Cetak

ARKIB 2016

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

WASPADA SAMBUT TAHUN BARU

30 Disember 2016/ 30 Rabiul Awwal 1438H

KEHADIRAN tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan syarak. Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut ia dicemari dengan aksi pergaulan bebas di antara kaum lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, penggunaan pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru.

Maka sorak-sorai serta jerit-pekik gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12. Hiburan-hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga ke pagi hari. Ini sebenarnya budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa ini. 

Budaya sebegini begitu giat dipropagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi oleh musuh-musuh Allah agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Hakikatnya, kita telah diperingatkan tentang niat buruk golongan ini melalui Firman-Nya: 

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)." (Surah al-Baqarah: ayat 120)

Malangnya terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mengendahkan peringatan tersebut dan ramai yang bukan sekadar terlibat dalam upacara sambutan tahun baru ini malah ada juga yang menganjurkan, mempromosikan dan menggalakkan sambutan hari tersebut. Sebenarnya terdapat banyak sekali dalil-dalil daripada al-Quran mahupun sunah yang melarang perbuatan menyerupai tingkah-laku kaum yang menolak agama Allah di dalam perkara yang menjadi sifat dan khusus bagi mereka. Termasuk dalam perkara seumpama ini adalah meniru mereka dalam menyambut hari-hari perayaan dan pesta-pesta mereka. 

Setiap sambutan yang dikhususkan pada hari tertentu dan sambutannya berulang-ulang setiap tahun serta diagung-agungkan oleh orang-orang bukan Islam maka ia termasuk dalam kategori hari-hari perayaan yang terlarang bagi umat Islam menyambutnya. Apatah lagi umat Islam mempunyai hari-hari perayaan tersendiri yang diredai oleh Allah SWT dan ia membatalkan seluruh hari-hari perayaan lain yang tidak disyariatkan. 

Daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah, maka Baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri." (riwayat Imam al-Nasa'i di dalam Sunannya no: 959)

Daripada Tsabit bin Al-Dhahhak r.a bahawasanya dia berkata: “Seorang laki-laki telah bernazar pada masa Rasulullah SAW untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku telah bernazar untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu Nabi SAW bertanya: Apakah di dalamnya terdapat salah satu daripada berhala-berhala Jahiliah yang disembah? Mereka menjawab: Tidak. Baginda bertanya lagi: Apakah di dalamnya terdapat salah satu dari hari-hari besar mereka? Mereka menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: Tepatilah nazarmu kerana tidak perlu menepati nazar di dalam berbuat maksiat kepada Allah dan di dalam hal yang tidak dipunyai (tidak mampu dilakukan) oleh manusia.” (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3313)

Lihatlah bagaimana berhati-hatinya Rasulullah agar kita tidak membuat sesuatu perkara yang bersamaan dengan tarikh hari-hari perayaan golongan yang syirik kepada Allah. Tentu sekali menyambut hari-hari besar musuh-musuh Allah seperti pesta sambutan tahun baru bersama mereka di seluruh dunia memiliki implikasi yang lebih berat di sisi syarak. 

Umat Islam dilarang mengikuti budaya-budaya sesuatu kaum yang bertentangan dengan syarak dan sesiapa yang meniru budaya tersebut maka di akhirat kelak mereka akan tergolong bersama-sama dengan kaum yang memusuhi Allah tersebut. "Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3512)

Tambahan pula Allah SWT telah menjadikan kelompok-kelompok yang ingkar kepada perintah-Nya memiliki hubungan yang akrab di antara satu sama lain. Maka keterlibatan orang-orang Islam dalam upacara-upacara golongan yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya menunjukkan mereka telah menjadi sebahagian daripada kelompok yang zalim tersebut sebagaimana ditegaskan dalam surah al-An'am ayat 129.

Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan terlarang yang menyerupai kaum yang memusuhi Allah, ia sebenarnya secara tidak langsung menampakkan seolah-olah kita kagum dengan golongan yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengagung-agungkan budaya mereka. Sikap sebegini dicela oleh Allah SWT melalui firman-Nya: 

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.” (Surah al-Mujaadalah: ayat 22)

Seperti yang telah sedia maklum, upacara-upacara sambutan tahun baru ini kebanyakannya adalah pesta-pesta yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat dan Allah SWT telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta di atas muka bumi ini dengan perbuatan-perbuatan terlarang. Ini dijelaskan dalam surah Ghaafir ayat 75.

Berdasarkan paparan yang telah dikemukakan di atas, maka tidak boleh hukumnya seorang Muslim untuk menganjurkan, menghadirkan diri, mempromosikan ataupun membantu mengadakan perayaan-perayaan hari-hari besar yang tidak ada landasannya dalam Islam seperti sambutan tahun baru. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti dalam surah al-Maaidah ayat 2.

Pun begitu, tidaklah pula menjadi kesalahan sekiranya setiap kali munculnya tahun baru, seseorang Muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing. Oleh itu, apabila tibanya tahun baru maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanamkan azam baru yang positif serta selari dengan syarak dan hendaklah pula dia bersungguh-sungguh untuk memastikan azam tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar angan-angan. 

Apa yang lebih baik, umat Islam mengutamakan tahun baru hijrah menurut kalendar yang telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dalam menetapkan azam baru ini. Penggunaan kalendar hijrah ini juga lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian seluruh umat Islam. Hendaklah umat Islam merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkaitan dengannya. 

Janganlah kita menjadi umat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanamkan dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita daripada jalan yang lurus lagi diredai Allah. Hindarkan diri kita daripada menjadi ejen-ejen yang mempopularkan gaya hidup musuh-musuh Islam serta memasyhurkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang Islamik.

Oleh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS 

Bicara Agama, Utusan Malaysia 22/12/2008

ABDULLAH IBNU ABBAS PAKAR SASTERA, TAFSIR, MATEMATIK

23 Disember 2016/ 23 Rabiul Awwal 1438H

Abdullah ibn. Abbas adalah antara tokoh Islam yang belum menjangkau umur dewasa ketika wafatnya Rasulullah SAW, namun apabila dewasa, beliau berjaya menjadikan dirinya sebagai ilmuwan terbilang setaraf Ibn Sina, Al-Kawarizmi dan ramai lagi. Salah satu keistimewaan Abdullah berbanding sahabat Rasulullah SAW yang lain ialah keluasan ilmu yang dimilikinya.

Beliau terkenal sebagai tokoh yang memiliki pelbagai bidang ilmu pengetahuan antaranya ilmu sastera, bahasa Arab, tafsir, matematik dan faraid. Justeru, keluasan ilmunya itu membolehkan beliau mendapat gelaran pendeta Islam atau profesor dalam konteks bahasa moden pada hari ini. Salah satu punca kejayaan Abdullah ialah doa Rasulullah SAW yang meminta supaya sepupunya itu dapat memahami agama dan ilmu tafsir yang dimakbulkan Allah. 

Sedari kecil, Abdullah amat gemar bermain di rumah Baginda dan pada suatu hari ketika Abdullah berlari menuju ke rumah Baginda, beliau ternampak Rasulullah SAW sedang berwuduk dan dengan segera mengucurkan air wuduk untuk Baginda.Perbuatan beliau amat menggembirakan Baginda dan apabila selesai menunaikan solat, Baginda memangku Abdullah sambil mengusap kepalanya berdoa, 

“Ya Allah, berikanlah keberkatan kepadanya dan berikanlah perkembangan ilmu daripadanya.”

Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah ialah kisah beliau terpandang malaikat Jibrail.Menurutnya, pada suatu hari ketika memasuki rumah Rasulullah SAW, beliau ternampak seorang lelaki tidak dikenalinya sedang bersama Rasulullah SAW, lalu segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya, Abbas Abdul Muttalib.

Kemudian ayahnya menjawab, 

“Wahai anakku, kau melihat Jibrail yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah SAW.”

Tatkala dewasa, Abdullah mencapai kedudukan terkemuka di kalangan sahabat Rasulullah. Beliau mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dan memahami al-Quran sedalam mungkin serta memberikan fatwa kepada masyarakat berhubung hukum agama.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, Abdullah mencapai pelbagai kejayaan antaranya sebagai ahli tafsir dan hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari pelusuk negeri berminat untuk menuntut ilmu dengannya.Sebagai tanda penghargaan, Khalifah Umar menggelarkan Abdullah dengan gelaran Ibn Abbas, seorang pemuda yang tua ilmunya, mempunyai lidah amat berharga dan mempunyai hati yang bersih.Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada Abdullah hingga beliau memiliki otak yang cerdas.

AKHLAK DALAM ISLAM PENDIDIKAN SEKS PALING SEMPURNA

16 Disember 2016/ 16 Rabiul Awwal 1438H

Adab pergaulan, batas aurat antara perkara asas boleh hindari seks bebas di kalangan remaja 

KISAH rakaman seks yang tersebar meluas di internet adalah fenomena membimbangkan kerana zina dilakukan sewenang-wenangnya. Alasan rakaman untuk simpanan peribadi bukan alasan yang boleh diterima kerana perbuatan itu sendiri menyalahi syariat agama. 

Bagaimana jika rakaman terlepas ke tangan pihak tidak bertanggungjawab seperti kerap dilaporkan sekarang ini. Malah, lebih menakutkan apabila rakaman seks mula disebarkan melalui telefon bimbit dan menjadi tatapan umum. Allah berfirman yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” – (Surah al-Isra’, ayat 32) 

Melihat kepada situasi ini, sudah tiba masanya pendidikan seksual di sekolah dan universiti yang suatu masa dulu dibincangkan secara hangat dipertimbangkan semula supaya dapat dilaksanakan menurut acuan pendidikan Islam. 

Menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsep yang luas, syumul serta mempunyai kedudukan yang tinggi. 

Pendidikan seks di negara Barat menitikberatkan perilaku seks sihat, tetapi tidak mendidik anak supaya menghindari seks bebas sehingga tidak dapat mengurangi timbulnya penyakit kelamin dan kehamilan luar nikah. 

Pendidikan seks menurut Islam adalah pengajaran dan penerapan mengenai masalah seksual dalam usaha menjaga anak daripada kebiasaan yang tidak Islamik serta menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang (zina). 

Pendidikan seks sebenarnya bermula ketika anak mulai bertanya mengenai seks. Sejak kecil, anak perlu dididik dengan contoh teladan, kebiasaan akhlak yang baik, penghargaan terhadap anggota tubuh, menanamkan rasa malu apabila aurat terlihat orang lain ataupun malu melihat aurat orang lain. 

Sejak seusia 10 tahun, anak lelaki dan perempuan perlu dipisahkan tempat tidur. Mereka juga perlu diajar mengetuk pintu dan meminta izin ibu bapa ketika hendak masuk ke bilik tidur ibu bapa terutama dalam tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, selepas Zuhur dan setelah waktu Isyak. Firman Allah yang bermaksud: 

“Wahai orang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa itu, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nur, ayat 58-59) 

Pada usia menjejak umur mumayyiz (7 hingga 10 tahun), anak perlu diajar mengenali organ biologi mereka serta perbezaan antara lelaki dan perempuan, membantu mereka memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di depan khalayak. Anak juga harus tahu bahawa ada bahagian daripada tubuhnya yang tidak boleh dilihat orang lain apalagi menyentuhnya. Selain itu mereka juga perlu dijelaskan mengenai tumbesaran tubuh serta fungsi anggota tubuh dalam bahasa mudah difahami. Contohnya, usia baligh apabila perempuan kedatangan haid dan anak lelaki mengalami mimpi basah. 

Pada usia mencecah baligh (10 hingga 16 tahun), anak harus diberi penjelasan mengenai fungsi biologi secara ilmiah, batas aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dengan perempuan dan menjaga kesopanan serta harga diri. Pada peringkat ini, anak perlu dijauhkan daripada pelbagai rangsangan seksual, seperti buku porno, bahan lucah, rancangan televisyen atau internet yang berunsurkan seks. 

Ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak perlu sentiasa menjaga dan memerhati perlakuan anak mereka di rumah mahupun luar, selain sentiasa mengingatkan mereka larangan mendekati zina. 

Kurikulum pendidikan seks yang ingin diajar perlu tertakluk kepada nilai akhlak dan etika ditetapkan Islam melalui perbincangan munakahat yang merangkumi peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan hubungan lelaki dan wanita. Dalam konteks masyarakat kita, mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama, adalah lebih baik dan munasabah jika pendidikan munakahat diperkemaskan dengan memasukkan elemen baru berkait masalah berlaku hari ini untuk disesuaikan dengan kepelbagaian kaum. 

Walaupun Islam dijadikan sebagai garis panduan, namun sayugia dinyatakan bahawa dalam agama lain juga tidak membenarkan atau menghalalkan perlakuan zina sebelum berkahwin. 

Oleh Tuan Musa Awang
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya. 

Sudut Agama, Berita Harian 3/11/2010

RAI MAULIDUR RASUL SEMAI RASA CINTA KEPADA RASULULLAH

9 Disember 2016/ 9 Rabiul Awwal 1438H

Terdapat dalil umum daripada al-Quran yang dijadikan hujah ulama membenarkan diadakan sambutan Maulidur Rasul antaranya untuk menggalakkan umat Islam menjadi insan berjaya dengan mencontohi Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:  

“Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah al-A’raf, ayat 157) 

Meraikan sambutan Maulidur Rasul juga termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah al-Ma’idah, ayat 12) 

Sabda Rasulullah SAW: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Semai perasaan cinta

Memperingati dan menghayati perjalanan hidup Rasulullah SAW juga boleh menyemaikan perasaan cinta kepada Baginda. Kini ramai orang semakin jauh daripada perasaan cinta kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: 

“Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Saidina Umar al Khattab berkata kepada Nabi Muhammad SAW: 

“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri. Saidina Umar berkata:

“Demi Allah SWT, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Sekarang wahai Umar.” (Riwayat Bukhari)

Tiada salahnya meraikan sesuatu perayaan kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menyebut mengenai hari kebesaran. Semasa datang ke Madinah, Nabi Muhammad SAW mendapati orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu 10 Muharam. Nabi SAW bertanya: 

“Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura? Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan bila mana Firaun dikaramkan dan Musa dibebaskan. Kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Rasulullah bersabda: Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim) 

Salafussoleh juga menyambut Maulidur Rasul. Mantan Mufti Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah berkata: 

“Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke-4 dan ke-5 merayakan peringatan maulid Nabi SAW yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al-Quran, berzikir, melantunkan puisi dan puji-pujian mengenai Rasulullah.”

Justeru, tidak perlulah kita mempertikaikan sama ada boleh atau tidak meraikan sambutan Maulidur Rasul sebaliknya bersama melakukan sesuatu yang baik supaya umat Islam sentiasa mencintai Nabi Muhammad SAW. Pastikan pengisian majlis akan mendekatkan hati kita dengan Baginda.

Oleh Hasyim Ahmad 

Sudut Agama, Berita Harian 11/01/2014 

ALI MENANTU RASULULLAH

2 Disember 2016/ 2 Rabiul Awwal 1438H

ALI bin Abu Talib ialah sepupu kepada Rasulullah SAW. Ibnu Ishak menceritakan ketika Ali datang menemui Rasulullah, baginda ketika itu sedang bersembahyang bersama isterinya, Siti Khadijah. Ali sangat kagum melihat segala yang dilakukan oleh baginda dan isterinya. Lalu, Ali pun bertanya kepada Rasulullah apa yang dilakukan oleh baginda itu. 

Baginda pun menjawab, itulah agama Allah yang baginda pilih, dan dengan agama itulah Allah mengutuskan semua utusan-Nya. Oleh itu baginda turut menyeru kepada Ali supaya menyembah Allah Yang Esa. Baginda juga turut menyuruh Ali supaya meninggalkan berhala Laata dan Uzza.

Mendengar kata-kata baginda itu Ali meminta izin untuk memberitahu kepada ayahnya, Abu Talib terlebih dahulu. Namun, baginda melarang Ali memberitahu sesiapa pun kerana baginda tidak mahu perkara itu diketahui oleh orang lain sebelum datangnya perintah untuk menyebarkannya kepada orang ramai.

Semalaman Ali berfikir tentang perkara itu dan ruparupanya Allah telah membukakan pintu hatinya untuk menerima Islam. Maka, keesokan harinya Ali terus pergi menemui baginda dan beliau pun berkata, 

"Apakah yang engkau mahukan dariku, wahai Muhammad?"

Baginda pun menjawab, "Hendaklah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan hendaklah engkau mengkufuri berhala Lata dan Uzza, dan membersihkan dirimu daripada segala macam Tuhan selain Allah".

Ali segera menerima ajakan baginda itu dan memeluk Islam. Selepas itu, beliau tetap mendatangi baginda secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh bapanya. Ali terus menyembunyikan keislamannya dan tidak mengkhabarkan kepada sesiapapun.

Sementara itu dalam medan peperangan, baginda sangat mempercayai Ali. Baginda mengatakan ingin menyerahkan bendera perang kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicintai Allah dan Rasul-Nya juga. Maka Ali telah dipilih oleh baginda. Tetapi ketika itu Ali sedang sakit mata. Baginda tetap menyuruh Ali datang kepada baginda dan baginda meludah mata Ali yang sakit itu dan memohon kepada Allah. Dengan tiba-tiba, mata Ali terus sembuh seolah-olah tidak pernah ditimpa sakit atau pedih. Kemudian bendera Islam itu diserahkan kepadanya.

Ketika pihak Quraisy sedang membuat perancangan untuk membunuh Rasulullah ketika baginda sedang tidur, baginda meminta Ali menyamar sebagai dirinya dengan tidur di tempat perbaringan baginda. Ali menerimanya tanpa bantahan walaupun nyawanya dalam bahaya.

Rasulullah juga telah mengahwinkan anak baginda iaitu Fatimah dengan Ali disebabkan perwatakan dan perangai Ali yang sangat menawan hati baginda. Ali dan Fatimah dikurniakan empat orang anak iaitu; Hasan, Husain, Zainab dan Ummu Kalthom. Melalui anak Fatimah dan Ali ini, baginda mempunyai keturunan yang banyak di samping berjasa kepada agama Islam. 

Ada di antara mereka seperti Hasan dan Husain menjadi penguasa, pemimpin, menjadi imam yang sering beramal dan berjihad di jalan Allah. Begitulah kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah terhadap Ali bin Abu Talib.

Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

AMANAH ASAS DALAM DIRI PEKERJA

25 hb November 2016/ 25 Safar 1438H

SETIAP pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali.

Jika kita seorang majikan sesebuah organisasi, maka kita perlu memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, menghormati pandangan mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan supaya mereka mencintai pekerjaan, memotivasi dan memberi semangat dalam melaksanakan tugas.

Sebagai seorang pekerja maka di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya. Amalan melaksanakan tugas dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran.

Apatah lagi, isyarat tentang ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyah r.a.

Begitu juga setiap pekerja atau warga sesebuah organisasi mesti sedar akan amanah yang ada pada diri mereka untuk menjalin hubungan yang baik dan penuh kasih sayang antara pekerja. Mereka perlu sentiasa berusaha mewujudkan nilai-nilai mulia dalam hubungan antara sesama mereka seperti bekerjasama, bantu-membantu, bersangka baik, nasihat-menasihati dan sebagainya. Sebaliknya, sikap dan nilai buruk seperti iri hati, saling memudaratkan, hasut-menghasut, berprasangka buruk dan lain-lain perlu dijauhi serta dihapuskan.

Di samping itu, amanah diri pekerja turut dikaitkan dengan sejauh mana mereka dapat melindungi kepentingan serta rahsia dalam mempertahankan nama baik atau imej organisasi. Kita ibaratkan sahaja organisasi atau syarikat tempat kita bertugas sebagai sebuah keluarga, masyarakat atau sebuah negara. Maka dari situ kita perlu menjaga organisasi agar tidak terpalit dengan unsur-unsur negatif yang boleh menjatuhkan organisasi berkenaan. Selain itu, sebagai pekerja kita turut diamanahkan untuk menjaga peralatan serta kemudahan yang disediakan oleh majikan untuk kegunaan kakitangannya. Ini bertujuan memastikan kelancaran tugas yang diamanahkan. Segala peralatan dan kemudahan milik pejabat atau organisasi tempat kita bekerja seperti telefon, mesin fotokopi, kereta pejabat, pencetak dan lain-lain untuk keperluan pejabat perlu dimanfaatkan hanya untuk tujuan penyempurnaan tugas semata-mata; bukan sebaliknya.

Asas kepada nilai amanah seseorang pekerja juga hendaklah sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia perlu mengatur perancangan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau sering menunda-nunda kerjanya. Keadaan ini penting untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik menurut tempoh yang telah ditentukan.

Menyentuh tentang sikap gemar menunda-nunda kerja, ia sebenarnya merupakan amalan yang akan mendorong kegagalan seseorang pekerja, sama ada dari sudut matlamat pekerjaan mahupun juga pencapaian organisasi. Oleh yang demikian, perancangan tugasan yang baik akan dapat membantu pekerja untuk menentukan keutamaan dalam pelaksanaan tugas. Tugas yang lebih penting, didahulukan dan yang kurang mendesak, dilakukan kemudian.

Fikirkan pula jika nilai amanah ini terhakis daripada diri kita. Apakah yang akan berlaku jika masyarakat kita telah mula menerima budaya khianat-mengkhianati, menyalahgunakan kuasa, tidak bertanggungjawab, rasuah dan sebagainya?

Justeru, cara terbaik untuk memupuk nilai amanah dalam diri pekerja ialah dengan memanfaatkan semua bentuk ibadah yang difardukan ke atas kita.Bahkan seseorang pekerja Muslim sebenarnya amat beruntung kerana memiliki peluang yang amat banyak untuk memupuk nilai amanah. Ini kerana sejak kecil lagi, kita telah diberikan pendidikan keimanan (Rukun Iman) dan bimbingan untuk beribadah (Rukun Islam).

Sebagai contoh, dengan mengerjakan solat pasti dapat menghalang seseorang yang melaksanakan tugas dengan penuh ketulusan dan keimanan untuk tidak terbabit dengan perbuatan melanggar amanah seperti penyalahgunaan kuasa, salah laku di tempat kerja, ponteng dan sebagainya.

Selain itu, hayatilah nilai amanah Rasulullah SAW yang boleh menjadi teladan terbaik dalam kehidupan kita. Nabi SAW yang memulakan perniagaan bersama-sama dengan bapa saudaranya tetapi dalam tempoh masa yang singkat, disebabkan kejujuran dan keadilannya, baginda terkenal di kalangan penduduk Quraisy Mekah sebagai seorang yang sangat jujur lagi amanah sehingga digelar al-Amin (orang yang jujur) dan al-Siddiq (orang yang benar).

Oleh itu, pemupukan nilai amanah dalam diri pekerja seharusnya bermula dengan diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain terutama dalam organisasi akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan apa yang diungkap oleh cendekiawan, "Seseorang yang tidak memiliki sesuatu (amanah), tidak akan dapat memberikan apa pun (amanah)."

Oleh NOR HARTINI SAARI.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sudut Rencana, Utusan Malaysia 16/4/2010

AL-SUFI: AHLI SAINS ISLAM TERSOHOR

18 hb November 2016/ 18 Safar 1438H

Abd. Ar-Rahman Al-Sufi, salah seorang ahli sains Islam tersohor. Al-Sufi adalah ahli astronomi Parsi (kini Iran) yang juga dikenali sebagai Abd. Al-Rahman Abu Al-Hussain atau lebih dikenali di barat sebagai Azophi. Beliau lahir pada 7 Disember 903 dan meninggal dunia pada 25 Mei 986. Tinggal di kawasan Emir adud ad-Daula di Isfahan, beliau melakukan tugas menterjemah dan mengembangkan kerja-kerja ahli astronomi Greek, terutama Ptolemy.
Sebagai seorang ahli astronomi terkenal pada zaman pertengahan, al-Sufi melakukan beberapa sumbangan dengan membetulkan senarai bintang Ptolemy dan melakukan anggaran magnitud dan kejelasan yang menyimpang daripada kerja Ptolemy. Beliau mengenal pasti Awan Besar Magellanic yang kelihatan di Yaman dan bukan di Isfahan yang tidak dapat dilihat atau ditemui oleh bangsa Eropah sehingga pengembaraan Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Al-Sufi merupakan penterjemah utama ke Bahasa Arab mengenai Astronomi Hellenistic yang berpusat di Iskandariah. Beliau memerhatikan dan dapat mengira tempoh panjang tahun tropika dan menerangkan mengenai bintang, posisi, magnitud dan warna, dan menghasilkan keputusan mengenai buruj demi buruj. Bagi setiap buruj, beliau menghasilkan dua lukisan, satu daripada luaran cakerawala dan satu lagi dari sebelah dalam yang dilihat dari Bumi.

Al-Sufi juga menulis mengenai astrolab dan mencari beberapa kegunaan mengenainya. Beliau menerbitkan bukunya yang terkenal Book of Fixed Stars pada 964 Masihi, memaparkan mengenai kerjayanya dalam bentuk teks dan gambar. Dalam keterangan dan gambar mengenai Andromeda, beliau memasukkan A Little Cloud yang sebenarnya adalah Andromeda Galaxy M31. Beliau menggambarkannya berada dalam mulut ikan yang besar, yang merupakan buruh Arab dan 'awan' berkenaan telah dikenali oleh ahli astronomi di Isfahan sebelum 905 Masihi.

