1435H

Sejak kebelakangan ini terdapat ramai umat Islam di negara ini, terutamanya yang Melayu membela anjing walaupun haiwan itu termasuk dalam kategori najis mughalazzahiaitu jika terkena air liur atau terpegang badan anjing yang basah maka wajib dibasuh dengan air yang bercampur tanah sekali diikuti dengan enam kali air yang bersih.

Antara alasan-alasan yang mereka beri:

1) Tidak terdapat dalam al-Quran yang menyatakan orang Islam tidak boleh membela anjing.

2) Rasullullah SAW tidak pernah mengharamkan orang Islam membela anjing.

3) Anjing juga seperti haiwan-haiwan yang lain adalah makhluk Allah.

4) Terdapat ramai pemimpin-pemimpin Islam di negara luar juga membela anjing malah ada yang membiarkan anjing mereka memasuki rumah dan bilik tidur.

5) Ramai penganut-penganut Islam di negara-negara Arab, Pakistan dan Afghanistan membela anjing.

6) Ada kisah yang menceritakan tentang tiga orang pemuda terkurung di dalam gua bersama seekor anjing selama 300 tahun, kemudian dibebaskan Allah yang mana dikatakan pemuda-pemuda tersebut termasuk anjing mereka dimasukkan Allah ke dalam syurga.

7) Ada kisah di Amerika seorang penganut Islam yang buta kedua-dua matanya mempunyai seekor anjing penunjuk jalan untuk ke masjid.

8) Terdapat sebilangan ustaz-ustaz dan guru-guru agama yang berpendapat tidak salah orang Islam membela anjing.

Seperkara lagi, benarkah Rasullullah ada bersabda: 

"Tidak akan masuk Malaikat Rahmat ke dalam rumah seseorang Islam itu yang mana di rumah tersebut ada membela anjing."

JAWAPAN

Pada dasarnya, ketetapan najis bagi air liur anjing ini dipandang daripada dimensi yang bersifat ritual, bukan rasional, sehingga tidak harus ada alasan logik. Dimensi akal masih jauh daripada kesempurnaan untuk menganalisis secara teliti tentang najis air liur anjing.

Memang, agama tidaklah diukur dengan akal. Sayidina Ali mengatakan: 

"Andaikan agama diukur dengan akal, maka mengusap sisi bawah muzah (sepatu) lebih utama daripada mengusap sisi atasnya. Dan Rasulullah SAW telah mengusap di atas dua sepatu." (riwayat Abu Dawud).

Ada yang berpendapat apa salahnya memelihara anjing kerana ia juga makhluk ciptaan Allah SWT. Lagi pula, ia sangat taat pada tuannya. Sebab itu agama Islam tidak boleh dikias sesuka hati mengikut perasaan.Apa yang digaris oleh Islam dalam syariatnya ialah lebih kepada menjaga kemaslahatan penganutnya. Bukan sekadar menyuruh Muslim membuat itu dan meninggalkan ini, malahan lebih daripada itu.

Sebagai pembuka perbincangan, suka saya nukilkan beberapa dapatan kajian saintifik yang kebanyakan kita tidak mengetahuinya.

Walaupun sesuatu suruhan dan tegahan yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya pada awalnya diterima oleh sahabat dan para salaf soleh dengan tanpa bantahan, tanpa bertanya hikmah mahupun falsafah di sebaliknya. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan tegahan dan suruhan dapat dibuktikan hikmah dan falsafahnya.Antaranya, kenapa najis kedua ini diwajibkan membasuhnya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah? Sains ada jawapannya.

Sebanyak 79.7 peratus penderita barah payudara ternyata sering berdampingan dengan anjing seperti memeluk, mencium, menggendong, memandikan dan semua aktiviti perawatan anjing. Hanya 4.4 peratus pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan. Di Norway, 53.3 peratus daripada 14,401 pemilik anjing mengidap barah.Ternyata barah pada anjing dan manusia disebabkan oleh virus yang sama iaitu mammary tumor virus (MMTV).Dalam satu kajian oleh para penyelidik Munich Universiti mengenai kuman yang dibawa oleh anjing dan kesannya pada manusia, menunjukkan 80 peratus punca penyakit payudara berpunca daripada kuman yang dibawa oleh anjing.