Dalam bukunya, beliau juga menerangkan mengenai gugusan Omicron Velorun IC 2391 sebagai 'bintang nebulous ' di Vulpecula, satu gugusan atau asteris yang kini dikenali sebagai Al-Sufi atau Gugusan Brocchi atau Collinder 399.Beliau juga menggambarkan Awan Magellan sebagai Al-Bakr, lembu jantan putih di selatan Arab yang mana ia tidak kelihatan dari utara Arab kerana latitudnya.
Al-Sufi menyediakan carta langit daripada pemerhatiannya dan mengubah mengubah magnitudnya dengan cermat. Bukunya Kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar merupakan hasil karya yang unggul dalam astronomi stellar. Bukunya boleh didapati dalam Bahasa Arab dan diterjemah ke dalam Bahasa Perancis oleh Schjellerup dan ia dikatakan penting sehingga kini bagi kajian pergerakan dan kepelbagaian. Kerja-kerja Al-Sufi tidak diketahui di Eropah.

Pada masa penciptaan teleskop, Andromeda Nebula telah ditemui oleh Simon Marius pada 1612 menggunakan teleskop. Al-Sufi juga menjelaskan mengenai warna Sims (satu bintang) tidak berubah yang kemudian disahkan melalui pemerhatian.

Seneca melaporkan melihat Sirms berwarna merah di Rom, Ptolemy pula melihat warna kemerahan di Iskandariah dan Schmidt pada 1841 nampak warna putih selepas warna kuning beberapa hari sebelumnya. Warna yang berlainan dianggap hasil daripada perubahan cuaca dari satu tempat ke tempat lain.

Oleh sebab sumbangannya yang besar dalam bidang astronomi, sebuah kawah di bulan dinamakan Kawah Azophi yang mempunyai diameter 47.0 kilometer dalam sembilan bahagian peta bulan dan terletak 22.1 Selatan 12.7 timur. Bear dan Madler dalam tugasannya terkenal Der Mond pada 1837 menyebut kawasan permukaan bulan sempena nama al-Sufi (Azophi).

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/3/2011

AMALAN MEMURAHKAN REZEKI

11 hb November 2016/ 11 Safar 1438H

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d: ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan sebanyak-banyaknya

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim: ayat 7) 

dan Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran: ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.”

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Sayyidina Abdullah ibnu Mas’ud dikatakan berpesan kepada puteri-puterinya agar mengamalkan pembacaan Surah al-Waqiah berdasarkan hadis yang tersebut tadi yang mana disampaikan oleh beliau dan diriwayatkan oleh imam Al-Baihaqi.

Ada juga amalan yang dilakukan oleh para orang soleh terdahulu antaranya mengamalkan ayat 1000 dinar iaitu Surah At-Tholaq ayat 2-3 sebagai wirid selepas solat, bukan digantung dan ditampal di dalam kedai atau premis perniagaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allahberi kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang jiwa dibacanya Al-Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (Surah At-Thalaq: ayat 3)

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah At-Talaq: ayat 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa yang mendekatkan diri kepada Allah. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Hakikat kenaikan harga minyak, minyak masak dan lain-lain barang keperluan sehingga membebankan masyarakat bukan dari individu atau organisasi, hakikatnya adalah ujian dan cubaan dari Allah untuk kita, menginsafi dan muhasabah diri, agar kembali kepada jalanNya yang lurus. Wallahu a’lam.

ALLAH BERHAK BERI HIDAYAH WALAUPUN TERHADAP INSAN LAKUKAN KEJAHATAN

 4 hb November 2016/ 4 Safar 1438H

ALLAH berfirman yang bermaksud:  

“Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125). 

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa. 

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar. Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah. 

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa. 

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab. Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala. Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya. 

Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah. Firman Allah yang bermaksud: 

“Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272) 

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin. Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka. 

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah. 

Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik. Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup. 

Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) 

Sudut Agama, Berita Harian 26/5/2011

BALA PENGHINA RASULULLAH

28 hb Oktober 2016/ 27 Muharram 1438H

SEJAK mutakhir ini banyak kalangan terutama masyarakat Barat telah melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dengan bermacam-macam cara seperti melalui filem, kartun dan sebagainya. Kini tersebar pula di kalangan masyarakat di Malaysia menerusi Internet akan perkara yang sama. Kes ini yang dilaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai gaya baharu untuk merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Seperti yang kita ketahui, Allah SWT telah mengangkat martabat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan suatu kedudukan yang tiada tolok bandingannya dengan nabi, manusia, dan makhluk lain. Kedudukannya banyak diungkapkan melalui al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Seseorang itu walaupun dia bukan Islam apa lagi yang beragama Islam, dia tidak boleh mengatakan atau menghina Nabi Muhammad SAW melalui bentuk pengucapan, penulisan, perbahasan, lukisan atau sebagainya. Malah kita disuruh agar merendahkan suara ketika bercakap dengan Rasulullah SAW dan haram bagi umat Islam meninggikan atau menyaringkan suara semasa bercakap dengan baginda Rasulullah SAW.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara semasa menghadapkan percakapan suara terhadap yang lain (larangan yang demikian) supaya amalan-amalan kamu tidak terhapus pahalanya sedangkan kamu tidak menyedarinya.”(Surah al-Hujurat: ayat 2)

Berdasarkan ayat di atas, adalah jelas dan nyata bahawa umat Islam mestilah menghormati Nabi SAW, bersopan santun kepada Baginda dan menjaga adab serta tatatertib kepada Baginda dalam apa jua keadaan dan situasinya.

Menghina

Perbuatan dan tindak tanduk menghina Nabi SAW seperti yang dilakukan oleh mereka yang terlibat adalah salah satu perbuatan terkutuk dan merupakan satu dosa yang amat besar di antara segala dosa.

Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang mencela dan menghina Nabi SAW mesti dihukum bunuh. Namun mereka berselisih pendapat, adakah orang tersebut terus dibunuh atau ditangguhkan dahulu dan disuruh ia bertaubat (istitab) serta adakah istitab itu adalah wajib ataupun tidak.

Al-Qadhi al-Iyadh berkata di dalam al-Shifa, bahawa di dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijmak banyak dijelaskan tentang hak-hak Rasulullah SAW, kebaikan, kehebatan, kebesaran dan kemuliaan Baginda. Oleh sebab itu, Allah SWT mengharamkan perbuatan menyakiti Nabi SAW seperti mana tertera dalam al-Quran.

Dalam konteks itu, semua ulama tanpa khilaf menerima hukum bunuh bagi umat Islam yang memperkecilkan dan menghina Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah melaknati mereka di dunia dan di akhirat serta menyediakan bagi mereka azab seksa yang amat hina.” (Surah al-Ahzab: ayat 57)

Diazab

Daripada ayat di atas, dapat difahamkan dengan jelas bahawa sesiapa yang menghina Rasulullah SAW akan diazab oleh Allah di akhirat dan di dunia pula mereka akan dilaknat serta dihukum dengan hukuman yang amat berat.

Sesiapa yang menghina Rasulullah SAW dengan menyebut kekurangan pada diri, keturunan, agama, gerak-geri Baginda SAW ataupun membuat keraguan dengan sesuatu niat yang bertujuan untuk menghina dan mencela Rasulullah atau memperkecilkan segala urusan, merendah-rendahkan Rasulullah SAW, maka hukumnya adalah dibunuh.

Demikian juga sesiapa yang melaknat atau mendoakan sesuatu keburukan ke atas Rasulullah SAW atau bercita-cita untuk memberi kemudaratan ke atasnya atau menyebut sesuatu yang tidak layak baginya untuk mengeji dirinya, maka para ulama dan ahli fatwa daripada kalangan sahabat Baginda telah bersepakat supaya mereka itu dijatuhkan hukuman bunuh.

Menurut kesepakatan ulama mazhab as-Syafi'i, sesiapa yang menghina Nabi SAW, maka dia telah murtad dan keluar daripada Islam. Hukuman baginya adalah sama seperti orang yang murtad iaitu diberi peluang untuk bertaubat dan jika dia enggan dan tetap dengan pendiriannya, maka hendaklah dibunuh.

Jika dia bertaubat, maka hendaklah dibebaskan walaupun dia melakukan kesalahan tersebut berulang kali, tetapi dengan syarat taubatnya itu mesti disertai dengan mengucap dua kalimah syahadah dan menzahirkan taubatnya serta menyesal di atas perbuatannya yang melanggar hak Islam. (Kifayat al-Akhyar)

Jadi kafir

Orang yang menghina Nabi SAW jika dia adalah Islam, maka dia menjadi kafir dan dibunuh tanpa khilaf. Ini merupakan kesepakatan mazhab imam yang empat dan juga mazhab-mazhab yang lain.

Jika dia adalah kafir dhimmi, maka dia juga dibunuh menurut pendapat mazhab Imam Malik, Ahli Madinah, mazhab Imam Ahmad dan fuqaha hadis.

Allah SWT melaknat sesiapa yang menghina Rasulullah SAW di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menghina Rasulullah SAW samalah seperti menghina Allah SWT. Tiada khilaf di sisi ulama mengenai hukum bunuh, dilaknat dan dihukum kafir bagi sesiapa yang mencerca Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 57.Ahli tafsir menyatakan bahawa mereka itu adalah lebih jahat dan lebih teruk daripada keldai. Orang yang mencaci Nabi SAW dihukum zindiq dan berhak dihukum bunuh kerana menukar dan mengubah agamanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang menukar agamanya, maka dihukum pancung." Hukuman sedemikian sebenarnya bertujuan untuk menjaga dan memelihara kehormatan dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW.

Artikel Penuh:

Oleh IBRAHIM ABDULLAH
Sudut Agama, Utusan Malaysia 27/6/2013

ANAK SOLEH PENYERI HIDUP

21 hb Oktober 2016/ 20 Muharram 1438H

ANAK adalah harapan pada masa hadapan. Sebab itu menjadi tugas besar kepada ibu bapa bagi memberikan perhatian khusus dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa adalah orang yang paling berpengaruh dalam membangunkan keperibadian anak dan menanamkan tekad yang kuat dalam hati mereka sejak kecil lagi.

Jika anak dibiasakan dengan kebaikan ketika hatinya masih putih bersih, maka mereka akan membesar menjadi seorang anak yang baik dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika dibiasakan dengan hal kejahatan serta diasuh bagaikan binatang, maka mereka pasti menjadi seorang yang berperibadi rosak dan hancur.
Allah berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa diperintahkan” (Surah At Tahrim ayat 6).

Rasulullah s.a.w menganjurkan kita bersikap adil dan memberi kasih sayang terhadap anak dengan mengajar mereka kebaikan. Al-Zubair bin Al-Awwam, seorang sahabat Rasulullah, misalnya adalah seorang pemuda yang kukuh akidah dan terpuji akhlaknya. Beliau membesar di bawah jagaan ibunya, Shofiyah binti Abdul Mutalib, ibu saudara nabi dan saudara perempuan Saidina Hamzah. Ali bin Abi Talib sejak kecil menemani Rasulullah s.a.w bahkan dipilih menjadi menantunya. Beliau menjadi contoh bagi pemuda seusianya. Abdullah bin Jaafar, seorang bangsawan Arab yang terkenal kebaikannya, di bawah bimbingan ibunya Asma binti Umais. Ibu bapa mana yang tidak gembira jika anak mereka seperti Umar ibnu Abdul Aziz.
Pada usianya yang masih kecil dia menangis. Kemudian ibunya bertanya:

 “Apa yang membuatmu menangis?” Beliau menjawab: “Aku ingat mati.” Waktu itu beliau menghafal al-Quran. Ibunya pun menangis mendengar perkataannya.

Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang rasul yang menjadi imam dunia. Kecintaannya terhadap anak sangat tinggi. Lihatlah saat baginda mengajar Ibnu Abbas pada usianya yang muda belia sehingga Ibnu Abbas menjadi seorang pemuda yang berilmu, bertakwa dan memiliki keberanian luar biasa.

Di antara langkah dasar dalam mendidik anak yang dinyatakan dari al-Quran dan Sunnah adalah mengajarkan tauhid kepada anak, mengesakan Allah dalam hal beribadah kepada-Nya, menjadikannya lebih mencintai Allah dan tidak ada yang ditakutinya kecuali Allah.Kemudian mengajar anak solat dan membiasakan mereka bersolat secara berjemaah, mengajar mereka agar pandai bersyukur kepada Allah, kepada kedua orang tua dan kepada orang lain.
Mendidik anak agar taat kepada kedua-dua orang tua dalam hal yang bukan maksiat, setelah ketaatan kepada Allah dan rasul yang mutlak. Tidak sesekali meremehkan kemaksiatan sekecil manapun selain tidak merendahkan kebaikan walau sedikit pun. Ibu bapa perlu memberitahu anak mereka kewajipan untuk menjadi generasi terbaik.

Beri penghormatan kepada mereka, arahkan mereka kepentingan al-Quran dan Sunnah dan tanamkan pada jiwa mereka sikap tawaduk, rendah hati, pupuk keberanian (syaja’ah) kepada mereka.Justeru, pendidikan anak menjadi kewajipan utama bagi ibu bapa. Jangan membiarkan mereka hidup dalam kehancuran kerana cahaya masa depan umat yang cerah akan mengangkat darjat anak dan darjat ibu bapanya di syurga kelak.

Oleh Hashim bin Ahmad
Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.
Sudut Addin, Variasi, Harian Metro

AHLI SUFI DI ZAMAN RASULULLAH SAW

14 hb Oktober 2016/ 14 Muharram 1438H

Ahli suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi atau tasawuf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w di kota Madinah.

Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan ahli suffah yang demikian kaum Muslimin tidak menganggapkan mereka sebagai beban. Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada golongan yang lemah itu.

Apabila perkembangan Islam telah pesat ternyata peranan ahli suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah s.a.w menyediakan tempat di beranda masjid baginda s.a.w untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli suffah yang juga ahli masjid Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan yang paling hampir dengan baginda s.a.w.

Mereka yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah s.a.w. Mereka sentiasa hadir di dalam majlis baginda s.a.w. Mereka mempelajari al-Quran secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Peranan mereka adalah umpama kutubkhanah yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hanya menceburi satu bidang sahaja dalam kehidupan ini, iaitulah bidang ilmu Rasulullah s.a.w.

Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. ‘Khazanah ilmu agama’ itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak sempat hadir di dalam majlis Rasulullah s.a.w dan juga kepada mereka yang baharu memeluk agama Islam. Ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang masa. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah s.w.t memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agama-Nya.

Untuk orang-orang faqir yang telah terikat pada jalan Allah, yang tidak sanggup lagi berusaha pada bumi, disangka oleh orang-orang yang tidak tahu bahawa mereka adalah puak yang berada, dari sangat mereka menahan diri.

"Engkau dapat mengenal mereka daripada tanda mereka. Mereka tidak meminta-minta kepada manusia dengan memaksa-maksa. Maka apa pun harta yang kamu belanjakan sesungguhnya Allah amat Tahu". ( Ayat 273 : Surah al-Baqarah )

“Dan tidaklah (patut) orang-orang yang beriman itu turut (ke medan perang) semuanya. Tetapi alangkah baiknya keluar dari tiap-tiap golongan itu, di antara mereka satu kelompok; supaya mereka memberi peringatan ancaman kepada kaum mereka apabila mereka kembali kepada kaum mereka, supaya mereka berhati-hati. “ ( Ayat 122 : Surah at-Taubah )

Ahli suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan orang yang tidak memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan apa-apa kecuali Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Mereka dikenali sebagai faqir yang terikat pada jalan Allah s.w.t. Jalan Allah s.w.t bukan semata-mata berperang mengangkat senjata. Memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan jihad yang besar.

Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang khusus dalam bidang tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat penting. Jika tenaga khusus itu disalurkan kepada bidang pekerjaan harian maka urusan pemeliharaan ilmu agama akan terjejas, sedangkan ianya sangatlah penting bagi perkembangan agama. Al-Quran menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan perang itu adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Tuhan telah memberikan garisan pembahagian tugas dalam pembangunan masyarakat dan perkembangan agama.

Berperang mengangkat senjata dan berjuang mengembangkan ilmu agama sama-sama mendapat penghargaan dari Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli ilmu. Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh Rasul”.

Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud:

“Pada hari kiamat tinta ulama ditimbang dengan darah syuhada”.

Ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan orang-orang yang menyediakan diri mereka semata-mata untuk Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Mereka berfungsi sebagai penyimpan ilmu al-Quran dan Hadis dan juga segala jenis ilmu agama. Mereka memancarkan ilmu-ilmu tersebut ke seluruh pelusuk muka bumi. Inilah dasar yang perlu diperhatikan dalam memperkaitkan ahli suffah dengan ahli sufi yang datang kemudian.

Jihad yang paling besar adalah jihad mengangkat senjata dan orang yang mati kerananya memperolehi syahid. Pekerjaan yang begitu besar dan mulia dikecualikan daripada ahli ilmu sepenuh masa, apa lagi pekerjaan yang berhubung dengan urusan mengisi perut. Pada zaman Rasulullah s.a.w, puak yang bekerja khusus dalam bidang ilmu agama itu ditanggung oleh pemerintah, iaitu Rasulullah s.a.w sendiri.

Oleh kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri dalam urusan mencari rezeki, maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan kesenangan. Mereka hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan Rasul-Nya. Lidah dan pena mereka adalah pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan sebarkan itulah darah syahid mereka. Rasulullah s.a.w memperakui bahawa golongan demikian sebagai kumpulan yang paling hampir dengan darjat kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu nabi-nabi. Rohani mereka adalah cermin jernih yang menerima pancaran cahaya kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu agama, terutamanya dalam perkara akidah.

Kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w bermula di Madinah. Semakin besar kerajaan Islam semakin besar dan berat tugas yang dipikul oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w dibantu oleh empat orang ‘Menteri Kanan’. Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Siapa pula ‘kakitangan kerajaan’ yang membantu Rasulullah s.a.w dan ‘Menteri-menteri’ baginda s.a.w?

Mereka adalah ahli suffah yang bekerja sepenuh masa untuk Rasulullah s.a.w. Kebanyakan daripada masa baginda s.a.w dihabiskan di dalam masjid. Pengajaran, perancangan, strategi, polisi, wawasan dan lain-lain keluar daripada Rasulullah s.a.w dan disebarkan oleh ahli suffah. Mereka menyampaikan berita yang Rasulullah s.a.w mahu sampaikan kepada kaum Muslimin. Ahli suffah yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan teratur sebagai persiapan mempertahankan agama dan negara Islam.

Ahli suffah yang mengatur pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi dan pedang. Ahli suffah juga menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan unta dan kuda mereka supaya apabila diperlukan semuanya berada dalam keadaan siap sedia. kehadiran ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi itulah yang memudahkan Rasulullah s.a.w mentadbir negara Islam dari dalam masjid baginda s.a.w. Ketika bilangan tentera Islam masih sedikit, ahli suffah ikut serta berperang.

Jadi, ahli suffah adalah satu kumpulan yang sangat aktif bekerja untuk Allah s.w.t dan Rasul-Nya tanpa gaji. Apa yang Rasulullah s.a.w berikan itulah bahagian mereka bagi menyara kehidupan mereka. Mereka redha dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama mereka tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang mereka cari hanyalah keredhaan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Perbahasan Mengenai Amalan di Hari Asyura. (EDISI KHAS)

Tarikh ; 3 hb Februari 2006 bersamaan 4 Muharram 1427. 

Cetakan semula: 26 hb Januari 2007 bersamaan 7 Muharram 1428.

Cetakan semula: 7 hb Oktober 2016 bersamaan 6 Muharram 1438H (EDISI KHAS)

Alhamdulillah, bertemu lagi kita di bulan yang pertama di tahun baru 1427 Hijriyyah; Muharram. Satu bulan yang mempunyai banyak kelebihan amalan yang banyak dibahaskan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka yang terkenal, terutama pada hari Asyura. Sesetengah ulama membahaskan hari Asyura ialah hari ke-10 dari bulan Muharam manakala yang lain berpendapat hari kesembilan atau hari kesebelas, tetapi yang disepakati ialah hari ke-10 manakala hari ke-9 dipanggil hari tashua’.

Tersebut di dalam kitab Jam’ul Fawaid karangan Syeikh Daud Al-Fatanni di dalam ‘bab Fadilat Hari Asyura dan berpuasa di harinya’ (muka surat 129), beliau membahaskan mengenai amalan-amalan tersebut dengan terperinci. Antara amalan yang baik dilakukan di hari Asyura ialah; 

1.Solat (sunat)

2.Puasa. Fadilatnya ialah; barangsiapa yang berpuasa pada hari itu akan diberikan ganjaran pahala 10 000 haji dan 10 000 pahala mati syahid (Hadith dari Ibnu Abbas). Tersebut juga di dalam Taurat bahawa barangsiapa yang berpuasa Asyura seumpama berpuasa dahar (Puasa sepanjang masa).

3.Sedekah. Samada yang berbentuk material atau sebaliknya. Termasuk di dalam kategori ini ialah senyum, nasihat-nasihat yang baik lagi membina, amar maaruf nahi munkar, melepaskan hajat seseorang yang kesempitan dan seumpamanya, itu sudah dikira sebagai sedekah.

4.Mandi (sunat).

5.Ziarah orang alim. Barang siapa yang menziarahi orang alim bertujuan untuk belajar akan diberikannya pahala seperti pahala orang Muhajirin dan Ansar dan dijamin oleh Allah akan syurganya.

6.Ziarah orang sakit. Berdasarkan hadith iaitu barangsiapa yang menziarah orang sakit pada hari Asyura seumpanma ia menziarahi anak Adam seluruhnya.

7.Meluaskan  belanja atas isi rumahnya. Barangsiapa yang meluaskan belanja isi rumahnya pada hari itu, Allah akan meluaskan rezekinya selama setahun.

8.Memotong kuku.

9.Bercelak mata. Antara hikmahnya akan terpelihara kita dari penyakit mata selama-lamanya, Insya Allah.

10.Membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali. Berdasarkan athar yang diriwayatkan dari Ali r.a iaitu barang siapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali nescaya Allahyang bersifat Ar Rahman  akan memandangnya dan barang siapa yang dipandang oleh Allah nescaya tidak akan diseksanya buat selama-lamanya.

11.Menghubungkan silaturrahim. Saling memaafkan di antara satu sama lain, ziarah menziarahi dan sebagainya.

12.Menyapu muka dengan air mawar yang telah dibacakan Al-Fatihah 7 kali. Antara hikmahnya ialah terpelihara kita dari penyakit dalam tahun itu, Insya Allah. 

13.Memberi makan ketika waktu berbuka. Fadilatnya seumpama memberi makan seluruh umat Muhammad s.a.w.  

14.Mengusap kepala anak-anak yatim (dan memberinya sedekah). Fadilatnya iaitu barangsiapa yang menyapu kepala anak yatim pada hari Asyura; satu rambut di atas kepala anak yatim itu bersamaan dengan terangkatnya satu darjat di dalam syurga.

Berkata Arif Billah Ibnu Hamzah: “Hendaklah dikerjakan ibadah dan bangun malam (Qiamullail) pada  malam Asyura. Bersabda Rasulullah s.a.w ; “Barang siapa yang mengerjakan ibadah pada malam Asyura ibadahnya seumpama ibadah Malaikatul Muqarrabun.”  Telah berkata Sayyidina Umar r.a: “Hendaklah kamu memperbanyakkan amal kebajikan terhadap ahli keluargamu pada malam Asyura dan siangnya dan hendaklah kamumeluaskan ke atas mereka dengan makanan yang halal. Jika tidak berkemampuan, maka perelokkanlah perangai terhadap mereka dan memaafkan kezaliman orang yang pernah berlaku zalim kepadamu” Dan ditambah oleh Syeikh Zarruq : “Hendaklah orang yang meluaskan makanan ke atas ahli keluarganya dan kaum kerabatnya serta melakukan kebajikan kepada orang-orang miskin dan akan-anak yatim, tidak memberatkan dirinya dengan melakukan ibadah ini mengikut kemampuannya. Orang yang meluaskan makanan dengan tidak mempunyai perasaan riyak dan melakukan pembaziran sahaja yang akan diluaskan rezeki oleh Allah.”

Tersebut di dalam kitab itu juga (perenggan yang lain) mengenai beberapa peristiwa yang berlaku berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w iaitu:

“ Hari Asyura merupakan hari:

1.Hari dijadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.

2.Hari dijadikan bukit dan bintang.

3.Hari dijadikan Luh dan Qalam.

4.Hari diciptakan Adam a.s.

5.Hari diciptakan Hawa.

6.Hari dijadikan syurga.

7.Hari Allah memasukkan Adam a.s ke syurga.

8.Hari diterima taubat Nabi Adam a.s.

9.Hari dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.

10.Hari dilepaskan Nabi Ibrahim dari api.

11.Hari ditenggelamkan Firaun.

12.Hari dilepaskan Nabi Ayyub a.s dari bala’.

13.Hari diampunkan dosa Nabi Daud a.s.

14.Hari dikembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Rujukan: 

1)Buku ‘Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura’ karangan As-Syeikh Muhammad Fuad b. Kamaluddin Al- Maliki.

2)Kitab Jam’ul Fawaid karangan Syeikh Daud Al-Fatanni di dalam ‘bab Fadilat Hari Asyura dan berpuasa di harinya’ (muka surat 129)

SUBURKAN  SEMANGAT  HIJRAH

7 Oktober 2016/ 6 Muharram 1438H

IKTIBAR daripada hijrah Nabi Muhammad SAW adalah kejayaan dan kemajuan umat Islam yang diasaskan atas dasar perjuangan dan kekuatan umatnya melalui semangat pengorbanan dan perpaduan sebagaimana yang terkandung dalam peristiwa hijrah Nabawiah. Hakikat perjuangan dan perpaduan yang dipelopori oleh Rasulullah SAW telah menjadikan umat Islam sebagai ummah yang kuat, progresif, maju dan disegani oleh musuh-musuh Islam.

Akhirnya setelah sekian lama umat Islam menjadi umat contoh, memiliki kekuasaan, pembawa obor tamadun dan kemajuan ilmu pengetahuan, mereka mulai lalai dan cuai dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT.

Satu demi satu negara Islam telah jatuh dan mundur dibolot oleh musuh-musuh Islam. Semangat perjuangan agama telah digantikan dengan perjuangan politik dan kepentingan peribadi yang merugikan rakyat dan bangsa.Ditambah pula dengan masalah yang menekan jiwa umat Islam kini seperti kefahaman Islam yang cetek, timbulnya bermacam-macam fatwa, penyelewengan akidah, mengasingkan diri daripada urusan dunia, gejala sosial, ekonomi, politik, perpecahan keluarga dan sebagainya.

Islam akhirnya dipermain-mainkan oleh musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk memusnahkannya.

Walau bagaimanapun kini telah timbul kesedaran di kalangan umat Islam untuk mengambil berat dan memikirkan mengenai masalah yang dihadapi umat Islam di serata dunia. Mereka telah bangkit berusaha bersungguh-sungguh agar umat Islam tidak terus ketinggalan dalam pelbagai kemelut.Semangat hijrah membawa pengertian yang luas, keluar daripada gelanggang yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil, antara yang benar dan salah serta berada dalam dimensi rahmat dan keredaan Allah SWT.

Dengan sifat-sifat ini kejayaan dan kemajuan ummah akan berhasil daripada pertolongan Allah SWT. Firman Allah bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka”. (Surah ar-Ra'd: ayat 11)

Apabila Nabi SAW berada di Madinah, perkara pertama yang dibuat ialah membina Masjid Quba'. Ini menunjukkan bahawa peranan masjid amat penting dalam pembinaan ummah, di samping mentauhidkan dan memperhambakan diri kepada Allah SWT. Selepas itu Baginda menyatupadukan golongan Ansar (Madinah) dengan Muhajirin (Mekah). Nabi SAW juga mengikat janji setia dengan golongan Yahudi Madinah, tetapi kemudiannya melanggar dan mencerobohi perjanjian itu.

Apabila umat Islam mempunyai inisiatif untuk mengubah nasib diri mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti menjelma iaitu daripada kehinaan, kerendahan dan ketinggalan kepada puncak kemuliaan dan kejayaan.Pertolongan Allah akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama Allah dan mentauhidkan-Nya. Sebaliknya jika umat Islam masih berdegil dan tidak memperjuangkan agama Allah yang sebenar-benarnya, maka selama itu umat Islam akan berpecah-belah.

Firman Allah SWT bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan menegakkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad: ayat 7)

Untuk mengubah diri, seseorang itu perlu melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental, dan juga pembangunan fizikal. Pembangunan jiwa adalah suatu proses untuk melahirkan jiwa yang bertakwa, padu dan mantap. Ia merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh semua ummah. Ketiadaan jiwa yang takwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh dan cacat. Umumnya manusia menggunakan kecerdasan akal dan fizikal untuk membina tamadun ummah. Justeru, jika ia tidak seimbang, maka akan berlaku kegagalan dan sia-sia belaka.

Untuk tujuan itu, manusia yang merupakan khalifah di muka bumi ini, perlu mantapkan diri dengan perasaan cintakan Allah dengan segala jiwa dan raga. Malah tidak sesekali menyekutukan Allah dalam apa jua bentuk kepercayaan dan akidah yang menyeleweng.

Inilah matlamat hidup mukmin sejati di muka bumi sebelum bertemu Allah di alam akhirat kelak, di mana semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Firman Allah bermaksud: 

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah az-Zariat:ayat 56)

Pengertian mengabdikan diri kepada Allah adalah melaksanakan semua perintah dan menjauhi larangan-Nya dan juga mengekalkan rasa kehambaan-Nya.

Sementara khalifah pula bererti, manusia dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi Allah ini dalam segala aspek kehidupan merangkumi bidang ekonomi, sosial, perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan dan sebagainya.Oleh itu, kesedaran terhadap tanggungjawab ini yang lahir daripada jiwa seorang mukmin sejati, sudah tentu dapat membawa perubahan kepada pembangunan ummah, seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam sesuai dengan semangat hijrah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW.

Artikel Penuh:  © Utusan Melayu (M) Bhd 

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Sudut Agama, Utusan Malaysia 30/10/2016

MEMASANG AZAM BAHARU

30 hb September 2016/ 28 Zulhijjah 1437H

TAHUN demi tahun berlalu, kian laju dan meninggalkan kita sama ada kita mahu atau kita tidak setuju. Dalam Islam, kiraan tahun bermula kala Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ia digagaskan semasa Saiyidina Umar al-Khattab menjadi pemerintah; bukannya tercetus pada zaman Rasulullah SAW. Manakala, tahun Masehi pula digagaskan oleh golongan Nasrani, berdasarkan kepada tarikh kelahiran Nabi Isa as atau disebut Isa al-Masih.

Di Malaysia, kita menyediakan diri untuk menerima dua kedatangan tahun baharu. Pertama tahun Islam ataupun tahun hijri; keduanya tahun masehi yang sesetengah orang menganggap ia bukan tahun Islami, lantaran pengasasnya adalah golongan Kristian. Walau apa pun perbahasan mengenainya, kedatangan dua tahun baharu ini sewajarnya memberikan suatu erti yang lebih bermakna buat kita.

Erti tahun baru?

Apakah ertinya tahun baru bagi kita? Sesetengah orang menyambutnya lantaran orang lain juga menyambutnya. Ada orang suka menjadikan tahun baharu sebagai neraca bagi mengukur, sejauh manakah perubahan-perubahan positif telah berjaya dicapai oleh dirinya pada setiap perubahan tahun yang menjelma. Ringkasnya, adakah lebih baik, lebih menurun atau statik tidak ke mana-mana?

Ada pula yang menjadikan tahun baharu sebagai permulaan sesuatu yang baharu, misalnya, mereka akan memulakan tabiat untuk menabung 10 peratus daripada pendapatan bermula pada tahun baharu. Malah, ada orang menjadikan tahun baharu sebagai medan memasang azam baharu, mahu menamatkan aktiviti merokok, misalnya.Malah, tidak kurang juga ada orang yang kerjanya asyik memperteguhkan azam dan tekad terdahulu yang mungkin belum terkabul sebagaimana yang mereka mahu. Orang seperti ini sepatutnya berawas, bimbang mereka hanya suka memasang azam namun tidak komited merealisasikannya. Orang seperti ini juga, sering dianggap golongan yang rugi di dalam Islam kerana tidak berusaha untuk berubah.

Namun, awas! Memasang azam dan memulaianya pada setiap permulaan tahun baharu hanyalah kepada perkara yang harus. Janganlah memasang azam, untuk mulai menunaikan solat fardu bermula tahun baharu atau memberikan zakat yang wajib hanya pada tahun baharu. Perkara yang wajib, perlulah disegerakan, bimbang kematian lebih dahulu mendatangi kita; sedang tahun baharu masih belum bermula.

Umumnya, inilah sebahagian daripada erti tahun baru bagi sesetengah orang. Tidak ada suatu erti yang piawai, malah ia tergantung kepada nawaitu atau maksud akhir seseorang yang mahu dicapai setelah setahun masa dijalaninya. Harus diingat, tahun baharu itu indikasinya adalah waktu atau masa. Itulah tahun, tidak kiralah jumlahnya 365 hari bagi tahun Masehi atau 354 hari bagi tahun Hijri, ia adalah masa. 

Masa ini, diistilahkan oleh pepatah Arab seperti sebilah pedang. Ia disebutkan sebagai al-waqtu ka as-saif iaitu: "Waktu itu ibarat pedang; jika kamu tidak memotongnya, maka ia yang akan memotong kamu."

Sebab itulah, Islam amat berkira-kira dengan waktu dan masa. Di dalam al-Quran dan al-hadis Nabi Muhammad SAW, terdapat pelbagai versi bicara mengenai masa. 

Antara yang paling lumrah disebut, ialah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh; serta berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah al-'Asr: ayat 1-3)

Surah ini lazimnya menjadi penutup kepada sesuatu acara. Contohnya, mesyuarat yang baik itu, diawali dengan surah al-Fatihah (pembuka) dan ditutupi dengan surah al-'Asr (masa). Inilah hakikat kepentingan masa di dalam Islam, sehingga ia disunnahkan menjadi amalan. Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri berpesan dengan pelbagai perkataan, bahawa masa itu apabila sudah berlalu, maka tiada akan kembali lagi walau sesaat. Maka, manusia dianjurkan agar menjaga masa dengan penuh manfaat.

Nabi Muhammad SAW menyatakan yang maksudnya: 

"Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang (lima) kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sihatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati." (riwayat al-Hakim)

Inilah kondisi umat Islam dan masa. Bukan namanya umat Islam, jika mereka dengan sengaja membiarkan waktu berlalu dengan percuma. Umat Islam, dijulang di dalam al-Quran sebagai peneraju dunia, sentiasa berusaha untuk berubah menjadi lebih baik setiap masa. Ini kerana, Allah SWT telah menegaskan: 

“Demikianlah Allah tidak akan merubah kenikmatan yang telah Dia berikan kepada suatu kaum, sehingga mereka merubahnya sendiri.” (Surah al-Anfal: ayat 53)

Artikel Penuh© Utusan Melayu (M) Bhd 

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/1/2013

HAYATI  KISAH  KEMATIAN

23 hb September 2016/ 21 Zulhijjah 1437H

SYEIKH Ali at-Tantawi, Mufti Mesir, dalam siaran radio dan televisyen menyatakan, bahawa di Syria ada kisah seorang lelaki yang mempunyai sebuah kenderaan yang mengangkut peti-peti untuk menguburkan mayat dan di dalam peti itu terdapatnya kain yang boleh digunakan pada waktu-waktu yang diperlukan. Ketika kenderaan besar itu digerakkan, tanpa dia ketahui bahawa ada orang di atas kenderaan tersebut.

Tiba-tiba hujan turun dan air mengalir deras. Orang itu pun bangun dan masuk ke dalam peti, dan membungkus dirinya dengan kain yang terdapat di dalamnya. Kemudian di pertengahan jalan, ada seorang yang lain naik untuk menumpang kenderaan itu di samping peti-peti keranda itu. Dia tidak mengetahui bahawa di dalam peti itu ada orang hidup di dalamnya.

Pada saat itu hujan masih belum berhenti. Orang yang kedua ini menyangka yang diri seorang sahaja. Tiba-tiba dari dalam peti ada tangan terjulur keluar dengan tujuan untuk memastikan sama ada hujan masih turun ataupun sudah berhenti.

Ketika tangan itu terjulur, kain yang membungkus orang itu juga ikut terkeluar sama. Si penumpang itu terkejut dan takut bukan kepalang. Dia menyangkakan bahawa ada mayat yang hidup semula. Dek kerana ketakutan yang amat sangat, dia terus terjun keluar dari kenderaan itu lalu jatuh dengan posisi kepala di bawah dan mati serta-merta.

Demikianlah Allah menentukan kematian orang itu bahkan dengan cara yang dapat terdengar agak lucu seperti ini.Yang selalu harus diingat oleh seorang hamba adalah bahawa dia sedang membawa dirinya bersama kematian, bahawa dia sedang berjalan menuju kematian dan bahawa dia sedang menunggu kematian itu entah datang pada pagi, petang atau malam.

Justeru, Saidina Ali bin Abi Talib telah mengungkapkan mengenai kematian dan berkata: 

"Sesungguhnya kematian terus mendekati kita dan dunia terus meninggalkan kita. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat dan janganlah kamu menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini adalah beramal dan tidak ada hisab dan esok adalah hisab dan tidak ada lagi beramal."

Ungkapan Saidina Ali ini mengingatkan kita bahawa manusia itu harus selalu siap sedia, selalu memperbaiki keadaan diri, memperbaharui taubatnya dan harus mengetahui bahawa dia sedang berhubungan dengan Allah SWT.

Kematian itu tidak pernah meminta izin kepada siapa sahaja, dan tidak pernah merajuk. Kematian itu tidak pernah memberikan amaran terlebih dahulu.Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok hari. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.” (Surah Luqman: ayat 34)

Malah dalam siaran itu juga Syeikh at-Tantawi turut bercerita mengenai kisah kematian seorang pemandu sewaktu membawa penumpang yang penuh sesak di dalam sebuah bas. Pemandunya selalu menoleh ke kiri dan kanan dan secara tiba-tiba dia menghentikan bas itu.Para penumpang lalu bertanya, 

"Mengapa engkau menghentikan bas ini?" 

Pemandu itu menjawab, 

"Saya berhenti untuk menghampiri orang tua yang melambai-lambaikan tangannya kerana hendak ikut menumpang bersama kita."

Para penumpang kehairanan lalu terus bertanya lagi, 

"Kami tidak melihat sesiapa pun." 

Tapi pemandu itu melihatnya. "Lihat (itu) dia,"

 Mereka tetap bingung. "Kami tidak melihat seorang pun."

Pemandu itu pun berkata, "Kini dia datang untuk naik bersama kita." 

Semua penumpang berkata, "Demi Allah, kami tidak melihat siapa-siapa." 

Selang beberapa minit secara tiba-tiba pemandu itu mati terduduk di atas kerusinya.Kematian datang dengan tiba-tiba dan begitulah jalan kematiannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya.”(Surah al-A'raf: ayat 34)

Manusia itu sangat pengecut terhadap hal-hal yang menakutkan dan merasa hatinya tidak mahu mendengar kematian disebutkan, namun tanpa disangka-sangka kematian itu datang menjemputnya tanpa diundang. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi: Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh. Katakanlah, Tolaklah kematian itu daripada dirimu, jika kamu orang-orang yang benar.” (Surah Ali-Imran: ayat 168)

Tetapi yang paling menghairankan, kita tidak pernah berfikir bahawa kita akan bertemu Allah, bahawa dunia ini banyak cerita tentang bagaimana orang meninggal dunia. Kita tidak pernah sedar kecuali kita didera banyak ketakutan, sehingga fikiran seperti itu baharu muncul dan benar-benar mengejutkan.

Ahli syair bermadah: 

"Mati itu laksana bahtera dengan gelombang yang ditakuti manusia, kesihatan seseorang tidak menjamin panjangnya umur, dan penyakit pun tidak berwenang memajukan usia, setiap hari berita kematian mengejutkan kita, seolah-olah bagaikan burung berterbangan, entah akan hinggap pada sesiapa..."

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PENULIS ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu

Bicara Agama, Utusan Malaysia 20/9/2016

UMMAH DITUNTUT BERSATU ELAK PERPECAHAN

16 hb September 2016/ 7 Zulhijjah 1437

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

ISLAM mengajarkan setiap orang yang beriman itu bersaudara tanpa mengira warna kulit, bangsa atau negara. Seluruh umat Islam adalah sebuah keluarga besar berasaskan akidah yang satu iaitu kepercayaan kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: 

"Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara. Maka damaikanlah antara kedua-dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga kamu mendapat rahmat." – (Surah al-Hujurat, ayat 10) 

Apabila menjadi satu keluarga, sudah tentu tidak dibenarkan sama sekali bergaduh, berpecah dan berpuak-puak. Islam tidak suka kepada suasana perpecahan dan hidup dalam percakaran sesama sendiri, apatah lagi jika sampai tahap tercetusnya pertumpahan darah. Lantaran itulah, Allah menyuruh seluruh manusia supaya berpegang kepada pokok akidah yang benar seperti dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: 

"Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (zaman jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara dan kamu sudah berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, supaya kamu mendapat petunjuk."(Surah Ali-Imran, ayat 103)

Menurut tafsir Al-Muhtamir, ayat itu menjadi dalil pentingnya setiap Islam berpegang teguh dengan agama Allah (Islam), dan bersungguh-sungguh menjauhi suasana buruk perpecahan kerana perpecahan umat Islam hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri, hilang kekuatan dan tampak lemah tidak bermaya. Akibatnya, pihak musuh yang sudah sekian lama menunggu akan memperguna peluang ini untuk bertindak menindas dan menghina umat Islam yang sudah lemah dengan pelbagai cara. Oleh itu, sebelum mimpi buruk menjadi realiti, umat Islam perlu mematuhi setiap ajaran Islam. 

Allah berfirman yang bermaksud: 

"Patuhilah Allah dan Rasul-Nya, jangan kamu saling berselisih, hal ini menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar." (Surah al-Anfal, ayat 46) 

Natijahnya, persaudaraan yang kukuh terjalin antara sesama Islam, menjadikan umat Islam kuat dan bersatu padu. Masyarakat Islam yang taat serta patuh dengan perintah Allah dan Rasul pasti saja begitu indah, sejahtera, harmoni dan sentiasa memperoleh cucuran rahmat-Nya. 

Demi persaudaraan Islam yang utuh bersatu, maka sikap mementing diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hendaklah dielakkan. Sikap demikian sebenarnya adalah sifat orang yang ragu-ragu terhadap kekuatan Allah, sehingga mengagumi diri sendiri. 

Inilah dikatakan orang yang sombong keterlaluan. Larangan Allah sangat jelas dalam al-Quran yang bermaksud: 

"Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri."(Surah Luqman, ayat 18) 

Padahal, manusia harus menerima hakikat tidak ada seorang pun yang boleh hidup sendirian, suatu hari nanti pasti akan memerlukan bantuan dan pertolongan orang lain. Kerana manusia itu sifatnya lemah sekali. 

Muhammad Al-Hamid dalam bukunya ‘Siapa Munafiq’ menjelaskan:

"Sesungguhnya akhlak dan budi pekerti mulia adalah kunci pembuka syurga, sedangkan sombong penyebab tertutupnya syurga dan kunci bagi neraka. Kesombongan akan dapat membuat seseorang kehilangan kasih sayang terhadap sesamanya. Jika kasih sayang itu gersang dalam hati, maka timbullah rasa kebencian yang teramat mendalam." 

 Setiap orang Islam juga perlu mengelakkan diri daripada menyakiti orang Islam lain sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan. Kebanyakan kalangan kita tidak mampu menjaga lidah, sehingga sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan atau ucapan berupa cacian, umpatan, fitnah dan sebagainya yang boleh mencemarkan maruah seseorang. 

Allah memberi peringatan tegas dalam firman-Nya yang bermaksud: 

"Dan orang yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka memikul pembohongan dan dosa yang nyata."(Surah al-Ahzab, ayat 58) 

Rasulullah SAW pernah memberi saranan bahawa sesama Muslim hendaklah saling sayang-menyayangi sepanjang masa, supaya persaudaraan sesama Islam dapat dilestarikan seperti maksud hadis: 

"Setiap Muslim terhadap Muslim lainnya itu haram darah, harta dan harta dirinya." 

Kita tidak boleh memperlekeh dan menghina orang lain atau golongan lain, lantaran mungkin pihak yang diperlekeh tadi lebih baik daripada kita. 

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA.

KEMULIAAN  HARI  ARAFAH

9 hb September 2016/ 7 Zulhijjah 1437

PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali ('arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.

Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 

"Haji adalah (wukuf) di Arafah." 

Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainya.Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 

"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah."

Ibadah wukuf di Arafah adalah "kemuncak" ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.

Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: 

"Lihatlah kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu." (riwayat al-Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).

“Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.”

Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah yang bermaksud : "Kusut masai dan penuh debu." Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.

Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita. Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 

"Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: "Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku." (riwayat Imam Ahmad).

Artikel Penuh: 

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Sudut Agama, Utusan Malaysia 19/10/2012

ABDULLAH MENASIHATI ANAK SAUDARANYA

19 hb April 2013/ 8 Jamadil  Akhir 1433H (artikel asal)

2 hb September 2016 / 30 ZulQaidah 1437H

Abdullah bin Mughafal termasuk dalam golongan sahabat Nabi Muhammad SAW. Beliau berpegang teguh pada ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dan menggunakan ilmu yang disampaikan oleh beliau dalam kehidupan sehariannya.

Pada suatu hari, anak saudara Abdullah bin Mughafal bermain di luar rumah. Semasa anak saudaranya asyik bermain, Abdullah ternampak anak saudaranya cuba melastik seekor burung.

"Siapa yang mengajar anak saudara saya melastik burung ini?" bisik Abdullah bin Mughafal seorang diri.

Anak saudaranya asyik bermain lastik itu. Tidak henti-henti dia melastik burung yang hinggap di atas pokok yang terdapat di kawasan itu.Kemudian Abdullah datang menghampiri anak saudaranya yang bermain itu. Beliau berkata kepada anak saudaranya, 

"Berhentilah bermain permainan ini. Carilah permainan yang lebih baik daripada melastik. Nabi Muhammad SAW tidak suka orang yang bermain permainan ini."

Anak saudaranya menjawab, 

"Salahkah saya bermain permainan ini? Saya suka permainan ini."

"Kamu tidak boleh melastik burung sesuka hati kamu. Burung ini makhluk Allah juga," kata bapa saudaranya itu.

"Kasihanlah kepada burung itu. Ia baru sahaja mendapat anak. Cuba kamu lihat sarang burung itu," kata Abdullah sambil tangannya menunjukkan ke arah sarang burung itu.

"Anak-anak burung itu menunggu ibunya di sarang. Ibunya mencari makanan bagi anak-anaknya. Sekiranya ibu burung itu mati semasa mencari makanan, bagaimanakah anak-anaknya yang masih kecil itu mahu makan? Mahukah kamu lihat anak-anak burung itu mati kelaparan?"

Abdullah bin Mughafal cuba mengalih perhatian anak saudaranya itu daripada terus melastik burung.Anak saudaranya yang masih kecil tidak mengendahkan kata-kata Abdullah. Dia terus melantunkan batu kecil ke arah burung itu.

Abdulah bin Mughafal berkata lagi, 

"Nabi Muhammad melarang kita bermain permainan ini. Malah, melastik burung adalah kesalahan. Kamu menyeksa burung itu kerana ia tidak akan mati hanya dengan permainan ini. Sekiranya terkena mata orang lain, matanya boleh jadi buta. Sekiranya terkena gigi orang lain, giginya boleh patah."

Anak kecil itu mendengar penjelasan Abdullah. Oleh kerana takut diperhatikan oleh bapa saudaranya, dia berhenti seketika daripada bermain. kemudian, Abdullah bin Mughafal berlalu meninggalkan anak saudaranya seorang diri. Nasihat yang diberikan oleh Abdullah bin Mughafal tidak dihiraukan. Dia meneruskan permainannya.

"Bapa saudara saya sudah tiada di sini. Lebih baik saya bermain semula lastik ini. Untung-untung saya dapat melastik burung itu," bisiknya sendirian.

"Siapalah kamu burung. Pasti lantunan saya ini terkena lastik saya ini," kata anak saudaranya yang asyik melastik burung itu.

Kelihatan burung itu berterbangan tidak tentu hala kerana mengelak daripada terkena batu lastik itu. Kedengaran juga bunyi batu terkena dahan pokok itu.

"Tidak kena lagi. Saya mesti melastik burung itu dengan lastik ini. Kali ini burung itu pasti jatuh ke bumi," kata anak kecil yang geram melihat burung itu.

Anak saudaranya tetap bermain permainan itu. Tidak lama kemudian, bapa saudaranya datang semula ke tempat permainannya itu.

"Mengapa kamu masih bermain permainan ini?" tanya Abdullah dengan nada suara yang tinggi.

"Saya...saya...” tersekat-sekat suara anak saudaranya menjawab, tetapi disebabkan takut kepada bapa saudaranya, lalu anak saudaranya dia seribu bahasa.

"Bukankah saya memberi amaran kepada kamu mengenai bahayanya permainan ini? Kamu memang tidak mahu mendengar nasihat saya!" kata Abdullah bin Mughafal dengan suara yang tinggi.

Anak saudaranya hanya berdiam diri apabila dimarahi oleh bapa saudaranya itu. Kemudian Abdullah bin Mughafal berkata lagi,

"Mulai hari ini, saya tidak mahu menegur atau bercakap dengan kamu lagi. Kamu melanggar suruhan dan perintah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Sekiranya kamu sakit atau hendak mati sekalipun, saya tidak akan datang melawat kamu."

Kemarahan Abdullah bin Mughafal tidak dapat dibendung lagi kerana sikapnya yang tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Memang permainan melastik ini disukai oleh kanak-kanak. Namun, permainan ini dilarang oleh Nabi Muhammad SAW kerana mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 28/9/2010

MERDEKA MULIAKAN HARGA DIRI MANUSIA 

26 hb Ogos 2016/ 23 Zulqaidah 1437H

Oleh Muhamad Razak Idris

Islam iktiraf kesamarataan, tidak benarkan hak sesama insan dicabuli

KEMERDEKAAN ialah nilai terunggul dalam Islam. Malah, Islam dan kemerdekaan terlalu sinonim. Satu daripada cita-cita utama agama Islam ialah memerdekakan manusia. Apabila manusia memiliki kemerdekaan, nilai ajaran Islam secara langsung terjelma dalam kehidupan. 