Dari sudut fiqh, suka saya kemukakan pandangan Imam al-Syafie sebagai pandangan yang terpilih dengan beberapa alasan tanpa memperkecilkan pandangan mazhab lain. Ini kerana rakyat Malaysia berpegang dengan mazhab al-Syafie.

Pendapat Pertama: Anjing adalah najis keseluruhannya, sama ada kecil atau besar adalah najis, berdasarkan adanya perintah mencuci bejana yang dijilatnya sebanyak tujuh kali. Bahkan, menurut pendapat Imam al-Syafie tentang najisnya anjing ini termasuk najis mughallazah (najis berat).Sebab mencuci bejana yang kena najis tersebut sampai tujuh kali dan satu kali di antaranya harus dicampuri dengan debu tanah. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafie dan Hanbali yang amat ketat dalam persoalan anjing. Pendapat ini diikuti umumnya kaum Muslimin di Malaysia dan yang bermazhab al-Syafie.

Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini. 

Dalil Pertama berdasarkan kaedah Qiyas. Menurut mereka anjing dan babi serta yang lahir daripada keduanya adalah najis, termasuk keringatnya. Suruhan Rasulullah SAW untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing.

Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama di mana tanpa lidah dan mulut haiwan tersebut akan mati kerana tidak boleh mendapatkan makanan dan minuman. Jika lidah dan mulut dikategorikan sebagai najis, maka sudah tentu lain-lain anggotanya adalah najis juga. Selain itu, air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar daripada mulut (air liur) adalah najis, maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga.

Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: 

"Yang disebut najis itu adalah setiap cecair yang memabukkan, anjing babi dan apa-apa yang lahir daripada keduanya…" (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini:1/110).

Kata al-Qardhawi, hukum membela anjing sebagai binatang kesayangan (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh Rasulullah. Dalilnya: 

“Daripada Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath.” (riwayat Bukhari dan Muslim dan semua ahli hadis yang lain).

Inilah juga pendapat majoriti mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Zahiri (al-Majmuu', IX/234)

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: 

"Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." (Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940).

Juga daripada Ibnu Umar RA berkata: 

"Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak. (riwayat Muslim no. 1571)"

Antara alasan-alasan fuqaha seperti Ibnu Hajar ialah

1. Ia menakutkan jiran dan orang lalu lalang di luar rumah atau orang yang mengunjunginya.

2. Berkurangnya pahala kepada pemeliharanya.

3. Keengganan Malaikat masuk rumah yang ada anjing.

4. Ada anjing yang menjadi daripada jelmaan jin (anjing hitam pekat).

5. Tabiat anjing yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya. (al-Fath, X/395)

Ada pendapat yang mengatakan ia makruh sahaja kerana tiada larangan yang tegas, demikian kata Ibnu Abdil Barr (at-Tamhid, 14/221).

Imam al-Nawawi berpendapat bahawa selain alasan untuk tiga tujuan membela anjing yang diharuskan melalui sabda baginda, iaitu boleh atau tidak membela anjing selain menjaga ternakan, menjaga tanaman dan memburu. Baginda mengharuskan sekiranya anjing itu dipelihara untuk menjaga keselamatan rumah dan tuan. Ini kerana alasan keharusan yang terdapat dalam hadis menunjukkan keperluan untuk membela anjing dengan adanya keperluan.

Namun, ini tidak bermaksud anjing disimpan dalam rumah kerana Nabi SAW telah menegaskan bahawa Malaikat (rahmat) tidak akan memasuki rumah yang terdapat anjing, sekali gus mengelak sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku kerana anjing. Ini kerana tuan rumah tidak akan dapat memantau setiap gerak geri anjing sepanjang di dalam rumah. Juga dikhuatiri jilatan yang sukar dikesan bila kering. Justeru mengelak itu adalah lebih baik.

Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0309&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz2auyc26LQ © Utusan Melayu (M) Bhd 

 

 

3 FAKTOR PEROSAK MANUSIA

Jumaat, 17 Oktober 2014/ 22 Zulhijjah 1435H

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, ke sejahteraan dan keharmonian.Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka mengganggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang Maha Kuasa. Menghindari lebih baik daripada mencegah. Kali ini kita bermuhasabah untuk menghindari faktor perosak.