Ramai yang keliru dan beranggapan bahawa agama Islam mengongkong kehidupan. Kekeliruan ini amat menyedihkan. Sekiranya seseorang itu benar-benar menyelami inti ajaran Islam, dia akan mendapati Islam adalah agama pembebasan. Ini dapat ditelusuri menerusi beberapa prinsip utama ajaran Islam. Pertama ialah ajaran kepercayaan atau akidah yang menjadi tunjang agama. 

Prinsip yang menunjangi akidah Islam dikenali sebagai tauhid. Inti terpenting daripada prinsip ini ialah mengenai kesamarataan manusia di sisi Tuhan. Hanya Allah yang paling tinggi dan sumber ketaatan serta pertanggungjawaban manusia. Manakala kedudukan manusia di sisi manusia yang lain adalah setara dan saksama. 

Berasaskan prinsip tauhid ini, Islam menyanjungi kemerdekaan setiap manusia. Memandangkan kedudukan manusia adalah setara dan tanggungjawab mereka terhadap Tuhan adalah saksama, maka, seseorang itu berhak menikmati nilai kemerdekaan dirinya. Dengan kata lain, tidak ada seorang manusia di dunia ini walaupun daripada bangsa atau keturunan mana sekalipun yang berhak mencabuli kemerdekaan yang dikurniakan Tuhan.

Ajaran Islam menolak pemikiran dan kepercayaan bahawa sesetengah individu atau kelompok manusia lebih mulia atau tinggi darjat dan kehormatannya berbanding yang lain. Sehubungan dengan kefahaman inilah, ajaran Islam menolak konsep perhambaan atau sistem kasta yang meletakkan kedudukan sosial tertentu bagi satu-satu kelompok masyarakat sehingga menyekat pergaulan dan perhubungan. Islam sebagai agama pembebasan manusia memang cukup dihayati pengertiannya oleh masyarakat di Tanah Arab pada awal perkembangannya. Oleh sebab itu, agama Islam begitu mudah tersebar. 

Dalam keadaan masyarakat pada waktu itu yang ditadbir berasaskan kemuliaan sesuatu kabilah atau puak, ia mengundang eksploitasi dan penindasan secara berleluasa. Golongan miskin dan fakir menjadi mangsa ketidakadilan. Keringat mereka dikerah sewenang-wenang untuk kesenangan golongan bangsawan tanpa imbuhan setimpal. Hak mereka sering dirampas secara paksaan. 

Kedatangan Islam seumpama sinar baru mengubat kesengsaraan yang sekian lama dialami masyarakat Arab. Islam menekankan hak dan kedudukan mereka yang setara dan saksama. Seruan kepada pembebasan manusia tambah diyakini menerusi kepemimpinan Nabi Muhamad SAW yang tersohor dengan peribadi mulia lagi jujur. Seruan Nabi Muhamad SAW yang menegaskan bahawa ‘tiada perbezaan antara Arab atau bukan Arab’ dan ‘semua manusia berasal daripada Adam dan Adam dijadikan daripada tanah’ (maksud hadis), sering terngiang-ngiang dalam dakapan pendengaran mereka. Seruan itu memang benar apabila mereka melihat sendiri layanan dan cara kehidupan masyarakat awal Islam yang ditadbir Nabi Muhamad SAW secara penuh saksama dan adil. 

Penghayatan makna seruan pembebasan manusia ke arah kesaksamaan taraf dan kedudukan menjadi asas terhadap penentangan masyarakat Islam terhadap apa juga bentuk yang membawa kepada penindasan sesama manusia. Kesedaran itu membangkitkan rasa benci terhadap sebarang unsur yang diistilahkan pada masa ini sebagai ‘penjajahan’.Memandangkan ada segelintir manusia yang rela memperoleh kesenangan di atas kesengsaraan orang lain, maka penjajahan digunakan sebagai saluran bagi tujuan itu. Sesungguhnya penjajahan, dalam apa juga bentuk adalah amalan yang mesti ditentang. 

Penjajahan ini mesti ditentang dan diprotes secara berterusan oleh setiap individu menerusi cara yang sesuai. Selagi ada penjajahan, selagi itu manusia tidak memperoleh kemerdekaan. Apabila seseorang itu terjajah, kehormatan dirinya turut tergadai. Oleh itu, memperjuangkan hak dan kehormatan diri dan kaum yang dirampas adalah ibadat yang besar di sisi agama. Ia seumpama berjuang bagi menegakkan agama itu sendiri kerana agama diturunkan bagi memuliakan bangsa manusia. 

Apabila agama Islam menyeru kepada pembebasan dan kemerdekaan manusia, ia sebenarnya menyeru kepada memartabatkan kehormatan manusia itu sendiri atau disebut dalam istilah al-Quran sebagai ‘karamah insaniyyah’. Dalam kata lain, manusia ialah kejadian Tuhan yang paling mulia dan kemuliaan ini adalah anugerah Tuhan yang paling agung. Tiada sesiapa juga daripada kalangan manusia yang boleh merampas kemuliaan dan kehormatan ini kerana ia kurniaan Tuhan.

Sekiranya ada manusia yang gemar dengan tabiat menindas, menzalimi dan menjatuhkan maruah manusia yang lain, maka sebenarnya, dia menghina anugerah dan kurniaan tertinggi Tuhan kepada manusia. Allah berfirman bermaksud: 

“Dan sesungguhnya Kami sudah memuliakan anak-anak Adam dan Kami berikan mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami sudah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang sudah Kami ciptakan.” (Surah al-Israa', ayat 70) 

Dalam hubungan ini, kemerdekaan ialah salah satu daripada ciri kemuliaan dan kehormatan manusia. Oleh itu, ia perlu dipertahankan dengan sepenuhnya, walaupun sehingga terpaksa mengorbankan jiwa dan raga. 

Menerusi kemerdekaan, karamah manusia terus terpelihara. Apabila karamah dapat dipelihara, maka akan tertegaklah agama. Tujuan agama ialah menjaga karamah manusia daripada tercabul oleh kerakusan manusia lain. Karamah ini hanya dapat dinikmati manusia apabila m memperoleh kemerdekaan dirinya. 

INTI PATI

Inti ajaran Islam

•  Jika seseorang itu menyelami inti ajaran Islam, dia mendapati Islam adalah agama pembebasan.

•  Prinsip menunjangi akidah Islam dikenali sebagai tauhid dan inti terpenting daripada prinsip ini ialah mengenai kesamarataan di sisi Tuhan.

•  Penghayatan makna seruan pembebasan manusia ke arah kesaksamaan taraf dan kedudukan menjadi asas penentangan masyarakat Islam terhadap apa juga bentuk yang membawa kepada penindasan sesama manusia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG KE-59.

HIKMAH BERSABAR RAIH HAJI MABRUR

19 hb Ogos 2016/ 16 Zulqaidah 1437H

Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan lagi, kesibukan kerja seharian atau bimbang hendak tinggalkan anak. Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan yang besar di dunia ini, namun perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu amat kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur. 

Rasulullah SAW bersabda: “Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan.” (Riwayat Bukhari) 

Sabda Baginda lagi: “Sesiapa yang menunaikan ibadat haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, terdapat juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah haji yang sudah selesai menunaikan ibadat haji.

Maka, mereka begitu terpengaruh dengan cerita itu hingga membantutkan azam menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Perlu ditegaskan bahawa ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan falsafah yang wajib difahami serta dihayati setiap Muslim bertakwa.

Bersedia hadapi dugaan

Oleh itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan atau dugaan yang akan menimpa dari mula mendaftar di Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, dalam perjalanan haji hingga sampai ke Tanah Suci.

Hal ini kerana sudah menjadi suatu kebiasaan dalam setiap perjalanan bahawa seseorang akan berhadapan pelbagai dugaan dan rintangan yang akan menguji kesabarannya. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda: 

“Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu adalah sebahagian daripada penderitaan.” (Riwayat Bukhari) 

Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat selalu oleh setiap Muslim, bukan saja dalam bab haji, bahkan ia juga penting sebagai bekalan hidup seorang Muslim mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi.Oleh itu, setiap Muslim perlu bersedia serta bersabar menghadapinya kerana semua itu mempunyai hikmah dan rahsia yang tersirat. Malah perlu diinsafi semua yang berlaku adalah kehendak Allah SWT sebagai ujian kepada hamba-Nya untuk memperoleh haji mabrur.

Setiap Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di samping berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dilimpahi kekuatan, keampunan, keselamatan dan kejayaan dalam menjunjung titah dan perintah-Nya.

Jalan menuju reda Illahi

Barangkali inilah hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji iaitu kesabaran seseorang yang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya menghadapi cabaran mendatang. Kesabaran itu sebenarnya hasil atau buah diperoleh daripada perjalanan kerohanian menuju keredaan Ilahi.

Sehubungan itu, kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada dia memperoleh haji yang mabrur atau sebaliknya.Akhirnya, ibadat haji sebagai satu ibadat yang ditegakkan atas landasan kesabaran, maka amatlah wajar bagi setiap jemaah haji membuat persiapan dan persediaan awal supaya tidak terjebak dalam perangkap sikap mudah marah, tidak sabar, maksiat dan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 

Sudut Agama, Berita Harian

05/09/2013

BEBAS YANG MEMBINASAKAN

5 hb Ogos 2016/ 2 Zulqaidah 1437H

Daripada Aisyah ra, isteri Rasulullah SAW, beliau menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah:

"Kerana itu aku cemburu kepada beliau. Setelah baginda kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya, mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?" 

Jawabku: "Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda?" 

Tanya baginda: "Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?" Jawab Aisyah: "Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?"

Jawab baginda: "Ya!" Aku bertanya: "Aku sendiri juga?" Jawab baginda: "Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat." (riwayat Muslim) 

Huraian: 

Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya. 

Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya. 

Hadis di atas menerangkan bahawa setinggi manapun ilmu dan sebanyak manapun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan. 

Oleh itu, Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.

Petikan daripada Senarai Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Artikel Penuh 

Sudut Agama, Utusan Malaysia 21/11/12

6 AKIBAT BURUK MAKAN BERLEBIHAN

5 Ogos 2016 / 2 Zulqaidah 1437H

Keluaran asal 19 hb Jun 2009/ 25 Jamadil  Akhir 1430H

Manusia perlu makan secukupnya bagi membina kecergasan tubuh badan tetapi tidak digalakkan berlebihan. Ulama dahulu ada mengatakan, makan secara berlebihan akan menimbulkan enam akibat buruk, iaitu: 

•  Menghilangkan rasa takut hati kepada Allah. 

•  Melenyapkan rasa kasih sayang kepada makhluk Allah daripada hatinya kerana individu terbabit selalu beranggapan semua makhluk dalam keadaan kenyang.

•  Berat untuk melakukan ketaatan. Tidaklah sebuah bekas dipenuhi barang melainkan akan menjadi berat dan sukar untuk bergerak.

•  Telinganya tidak mahu mendengar nasihat dan hatinya tertutup untuk menerima nasihat.

•  Jika ia menasihati tidak akan berbekas pada hati orang yang dinasihati.

•  Menimbulkan banyak penyakit.

Kata Lukman al-Hakim: 

“Jika perut dipenuhi dengan makanan, fikiran akan tertidur, jauh daripada hikmah dan anggota badan akan malas diajak beribadat.”

Kesemuanya adalah penyakit-penyakit batin yang zahir akibat banyak makan, ini belum lagi termasuk pelbagai penyakit zahir yang menghantui kebanyakan orang kita di zaman moden ini. Sesungguhnya banyak makan walaupun halal juga mendatangkan mudarat.

Selain dari mengundang penyakit zahir dan batin, banyak makan juga menyebabkan mudah mengantuk, malas dan berat bekerja lantaran perut yang terlalu kenyang serta mengeraskan hati. 

Justeru, Islam sebagai satu agama yang mengamalkan dasar pertengahan dalam semua aspek, mengajar umatnya agar bersederhana dalam makan dan minuman. Semoga kita dapat mengambil iktibar dari artikel ini supaya berserhana dalam makan dan minum kita seharian.

Olahan artikel dari Sudut Ad-din, Harian Metro

ABU AYUB AL-ANSARI PEMBELA RASULULLAH

29 Julai 2016/ 24 Syawwal 1437H

Sewaktu utusan Madinah pergi ke Makkah untuk mengangkat sumpah setia atau baiah yang diberkati terkenal dengan 'Baiah Aqabah kedua', Abu Ayub Al-Ansari termasuk antara 70 orang Mukmin yang menghulurkan tangan kanan mereka ke tangan kanan Rasulullah serta berjabatnya dengan kuat, berjanji setia menjadi pembela.

Rumah pilihan Rasulullah

Abu Ayub al-Ansari Khalid bin Zaid, cucu Malik bin Najar, adalah insan yang dilimpahi nasib yang baik kerana ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, rumahnya telah dipilih menjadi tempat tinggal sementara Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memilih untuk tinggal di tingkat bawah rumah Abu Ayub al-Ansari tetapi apabila memikirkan dirinya berdiri dan tidur di tempat yang lebih tinggi dari Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari terasa menggigil.

Beliau kemudian dengan penuh adab mempelawa Baginda tinggal di tingkat atas dan Baginda bersetuju. Nabi tinggal di rumah Abu Ayub al-Ansari hingga Masjid Nabawi dan biliknya di sebelah masjid.

Sejak orang Quraisy berniat jahat terhadap Islam dan merancang untuk menyerang tempat hijrahnya Baginda di Madinah, Abu Ayub al-Ansari mengalihkan aktivitinya berjihad ke jalan Allah bermula dengan Perang Badar.

Sedia korban harta, nyawa

Ringkasnya di semua medan tempur, dia tampil sebagai pahlawan berani yang bersedia mengorbankan harta serta nyawa untuk Allah Rabbul Alamin. Malah, sesudah Rasulullah wafat pun beliau tidak pernah ketinggalan berjuang di medan perang.

Sewaktu berlaku pertikaian antara Ali dan Muawiyah, Abu Ayub al-Ansari berdiri di pihak Ali tanpa ragu-ragu kerana dialah imam yang dibaiah oleh kaum Muslimin.

Selepas kematian Ali dan Muawiyah menjadi Khalifah, Abu Ayub al-Ansari menyendiri, berzuhud dan bertakwa kepada Allah. Tidak ada apa diharapkan daripada dunia selain tempat berjuang bersama pejuang lain.

Abu Ayub al-Ansari memohon kepada Allah untuk syahid dalam peperangan dan ketika turut serta dengan barisan tentera Islam menuju Konstantinopel, beliau luka parah. Apabila ditanya panglima pasukan waktu itu, Abu Ayub al-Ansari memberitahu apabila tiba ajalnya nanti beliau ingin dikebumikan sejauh jarak dapat ditempuh ke arah musuh.

Ternyata itulah yang diperoleh beliau dan beliau dikebumikan di lokasi di mana tentera Islam berjaya mengalahkan musuh. Itulah Abu Ayub al-Ansari yang berwasiat jasadnya dibawa ke medan perang hingga tiba di tempat tentera Muslim mencapai kemenangan.

Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga Jilid 2

Sudut Agama, Berita Harian,10/09/2012

Kisah Abu Ayub al-Ansari 2

Abu Ayub al-Ansari ra adalah sahabat Rasulullah daripada kaum Ansar. Abu Ayub memiliki nama asalnya iaitu Khalid bin Zaid bin Khulaib. Digelarkan Abu Ayub adalah kerana bagi memuliakan keturunannya. ‘Abu Ayub’ membawa maksud ‘bapa kepada Ayub’.

Beliau yang berasal daripada bani Najjar lahir pada 587M iaitu 16 tahun lewat daripada tahun kelahiran Rasulullah saw. Abu Ayub adalah seorang sahabat yang amat mulia. Beliau dan isterinya adalah sekelompok sahabat Rasulullah yang membela kemuliaan Saiyiditina Aisyah semasa berlakunya gelombang fitnah (Hadtihul Ifki) yang tercetus selepas peristiwa Peperangan al-Muraisi. Beliau membidas ketua munafik, Abdullah bin Ubai yang bertanggungjawab mengugat kemuliaan ummul mukminin yang dituduh berkhalwat dengan Safwan bin al-Muattol.

Rasulullah amat menyayangi Abu Ayub dan keluarganya. Rasulullah diriwayatkan tinggal di rumah Abu Ayub selepas berhijrah ke Madinah. Begitu juga Abu Ayub dan keluarganya. Mereka menyayangi Rasulullah sepenuh hati sehingga tidak tersisa walau sedikitpun.

Wasiatnya di Constantinople

Abu Ayub al-Ansari tidak pernah terlepas daripada menyertai sebarang peperangan sejak zaman Rasulullah saw sehingga ke zaman Khulafa ar-Rashidin dan seterusnya menginjak ke zaman Kekhalifahan.Dalam kempen menyebarkan syiar Islam ke Constantinople, Abu Ayub al-Ansari tidak mahu terlepas daripada menyertai kempen jihad fisabillah tersebut. Peperangan tersebut berlaku pada 674M semasa pemerintahan dinasti Umaiyyah. Ketika itu, umur Abu Ayub sangat tua iaitu dalam lingkungan 98 tahun. Meskipun uzur, Abu Ayub tetap berkeras mahu turut ikut serta dalam kempen bersejarah tersebut. Kempen tersebut diketuai oleh anak kepada Muawiyyah bin Abi Sufian, Yazid bin Muawiyyah.

Dalam kempen tersebut, Abu Ayub mengalami keuzuran yang sangat teruk. Beliau tidak mampu untuk menggalas pedang bagi meneruskan perjuangan bersama-sama tentera-tentera Islam yang lain. Yazid bin Muawiyyah datang kepadanya dan bertanya,

Adakah tuan mahu apa-apa wahai Abu Ayub?

Sahabat Rasulullah yang mulia ini menjawab,

“Sampaikan salamku kepada seluruh tentera Islam dan beritahulah mereka, Abu Ayub mahukan mereka menembusi seberapa jauh tembok Constantinople sehingga mereka beroleh kemenangan dan mengebumikan mereka (tentera Kristian Rom Byzantine) di bumi Constantinople.”

Kemudian apabila keadaannya berada dalam keadaan cukup tenat, beliau berwasiat untuk dikuburkan di luar tembok Constantinople. Ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan di tembok tersebut, beliau berkata kepada panglima tentera Umaiyyah:

“Aku mendengar baginda Rasulullah mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.“

Kata-kata akhir daripada Abu Ayub tidak terhenti di situ tapi terus diingati Berita kematiannya semasa kempen di Constatinople tersebar seiring wasiat akhinya. Ia masih diingati dan terus menerus disebar secara lisan sehinggalah ke zaman pemerintahan kekhalifahan Turki Uthmaniyyah.

Berkali-kali pemimpin muslim melancarkan serbuan ke atas kota Constantinople, namun tidak berjaya.

Kota Constantinople ditakluk

Kota Constantinople sentiasa diimpikan setiap panglima. Napoleon Bonaparte (1769-1821) pernah menyatakan bahawa jika beliau mampu menawan Constantinople (pada masa itu dikenali Islambol dan kemudian ditukar nama kepada Istanbul oleh Mustapha Kamal Antarturk), beliau berupaya untuk menawan bahagian Timur dan Barat dunia.

Berkata Napoleon Bonaparte,

“If the Earth were a single state, Istanbul would be its capital”

Daripada sudut geografi dan logistik, Constantinople berada di tempat yang amat strategik iaitu di tengah-tengah perdagangan antara timur dan barat. Dan kata-kata Napoleon Bonaparte ada kebenarannya.

Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa ketika menggali Parit Khandaq,

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

Ramai sahabat yang mendengar kata-kata karamat Rasulullah tersebut termasuk Abu Ayub ra. Hadis ini sentiasa menjadi pemangkin kepada ramai pemimpin Islam termasuk Umar al-Khattab, Muawiyah dan ramai lagi. Namun, Allah swt Maha Berkuasa. Allah telah mentakdirkan seorang yang mampu menumbangkan kekuatan dan kesombongan Rom Byzantine. Beliau adalah Sultan Muhammad II al-Fatih ari Khalifah Uthmaniyyah. Sultan yang tergolong sebagai sultan paling adil di samping Umar bin Abdul Aziz, Harun al-Rashid, Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Nuruddin Zinki ini telah menawan kota Constantinople pada usia yang cukup muda iaitu 19 tahun. Beliau juga diriwayatkan tidak pernah meninggal solat fardhu dan solat tahajjud sejak beliau baliqh. Benarlah ramalan Rasulullah bahawa beliau adalah sebaik-baik raja. Allahu Akbar!

 AL-QURAN UBAT JIWA KERESAHAN

22 hb Julai 2016/ 17 Syawal 1436H

BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.

Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Banyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau. 

Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketenangan.  

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa: 

■ Membaca dan mendengarkan al-Quran 

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: 

“Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. 

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. 

Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. 

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu. 

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali. 

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu. 

■ Menyayangi orang miskin 

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: 

“Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.” 

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. 

Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. 

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah. 

■ Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas 

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit. Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran. 

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah. 

■ Menjaga silaturahim 

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain. Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjangkan umur dan mendatangkan rezeki. 

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya. 

■ Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billah 

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah. 

Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita. 

■ Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit 

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan. Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran. 

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria. 

■ Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah 

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya. Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah. 

■ Tidak meminta kepada orang lain 

‘Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah’ adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari. 

Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan. 

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah. 

■ Menjauhi hutang 

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan: 

“Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataannya. 

Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya. 

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: 

“Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.” 

■ Selalu berfikir positif 

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang. 

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?

Oleh Mohd. Zawawi Jusoh

Tazkirah Remaja, Sudut Bimbingan, Harian Metro

AL QURAN AJAK BERFIKIR, KAJI ALAM SEMESTA

15 hb Julai 2016/ 10 Syawal 1436H

Peristiwa Nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira. 

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW, maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Firman Allah SWT: 

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185) 

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, membuat aturan kehidupan dan membina peradaban supaya menjadi umat yang dapat membezakan antara halal dan haram, kebenaran dan kebatilan. 

Al-Quran dimanfaatkan sebagai sumber saintifik dengan mengajak manusia berfikir dan mengkaji alam semesta termasuk diri sendiri. Kajian demi kajian dilakukan manusia zaman moden membuktikan wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT. Antara contoh saintis yang mengkaji al-Quran secara terperinci dari perspektif sains moden ialah Dr Maurice Bucaille dari Perancis. Beliau menulis buku bertajuk Quran, Bible dan Sains menyatakan, 

“Sesungguhnya al-Quran terbukti keunggulannya dari sudut sains hanya di zaman sekarang setelah sains mencapai satu tahap yang agak tinggi.” 

Satu lagi contoh kajian berkenaan kejadian manusia membuatkan ahli embriologi seperti Profesor Keith Moore berasa kagum dengan apa diutarakan al-Quran menepati apa yang baru ditemui di abad ini. Begitu juga dengan geologis yang membuat kajian, mengatakan jejari bumi ini ialah lebih kurang 3,750 batu dan tanah bahagian kita berpijak ini amat nipis dalam lingkungan 30-35 kilometer. Kebarangkalian bumi untuk bergegar dan bergerak-gerak itu amat tinggi. 

Maka kejadian gunung ganang sebagai pasak, menetap teguhkan tanah ini dan memberi ia kestabilan. Al-Quran menyebut fenomena: 

“Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?” (Surah an-Naba, ayat 6-7) 

Dalam buku bertajuk “Earth’, salah seorang penulisnya, Frank Press yang juga Presiden Academy of Science di Amerika Syarikat selama 12 tahun menunjukkan bagaimana gunung yang kita lihat itu hanya sebahagian kecil saja di bumi. Bahagian bawah gunung ini tertanam dalam bumi seperti satu pasak. Menurut beliau lagi, gunung gunung memainkan peranan penting dalam menstabilkan bumi tempat kita berpijak. 

Hakikat kajian saintifik ini telah diterangkan dalam firman Allah SWT: 

“Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Anbiya, ayat 31) 

Justeru, umat Islam diseru menjaga alam ini dengan sebaiknya, janganlah terlalu rakus mengejar pembangunan dengan mengenepikan aspek keselamatan alam seperti bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. 

Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta akan tergugat. Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan al-Quran sebenar-benarnya dari Allah, tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. 

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Sudut Agama, Berita Harian 3/8/2012

JAGA ADAB KETIKA SAMBUT AIDILFITRI

8 Julai 2016/ 3 Syawal 1437H

AIDILFITRI adalah kurnia daripada Allah SWT kepada umat Islam setelah berjaya melaksanakan ibadat berpuasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara yang dilarang ketika berpuasa.Sewajarnya kita bersyukur atas pengurniaan itu kerana hari raya adalah hari kegembiraan serta hari mempereratkan dan memperkukuhkan hubungan persaudaraan.

Satu amalan dan tradisi kita di negara ini pada hari raya ialah ziarah menziarahi saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Berziarah adalah amalan dituntut dalam Islam yang patut dipelihara dan dihidupkan kerana amalan ini mempunyai fadilat dan kelebihan.

Ziarah bertujuan mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama Islam di samping menyemarakkan semangat untuk hidup bermasyarakat seperti mana digariskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu.

“Maka jika kamu tidak mendapat sesiapa yang berhak memberi izin maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu, dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nur, ayat 27-28) 

Selain menjaga adab berziarah, kita hendaklah mengambil berat mengenai perkara dilarang atau diharamkan, umpamanya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan dengan keluar berhari raya bersama kawan dan rakan bukan mahram.

Ada sebilangan remaja, terutama yang mengikat tali pertunangan, mengambil kesempatan hari raya sebagai tiket untuk keluar bersama-sama tanpa mahram. Semua itu bukan saja bertentangan dengan konsep ibadat pada hari raya, malah bertentangan dengan hukum Islam.

Di negara kita, sambutan hari raya seperti jamuan rumah terbuka menjadi amalan kebanyakan masyarakat kita dan sememangnya cara terbaik untuk mengeratkan silaturahim.Bagaimanapun, mengadakan rumah terbuka bukan menjadi kewajipan sehingga membebankan, dan hendaklah diadakan mengikut kemampuan masing-masing.Yang penting, majlis itu hendaklah mengikut lunas ajaran agama Islam dan tidak dicampur adukkan antara yang benar dengan yang salah seperti pembaziran, pergaulan bebas dengan bersalaman antara lelaki serta perempuan yang bukan mahram dan bersuka ria tanpa batas.

Larangan tidak mencampur adukkan yang benar dengan yang salah itu disebutkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 42, yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu campur adukkan kebenaran dengan kebatilan dan kamu sembunyikan kebenaran itu, sedangkan kamu mengetahuinya.”

Bersuka ria dalam pengertian ibadah, bukan bersuka ria tanpa batas, tanpa sekatan dan tujuan, sebaliknya mengikut lunas yang dibenarkan oleh syarak.

Sama-sama kita menjaga adab dan tingkah laku dalam merayakan hari raya yang mulia ini. Jangan kita mencampur adukkan amalan yang berkebajikan dengan perkara yang dilarang, terutama membabitkan hal maksiat.Kita berdoa semoga hari raya ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita dan mudah-mudahan apa yang kita lakukan pada hari raya mendapat keredaan Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam surah Yunus ayat 58 yang bermaksud: 

“Katakanlah wahai Muhammad: Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangnya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersuka ria (bukan dengan yang lain), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan daripada segala benda dan perkara yang tidak kekal.”

Sudut Pedoman, Ekspresi, Harian metro

GANJARAN BESAR MENANTI UNTUK AMALAN DI MALAM RAYA

1 Julai 2016/ 26 Ramadhan 1437H

DALAM tempoh 5 hari lagi, Syawal bakal menjelma, sekali gus meninggalkan Ramadan yang berlalu pergi. Tidak dinafikan pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyambut awal Syawal atau hari raya semakin dirasai.Masing-masing sudah berkira-kira dan merancang membuat persiapan menyambut hari raya. 

Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya kerana hari raya adalah hari kemenangan umat Islam dalam melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan syaitan. Namun, dalam kerancakan menyambut lebaran, kita hendaklah sentiasa ingat supaya tidak dilalaikan dalam membuat persiapan hari raya kerana pada saat dan ketika itulah kita sewajarnya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat kita untuk memperoleh ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Allah. 

Walaupun Ramadan berlalu pergi, tidak bermakna ia bukan waktu terbaik bagi kita melaksanakan ibadat serta menambah amalan. Jangan kita abaikan nilai dan roh Ramadan yang dilaksana seolah-olah ibadat puasa yang kita kerjakan tidak memberi kesan baik pada diri kita. Begitu juga berpuasa dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan seimbang. 

Dalam menyambut kedatangan Syawal, kita hendaklah meraikannya mengikut panduan digariskan agama Islam iaitu sunat melaungkan takbir sebaik tibanya Syawal serta menghidupkan malam raya dengan berzikir, bertahmid, bertasbih, beristighfar, berdoa dan mengerjakan sembahyang sunat. Selain disunatkan mandi dengan niat kedatangan Aidilfitri, memakai bau-bauan harum, memotong kuku, memakai pakaian elok, kita disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: 

“Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah dengan solat.” (Riwayat Imam Al-Bukhari) 

Begitulah indahnya dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari raya ada adab serta garis panduan yang memimpin umatnya supaya tidak terpesong daripada tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai menzahirkan rasa syukur terhadap Allah SWT. Namun, di samping bersyukur dan bergembira meraikan hari raya, kita disunatkan melakukan puasa sunat enam hari pada Syawal, bermula pada dua Syawal. 

Puasa enam pada Syawal lebih afdal dilaksanakan secara berturut-turut tetapi tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan pada Syawal. Ganjaran bagi orang yang mengerjakan puasa sunat enam hari pada Syawal selepas berpuasa sebulan Ramadan, seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW bermaksud: 

“Barang siapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim) 

Ini bukti Allah SWT sentiasa memberi peluang dan ruang kepada hamba-Nya untuk melaksanakan ibadat tambahan bagi memperoleh pahala disediakan-Nya. Berpuasa enam hari adalah sebagai petanda betapa seseorang itu meningkat iman dan takwanya kepada Allah hingga sanggup menahan lapar dan dahaga, sedangkan pada waktu itu mereka dibolehkan menikmati aneka makanan dan juadah. 

Ia juga sebagai bukti serta pengukur bahawa ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan memberi kesan kepada diri dengan perasaan penuh kesyukuran, sedangkan ada antara kita meraikannya dengan menikmati juadah yang ada.

Sudut Pedoman, Ekspresi, Harian Metro

ALLAH RAHSIAKAN LAILATUL QADAR

24 Jun 2016/ 19 Ramadhan 1437H

Ramadhan yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.

Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr. Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: 

“Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima.” (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia. Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya.Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah.

Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita?

Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

Sudut Agama, Utusan malaysia 31/8/2010

AFDAL BERZAKAT DI TEMPAT CARI REZEKI

 24 Jun 2016/ 19 Ramadhan 1437H

BERZAKAT di luar kawasan? Manakah lebih utama bagi saya, iaitu apabila saya bekerja di sebuah negeri A; namun menunaikan zakat di negeri B? Ini kerana, negeri B itu adalah tempat kelahiran saya.

JAWAPAN

Menurut pendapat Imam As-Syafie, zakat tidak boleh dipindahkan dari sesebuah negeri (tempat harta itu diperoleh) ke negeri yang lain, selagi masih ada orang yang memerlukan di negeri berkenaan. Ini demi mengelakkan rasa sakit hati dan bersifat membelakangi keperluan saudara sesama Islam di tempat sendiri. 

Hal ini disabitkan kepada hadis Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal r.a, iaitu beliau diperintahkan untuk mengutip zakat di kalangan orang kaya di negeri Yaman dan kemudian diagihkan kembali kepada golongan fakir di negeri berkenaan. 

Oleh itu, hendaklah diutamakan di tempat mana kita memperoleh harta tersebut untuk berzakat. Ini kerana, saudara telah menjalankan usaha sama ada perniagaan atau pekerjaan di negeri yang berkenaan, maka adalah lebih aula untuk mengeluarkan kembali zakat kepada penduduk yang berada di negeri yang sama. 

Walau bagaimanapun, ulama menggariskan bahawa zakat boleh dibawa keluar dari negeri berkenaan apabila keperluannya sudah melebihi atau atas sebab-sebab tertentu yang lain.

ZAKAT FITRAH SUCI DIRI, BANTU FAKIR MISKIN

APA dimaksudkan dengan zakat fitrah, kepada siapa diwajibkan dan tujuannya? 

al-Faqir, 

Kuala Lumpur. 

JAWAPAN: 

Zakat fitrah adalah zakat diri ke atas semua kaum Muslimin tanpa mengira kedudukan atau status mereka. Hadis riwayat Ibnu Umar telah berkata: 

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dengan kadar satu sha (2.4 kilogram ) makanan ruji iaitu tamar atau jagung atas semua orang Muslimin, hamba sahaya, orang merdeka, lelaki, perempuan, kecil dan dewasa. Beliau memerintahkan supaya diberikan kepada fakir miskin sebelum keluar melakukan solat Aidilfitri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tujuannya untuk menggembirakan fakir miskin pada hari raya serta menampung kekurangan ibadah puasa yang kita lakukan. Hadis daripada Ibnu Umar berkata: 

“Rasulullah mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih daripada perbuatan sia-sia bagi yang berpuasa, bersetubuh dan memberi makan pada fakir miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, ia diterima dan jika selepasnya ia sedekah. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, Sahih mengikut Al-Hakim) 

Ketetapan waktu mengeluarkan zakat fitrah mengikut mazhab Syafie seperti berikut: 

Waktu wajib: Bermula dari terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan. 

Waktu sunat: Pada hari raya selepas solat Subuh iaitu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. 

Waktu harus: Sebaik saja masuknya Ramadan sehingga hari raya. Jadi sepanjang Ramadan adalah diharuskan. 

Waktu makruh: Selepas solat hari raya sebelum waktu Maghrib. 

Waktu haram: Sengaja melambatkan pembayaran sehingga masuk waktu Maghrib pada hari raya kecuali atas sebab yang dibenarkan seperti menunggu fakir miskin yang belum tiba. 

Kadar zakat mengikut ketetapan pihak berkuasa agama di tempat masing-masing dengan mengikut keperluan penduduk setempat. 

Oleh : Ustaz Zamanuddin Jusoh

Bicara Agama, Utusan Malaysia 12/9/2008

ADAB MAKAN DAN MINUM MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH

17 Jun 2016/ 11 Ramadhan 1437H

ISLAM agama yang mencakupi semua aspek kehidupan termasuk perkara membabitkan pemakanan. Tidak dapat dinafikan makanan dan minuman elemen penting dan berharga dalam kehidupan bagi memastikan manusia dapat hidup dengan sejahtera, menjalankan tugasan atau kegiatan hariannya dengan lancar dan memastikan seseorang itu tidak hilang semangat kerana kelaparan. 

Terdapat beberapa adab dan etika yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan terpelihara. Islam tidak menggalakkan umatnya makan sesuka hati, makan terlalu kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunnah Rasulullah SAW. Jika dikaji, amalan pemakanan Baginda SAW amat bertepatan dengan ayat al-Quran yang bermaksud: 

“... makan dan minumlah, janganlah berlebih-lebihan...” (Surah al-A'raf, ayat 31). 

Ada beberapa panduan yang diajarkan Baginda SAW kepada umat Islam antaranya adalah seperti berikut: Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar membaca Bismillah ketika hendak makan dan akhirinya dengan membaca Alhamdulillah. Hikmah membaca Bismillah dan Alhamdulillah bagi seorang Muslim adalah peringatan bahawa makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada Allah SWT. 

Rasulullah SAW hanya makan ketika benar-benar lapar dan berhenti sebelum perut berasa kenyang. Rasulullah SAW mengajar cara untuk makan dan minum iaitu sepertiga isi perut untuk makanan, sepertiga lain untuk minuman dan sepertiga akhir adalah untuk udara (nafas). Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur. 

Cara Rasulullah SAW duduk ketika makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan. Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga bahagian. 

1/3 ruang untuk makanan, 1/3 bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Di samping itu, Nabi SAW tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.” 

Antara sunnah Rasulullah SAW adalah makan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 

“Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (Hadis riwayat Muslim). 

Baginda SAW memakan makanan dengan tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari tersebut sebelum membersihkannya. Hikmahnya, kandungan enzim yang ada pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan. 

Rasulullah SAW bersabda, 

“Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya”. (hadis riwayat Muslim) 

Perbuatan membasuh tangan dan berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Berkumur kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandung lemak”. (hadis riwayat Ibnu Majah). 

Di samping itu, Rasulullah SAW gemar makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Ini secara langsung akan menciptakan kemesraan dan meningkatkan rasa sayang terhadap sesama kita. Malah, amalan makan satu dulang ini juga akan dapat mengelakkan pembaziran. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan (bersama-sama), kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Imam Abu Hamid al-Ghazali menyatakan antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan kisah orang yang salih ketika makan. Menurut al-Hafidz menyatakan Nabi SAW bercakap dan berbual ketika makan. Dalam kitabnya al-Zaad, 

“Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu itu.” (Hadis riwayat Muslim). “Dan ada kala Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya, ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (Hadis riwayat al-Bukhari). 

Ketika makan jangan terlalu banyak bercakap (melampau batas) atau bercakap dengan makanan penuh dalam mulut. Jangan juga bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya. 

Rasulullah SAW juga ada memberi panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar, jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli dengan bernafas. 

Apabila kita minum daripada bekas yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu Karbon Dioksida yang apabila bercampur dengan air (H20) dan akan menjadi H2CO3 iaitu sama dengan cuka yang menyebabkan minuman itu menjadi asid. 

Justeru, amalan pemakanan yang dipamerkan Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh semua peringkat umur demi kesihatan yang mantap dan kelangsungan hidup yang bermutu. 

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang memahami dan memanfaati nikmat kesihatan yang tidak ternilai ini.

Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad al-Idrus

Sudut Agama, Berita Harian, 03/04/2012

ZAKAT FITRAH AMALAN BERSIH DIRI, SANTAPAN FAKIR

17 Jun 2016/ 12 Ramadhan 1437H

Rukun Islam keempat wajib ditunai sebelum solat Aidilfitri, didik ummah tak terlalu sayang harta 

SEBELUM Ramadan yang mulia dan penuh ganjaran pahala ini meninggalkan kita, satu tanggungjawab yang patut dilaksanakan ialah membayar zakat fitrah. Setiap umat Islam wajib membayarnya mulai sekarang dan waktu afdal ialah selepas sembahyang Subuh akhir Ramadan. 

Selewat-lewatnya sebelum menunaikan sunat Aidilfitri di masjid. Membayar zakat fitrah itu dianggap makruh dan haram sesiapa membayarnya selepas terbenam matahari pada Aidilfitri. Daripada Umar katanya: 

"Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada Ramadan kepada semua orang Islam, lelaki, perempuan, orang yang merdeka atau hamba, satu sha' kurma atau gandum." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tujuan membayar zakat fitrah adalah menyucikan diri yang berpuasa daripada kata dan perbuatan keji. Kehidupan ini sentiasa terdedah dengan perbuatan atau perkara yang boleh mendatangkan dosa, apatah lagi jika kita berniaga. Kita mungkin tidak sedar sumber kewangan dalam perniagaan diperoleh daripada jalan tidak bersih dan haram seperti terjual barang haram, tersalah kira, menjual barang kurang bermutu atau luput tarikh. Pendapatan daripada sumber itu dianggap tidak bersih dan haram. 

Apabila mengeluarkan zakat, bererti kita mengeluarkan harta daripada sumber pendapatan yang tidak bersih itu. Yang tinggal adalah harta yang bersih dan halal seperti firman Allah bermaksud:

"Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka." (Surah at-Taubah, ayat 103) 

Islam menggariskan lapan perkara bagi orang yang layak atau boleh menerima zakat fitrah iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab (budak yang akan memerdekakan diri), orang yang banyak hutang, berjuang di jalan Allah, ibnu sabil dan amil. Sementara orang yang tidak layak dan tidak boleh menerima zakat ialah lima kelompok iaitu kafir, orang yang ada pekerjaan dan harta, dalam tanggungan orang lain, hamba dan keturunan Hashim serta Abdul Mutalib. 

Sama ada zakat fitrah atau harta, harus diingat mengeluar atau membayar zakat adalah perintah Allah. Ia antara lima Rukun Islam dan diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Firman Allah yang bermaksud: 

"Dirikanlah sembahyang dan bayarkan zakat hartamu." (Surah an-Nisa', ayat 77) 

Dalam sebuah buku dicatat bahawa Ikramah, berkata harta yang daripadanya tidak ditunaikan hak Allah akan menjadi ular yang tidak berambut di kepala pada Hari Kiamat dan mengejar pemiliknya. Dia (pemilik harta itu) akan meminta perlindungan daripadanya. Diceritakan juga Hajar Ibnu Baian menukilkan sabda Baginda SAW bahawa jika seorang daripada saudara-mara meminta pertolongan daripada harta yang lebih daripada keperluannya dan dia tidak sanggup menolong, maka pada hari hisab harta itu menjadi ular dan membelit jasadnya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan orang yang menyimpan emas dan perak tidak menafkahkan di jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan) mendapat seksa yang pedih." (Surah at-Taubah, ayat 34) 

Harta yang dikeluarkan zakat darinya mendapat lebih keberkatan dan si pemilik harta berkenaan mendapat pahala dan hidupnya diberkati Allah. Tentu saja mereka yang ingkar membayar zakat menerima hukuman Allah seperti dinyatakan dalam firman di atas. 

Mengeluarkan zakat tanda kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya. Sesungguhnya nikmat Allah yang dikecapi kini dan lalu tidak ternilai harganya dan tidak terbalas. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita berat hati mengeluarkan zakat yang diwajibkan. Firman Allah yang bermaksud: 

"Wahai orang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang sudah Kami berikan kepada kamu." (Surah al-Baqarah: 254) 

Daripada Ibnu Abbas katanya: 

"Rasulullah SAW menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan sia-sia dan perkataan buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum solat hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain." (Hadis riwayat Abu Daud) 

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir 

Sudut Agama, Berita Harian 26/9/2008

PUASA TINGKAT DISIPLIN HARGAI MASA

10 Jun 2016/ 5 Ramadhan 1437

Allah SWT akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain yang mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: 

“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.”  

Ganjaran pada akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka.” 

Antara bekalan yang boleh diperoleh daripada ibadah puasa ialah sifat ikhlas. Puasa ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba kerana ibadah puasa adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya. Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketakwaan kepada Allah SWT yang mengetahui zahir dan batinnya serta mengharapkan pahala dia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadah puasa istimewa dalam melahirkan sifat ikhlas kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima Allah SWT. 

Didik lebih tegas tinggalkan perkara diharam syariat 

Puasa menutup keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadan seperti makan dan minum. Puasa mendidik untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara diharamkan oleh syariat. Puasa mendidik kita memelihara perut, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada perkara boleh membatalkan puasa. Pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat moden atau tradisi. 

Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan, tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan Allah SWT adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui Tuhannya. 

Rasulullah SAW mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata ‘aku berpuasa! Seorang Mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan, ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri daripada perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga. 

Nikmat Ramadan dikongsi seluruh umat Islam 

Orang Islam di seluruh pelusuk dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama perlu ada dalam diri setiap Mukmin. 

Puasa mengajar Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual. Sepanjang Ramadan, Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan membatalkan puasanya. 

Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang Mukmin supaya setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa ditetapkan.

Sudut Ekspresi, Harian Metro 24/06/2010

PUASA SYAABAN PERSEDIAAN HADAPI RAMADAN

13 hb Mei 2016/ 6 Syaaban 1437H

Umat Islam diajar berterusan menambah kualiti ibadat

Syaaban antara bulan yang dihormati Nabi SAW kerana hampirnya ia dengan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT. Baginda pernah bertanya sahabat dalam sabdanya: 

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan Syaaban? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW: Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Raudatul Ulama) 

Sabda Baginda SAW: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)

Ada yang menyatakan cabang ganjaran kebajikan dipercambahkan kerana hampirnya Syaaban dengan Ramadan. Bagaimanapun, setiap kebajikan tetap mendapat ganjaran tanpa mengira masa dan tempat ia dilakukan. 

Nabi SAW adalah ikutan yang baik dan kita dapat melihat perubahan Baginda apabila tibanya Syaaban. Daripada Aisyah: 

“Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka dia tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami mampu melihat dan mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi berpuasa penuh satu bulan melainkan dalam Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa lebih banyak selain daripada Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari) 

Baginda telah memberi gambaran kepada umatnya bahawa banyak berpuasa pada Syaaban akan menambahkan kualiti puasa Ramadan kerana jiwa sudah dididik. 

Aisyah meriwayatkan: 

“Nabi SAW tidak pernah berpuasa dalam sebulan lebih banyak daripada Syaaban. Baginda juga pernah berpuasa bulan Syaaban semuanya.” (Mengikut lafaz al-Bukhari)

Namun, dalam mengimbangi kekuatan Nabi SAW selaku manusia terulung dengan ibadat umatnya, maka Baginda meletakkan kemampuan sebagai kayu pengukur kepada amalan sunat. Nabi SAW bersabda: 

“Beramallah mengikut kemampuan kamu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu sendiri yang jemu.”

Baginda SAW terus beribadat pada mana-mana bulan sekalipun tanpa menafikan Syaaban memang menjadi tumpuan. Kita juga tidak harus meninggalkan sabda Baginda SAW: 

“Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain) 

Dapat disimpulkan, ibadat pada bulan Syaaban adalah kesukaan Baginda SAW. Namun solat atau puasa khusus sempena Syaaban atau bacaan Yasin sebanyak tiga kali berturut-turut memang tiada ulama meriwayatkannya. Ibnu Majah hanya meriwayatkan mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban. Sabda Rasulullah SAW: 

“Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah) 

Apa yang jelas kepada kita, amalan puasa yang menjadi tumpuan Rasulullah pada Syaaban bertepatan dengan sabda Baginda apabila ditanya apakah terdapat bulan selain Ramadan yang terbaik untuk berpuasa? Maka, Nabi SAW bersabda: 

“Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang terafdal? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat Tirmizi)

Baginda SAW banyak bersedekah pada bulan Ramadan. Puasa dan sedekah sering dikaitkan justeru bersedekah pada bulan Syaaban juga digalakkan. Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, ada disebut secara khusus dengan kalimat Nisfu Syaaban, dan ada yang disebut secara umum. Oleh itu, kita disarankan untuk melihat kedudukan hadis berkaitan Syaaban sama ada sahih, baik, hasan, lemah, atau ada yang direka. Semuanya menjadi perbincangan akademik ulama hadis. 

Walaupun kedudukan hadis tidak mencapai tahap hadis sahih, jika dipadankan dengan pelbagai riwayat yang banyak, ia boleh dijadikan panduan untuk menyuntik semangat motivasi beribadat. 

Imam Hasan al-Banna berkata: 

“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha itu membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub kepada sesuatu pihak.”

Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan kebenaran. Perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT kerana ramai yang masih alpa dengan segala dosa dilakukannya.Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik sehingga ke suatu masa tertentu, dan akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.” (Surah Hud, ayat 3) 

Kesimpulannya, ambillah peluang untuk mencari keredaan Allah SWT dan menebus segala dosa atas segala kesalahan lalu kerana jiwa orang beriman akan lebih dekat ketika hampirnya bulan Ramadan.

Zamanuddin Jusoh, Sudut Agama, Berita Harian, 2/6/2014

LIMA PENGAJARAN UTAMA PERISTIWA ISRAK MIKRAJ 

6 hb Mei 2016/ 28 Rejab 1437H

# artikel asal disiarkan pada 31 hb Mei 2013/ 21 Rejab 1434H

Kembara Rasulullah ke alam lain perkuat lagi akidah mengenai kepercayaan ghaib, perintah solat

Kini selepas 45 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak diketahui akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai pancaindera. Justeru, wahyu dan pertolongan Allah SWT saja yang boleh merungkai segala rahsia alam. 

Contohnya peristiwa kembara agung Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang beriman betapa Allah Maha berkuasa menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Makkah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin, lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia. 

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud; 

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" . (Surah al-Isra':1) 

Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan saja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian itu. Banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah; 

Wajib beriman dengan perkara ghaib 

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran disampaikan Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya, perjalanan mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi Baginda SAW tempoh satu malam. Oleh itu, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar kerana di dunia ini banyak perkara dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat pandangan mata kasar. Contohnya oksigen dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sebenarnya. 

Perintah wajib mengerjakan sembahyang 

Ibadah sembahyang yang difardukan Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj adalah suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu adalah tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaan. 

Wajib percaya dengan hari Kiamat 

Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab segala perlakuan ketika di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini di ambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan saja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi. 

Wajib percaya dengan azab Tuhan 

Berbagai-bagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba', ingkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa. 

Dari sudut lain, gambaran kurnia Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan. 

Wajib percaya dengan qada dan qadar 

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Aminah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya. 

Ada pelbagai lagi iktibar yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. 

Oleh Mohd Ali Muhamad Don 

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru. 

Sudut Agama, berita Harian  20/7/2009

FALSAFAH DI SEBALIK ISRAK MIKRAJ

29hb April 2016/ 21 Rejab 1437H

Terdapat tiga makhluk Allah yang terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS. Rasulullah SAW mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia. Jibrail AS pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.

Secara ringkasnya perlakuan makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.

Akal yang diberikan oleh Allah jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah.

Hal ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan pentadbir.Oleh yang demikian, Allah telah mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.

Pertemuan

Dalam peristiwa Mikraj, ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.

Apabila tiba di Sidratul Muntaha, di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah bertanya kepadanya: 

"Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku?” 

Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini."

Maka di situlah juga Rasulullah mendapat perintah dari Allah untuk mengerjakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam dan akhirnya dengan rahmat dan kasih saying Allah maka dijadikan dan dikurangi sehingga 5 waktu adanya.

Persimpangan

Rasulullah SAW seorang manusia yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisinya.

Sebaliknya manusia yang diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah. 