Saiyidina Umar r.a berkata: 

“Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 

“Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati dan kekaguman pada diri sendiri.”

 

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia di bangunkan, rasa cinta kepada harta, takhta dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan. Pada masa itu pekak telinganya, buta matanya dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pen dengaran dan hatinya.”

 

Ini yang dibimbangkan terhadap sebilangan remaja kita, belajar di universiti, ilmu banyak, ijazah tinggi, jawatan serta gaji lumayan tetapi menjadi ‘pak turut’ kepada hawa nafsu jahat. Kebanyakan mereka ditangkap kerana rasuah, pecah amanah, merogol, seks bebas, buang bayi dan pelbagai kesalahan jenayah.

Tidak dinafikan juga ada jenayah dilakukan mereka yang berpelajaran. Hakikatnya, jika kita ingin menjadi insan yang baik, bukan hanya perlu kepada ilmu dan segulung ijazah tetapi lebih penting ialah bungkusan azimat iman untuk mengekang kemahuan nafsu menggila.Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk me ngendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya.

Ada sesetengah remaja menghambur duit di tempat perjudian, untuk minuman keras dan melayan teman wanita yang luar biasa idaman kebendaannya. Malangnya derma anak yatim tidak dipandang, tabung masjid yang disediakan dibiarkan. 

Kedekut bukan terbatas kepada duit saja tetapi merangkumi kedekut idea, pendapat, kedekut nota kuliah, resipi dan tenaga. Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mendapat sokongan memberangsangkan di kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa saja untuk menikmatinya.

Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosak diri, keluarga dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu di tandingi orang lain. Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan kebolehan orang lain. Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menuding orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelek.

Bersama Mohd Zawawi Jusoh, Harian Metro, Bicara Addin

 

10 PESANAN IMAM SHAFIE YANG PERLU DIIKUT

Jumaat, 10 Oktober 2014/ 15 Zulhijjah 1435H

Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. berikut adalah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara:  

•Hak kepada diri: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada. 

•Hak kepada malaikat maut: mengqadakan kewajiban-kewajiban yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH. 

•Hak kepada kubur: membuang tabiat suka menabur fitnah, tabiat kencing merata-rata (tidak menjaga najis atau tidak berthoharah- bersuci), memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu org yang dizalimi. 

•Hak kepada Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati. 

•Hak kepada mizan (neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menahan kesulitan. 

•Hak kepada sirat (titian yang merintangi neraka pada hari kiamat): mmbuang tabiat suka mengumpat, warak (berhati-hati dalam segala perkara terutama yang suybhah da haram dan berusaha untuk mencari yang halal), suka membantu orang beriman dan suka berjamaah. 

•Hak kepada Malik (malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak. 

•Hak kepada Ridhzuan (malaikat penjaga syurga): merasa redha kepada qadha’ ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dari melakukan maksiat. 

•Hak kepada Nabi Muhammad SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada al sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari ALLAH. 

 •Hak kepada ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan

 

KORBAN MANIFESTASI KESYUKURAN KEPADA ALLAH

Jumaat, 3 Oktober 2014/ 8 Zulhijjah 1435H

Ahad ini Aidiladha bakal menyusul, sekali gus meraikan kejayaan umat Islam dalam mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah.Sebagaimana kita sedia maklum, Aidiladha juga berkait dengan pelaksanaan ibadat korban bagi umat Islam sebagai tanda keikhlasan dan lambang pengorbanan terhadap Allah SWT, tuhan yang satu serta wajib disembah. 

Korban berasal daripada perkataan ‘qoruba’ yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas segala nikmatnya. Allah SWT berfirman: 

“Dan bagi tiap-tiap umat sudah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang direzekikan Allah kepada mereka.” (Surah al-Hajj, 34) 

Malah, Rasulullah SAW juga bersabda bahawasanya: 

“Barang siapa mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah) 

Tujuan korban adalah semata-mata mengagungkan syariat Allah selain merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya di mana hukumnya adalah sunat ‘muakkad’ (yang ditekankan untuk melakukannya). Namun, Imam Abu Hanifah menyatakan hukum melaksanakan ibadat korban adalah ‘wajib’ bagi yang berkemampuan melaksanakannya dan yang bernazar. 

Jika melakukan korban sunat, sunat bagi yang berkorban memakan sebahagian daging korban dan sebahagian lagi dihadiahkan atau disedekahkan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan fakir miskin. Imam Syafie dalam pendapat awalnya (qawl jaded) menyatakan, sebaik-baiknya satu pertiga dimakan dan yang lainnya dihadiahkan kepada sahabat, jiran tetangganya dan fakir miskin. 

Namun, pendapat paling sahih dan jelas ialah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging korban, walaupun sedikit, kepada orang Islam yang fakir walaupun hanya seorang. Lebih afdal, disedekahkan semuanya kecuali memakan beberapa suap untuk mengambil berkat. 

Begitupun, mengikut pendapat jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali, korban sunat, harus dimakan sebahagiannya, tetapi jika ia korban wajib (nazar) haramlah dimakan dagingnya oleh yang berkorban. 

Berdasarkan hadis Riwayat Al-Hakim, seseorang yang ingin melakukan korban itu disunatkan menyembelih sendiri binatang korban itu namun jika tidak mampu melakukannya, hendaklah mereka menyaksikan sendiri ketika ia (binatang korban) disembelih sebagaimana perintah Rasulullah SAW yang menyuruh Fatimah melihat binatang korbannya ketika disembelih. Sabda baginda bermaksud: 

“Pergilah engkau melihat binatang korbanmu, sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. 

Lalu Fatimah bertanya: 

“Ini untuk kita Ahlul Bait saja atau juga untuk semua orang Islam? Kemudian Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan untuk kita dan semua orang Islam.” 

Justeru, ibadat korban sangat dituntut kerana manfaatnya kepada orang yang melaksanakan ibadat korban itu sendiri berkorban.Selain keampunan dosa, ibadat korban membuka ruang dan peluang meningkatkan sikap peka serta prihatin terhadap kebajikan sesama insan, terutama golongan fakir dan miskin. 

Oleh itu, dalam meraikan Aidiladha atau Hari Raya Korban, hendaklah kita sentiasa memperingatkan diri dan meningkat amalan, semoga sama-sama mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT. 

Sudut Pedoman, Variasi, Harian Metro

 

MATINYA ABU JAHAL DALAM PERANG BADAR

Jumaat, 19 hb September 2014/ 24 Zulqaidah 1435H

Akhirnya kepala Abu Jahal berjaya dipenggal oleh Abdullah bin Mas'ud dalam Perang Badar, sekali gus membawakan kemenangan kepada tentera Islam apabila ketua tentera kafir Quraisy berjaya dibunuh.Namun Abu Jahal atau nama sebenarnya Amr bin Hisham atau dikenali juga sebagai Abu Al Hakam akan sentiasa menjadi satu figura yang melambangkan kejahatan seorang manusia tidak sahaja dalam soal agama malah terutama sekali soal akhlak. Terkenal dengan sikap sombong dan bongkak, Abu Jahal suatu gelaran yang diberikan kerana jahil dalam agama (Bapa kepada segala kejahilan).Namun kejahilan Abu Jahal di sini bukan bermakna beliau seorang yang bodoh, dungu atau buta mengenai Islam. Dia tahu bahawa agama itu agama yang benar.

Tinggal lagi hanya kerana tidak mahu kehilangan kedudukan, pangkat, nama dan pengaruh apabila mendapati Nabi Muhammad yang diutus untuk membawa dan menyebarkan Islam itu, yang jauh lebih muda daripada Abu Jahal, dikatakan cuba merampas semua itu daripadanya. Kerana itu juga beliau dikenali sebagai Abu Al Hakam, bermaksud seorang yang bijaksana dan mengetahui segala serba serbi yang memberikan beliau satu kedudukan yang cukup lumayan, tinggi dan hebat oleh masyarakat Arab Quraisy. 

Tetapi bila hadirnya Nabi Muhammad, mengapa tidak dia sahaja dipilih sebagai Rasul yang dikatakan lebih mulia, lebih bangsawan dan mempunyai kedudukan. mengapa Muhammad? Mengapa tidak Abu Jahal?