Firman Allah dalam surah al-Tin ayat 4 -6 bermaksud: 

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”

Fitrah

Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu). 

Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke bawah dari pinggang kita. 

Mengapa? 

Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).

Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.

Binatang adalah makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat. 

Manusia yang mahu bersujud di hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.

Ia dilakukan semata-mata sebagai tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan. 

Oleh demikian, Allah memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada kalangan orang-orang yang kafir. 

Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: 

“Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.”

Oleh KHAIRUDDIN HAIYON

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Artikel asal© Utusan Melayu (M) Bhd 

AMBIL PELUANG REJAB LUNAS HUTANG PUASA RAMADAN

18 hb Mei 2012/ Jamadil Akhir 1433H

22 hb April 2016/ 14 Rejab 1437H (Keluaran Kali ke-2)

Menunaikan qada ibadat wajib lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat 

Apabila masuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi. Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

"Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang sudah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Oleh sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu tibanya Ramadan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah kepadanya. Puasa adalah perkara asas dalam Islam yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan. Firman Allah yang bermaksud: 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286) 

Oleh itu, ada sebahagian kita yang mendapat kebenaran meninggalkan puasa pada Ramadan yang lalu. Antaranya, orang yang dalam musafir, wanita sedang haid atau nifas, wanita hamil, golongan mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja berat dan menggunakan banyak tenaga. Bagi mereka ini, kebenaran meninggalkan puasa bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa, akan tetapi kewajipan menunaikan qada' (ganti) puasa haruslah diambil kira supaya tidak tergolong di kalangan hamba Allah yang rugi pada kemudian hari. 

Firman Allah yang bermaksud:

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain." (Surah al-Baqarah, ayat 184) 

Di sinilah terpancar keadilan Islam dalam perintah menunaikan ibadat khusus kepada umatnya. Sebarang kesulitan dan masalah yang menimpa, tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab melaksanakan ibadat. 

Mungkin ada yang teruja melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti dianjurkan Islam, namun sebenarnya menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama. Hal ini seperti mana dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

"Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa juga pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari) 

Jelas kepada kita, menunaikan qada' ibadat yang wajib adalah lebih utama daripada melakukan ibadat sunat. Jika amalan wajib tidak terlaksana maka kita dikira berhutang dengan Allah dan menjadi satu kewajipan melunaskannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

"Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi terlebih dulu." 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: 

"Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim) 

Secara tidak langsung, hadis itu menjelaskan tuntutan memenuhi puasa Ramadan mengatasi amalan puasa sunat yang juga dituntut Islam sebagai satu peluang menampal kecacatan puasa pada Ramadan. Janganlah kita menjadi orang yang mengejar amalan sunat, sedangkan yang wajib ditinggalkan begitu saja. 

Sementara masih ada masa sebelum tiba Ramadan tahun ini, bagi mereka yang masih lagi berhutang dengan Allah, maka sewajarnya bersegera menunaikan qada' ibadah puasa Ramadan lalu. Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan nanti. Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum serta yang lebih penting, dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah. 

Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: 

"Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban." (Hadis riwayat Muslim). 

Berdasarkan hadis itu, jumhur ulama berpendapat penundaan qada' puasa wajib selewat-lewatnya adalah Syaaban dan tidak boleh sampai masuk Ramadan berikutnya. 

Sebenarnya keadaan ini bukanlah bermaksud menunaikan qada' ibadat wajib itu tidak penting sehingga boleh di lewat-lewatkan, akan tetapi ia memberi mesej berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadan dapat melatih rohani dan jasmani lebih aktif dan bersemangat melalui Ramadan nanti. Diriwayatkan oleh Anas, katanya, Rasulullah SAW ditanya: 

"Apakan puasa yang afdal selepas puasa Ramadan? Lalu Baginda SAW menjawab: "Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis riwayat at-Tirmidzi) 

Marilah sama-sama kita berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu, maka ambillah peluang yang ada ini untuk melunaskan hutang Allah itu. 

Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadan lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa masih tertanggung di bahunya. 

Sesungguhnya ibadat puasa besar nilainya di sisi Allah dan begitu juga dari aspek kesihatan. Sebuah hadis Qudsi menjelaskan kelebihan ibadat puasa yang antara lain bermaksud:

"Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya, dan bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau al-misk (wangian) di sisi Allah." (Hadis riwayat Bukhari) 

Oleh Mohd Shahrizal Nasir 

Sudut Agama, Berita Harian 7/7/09

AHLI KITAB TAURAT SEMBUNYI KEBENARAN MUHAMMAD DEMI PANGKAT

15 April 2016/ 7 Rejab 1437

"Hai bani Israel, ingatlah nikmat-Ku yang Aku kurniakan ke atas kamu dan sempurnakan perjanjianmu, nescaya Aku sempurnakan perjanjian kamu dan Akulah semata-mata hendaknya kamu takuti. 

"Dan kamu beriman kepada barang yang Aku turunkan, menyetujui apa yang ada pada kamu dan jangan kamu jadikan orang yang mula-mula kufur kepada-Nya dan jangan kamu jual perintah-Ku padan harga yang sedikit dan Akulah semata-mata hendaklah kamu takuti".

Ayat itu bermaksud, Allah memberitahu dan dituju kepada anak cucu Yaakub khusus kepada ahli kitab yang hidup pada masa Nabi Muhammad. Allah memberi ingatan kepada mereka supaya mensyukuri nikmat kurniaan Allah. Allah mahu mereka menunaikan janji dan pesanan Allah yang terkandung dalam kitab Taurat. Jika mereka menunaikan pesanan itu nescaya Allah menunaikan janji-Nya kepada mereka dengan balasan syurga. Allah mengingatkan mereka supaya beriman dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sedangkan al-Quran mengakui kaum Yahudi daripada bani Israel mempunyai kitab Taurat. 

Oleh itu, jangan mereka membeli ayat Allah dengan murah iaitu dilarang merahsiakan kandungan kitab Taurat kerana ingin mendapat kepentingan di dunia. Mereka sepatutnya takut kepada Alah dengan tidak melakukan perbuatan dilarang-Nya.

Sesungguhnya Allah mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka berasal daripada anak cucu bani Israel iaitu Nabi Yaakub dan Nabi Ishak yang digelar Israel kerana perkataan Isra bererti hamba dan  il /el bermaksud Ilah/ Tuhan/ Allah. Oleh itu, Israel bererti hamba Allah di dalam bahasa Ibrani. Allah juga mengingatkan Bani Israel khususnya ahli kitab yang sezaman Rasulullah mensyukuri nikmat dikurniakan antaranya ramai kaum mereka menjadi nabi dan rasul serta diturunkan kitab. Allah menyelamatkan mereka daripada kekejaman Firaun. Mereka ialah pengikut Nabi Musa yang diberi minum air terpancar dari batu dan diberi makanan dari langit bernama manna (manisan atau madu yang turun dari langit seumpama embun, yang juga dikenali sebagai Arabic Gum) dan salwa (sejenis burung seperti burung puyoh yang mudah ditangkap). 

Allah mengingatkan ahli kitab bani Israel supaya mengambil iktibar daripada tindak-tanduk datuk nenek moyang mereka yang mengingkari nikmat Allah. Mereka akhirnya diseksa kerana kufur. Allah mengingatkan bani Israel supaya memberitahu manusia mengenai kelahiran Nabi Muhammad dan keistimewaan Baginda sebagai nabi dan rasul akhir zaman. Mereka dikehendaki beriman kepada Nabi Muhammad dan kitab yang dibawanya. Jika menunaikan janji ditetapkan Allah mereka diberikan Allah balasan yang amat besar iaitu syurga. Mereka diberi amaran supaya takut kepada Allah dan tidak berdusta kepada Rasulullah. 

Diceritakan dalam kitab Allah kepada rasul terdahulu yang menerangkan kepada manusia termasuk bani Israel supaya beriman dengan Nabi Muhammad dan selepas itu tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya. Jika Nabi Muhammad tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya, nescaya Allah mengazabkan mereka seperti kaum yang mengingkari rasul terdahulu daripada Baginda. 

Allah mengingatkan ahli kitab supaya beriman dengan al-Quran diturunkan kepada Muhammad SAW yang turut mengakui kitab Taurat diturunkan kepada bangsa Yahudi daripada bani Israel. Oleh itu, tidak wajar ahli kitab menjadi orang pertama mendustakan Muhammad dan menafikan Baginda datang daripada Allah sedangkan mereka mengetahui kebenaran Muhammad dalam Taurat. 

Ahli kitab seolah-olah menjual ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab mereka pada harga terlalu murah kerana mahukan kepentingan di dunia yang terlalu rendah nilainya. Mereka meninggalkan kenyataan dalam Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad dan juga al-Quran yang diturunkan untuk umatnya bagi mendapatkan jawatan ketua penganut agama Nasrani. Mereka patut takut dengan perbuatan menjual ayat Allah pada harga murah kerana membeli sesuatu yang rendah nilainya untuk kepentingan di dunia. Mereka sanggup menjadi kufur dengan al-Quran dan Nabi Muhammad. 

Tindakan mereka membawa bencana kerana Allah murka seperti juga kepada datuk nenek moyang mereka yang ingkar. 

Ahli kitab tidak perlu mencampur-adukkan perkataan benar dengan yang salah seperti mereka mencampurkan kebenaran kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dengan kepalsuan yang ditulis sendiri. Mereka tidak sepatutnya menyembunyikan hakikat yang sebenar sedangkan mereka mengetahuinya. 

Sudut Agama, Berita Harian 23/3/2009

KELEBIHAN REJAB BERDASARKAN DALIL

8 hb April 2016/ 30 Jamadil Akhir 1437H

Ulama muktabar sokong kelebihan beramal, tingkat hemah diri sempena bulan mulia 

Rejab ertinya mulia kerana bangsa Arab dulu sangat memuliakan bulan ini. Pada 1 Rejab, mereka akan menyembelih unta sebagai korban. Selain itu, pada 27 Rejab jumhur, ulama bersepakat berlaku peristiwa penting dalam hidup Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mikraj. Kita perlu yakin berlakunya peristiwa itu kerana ada dalil qatie dalam al-Quran dan hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj.

Apabila diteliti kepelbagaian sumber daripada ulama, Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” disokong oleh ulama muktabar. Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas seperti direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam kitab al-Ghunyah. Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya. 

Matan hadis tak bertentangan nas al-Quran 

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah, ayat 36, mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. 

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW menegaskan Rejab adalah bulan Allah iaitu bulan Ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka. Manakala Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: 

“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.” 

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien (Hadith 40). 

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: 

“Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim) 

Imam al-Nawawi mengatakan: 

“Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam lain. “

Tiada larangan puasa 

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa pada bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi, apa yang disunatkan ialah kerana sunnah puasa terbabit. Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: 

“Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu daripadanya.” 

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: 

“Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) pada zaman jahiliah. Maka, apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab: “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.” 

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi: 

“Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.” 

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulama salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab. 

Fahami isu, dalil secara menyeluruh 

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam supaya kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan. 

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. 

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, inshaa-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya. 

Muhammad Naim Che Berahim,

Sudut Agama, Berita Harian,14/5/2013

ABDULLAH IBN UBAY PENYEBAR FITNAH

1 hb April 2016/ 23 Jamadil Akhir 1437H

Menurut satu catatan, apabila Abdullah bin Ubay mendapat tahu mengenai ayat-ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu yang mencela perbuatan munafiknya, salah seorang kawannya berkata kepadanya:

 "Pergilah kamu meminta maaf dan ampun dari Rasulullah supaya baginda mengampuni kesalahan kamu."

Tetapi tahukah anda apa yang dijawab oleh Abdullah bin Ubay ini? 

"Sekiranya kamu memerintahkan aku percaya kepada Muhammad, aku sudah pun percaya. Sekiranya kamu memerintahkan aku memberikan hartaku kepadanya, aku sudah memberikannya. Maka tidak ada apa lagi yang tinggal sekarang, melainkan kamu meminta supaya aku sujud kepada Muhammad? Sama sekali tidak."

Demikian kata-kata angkuh dan sombong Abdullah bin Ubay sambil mengejek Rasulullah. 

Dalam sebuah kisah yang lain, anaknya, Khubab menemui baginda yang ketika itu sedang minum bagi melepaskan dahaga. Khubab pun berkata: 

"Ya Rasulullah, demi Allah, tidakkah tuan sudi meninggalkan sedikit air yang tuan minum ini? Daripada air sisa tuan ini akan saya berikan kepada bapa saya supaya dia pula minum air tersebut. Mudah-mudahan dengan minum air sisa tuan ini, bapa saya dibersihkan hatinya oleh Allah".

Baginda pun menunaikan permintaan Khubab lalu si anak pun segera membawa air tersebut kepada si bapa dan diminta bapanya itu supaya segera minum air tersebut. 

Namun Abdullah pun bertanya: 

"Air apakah ini?"

Si anak pun menjawab: 

"Ini adalah air sisa minuman Rasulullah yang sengaja saya bawa kepada bapa supaya bapa sudi meminumnya. Dengan demikian, semoga Allah membersihkan hati bapa".

Dalam nada yang terkejut dan marah, Abdullah pun menjawab: 

"Mengapa kamu tidak datang kepada aku dengan membawa air kencing ibu kamu sahaja? Ini kerana tahukah kamu bahawa air kencing ibu kamu itu lebih bersih daripada air sisa Muhammad itu". 

Mendengarkan bapanya berkata begitu, Khubab berasa sangat marah dan beliau terus mengadu kepada Nabi Muhammad dan berkata: 

"Ya Rasulullah, tolonglah benarkan saya membunuh bapa saya yang jahat itu". 

Namun baginda menjawab: 

"Hendaklah kamu berkawan dengan bapa kamu itu dan berbuat baiklah dengannya".

Fitnah Abdullah bin Ubay tidak habis di situ sahaja malah dengan turunnya ayat-ayat mengenai sifat-sifat munafik itu sedikit pun tidak memberi kesan kepadanya. Ini kerana tersebarnya satu lagi fitnah darinya, yang kali ini adalah lebih dahsyat. 

Fitnah kedua yang tersebar luas angkara perbuatan Abdullah bin Ubay, apabila dia menyebarkan kononnya isteri kesayangan baginda, Siti Aishah r.a melakukan hubungan sumbang dengan lelaki lain.Kisahnya apabila baginda menjadi ketua tentera Islam yang hendak menyerang kabilah Bani Musthaliq itu. Antara isteri baginda yang turut serta adalah Ummu Salamah dan Siti Aishah. 

Sudah menjadi kebiasaan baginda akan mengadakan undian sebagai satu cara yang adil untuk menentukan isteri mana yang terpilih mengikut baginda untuk satu perjalanan yang jauh. Sesiapa yang terpilih namanya, maka dialah yang akan bersama dengan baginda. Setelah undian, nama Ummu Salamah dan Siti Aishah terpilih berangkat untuk bersama menyerang Bani Musthaliq itu. 

Setelah berjaya dalam misi menyekat Bani Musthaliq daripada menyerang Madinah, pasukan tentera Islam pun berangkat pulang dengan singgah untuk berhenti rehat di satu tempat. Dalam perjalanan itu, isteri-isteri nabi lazimnya diletakkan di atas haudaj atau tandu yang ditutup dengan kelambu dan diletakkan di atas unta. Apabila hendak naik ke atas unta itu, para isteri baginda perlu masuk ke dalam haudaj terlebih dahulu kemudian barulah haudaj itu akan dinaikkan ke atas belakang unta.

Siti Aishah pada masa itu, mempunyai bentuk badan yang kurus dan kecil sahaja sehingga orang yang mengangkat haudajnya hampir-hampir tidak merasa berat badannya walaupun beliau berada di dalamnya. Ketika berhenti di tempat untuk berehat itu, hari telah larut malam. Siti Aishah terpaksa keluar dari haudajnya kerana hendak membuang air. Kemudian dia kembali masuk ke dalam haudaj dan menunggu untuk dinaikkan ke atas unta. Akan tetapi baru dia sedar seutas kalung kesayangan yang diperbuat dari urat kayu dafa yang dipakainya telah tercicir. 

Mencari kalung

Siti Aishah pun keluar dari haudaj dan mencari semula kalungnya itu. Setelah menemui semula kalungnya itu, Siti Aishah pun berlari-lari anak untuk segera masuk ke dalam haudajnya. Rupa-rupanya sepeninggalan beliau mencari kalungnya itu, semua anggota tentera yang lain termasuk Rasulullah telah meninggalkan tempat tersebut bagi meneruskan perjalanan ke Madinah. Unta yang dinaiki oleh Siti Aishah juga telah tiada kerana mereka mungkin menyangka isteri baginda telah ada dalam tandunya itu. 

Tinggallah Siti Aishah seorang diri di tengah-tengah kegelapan malam. Pada mulanya beliau ingin mengejar rombongan tersebut tetapi oleh kerana keadaan yang begitu gelap Siti Aishah bimbang akan sesat. Lalu beliau pun mengambil keputusan menunggu sahaja di tempat beliau ditinggalkan itu dan berharap mereka akhirnya sedar akan ketiadaannya dan akan berpatah balik untuk mengambilnya semula. 

Oleh kerana terlalu letih dan mengantuk, Siti Aishah pun tertidur. 

Telah menjadi kebiasaan, apabila tentera Islam kembali daripada mana-mana peperangan, seorang dari anggota tentera akan ditugaskan untuk berjalan di belakang sekali. Ini bagi memastikan keselamatan anggota tentera lain yang di hadapan terjamin di samping bagi memastikan tiada apa-apa yang tercicir. Kali ini tugas yang seperti ini diserahkan kepada seorang pemuda, Shafwan bin Mu'aththal. 

Shafwan yang berjalan di belakang tentera Islam akhirnya tiba di tempat mereka berehat itu dan beliau sangat terkejut kerana dari jauh berbalam-balam beliau nampak akan bayang seseorang yang sedang tidur. Lalu Shafwan pun mendekati orang tersebut dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati orang yang sedang tidur itu adalah isteri Rasulullah, Siti Aishah.Sehingga dia mengucapkan: 

Inna lillaahi wa innaa ilaihi raajiun. 

Ucapan tersebut menyebabkan Siti Aishah sendiri terkejut daripada tidurnya dan dengan segera dia pun bingkas bangun. Shafwan pun merendahkan untanya dan memberi isyarat supaya Siti Aishah naik ke atas untanya itu. Dikatakan mereka langsung tidak bercakap walaupun sepatah pun kerana demi menghormati kedudukan Siti Aishah sebagai isteri kepada Rasulullah. 

Shafwan kemudiannya hanya berjalan kaki sambil memegang tali dan membawa unta yang dinaiki oleh Siti Aishah itu dan cuba mengejar semula rombongan anggota tentera Muslim. Sehinggalah hari menjelang siang, akhirnya Shafwan dan Siti Aishah pun bertemu semula dengan rombongan tentera Islam yang kebetulan berhenti rehat di suatu tempat. 

Ketibaan Shafwan dan Siti Aishah menyebabkan mereka yang lain turut terkejut dan akhirnya mereka menyedari apa yang berlaku dan tidaklah timbul sebarang masalah apatah lagi untuk menyebarkan sebarang fitnah.

Namun tidak kepada Abdullah bin Ubay, yang menyaksikan kehadiran Shafwan dan Siti Aishah itu memberikan satu ilham kepadanya untuk menimbulkan fitnah yang besar.

"Demi tuhan, tentu Aishah tidak selamat bersama Shafwan dan Shafwan sendiri juga tentu tidak selamat daripada Aishah. 

"Lihatlah isteri seorang Nabi didapati bermalam dengan seorang lelaki sampai waktu pagi hari," kata Abdullah bin Ubay yang mula menyebarkan fitnah-fitnah terhadap isteri baginda itu dari perjalanan pulang sehinggalah setibanya mereka di Madinah.

Kebetulan pula Siti Aishah jatuh sakit sebulan lamanya, sepanjang dalam tempoh tersebut fitnah yang tersebar semakin menjadi-jadi!

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sudut Agama, Utusan Malaysia 19/10/2011

5 SEBAB KUBUR BOLEH DIGALI SEMULA

25hb Mac 2016/ 16 Jamadil Akhir 1437H

Fuqaha berpendapat penggalian dikecualikan makam sahabat Nabi, terkenal

Kubur atau makam dari segi takrifannya merujuk kepada tempat yang digunakan untuk menanam manusia yang sudah meninggal dunia. Kawasan perkuburan menurut Islam adalah tempat yang perlu dihormati. Umat Islam ditegah melakukan perkara yang boleh menjejaskan adab dan dianggap tidak menghormati mayat di kawasan perkuburan seperti membina penempatan di atasnya, membina tembok dan menggali balik mayat tanpa tujuan.Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Nabi SAW menegah daripada membina tembok di atas kubur, tinggal di atasnya, membuat binaan dan menulis di atasnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Perbuatan menggali balik mayat dari kubur ditegah Islam kerana ia mencarik kehormatan mayat, tetapi dalam keadaan tertentu dan ada tujuan yang munasabah menurut syarak maka ia dibolehkan.Begitu pun, fuqaha Islam berselisih pendapat mengenai sebab atau tujuan yang membolehkan mayat digali semula. Antaranya :

Fuqaha Hanafiah berpendapat sebab yang membenarkan kubur digali semula ialah apabila ia berkaitan hak manusia pada kubur atau mayat itu seperti tanah kubur berkenaan ialah tanah yang dirampas, kain kafan mayat diambil daripada kain yang dirampas, ada harta orang lain dalam kubur itu atau seumpamanya.

Sekiranya hanya bersangkutan hak Allah pada mayat itu seperti mayat tidak dimandikan sebelum dikebumikan, tidak disembahyangkan atau seumpamanya, maka tidak harus digali semula selepas selesai dikebumikan.

Fuqaha Malikiah pula berpendapat kubur boleh digali semula dalam lima keadaan;

1.Apabila kain kafan daripada harta dirampas.

2.Apabila mayat dikebumikan di tanah milik orang lain tanpa keizinan.

3.Apabila ada harta orang lain bersama mayat walaupun sedikit. 

4.Apabila ada keperluan (darurat) untuk mengebumikan mayat lain.

5.Apabila wujud keperluan memindahkan mayat berdasarkan syarat dibenarkan.

Fuqaha Syafiiah pula berpendapat kubur boleh digali semula dalam keadaan darurat saja. Antara darurat itu ialah mayat yang tidak dimandikan sebelum ditanam, mayat yang ditanam di tanah atau bersama pakaian dirampas, harta terjatuh ke dalam kubur, mayat tidak mengadap kiblat, mayat yang ditanam di masjid dan seumpamanya.

Fuqaha Hanabilah mengharuskan kubur digali semula sekiranya ia dibuat untuk menyempurnakan perkara wajib dan baik. Antara perkara itu ialah mayat tidak dimandi atau disembahyangkan sebelum ditanam, mayat tidak mengadap kiblat, harta terjatuh ke dalam kubur dan sebagainya. (Wazarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiah, al-Mawsuahal-Fiqhiah, Jld. 32, muka 252-255).

Ia adalah pendapat fuqaha Islam mengenai hukum menggali balik kubur mayat sebelum reput. Bagaimanapun, selepas mayat reput (berdasarkan pendapat pakar dalam bidang itu) maka tidaklah ditegah menggalinya semula. Bahkan diharamkan (iaitu selepas reput) daripada membuat binaan atau meratakan tanah di atas tanah perkuburan yang diwakafkan kerana ia akan menegah orang lain daripada mengebumikan mayat kerana menyangka kubur itu masih baru dan mayat belum reput. 

Sungguhpun begitu sesetengah fuqaha berpendapat hal ini dikecualikan kepada kubur sahabat Nabi SAW dan orang salih dan terkenal untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menziarahinya dan mengambil berkat. (Muhammad bin al-Khatib al-Syurbaini, Mughni al-Muhtaj, Jld. 1, muka 545)

Berdasarkan pendapat di atas maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa;

•Tanah perkuburan mesti dihormati dan adab yang berkaitan dengannya hendaklah dipatuhi.

•Perbuatan menggali kubur pada asalnya tidak dibenarkan dalam Islam, tetapi sekiranya ada sebab yang perlu maka ia

        diharuskan. Hal ini merujuk kepada keadaan mayat yang belum reput.

•Sekiranya mayat sudah reput maka tidaklah menjadi kesalahan menggalinya semula untuk tujuan yang munasabah.

•Keadaan reput atau tidak mayat ditentukan melalui orang yang pakar dalam bidang berkenaan.

INTI PATI

Pendapat Fuqaha Syafiiah

1.Kubur boleh digali semula dalam keadaan darurat sahaja.

2.Perbuatan menggali balik mayat dari kubur ditegah Islam kerana ia mencarik kehormatan mayat, tetapi dalam keadaan

        tertentu dan ada tujuan munasabah menurut syarak maka ia dibolehkan

3.Kawasan perkuburan menurut Islam adalah tempat yang perlu dihormati

3 SYARAT BINA KELUARGA BAHAGIA

18 hb Mac 2016/ 9 Jamadil Akhir 1437H

Mawaddah, musyawarah, amanah sempurna rumah tangga 

INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga. Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain. 

Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang. Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju ke akhirat.

Tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: 

“Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21) 

Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah berpasangan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah dan bertolak ansur sesama insan. Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, juga keperluan jiwa dan nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi pasangan bagi berkongsi susah dan senang.