Lalu perasaan hasad seperti itu menyebabkan Abu Jahal cukup dengki terhadap baginda Rasulullah.Maka tidak henti-henti dia menyakiti baginda, malah seluruh para pengikut baginda dan pantang sekali sesiapa yang menyebut mengenai Islam di hadapannya.

(Begitu pun dikatakan Nabi Muhammad sendiri tidak pernah berputus asa untuk menyeru dakwah kepada Abu Jahal. malah dikatakan baginda pernah menjadi tetamu Abu Jahal sebanyak 70 kali semata-mata tujuan dakwah dan berbaik sesama manusia).Namun Abu Jahal walaupun pernah ditakutkan dengan kehadiran unta sebesar raksasa ketika hendak membunuh Rasulullah, tidak pernah mengenal erti serik untuk terus menyakiti Nabi Muhammad dan umat Islam di Mekah.

Bahkan apabila Nabi Muhammad terpaksa meninggalkan Kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, Abu Jahal adalah manusia yang paling gembira sekali.Seolah-olah dia telah mencapai kemenangan besar kerana berjaya mengusir musuh ketatnya keluar dari Mekah.

Sehingga kini nama Abu Jahal tetap relevan untuk diguna pakai.

Sedangkan Abu Jahal itu seorang yang kafir dan masyarakat Melayu yang sudah tentunya beragama Islam tetapi pada hari ini jika berperangai tidak ubahnya seperti Abu Jahal pasti akan dilemparkan kata-kata: "Jahat atau degil macam Abu Jahal!" 

Jahatnya Abu Jahal itu telah menyebabkan Allah menunjukkan kekuasan-Nya di hadapan Abu Jahal itu sendiri agar dia sedar. Namun tetap jugalah dia degil pada tahap yang melampau-lampau.

Ini apabila kita mengambil iktibar daripada kisah hamba sahaya milik Abu Jahal sendiri, iaitu seorang hamba perempuan yang bernama Zunairah yang memeluk Islam. Dia cuba menyembunyikan pengislamannya itu daripada pengetahuan majikannya. Ini kerana jika diketahui Abu Jahal, pasti maut yang akan menunggu. 

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

 Sudut Agama, Utusan Malaysia 2/2/2011

 

 

ADAB MEMBERI TEGURAN

Jumaat, 12 hb September 2014/ 17 Zulqaidah 1435H

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah perkara yang lumrah bagi manusia.

Justeru, apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka, kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga wujud cabar-mencabar. 

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud: 

”Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Pun begitu, sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran. Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. 

Kita tidak harus melatah, apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah SWT.Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita. Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan: 

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Oleh Wan Jemizan W. Deraman,

Sudut Agama, Utusan Malaysia 16/5/2012

 

 

AKHLAK MULIA ASAS MASYARAKAT UNGGUL

Jumaat, 5 hb September 2014/ 10 Zulqaidah 1435H

Kejayaan Rasulullah didik sahabat patut diteladani

Dalam menghadapi arus kemajuan, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan pelbagai masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia.

Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah, dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman, bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan. 

 "‘Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain akhlak yang baik" Riwayat Abu Daud dan Tirmizi

Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai Allah SWT. Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: 

“Hanya bangsa itu kekal berakhlak. Bila akhlaknya lenyap, maka lenyap pula bangsa itu”. 

Kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.


Bina masyarakat selepas hijrah

Asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mula membina masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah ialah membentuk akhlak yang mulia.Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Turmuzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

‘Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik’. 

Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah dengan mudah meskipun ada cabarannya kerana akhlak yang Baginda tonjolkan menjadi pengajaran yang paling berkesan. Sejarah membuktikan bahawa keperibadian yang mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya. Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan para sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran. Tanpa sebarang kepentingan dunia, Baginda memimpin dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada buntu Baginda sama syurakan. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri. Ia juga adalah kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta ia juga faktor pembinaan sesebuah tamadun, bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

“Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” 

 

Pendidikan qudwah hasanah

Salah satu cara yang terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah dengan cara pendidikan qudwah hasanah atau contoh teladan yang baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai contoh antara satu sama lain. 

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar.

Di antara akhlak mulia yang ditunjukkan Rasulullah kepada sahabat ialah bersifat benar dan amanah dalam perkataan dan perbuatan. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati.Tidak ada sekelumit dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain, tetapi juga kemurkaan Allah SWT yang dijadikan ikutan, malahan itulah sempadan yang dijauhi sahabat dalam meningkatkan keperibadian selari dengan perintah agama.Selain dari itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara yang paling mudah, tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. 

Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah sehingga dikagumi oleh sahabat dan musuh yang bersama Baginda ketika hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini betapa kesabaran Rasulullah sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk tentulah sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi, daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam-padam. 

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penulis ialah Penyelaras Unit Penerbitan, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 

Berita Harian, Sudut Agama, 1/4/2013

 

 AKHLAK TERPUJI LUQMAN AL-HAKIM

22 hb Ogos 2014/ 25 Syawwal 1435H

AHLI hikmah dari Habsyah (Ethiopia) ini bernama Luqman al-Hakim. Menurut al-Quran, Allah SWT menganugerahkan hikmah kepadanya sehingga beliau digelar Luqman al-Hakim (Luqman yang dianugerahi hikmah). Nama penuhnya ialah Luqman bin Baura.

Beliau berketurunan Azar, ayah Nabi Ibrahim a.s. Dalam Tafsir al-Kasysyaf (karya al-Zamakhsyari), Luqman digambarkan sebagai seorang lelaki yang berkulit sangat hitam dan berwajah buruk dengan bibir yang sangat tebal.Namun, hati dan akhlaknya tidak seburuk wajahnya. Hatinya amat tulus dan akhlaknya sangat terpuji. Kata-kata hikmah sebagai nasihat selalu keluar dari bibirnya.

Menurut cerita tradisi Bani Israel, Luqman selalu mengeluarkan kata-kata hikmah (ucapan yang sesuai dengan kebenaran) sehingga akhirnya banyak diketahui masyarakat.

Seseorang pernah bertanya kepadanya, 

"Bukankah kamu bekas hamba si fulan?" 

Luqman menjawab, "Benar". 

Orang itu lalu bertanya lagi, "Tetapi apa yang membuat kamu terkenal seperti sekarang?" 

Beliau menjawab, "Kekuasaan Allah SWT. Aku selalu berkata benar dan meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah serta selalu menunaikan amanah yang diberikan kepadaku".

Dalam tafsir al-Qurtubi, tertulis bahawa ada tiga orang yang berkulit hitam tetapi sangat terkenal dalam sejarah, iaitu Bilal bin Rabah, Mahja' (hamba Umar bin al-Khattab), dan Luqman al-Hakim.Ada riwayat yang menyebut bahawa pada suatu hari seseorang terkejut melihat susuk tubuh Luqman yang hitam legam dan berbibir tebal. 

Pada waktu itu, Luqman mengatakan: 

"Sekalipun bibirku ini tebal, tetapi apa yang keluar dari mulutku adalah kata-kata hikmah. Dan sekalipun kamu terkejut melihat kulitku yang hitam legam, namun hatiku putih bagaikan kaca bersih".

Isteri majikan Luqman pernah marah kepada suaminya. Suaminya lalu mencari juadah (makanan yang lazat) untuk isterinya, kemudian meminta Luqman untuk menyerahkan makanan itu kepada kesayangannya (maksudnya isterinya). 

Setibanya di rumah, Luqman memberikan juadah itu kepada anjing majikannya, bukan kepada isterinya. Setelah pulang majikannya bertanya kepada isterinya adakah beliau sudah menerima juadah yang dikirim melalui Luqman. Isterinya berkata, 

"Luqman tidak membawa sesuatu pun untukku". Suaminya marah lalu memanggil Luqman. 

Luqman menjawab, "Hamba telah memberikan juadah itu kesayangan tuan seperti yang tuan pesan, iaitu anjing tuan".

Luqman menambah, "Anjing itulah yang seharusnya disayangi kerana sekalipun dihina dan disakiti, ia tidak meninggalkan tuan, manakala isteri tuan sebenarnya bukanlah kesayangan Tuan kerana beliau sering meminta cerai sekalipun tidak dihina, apalagi dipukul".

Kemuliaan seseorang di hadapan Allah SWT tidak terletak pada keturunannya, tetapi pada ketakwaan dan akhlaknya. Luqman adalah salah seorang yang bertakwa dan berakhlak mulia. 