Mawaddah berasaskan nafsu serakah semata-mata akan menghilangkan rahmah dalam kehidupan berumah tangga sehingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, justeru cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi, menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak lagi diterapkan dalam rumah tangga.

Amanah menjadikan pasangan suami isteri lebih bertakwa kepada Allah kerana ia memberi ‘sesuatu’ kepada suami dan isteri supaya bertanggungjawab terhadap pemberian itu. Ia sekali gus menjadikan mereka amanah dan amanah menjadikan mereka bertakwa. Bagaimanapun, perkahwinan menjadi kehidupan sukar buat setiap pasangan yang tidak mampu mencapai objektif perkahwinan dalam Islam. Rumah tangga yang tidak mampu ditegakkan dengan mawaddah, musyawarah dan amanah akan mudah ranap dan runtuh.

Memang benar perceraian paling dibenci Allah, tetapi tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.Jika perkahwinan menjadi penyebab manusia semakin galak melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah, sudah tentu perkahwinan itu perlu dijauhi. 

Sebab itulah walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu.Malah, perkahwinan diharamkan jika suami tidak mampu membina mawaddah, musyawarah dan amanah, seperti menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.

Justeru, tiada rasionalnya untuk meneruskan sebuah perkahwinan jika ia menjadikan manusia semakin jauh daripada kasih sayang Allah. Suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah menjadikan pasangannya tidak taat, setia, sekali gus merosakkan rumah tangga dibina.Malah ia berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah. Perceraian bukanlah keseronokan, ia bukan juga penentu sebuah kehidupan baru yang akan dibina akan lebih baik dari sebelumnya, tetapi ia adalah jalan keluar dari kesukaran.

Oleh Nik Salida Shuhaila

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Sudut Agama, Berita Harian 16/6/2011

ADAB MENGADAKAN MAJLIS WALIMAH

11 hb Mac 2016/ 1 Jamadil Akhir 1437H

Jemputan wajib hadir rai pengantin walaupun berpuasa

Pasangan yang berkahwin disunatkan mengadakan majlis kenduri atau walimah untuk mengisytiharkan ikatan perkahwinan mereka di samping melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT. Majlis kenduri sebenarnya bukan sekadar menjemput tetamu menikmati juadah dihidangkan, tetapi ada kaitannya dengan ibadah kepada Allah SWT. Kebanyakan ulama berpendapat mengadakan majlis walimah hukumnya sunat muakkad, amalan amat dituntut dalam Islam.

Meraikan adat perkahwinan hukumnya adalah harus selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali mencampurkan majlis dengan aktiviti bertentangan agama”Malah sebahagian ulama seperti mereka yang bermazhab al-Zhahiri menyatakan hukum mengadakan walimatul urus atau kenduri perkahwinan adalah wajib seperti pandangan sebahagian ulama bermazhab Syafi’e dan Hambali.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, direkodkan oleh Imam Muslim dan Imam al-Bukhari, Nabi SAW telah menyembelih seekor kambing ketika Baginda berkahwin dengan isterinya, Zainab binti Jahsy dan juga direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW menyuruh ‘Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri ketika perkahwinan beliau walaupun dengan seekor kambing. Sabda Baginda SAW:

“Adakan kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing.”

Ketika Ali memperisterikan puteri Rasulullah SAW, Fatimah, Baginda bersabda:

“Bagi sesuatu perkahwinan itu ‘walimah’ (kenduri).”

Dianjurkan Islam

Mengadakan kenduri perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan adalah dianjurkan dalam Islam. Oleh itu, disunatkan bagi sesiapa yang melangsungkan majlis perkahwinan mengadakan jamuan dan menjemput orang lain untuk menghadiri majlis itu.
Pada pandangan Imam Ahmad bin Hanbal, disunatkan mengadakan majlis kenduri pada hari kedua-kedua pengantin diijabkabulkan. Imam al-Mardawi pula menyatakan waktu disunatkan mengadakan majlis kenduri adalah luas iaitu bermula dari hari akad sehinggalah berakhirnya hari-hari perkahwinan (mengikut adat masyarakat).

Hukum penuhi undangan

Bagi mereka yang diundang ke majlis kenduri perkahwinan hendaklah memenuhi undangan itu. Ulama berpendapat hukum memenuhi undangan perkahwinan atau apa saja undangan selagi tidak membawa kepada kemaksiatan serta tidak ditegah Nabi SAW adalah wajib. Daripada Ibnu Umar, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

“Penuhilah undangan jika kamu telah dipanggil.” (Riwayat al-Bukhari).

Seseorang Muslim yang diundang oleh saudara Muslim lain wajib menghadirinya jika tiada sebarang halangan mahupun keuzuran. Walaupun seseorang itu berpuasa penuhilah undangan dan dia dibenarkan meneruskan puasanya atau memilih untuk berbuka bagi puasa sunat.

Nafi’ telah menjelaskan, sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Umar akan memenuhi sesuatu undangan tidak kira undangan perkahwinan atau selainnya walaupun dalam keadaan berpuasa. Dalam Fathul Bari juga dinyatakan beliau (Ibnu Umar) akan memenuhi undangan majlis kenduri dalam keadaan berpuasa dengan hanya bertemu dan mengucapkan doa Nabi SAW kepada pasangan pengantin.

Elak majlis dicemari dosa

Perkara penting perlu diketahui oleh setiap orang yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan mahupun mereka yang hadir adalah berusaha mengelakkan majlis dicemari perkara mendatangkan dosa.Antara yang perlu dititikberatkan, kedua-dua pasangan pengantin perlu menjaga adab seperti tidak mendedahkan aurat serta tidak bersalaman dengan mereka yang bukan mahram. Begitulah juga dengan tetamu Muslim yang diundang perlu menjaga batasan hukum agama.

Meraikan adat perkahwinan hukumnya adalah harus selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali mencampurkan majlis dengan aktiviti bertentangan agama seperti acara menolak bala, tarian bercampur lelaki dan wanita.Tidak salah untuk memasang muzik mahupun lagu hiburan selagi mana tidak membawa kepada kemaksiatan. Namun disarankan muzik yang dipasang itu lebih berkonsepkan nasihat dan tidak terlalu kuat hingga mengganggu keharmonian majlis perkahwinan.

Perkara lain perlu dipelihara ialah pembaziran. Walaupun tidak salah mengadakan kenduri secara besar-besaran tetapi jangan terlalu boros hingga terpaksa berhutang. Anjurkan majlis kenduri mengikut kemampuan.

Majlis diberkati, sebagai ibadat

Alangkah bertuahnya apabila majlis kenduri yang diadakan atau kita hadiri diberkati serta dikira sebagai ibadat kerana dapat mengeratkan silaturahim, memaklumkan ikatan perkahwinan yang baru termeterai dan bersedekah kepada tetamu.Sebaik-baik doa diucapkan kepada pasangan yang berkahwin:

“Semoga Allah memberkatimu serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Sudut Agama, Berita Harian, 04/09/2012

KEAJAIBAN ALQURAN: GERHANA

3 hb Mac 2016 / 23 Jamadil Awwal 1437H

“Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui”.(Surah Yunus, Ayat 5) 

Gerhana merupakan sebuah fenomena alam yang kerap terjadi pada masa kita. Kejadian ini jelas adalah sebuah tanda-tanda kebesaran Allah SWT, untuk memberikan sebuah pelajaran penting kepada manusia agar mau kembali kepada Allah SWT  dan bertaubat kepada-Nya.

Dalam ilmu Astronomi atau FALAQ, gerhana tersebut boleh terjadi pada dua keadaan, iaitu gerhana matahari dan gerhana bulan. Gerhana matahari terjadi ketika posisi bulan  terletak di antara bumi dan  matahari sehingga menutup sebagian atau seluruh cahaya Matahari. Walaupun Bulan lebih kecil, bayangan Bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya karena Bulan yang berjarak rata-rata jarak 384.400 kilometer dari Bumi lebih dekat dibandingkan Matahari yang mempunyai jarak rata-rata 149.680.000 kilometer.

Gerhana bulan terjadi ketika sebahagian atau keseluruhan bulan  tertutup oleh bayangan bumi. Itu terjadi bila bumi berada di antara matahari dan bulan pada satu garis lurus yang sama, sehingga sinar matahari tidak dapat mencapai bulan karena dihalang oleh bumi. Dengan penjelasan lain, gerhana bulan muncul bila bulan sedang berada bertentangan dengan bumi. 

Gerhana matahari dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu: gerhana penuh, gerhana separa, dan gerhana cincin

Sebuah gerhana matahari dikatakan sebagai gerhana penuh apabila saat kemuncak gerhana, Matahari ditutup sepenuhnya oleh Bulan. Ketika itu, Bulan sama besar atau lebih besar dari Matahari. Ukuran Matahari dan Bulan sendiri berubah-ubah bergantung pada jarak Bumi-Bulan dan Bumi-Matahari.

Gerhana separa terjadi apabila Bulan (saat kemuncak gerhana) hanya menutup sebahagian daripada Matahari. Pada gerhana ini, akan ada bahagian Matahari yang tidak tertutup oleh Bulan.

Gerhana cincin terjadi apabila Bulan (saat kemuncak gerhana) hanya menutup sebahagian dari Matahari. Gerhana jenis ini terjadi apabila ukuran Bulan lebih kecil dari Matahari. Sehingga ketika Bulan berada di depan Matahari, tidak semua bahagian Matahari akan tertutup oleh Bulan. Bahagian Matahari yang tidak tertutup oleh Bulan, akan berada di sekeliling Bulan dan kelihatan seperti cincin yang bercahaya.

Adapun gerhana Bulan ia terbagi menjadi tiga bahagian:

Gerhana bulan penuh. Pada gerhana ini, bulan akan tepat berada pada daerah umbra.

Gerhana bulan separa. Pada gerhana ini, tidak seluruh bagian bulan dihalang dari matahari oleh bumi. Sedangkan sebahagian permukaan bulan yang lain berada di daerah penumbra. Sehingga masih ada sebahagian sinar matahari yang sampai ke permukaan bulan.

Gerhana bulan penumbra. Pada gerhana ini, seluruh bagian bulan berada di bagian penumbra. Sehingga bulan masih dapat dilihat dengan warna yang suram.

Tetapi awas! Gerhana matahari tidak boleh dilihat secara terus kerana dapat menyebabkan kerosakan pada retina mata, namun untuk gerhana bulan dapat dilihat secara terus.

Dalam Islam istilah yang dikenal adalah dengan Al-Kusuf (gerhana Matahari- penggunaan huruf ‘kaf’), Al-Khusuf (gerhana Bulan –penggunaan huruf ‘khoo’). Maksudnya adalah menghilangkan seluruh cahaya salah satu dari dua benda langit yang bercahaya (matahari dan bulan) atau sebahagiannya dan berubah menjadi hitam.

Gerhana pada masa lampau sering dikaitkan dengan kejadian atau ramalan kejadian masa yang akan datang. Ketika pada masa Rasulullah SAW masih  hidup pernah terjadi gerhana matahari dan kejadiannya bertepatan dengan kematian anakndanya Ibrahim. Kemudian Rasulullah SAW  bersabda: 

"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Tidaklah keduanya mengalami gerhana karena kematian seseorang atau karena lahirnya seseorang. Jika keduanya mengalami gerhana, Apabila kamu telah menyaksikannya maka berdoalah kepada Allah dan solatlah kamu hingga cuaca telah terang kembali.”.." (HR. Bukhari dan Muslim)

Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata; “Ketika terjadi gerhana di masa Nabi Muhammad SAW maka diserukan: “Ash-shalaatu jaami’ah (tegakkanlah solat berjamaah).” Kemudian (di dalam solat) Nabi Muhammad SAW rukuk dua kali dalam satu rakaat. Pada rakaat ke dua  Nabi Muhammad SAW rukuk dua kali juga. Kemudian duduk dan selesai. Matahari sudah terang kembali. Siti Aisyah berkata: “Belum pernah saya sujud lama, seperti lamanya sujud solat gerhana itu.”  (Hr Bukhari dan Muslim).

Catatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari. 

Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang”

Selain itu seorang muslim disunnahkan untuk melakukan amalan seperti berikut ketika terjadinya gerhana :

a)   Memperbanyak zikir, istighfar, takbir, sedekah dan semua amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT . (HR. Bukhari dan Muslim)

b)  Melaksanakan sholat gerhana. Caranya adalah solat dilaksanakan sebanyak dua raka'at. Pada setiap raka'at dua kali berdiri, dua kali bacaan, dua kali ruku' dan dua kali sujud. (HR. Bukhari dan Muslim)

HUKUM SOLAT GERHANA 

Sunat Muakkad

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

KAIFIAT SOLAT 

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian. 

CARA-CARA PELAKSANAANNYA 

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara : 

Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam. 

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat. 

Cara Kedua : Hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu. Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua. 

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. 

Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Sumber :

http://jheatweb.terengganu.gov.my/maxc2020/appshare/widget/pb_img/37/PanduanGerhanaBulan.pdf

ADAB ADAB KETIKA KE MASJID DAN SEMASA DI MASJID

26 Februari 2016/ 17 Jamadil Awwal 1437H

DALIL-DALIL DARI AL-QURAN DAN AL-HADIS:

1.   Membersihkan mulutnya dari bau yang tidak enak ketika hendak mendatangi masjid .

Disebutkan di dalam Shahih Bukhari dan Muslim dari Jabir bin Abdillah, dari Nabi Shalallahu ‘alahi wa sallam beliau bersabda:

” Siapa yang makan bawang merah, bawang putih atau bawang ( atau jering, petai rokok dan selainnya ), maka sungguh janganlah dia mendekat masjid kami, kerana malaikat terganggu dengan apa manusia terganggu dengannya”. 

2.   Membaca solawat atas Nabi dan berdoa ketika hendak masuk ketika telah sampai pada pintunya.

Disebutkan dalam Sunan Abu Daud dan dishahihkan Al Imam Ibnu Hibban dari sahabat Abu Humaid atau Abu Usaid Al Anshary, berkata: Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam bersabda :

Jika seseorang dari kamu masuk masjid, maka hendaklah dia membaca sholawat atas nabinya, kemudian hendaknya dia berkata :

اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

“Ya Allah ya Tuhan kami, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku ” .

Kemudian ketika keluar membaca :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ

“Ya Allah ya Tuhan kami , sesungguhnya aku meminta kepada-Mu dari keutamaan -Mu“.

3.   Ketika masuk mendahulukan kaki kanan, kerana bahagian kanan itu untuk sesuatu yang mulia , sedangkan ketika keluar melangkahkan kaki kiri, dalam rangka memuliakan yang kanan.

Al Imam Bukhari dan Muslim telah mengeluarkan di dalam ” Shahih Keduanya ” , dari Aisyah rodhiyallahu anha, dia berkata :

“Bahwasanya Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam suka mendahulukan bahagian yang kanan ketika memakai sandal, bersisir, bersuci dan dalam semua urusannya (yang mulia) ” .

4.   Menunaikan hak masjid yaitu melakukan sholat dua rakaat sebelum duduk (solat tahiyatul masjid) bila mana pun seseorang masuk dan walaupun sudah terlanjur duduk sebelum solat.

Disebutkan di dalam Shahih Bukhari dan Muslim dari sahabat Abu Qatadah bin Rib’i Al-Anshory, dia berkata: Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam bersabda :

 “Jika seseorang dari kamu masuk masjid maka janganlah dia duduk (di dalamnya) sehingga dia melakukan solat dua rakaat “.

Al Imam Ibnu Hibban telah meriwayatkannya di dalam “Shahihnya” dari sahabat Abu Dzar bahwa dirinya telah masuk masjid (dan dia duduk sebelum solat), maka Nabi Shalallahu ‘alahi wa sallam berkata kepadanya :

“Apakah kamu telah melakukan solat dua rakaat ?”, 

dia berkata : “Belum” ,

 maka beliau katakan :‘berdirilah kamu dan solatlah dua rakaat ‘” .

5.   Tidak mengumumkan barang yang hilang di dalamnya .

Al-Imam Ahmad, Muslim dan selain dari keduanya telah meriwayatkan hadits dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu.

“Barang Siapa yang mendengar seseorang sedang mencari barang yang hilang di dalam masjid , maka hendaklah dia berkata : Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu, sesungguhnya masjid-masjid itu tidaklah dibangun untuk demikian ini ” .

6.   Tidak melakukan jual beli di dalamnya .

Disebutkan di dalam hadits yang telah diriwayatkan Al Imam Tirmidzi, Nasai dan selain keduanya, juga disahihkan oleh Al Imam Ibnu Khuzaimah dan Hakim dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi Shalallahu ‘alahi wa sallam bersabda :

 “Jika kalian melihat seseorang menjual atau membeli sesuatu di dalam masjid, maka katakanlah Semoga Allah tidak memberikan keuntungan pada perdaganganmu… ” .

Jual beli secara syar’i adalah tukar menukar barang dengan suka rela di atas sisi yang disyariatkan, maka jual beli itu ada empat macam:

•  Barang dijual (ditukar) dengan barang .

•  Barang dijual dengan matawang .

•  Matawang dijual dengan matawang (tukar menukarwang) baik yang sejenis seperti  ringgit dengan ringgit atau yang

    tidak sejenis seperti ringgit dengan dolar.

•  Manafaat dengan harta ( jual jasa) .

Nota:

Segala sesuatu yang tergolong dalam makna jual beli secara syar’i dan dilakukan di dalam masjid maka dia telah melakukan pelanggaran di dalamnya sehingga berhak didoakan kerugian sebagaimana yang ditunjukkan di dalam hadits ini , dan sebagian ulama memakruhkan memberikan pelajaran untuk anak-anak (juga dewasa) di dalam masjid yang ditetapkan upah di dalamnya karena tergolong dalam jual beli kecuali yang dibolehkan oleh syarak seperti yang difahamkan oleh riwayat berhubung kisah bayaran wang jualan unta yang didoakan oleh Nabi kepada sahabat yang menjualkannya kepada Nabi SAW yang ketika itu Nabi SAW sedang solat dengan para sahabah iaitu ketika itu  berada dalam masjid. 

7.   Tidak melakukan pekerjaan yang manfaatnya kembali kepada peribadi seseorang, sedangkan jika manfaatnya kembali kepada keumuman agama kaum muslimin seperti berlatih menggunakan pedang, mempersiapkan alat-alat perang untuk berjihad dan yang lainnya yang tidak mengandung makna penghinaan bagi masjid, maka tidak mengapa .

Di dalam “Shahih Bukhari dan Muslim” dari Aisyah radhiyallahu anha , dia berkata :

“Sungguh aku melihat Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam pada suatu hari di pintu bilikku, sedangkan kaum muslimin Habasyah sedang bermain-main tombak (berlatih menggunakannya) di dalam masjid , sementara Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam menutupi aku dengan pakaiannya , maka aku melihat permainan mereka”.

Di dalam salah satu lafadznya Umar masuk lalu merendahkan badannya untuk mengambil kerikil, maka kerikil itu dilemparkannya kepada mereka, kemudian beliau Shalallahu ‘alahi wa sallam berkata : 

“Biarkan wahai Umar ” .

8.   Tidak mengeraskan suara ketika berbicara:

Di dalam ”Shahih Bukhari” dari sahabat Sa’ib bin Yazid radhiyallahu ‘anhu , dia berkata : 

“Aku pernah berdiri di dalam masjid , maka ada seseorang yang telah melempar kerikil kepadaku, lalu aku perhatikan orangnya ternyata dia adalah Umar bin Khathab, maka dia berkata: 

“Panggillah dua orang itu kemudian bawalah mereka kepadaku”,

 lalu aku mendatanginya dengan dua orang itu , dan dia berkata: 

“Siapa kalian ini atau dari mana kalian berdua ini ?”, 

maka keduanya berkata : “dari Thaif”, lalu Dia (Umar) berkata : 

“Kalau kamu berdua dari penduduk negeri (Madinah) ini tentu aku menyebat kamu semua, kerana kamu berdua telah mengeraskan suara di masjid Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam” .

Sebagian ulama membolehkan mengeraskan suara dalam pembicaraan ilmu (agama) dan selainnya yang diperlukan kaum muslimin karena ia adalah tempat berkumpulnya mereka yang terkadang harus melakukannya .

9.   Tidak membaca syair-syair yang mengandung makna syirik dan mungkar, sedangkan jika mengandung makna yang benar seperti makna tauhid dan ketaatan tidaklah terlarang selama tidak menjadikan orang lain yang ada di masjid tersibukkan dengannya dari ibadahnya.

Terdapat di dalam “Shahih Bukhari dan Muslim”, dari sahabat Abu Hurairah bahwasanya Umar berjalan melalui dihadapan Hasan bin Tsabit sedang mendendangkan syair-syair di dalam masjid , maka Umar mengarahkan perhatian kepadanya dengan tidak suka , maka Hasan berkata :

“Sungguh aku pernah mendendangkan syair (di dalam masjid) dan di dalamnya ada seseorang yang labih baik dari engkau (yaitu Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam)”.

10.  Tidak duduk melingkar di dalamnya sebelum ditegakkannya solat Juma'at walaupun untuk mempelajari ilmu (agama), disebabkan akan memutus shaf-shaf kaum muslimin dan disamping itu mereka diperintahkan untuk berkumpul lebih awal pada hari Juma’at dan merapatkan shaf yang di depan dan seterusnya .

Terdapat di dalam hadits yang diriwayatkan Al Imam Ibnu Khuzaimah di dalam “Shahihnya” , dan Tirmidzi di dalam “Sunannya” dan dia menghasankannya dari Amer bin Syu’aib dari bapaknya dari datuknya, dari Rasulullah Shalallahu ‘alahi wa sallam :

“…. Sesungguhnya beliau melarang manusia duduk melingkar (di dalam masjid) pada hari Juma’at sebelum sholat (Jumaat) “

11.   Tidur di dalam masjid dibolehkan baik lelaki ataupun perempuan , terlebih lagi bagi para musafir dan orang yang tidak memiliki rumah atau karena ada hajat .

Terdapat di dalam “Shahih Bukhari” dan selainnya bahwa Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhu tidur di masjid Nabi Shalallahu ‘alahi wa sallam di masa beliau ketika dirinya masih muda sebelum berkeluarga .

Al Imam Bukhari menyebutkan hadits dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu , dia berkata : 

"Sungguh aku melihat tujuh puluh ahli suffah – yaitu para sahabat yang fakir – (tidur di masjid Nabi), tidak ada dari mereka yang memiliki rida (pakaian bagian atas badan) , sebaliknya di antara mereka ada yang memiliki kain penutup badan saja , atau satu helai pakaian saja, kain itu mereka ikatkan pada leher-leher mereka, maka di antara pakaian itu ada yang naik sampai pertengahan kedua betisnya, dan di antaranya ada yang naik sampai kedua mata kakinya , lalu dia rapatkan dengan tangannya karena tidak suka auratnya terbuka"

Wahai saudaraku muslimin dan muslimat, hiasilah diri engkau dengan adab dan akhlak yang mulia di manapun berada terlebih lagi ketika di dalam masjid, pakailah masjid itu hanya sebagai tempat dzikir (beribadah) kepada Allah, janganlah dijadikan sebagai tempat bermain, berdagang, tempat duduk-duduk, dan sebagai jalan tanpa ada sebab, janganlah engkau berikan bagian (ibadah) itu untuk selain Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalamnya . Dia Yang Maha Suci berfirman :

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorangpun di dalamnya di samping (menyembah) Allah ” . (Surah Al-Jin :ayat 18).

Seseorang yang menegakkan perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah dan Rasul-Nya nescaya dia meraih keuntungan di dunia dan di akhirat kelak .

“Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar“.(Surah Al-Ahzab: ayat 71).

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah surga `Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya“.(Surah Al Bayyinah: ayat 7-8).

ADAB BAIK AKHLAK CANTIK

19 Februari 2016/ 10 Jamadil Awwal 1437H

Dalam mengejar kemajuan, adab sangat dipentingkan kerana orang yang beradab adalah orang yang sentiasa mementingkan budi bahasa dan tatasusila sebagai orang yang beradab. Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja supaya beradab tetapi orang tua tidak pula beradab dalam berkata-kata dan perlakuan yang ditunjukkan.

Islam amat menekankan pendidikan adab kepada anak-anak dan juga dalam kalangan keluarga. Islam menetapkan beberapa adab seperti adab berhias diri, adab menjaga orang sakit, adab amar makruf nahi mungkar, adab di tempat rekreasi, adab menjaga kemudahan awam, adab menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian. Sebagai ibu bapa pendidikan adab terhadap anak-anak sengat penting. Ibu bapa mestilah menunjukkan adab dan teladan yang baik. Begitulah seperti kata peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ibu atau bapa ketam tak pernah berjalan betul. Ada ibu bapa melarang anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri adalah perokok tegar. Bagaimanakah nasihat dan teladan hendak diterapkan kepada anak-anak? Jawapannya terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa tersebut.

Memetik kata-kata cerdik pandai, adab yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa berhubung dengan kita. Sesiapa yang menyebabkan paling sedikit orang berasa tidak selesa, dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu. Ingatlah kehebatan adab terutama adab yang baik yang ditunjukkan oleh seseorang kepada orang lain. Orang yang beradab sentiasa menjaga percakapan, bicara dan perlakuannya di mana sahaja dia berada sama ada keseorangan atau di khalayak ramai.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

"Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya, maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya." (riwayat Al Hakim).