Ketakwaan dan kemuliaan akhlaknya dijadikan teladan dalam al-Quran. Ketakwaannya kepada Allah SWT ditunjukkannya melalui nasihat kepada anak lelakinya, An'am atau Asykam, misalnya tidak menyekutukan Allah SWT kerana perbuatan itu merupakan kezaliman yang amat besar (Surah Luqman: ayat 13). 

Kemuliaan akhlaknya ditunjukkan melalui nasihat supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kepada sesama manusia (Surah Luqman: ayat 18) dan perkataan lembut kerana seburuk-buruk suara adalah suara keldai (Surah Luqman: ayat 19).

Sudut Agama, Utusan Malaysia 3/5/2011

 

 

Majlis rumah terbuka Syawal bukan untuk bermegah

Jumaat 8/8/2014 bersamaan 1 Syawwal 1435H

Syawal dan bulan seterusnya menjadi medan dan landasan terbaik untuk kita menguji sejauh mana madrasah Ramadan benar-benar menjadikan kita insan yang bertakwa. Jika mengikut Indeks Prestasi Kerja (KPI), adakah kita sudah mencapai standard takwa ditetapkan Allah atau masih jauh dari sasaran? Jika kita berjaya berpuasa sebulan,khatam al-Quran, banyak solat malam, berzikir, bersedekah dan sebagainya pada Ramadan, maka amalan berkenaan hendaklah diteruskan dan ditingkatkan di luar Ramadan. 

Pesan ulama, jadilah kamu 'rabbaniyin' dan janganlah jadi 'ramadhaniyin' iaitu jadilah hamba Allah dan janganlah menjadi hamba Ramadan. Oleh itu, amat rugi jika kita hanya hebat beribadah pada Ramadan tetapi ambil mudah atau sambil lewa saja ketika di luar Ramadan. Madrasah Ramadan sepatutnya menjadikan kita lebih komited, tekun dan bersungguh-sungguh dalam beribadah kepada Allah dan berbakti serta melaksanakan segala tuntutan agama. 

Latihan berpuasa selama sebulan sepatutnya diteruskan lagi dengan amalan sunat puasa enam Syawal di mana dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda:

"Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim).

Di samping puasa enam pada Syawal, kita juga disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis serta hari sunat lain kerana puasa bukanlah sekadar amalan ritual saja, malahan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan manusia. 

Amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi saudara-mara, sahabat, jiran tetangga menjadi kelaziman kepada masyarakat Islam di negara kita sememangnya sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan lagi silaturahim. Rasulullah bersabda, bermaksud:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam." (Riwayat Muslim) 

Suasana berhari raya juga menjadi bertambah meriah dengan majlis rumah terbuka yang kini menjadi trend positif dalam masyarakat kita dan perlu digalakkan lagi. Majlis berkenaan kebiasaannya dianjurkan individu, badan korporat, parti politik dan sebagainya mewujudkan suatu kelainan serta keunikan sambutan hari raya. Konsep rumah terbuka seperti dianjurkan membuka landskap baru kepada sambutan Aidilfitri yang mungkin agak janggal suatu ketika dulu dalam masyarakat Melayu. 

Namun, dalam keghairahan menganjur dan menghadiri majlis rumah terbuka sepanjang sebulan Syawal ini, maka perlu diberi penekanan kepada beberapa perkara asas iaitu meliputi aspek menjaga batasan pergaulan dan aurat; menghindari hiburan melalaikan; tidak boros dan berlebih-lebihan ketika berbelanja; di samping bersyukur dengan rezeki yang ada; serta tidak melupai saudara, jiran atau sahabat yang berada di dalam kesusahan. 

Dalam pada itu juga, apa yang paling penting ialah niat mengadakan majlis sedemikian adalah untuk berkongsi rezeki dan meraikan sahabat-handai, saudara-mara, jiran tetangga, pekerja dan sebagainya. Oleh demikian, penganjuran majlis berkenaan bukanlah bertujuan bermegah-megah sehinggakan ada yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis sosial itu. 

Sudut Agama, Berita Harian 28/9/2009

Sila klik sini untuk mendapatkan versi softcopy.(Masih di dalam Pembinaan. Harap maaf)