Begitulah juga kita seharusnya menjaga adab dengan pemimpin, ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua. Begitu juga kita wajar mempamerkan adab yang baik kepada kanak-kanak dan orang yang lebih muda sebagai teladan dan ikutan kepada mereka. Sebagai renungan, Syeikh Wahab Munabbih pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar yang pecah.Ini membuktikan adab dan akhlak sangat penting dalam kehidupan, jika adab dan akhlak kita rosak dan tercemar sukar sekali untuk memperbaikinya. Orang akan ingat selama-lamanya akan perbuatan yang kita lakukan yang merosakkan adab dan akhlak. Nabi SAW bersabda: 

“Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak.” (riwayat Bukhari)

Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Menurut Al Bukhari, Nabi SAW lebih malu daripada seorang gadis dalam pingitannya.

Mempraktikkan adab yang baik dalam kehidupan sangat digalakkan. Pendidikan adab ini mestilah dilakukan sejak kecil lagi bagi memperkukuh akidah, ibadah dan akhlak seseorang. Pendidikan ini juga dapat meneguhkan pendirian atau istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan. Nabi SAW, bersabda: 

"Sesungguhnya Allah indah dan senang kepada keindahan. Apabila seorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya." (Riwayat Baihaqi)

Kebaikan adab juga akan menunjukkan ketinggian akhlak seseorang. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Pendidikan adab juga akan meliputi pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak. Justeru, adab bercakap juga sangat penting dalam kehidupan. Bercakap merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran. Oleh itu, peliharalah lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap. Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda: 

“Sesiapa mempercayai Allah dan hari kemudian (akhirat) maka semestinya dia bercakap perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja.” (riwayat Bukhari dan Muslim). 

Oleh itu, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak dengan bercakap menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja.Natijah, pendidikan adab dan akhlak mestilah dilakukan secara berterusan. Menjaga aurat, perlakuan dan percakapan adalah adab yang paling baik. Jika adab sentiasa dijaga tidak akan ada perbuatan yang membabitkan gejala sosial yang merosakkan dan menghancurkan masa depan.

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

Bicara Agama, Utusan Malaysia 26/03/2013

ARTIKEL ASAL

HARI VALENTINE BERTENTANGAN SYARAK

11 Februari 2016/ 2 Jamadil Awwal 1437H

Roh perayaan bercampur perbuatan maksiat bercanggah dengan akidah Islam

Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan, hadiah, menyanyikan lagu cinta, membuat upacara tari-menari dan mengadakan acara makan malam disinari cahaya lilin. Bertukar perasaan di taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.

Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah.

Menurut Ken Sweiger, perkataan Valentine berasal dari bahasa Latin bermaksud ‘yang maha perkasa, yang maha kuat, dan yang maha kuasa’, digunakan pada zaman Rom Kuno kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. 

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi ‘to be my Valentine? maka ia telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana telah meminta seseorang menjadi “sang maha kuasa”. Hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan pandangan tokoh agama, menyambut atau meraikan Hari Valentine bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), amalan itu haram dan bertentangan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005, memutuskan amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu bercampur perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam. 

Justeru, ditegaskan pengharaman dan larangan bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend zaman moden tetapi berlandaskan kepada apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, umat Islam diminta tidak merayakan hari berkenaan yang bertentangan ajaran Islam sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam. Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah. 

Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semula jadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata. Berdasarkan pemerhatian, perkara ini berlaku kerana kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim. 

Kita jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman. Firman Allah SWT: 

“Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisaa, ayat 119) 

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus serta tasawwur mereka mengenai sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliah yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik saja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan di hati dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT: 

“Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15) 

Sumber: Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Sudut Agama, Berita Harian, 08/02/2013 

ABDULLAH NYARIS DISEMBELIH

5 Februari 2016/ 26 Rabiul Akhir 1437H

Jika ditakdirkan hidup seseorang itu menjadi yatim piatu, sebenarnya mereka sangat bertuah. Sekalipun keperitan begitu dirasai akibat kehilangan ibu dan bapa sehingga merasakan hidup ini seperti tiada maknanya lagi. Namun, bayangkan Nabi Muhammad SAW yang sedari kecil baginda juga telah kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dikasihi. 

Pernahkah kita menemui kisah, Nabi SAW menghabiskan usianya dengan meratap hiba atas kehilangan kedua-dua manusia yang paling bermakna dalam hidupnya itu? Tentu sama sekali kita jarang menemui kisah sedih seperti itu. Tetapi jika kita hayati seluruh kisah perjuangan Rasulullah, seolah-olah baginda ingin memberitahu bahawa sebagai anak yatim piatu, baginda terbukti sangat berjaya dalam hidup dan seharusnya semua anak-anak yatim juga begitu! Baginda sedia menjadi contoh atau suri teladan untuk golongan ini. 

Jadi tidakkah bertuahnya mereka kerana mempunyai Rasulullah untuk mereka contohi bagi menjejak kejayaan dalam hidup? Justeru mereka ini sebenarnya merupakan yang paling mengenali Rasulullah kerana menjadikan baginda sebagai pengganti kepada ibu bapa yang telah tiada.Dengan kata lain, jika baginda yang yatim dan piatu itu begitu berjaya mengukir nama dan sejarah, mengapa tidak bagi anak-anak yatim yang lain, mereka juga boleh berjaya sebagaimana yang dicapai oleh Rasulullah!

Disayangi ramai

Begitupun kita begitu mengenali Abdullah bin Abdul Mutalib dan Siti Aminah binti Wahab sebagai orang tua yang melahirkan baginda Rasulullah ke dunia ini! Tetapi mungkin sekadar mengenali nama dan mungkin tidak pelbagai kisah yang berlaku di sebalik riwayat hidup mereka. 

Datuk Nabi Muhammad, Abdul Mutalib mempunyai 10 anak lelaki, iaitu Al Harith, Al Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, Al Ghaydaq, Al Miqwam, Saffar dan Al Abbas. Malah dikatakan Abdul Mutalib mempunyai seorang lagi anak yang dikenali Qutham. Malah ada yang mengatakan beliau mempunyai 13 anak lelaki kesemua dengan dua lagi dikenali sebagai Abdul Kaabah dan Hajal. Namun dikatakan Abdul Kaabah merupakan nama gelaran untuk anaknya yang bernama Al Miqwam dan Hajal pula merupakan gelaran kepada Al Gaydaq. 

Selain anak lelaki, Abdul Mutalib mempunyai enam anak perempuan, Ummu Hakim atau Al Bayda, Barrah, Atiqah, Safiyyah, Arwa dan Umaymah.

Begitulah kayanya datuk Rasulullah ini kerana mempunyai keturunan yang ramai. Di tambah, beliau seorang yang sangat dikenali di kalangan penduduk Arab atas kemuliaan tugasnya bagi meneruskan tradisi Bani Hasyim sebagai yang bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada mereka yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji. Ini menjadikan beliau seorang yang terhormat dan ditaati serta mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam itu. 

Bapa nabi, Abdullah dikatakan anak Abdul Mutalib yang terbaik. Ini kerana Abdullah adalah anak yang paling sopan, paling baik budi pekertinya sehingga begitu disayangi ramai.

Bercerita mengenai bapa Rasulullah ini, sejarah pasti sesuatu yang sangat berbeza jika peristiwa Abdullah hendak disembelih oleh bapanya sendiri akibat hendak membayar niat nazar benar-benar terjadi. Begitupun sangat menarik untuk kita mengetahui kisah penyembelihan itu bagi menunjukkan betapa kuatnya elemen-elemen jahiliah, termasuk menggunakan anak panah sebagai menentukan nasib dalam aspek budaya dan sosial masyarakat Arab pra Islam itu.

Akibat peristiwa nazar itu, bapa Rasulullah ini turut dikenali dengan gelaran Al Dhabih (mangsa penyembelihan), iaitu akibat dari nazar yang dibuat oleh Abdul Mutalib kerana mempunyai anak-anak lelaki yang begitu beliau banggakan. Sehinggakan beliau sanggup menyembelih di sisi dinding Kaabah salah seorang anak lelakinya itu. 

Sebagaimana tradisi Arab Jahiliah yang begitu berpegang kuat kepada ramalan dan tilik nasib, Abdul Mutalib juga tidak terkecuali. Beliau telah menulis nama kesemua anak lelakinya itu pada anak-anak panah dan diberikan kepada penjaga Hubal, sebuah patung berhala besar yang boleh didapati berhampiran Kaabah. Si penjaga berhala itu juga seorang yang berfungsi sebagai yang mencabut anak-anak panah bagi menentukan nasib yang mesti dihadapi oleh mereka yang meramal menggunakan anak panah ini. 

Lalu selepas menggoncang anak-anak panah itu, maka anak panah yang dipilih dan dicabut keluar mencatatkan nama Abdullah, anak yang paling disayangi oleh Abdul Mutalib. Namun akibat niat bernazar yang kuat, Abdul Mutalib tidak ada pilihan kecuali terpaksa menyerahkan juga anak yang paling disayanginya itu untuk disembelih. 

Lalu tanpa banyak berkata-kata lagi, Abdul Mutalib pun membawa Abdullah ke Kaabah dan sebilah pisau tajam yang hendak digunakan untuk menyembelih anaknya itu. Tindakan Abdul Mutalib itu benar-benar menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk kota Mekah ketika itu. 

100 ekor unta

Mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang Abdul Mutalib daripada meneruskan niatnya untuk menyembelih Abdullah itu. Bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya (Fatimah binti Amru bin Aidh bin Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah) daripada kalangan Bani Makhzum dan terutamanya saudaranya Abu Talib begitu menghalang Abdul Mutalib daripada terus menyembelih Abdullah. Tetapi Abdul Mutalib seorang yang berpegang kepada nazarnya, tetap akan meneruskan niatnya itu kecuali terdapat cadangan lain yang dapat menebus nazar tersebut. 

Lalu mereka mencadangkan supaya Abdul Mutalib menemui seorang ahli tilik wanita untuk meminta nasihat daripadanya mengenai masalah nazar itu. Wanita itu mencadangkan menuliskan nama Abdullah pada anak panah itu dengan tebusan 10 ekor unta. Jika nama yang keluar ialah nama Abdullah maka hendaklah ditambah 10 ekor unta lagi sehingga Tuhan merestuinya. Jika anak yang dicabut pula ialah unta maka hendaklah disembelih unta-unta itu.

Namun yang terjadi selepas itu, nama Abdullah yang sentiasa ‘naik’ pada cabutan sehinggalah 10 kali cabutan yang menyebabkan setiap satunya terpaksa ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Ini menjadikan kesemuanya 100 ekor unta menjadi tebusan kepada nyawa Abdullah. Maka terlepaslah nyawa Abdullah dengan dibayar 100 ekor unta yang kemudiannya diberi kepada orang lain tanpa halangan atau disembelih.

Sebelum ini bayaran diat di kalangan orang Arab hanya 10 ekor unta tetapi sejak peristiwa itu bayaran diat bagi nyawa manusia menjadi 100 ekor unta yang kemudiannya diterima dalam Islam.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: 

“Aku adalah putera dua orang yang disembelih (iaitu Nabi Ismail dan bapa Baginda, Abdullah)”. 

Abdul Mutalib tentu sahaja gembira dengan penebusan nyawa anaknya itu, beliau kini beroleh kembali anaknya itu daripada bakal disembelih oleh tangannya sendiri.Sebagai meraikan anaknya itu dan kebetulan Abdullah didapati sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, lalu Abdul Mutalib menjodohkan anaknya dengan Siti Aminah binti Wahb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri. Ketika itu Aminah dianggap wanita bangsa arab Quraisy yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan. 

Lalu berkahwinlah Abdullah dan Siti Aminah lalu mereka menetap di Kota Mekah.Tidak lama mereka berkahwin, Abdullah bersama rombongan kafilah dagangan menuju ke Madinah bagi menjalankan perniagaan di sana. Sesetengah meriwayatkan Abdullah sebenarnya hendak menuju ke Syam tetapi di pertengahan jalan, beliau kemudiannya jatuh sakit lalu meninggal dunia berhampiran Madinah. 

Jenazahnya dikebumikan di Dar al Nabighah al Ja’di dikatakan dalam usia yang sangat muda iaitu 25 tahun. Kematian Abdullah ini dikatakan pada dua bulan sebelum keputeraan anakandanya, Rasulullah menyebabkan si anak menjadi yatim sejak dalam kandungan ibunya lagi, Siti Aminah. 

Kematian Abdullah benar-benar diratapi dengan penuh sedih oleh Siti Aminah, tentunya kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak sempat melihat wajah si bapa. Pemergian Abdullah telah meninggalkan kepada isterinya itu iaitu lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan berketurunan Habsyah bernama Barakah yang digelar Ummu Ayman yang kemudiannya pernah mengasuh Rasulullah semasa Baginda masih kecil!.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Petikan daripada Sirah Nabawiyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Bicara Agama, Utusan Malaysia 16/3/2009

ADAB BERJIRAN

29 Januari 2016/ 19 Rabiul Akhir 1437

Sibuk mengejar kemewahan material membuatkan ada antara kita tidak sempat bertegur sapa dengan jiran walaupun di sebelah rumah sehingga perhubungan menjadi hambar.Kegagalan memahami konsep kejiranan menyebabkan berlaku perselisihan faham, bertekak dan bermasam muka, malah lebih serius hingga peringkat mencederakan dan membunuh jiran. Keadaan seperti itu pasti merosakkan perpaduan dan mem bangkitkan permusuhan di kalangan masyarakat sedangkan Islam adalah agama yang mendambakan perhubungan baik sesama manusia.

Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah satu daripada cara hidup yang dituntut Allah kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat ke bersamaan, persefahaman dan keharmonian.Kemakmuran sesebuah negara juga bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya. Malah, ciri masyarakat berkualiti dan masyarakat contoh juga tergambar melalui persefahaman dan hubungan yang erat.

Justeru, Islam menekankan umatnya menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat dan ia tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam, malah melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa pertuturan.

Dalam kejiranan, umat Islam wajib mengekalkan hubungan baik dan menyemai kemesraan kerana sifat sebegitu akan membentuk kehidupan aman dan harmoni, malah jika berdepan masalah, ia diselesaikan dengan baik.

“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (Surah an-Nisaa’: ayat 36) 

Perunding Motivasi Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam Islam ada dua konsep utama iaitu hubungan manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia. 

“Menyentuh mengenai kejiranan ia membabitkan konsep hubungan manusia sesama manusia dan apabila mem babitkan perhubungan sesama manusia yang lebih diuta makan ialah nilai akhlak, perangai, tingkah laku atau keperibadian.

“Nilai akhlak ini perlu diterapkan dalam budaya kejiranan. Jika kita orang Arab walaupun mereka terkenal sebelum ini dengan permusuhan, tetapi mereka kuat berjiran,” katanya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Jibril sentiasa ber wasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka jiran itu akan saling mewarisi.”

Dalam realiti kehidupan hari ini manusia tidak boleh lari daripada hidup berjiran, baik di kota mahupun di desa. Suka atau tidak terpaksa berdepan dengan jiran, walaupun mempunyai minat dan cita rasa berbeza, malah ragam yang berlainan. 

Ahmad Shukri berkata, Islam pada dasarnya menganjurkan umatnya berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan keturunan.Malah, katanya, berbuat baik sesama manusia termasuk kepada jiran melambangkan ciri orang beriman yang ber pegang teguh pada agama.

“Jiran ada banyak kategorinya, ada jiran berasaskan pertalian darah, agama dan keturunan, tetapi semuanya perlu dibuat baik.

“Berbuat baik pula banyak tingkatannya dan mungkin kita tidak sampai ke tingkatan paling tinggi. Menyapa seperti bertanya khabar juga termasuk berbuat baik,” katanya.

Umat Islam, katanya, dilarang membelakangkan jiran, menyinggung hati mereka, menyusahkan dan menyakiti mereka.

“Jika timbul masalah berkaitan jiran, jangan cepat melatah, tetapi banyak bersabar kerana sifat ini mencerminkan mukmin yang baik.Selain itu, berusaha mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu supaya kecantikan budi pekerti yang diajarkan Rasulullah dan keelokan Islam itu terpancar dan menjadi ikutan kepada yang lain,” katanya.

Menurutnya, dalam adab berjiran umat Islam juga dilarang membuka aib jiran seperti menceritakan rahsia mereka kepada orang lain, menceroboh kediaman mereka dan me ngambil hak mereka. Dalam hubungan ini sesuai juga dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: 

“Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Maksud huraian hadith diatas ialah, sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya. Malah, sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, Allah akan menutup keaibannya dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan ber muamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. 

Hadis nabi mengenai tanda kecil kiamat ada berbunyi: 

“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan ber sikap yang buruk dengan jiran.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Oleh Idris Musa 

Bicara Addin.Harian Metro 

ABU ZAR YANG PEMURAH

22 Januari 2016/ 12 Rabiul Akhir 1437

Abu Zar al-Ghifari adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berfahaman keras. Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan. Pernah dilaporkan oleh Ali bin Abu Talib bahawa Abu Zar mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Abu Zar seorang yang berani. Beliau mengisytiharkan pengislamannya di hadapan Kaabah. Pada ketika itu orang-orang kafir yang menyekutukan Allah mendengar akan kedatangannya. Mereka datang bagi membunuhnya. Kemudian Abu Zar dibantu oleh bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Abbas. Abbas memeluk Abu Zar daripada di pukul oleh orang kafir Quraisy.Menurut cerita, orang kafir itu tidak mengenali Abu Zar. Selepas mereka mengetahui yang Abu Zar adalah dari puak Ghifar, barulah mereka membiarkan dan tidak memukulnya lagi.

Ghifar adalah satu kawasan yang menjadi laluan perjalanan kabilah-kabilah Quraisy semasa hendak ke Syria. Membunuh Abu Zar bermakna mereka tidak dapat berdagang di situ lagi. Malah puak Ghifar bakal menyerang hendap kabilah mereka.

Abu Zar juga seorang yang bersifat takwa dan tabah. Pada masa khalifah Usman, beliau diarahkan supaya berpindah ke kawasan padang pasir yang bernama Rabazah. Beliau tidak suka kepada kekayaan. Beliau sentiasa menentang golongan kaya.

Abu Zar menyara kehidupannya dengan memelihara beberapa ekor unta. Beliau juga mempunyai orang suruhan yang sudah tua.

Pada suatu hari, seorang orang kampung daripada Bani Sulaim datang berjumpa dengannya.

Orang itu berkata:

"Saya mahu tinggal bersama tuan. Saya mahu belajar ilmu-ilmu yang tuan ada mengenai perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad. Saya sanggup membantu orang suruhan tuan menjaga unta-unta tuan."

Abu Zar memang seorang yang tegas. Beliau mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Lalu Abu Zar berkata:

"Saya tidak dapat mengambil sembarangan orang tinggal bersama saya, kecuali dengan satu syarat. Kamu perlu ikut segala arahan saya."

Mendengar jawapan tersebut, lelaki dari Bani Sulaim itu bertanya:

"Apakah syaratnya? Saya cuba patuh kepada kemahuan tuan itu."

Kemudian Abu Zar berkata:

"Kamu harus menuruti arahan saya. Sekiranya saya menyuruh kamu membelanjakan harta saya, maka kamu perlu membelanjakan harta itu dengan cara yang terbaik."

Orang dari Bani Sulaim itu merasakan bahawa syarat yang diberikan oleh Abu Zar mudah dilakukan. Beliau menerima syarat tersebut. Akhirnya, beliau tinggal bersama Abu Zar.

Pada suatu hari, orang dari Bani Sulaim itu mendengar berita bahawa ada orang miskin berkhemah berhampiran tempat itu. Mereka sangat memerlukan makanan. Selepas mendengar berita itu, Abu Zar menyuruh orang dari Bani Sulaim menyembelih untanya dan memberi makanan kepada orang miskin tadi. Orang dari Bani Sulaim itu pergi memilih unta.

Unta pertama yang dipilih sangat jinak. Baginya unta itu sesuai bagi tunggangan Abu Zaar. Lalu dia tidak menyembelih unta pertama itu. Kemudian beliau memilih unta yang kedua. Unta yang kedua itu juga baik cuma berbeza dengan yang pertama.

Melihat unta itu, Abu Zar berkata: "Kamu tidak menepati janji yang kamu buat kepada saya sebelum ini."

Selepas mendengar penjelasan Abu Zar, orang dari Bani Sulaim itu berpatah balik dan mengambil unta pertama yang dipilihnya tadi. Unta itu adalah yang terbaik diberi makan kepada orang miskin.

Abu Zar menyuruh dua orang menyembelih unta tersebut. Beliau juga berpesan kepada tukang sembelih unta itu supaya membahagikan daging sama rata kepada orang miskin tadi. Beliau juga berpesan supaya meninggalkan satu bahagian yang sama bagi keluarganya.

Kemudian Abu Zar memanggil orang dari Bani Sulaim itu. Beliau bertanya:

"Adakah kamu sengaja mengingkari arahan saya atau kamu sebenarnya terlupa dengan arahan saya itu?"

"Saya tidak terlupa. Saya sebenarnya merasakan bahawa unta pertama itu sesuai bagi kenderaan tuan. Unta itu sangat jinak. Tuan amat memerlukannya. Manakala unta kedua sesuai dijadikan makanan dan diberikan kepada orang miskin itu," jawab orang dari Bani Sulaim itu.

Abu Zar berkata lagi:

"Saya beritahu kamu bilakah sebenarnya saya memerlukan harta itu? Iaitu semasa saya berada di dalam kubur. Ada tiga perkara yang berhak ke atas harta saya itu.

"Pertama, takdir. Tiada sesiapa yang berhak menghalangnya sama ada baik atau buruk. Harta itu tetap diambilnya.

"Kedua, pewaris harta itu. Mereka hanya menunggu saat kematian saya. Selepas saya mati, mereka bakal memperoleh harta itu. Ketiga ialah diri kita sendiri. Sekiranya kita dapat menguruskan harta itu, kita tidak perlu berkongsi dengan dua perkara tadi. Kita perlu menguruskan harta itu dengan sebaik mungkin."

Bagi Abu Zar, beliau tetap memberikan harta yang paling disayanginya kepada orang yang memerlukannya sebagai bekalan hari selepas kematiannya. Orang dari Bani Sulaim itu memahami penerangan Abu Zar.

Oleh yang demikian kita perlu membelanjakan harta kita ke jalan yang disukai oleh Allah. Barang yang mahu kita berikan kepada orang lain adalah dari barang yang paling kita sayang.

Petikan daripada buku Sayap dari Syurga PTS Publications.

ABAI ANAK YATIM, FAKIR DIANGGAP PENDUSTA AGAMA

15 Januari 2016/ 5 Rabiul Akhir 1437H

Umat Islam diperintahkan Allah sentiasa terdorong dan gemar berbuat baik serta mengasihi semua orang tanpa mengira keturunan, agama, darjat, kebudayaan dan warna kulit. Lebih-lebih lagi terhadap golongan susah, hidup menderita atau tidak bernasib baik. Islam menghendaki semua manusia hidup bersatu padu, penuh keakraban dan dalam suasana aman harmoni. Dengan perkataan lain, Islam sangat membenci kacau bilau, perpecahan, perbalahan dan pertumpahan darah sesama manusia.  

Namun, ada segelintir masyarakat hanya berbuat baik dan menghubungkan tali silaturahim dengan orang tertentu seperti keluarga, orang kaya dan berpangkat. Sikap buruk ini harus dibuang kerana bukan saja mencerminkan sikap mementingkan nafsu, malah mencemarkan ajaran Islam yang suci. Perbuatan ini tentu dilakukan atas dasar material, (ada udang di sebalik batu) dan tidak ikhlas. 

Islam menyeru umat mengambil berat, memberi perhatian, berbuat baik, menyayangi dan prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik yang memerlukan pembelaan untuk menjalani kehidupan lebih bermakna. Firman Allah bermaksud: 

“Berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin serta berbicara dengan kata yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 83) 

Anak yatim yang hilang tempat bergantung harus dijaga, dibimbing serta diberi kasih sayang supaya mereka rasa disayangi dan diiktiraf sebagai anggota masyarakat. Orang yang memelihara anak yatim sangat mulia di sisi Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 

“Aku dan orang yang menanggung (memelihara) anak yatim (dengan baik) ada di syurga bagaikan ini! Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dan Baginda rentangkan kedua jarinya itu.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Bagi orang yang menganiaya, tidak berlaku adil dan tidak menyayangi anak yatim, di akhirat mendapat azab tidak terperi perihnya. Ini tergambar dalam ayat suci yang bermaksud: 

“Dan berikan kepada anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan itu dosa yang besar.” (Surah an-Nisa, ayat 2) 

Dalam perkara ini, Abu Said Al Khudri ada menceritakan, ketika Rasulullah SAW menjalani Israk Mikraj, Baginda melihat kaum yang bibirnya seperti bibir unta. Mulut mereka disuap batu besar secara paksa sehingga keluar batu itu melalui dubur. Melihat kejadian aneh itu, Baginda bertanya Jibril dan Jibril menerangkan, orang itu adalah orang yang memakan harta anak yatim secara zalim. 

Orang miskin pula ialah orang yang tiada harta atau tidak mampu menyara hidup serta keluarga. Berbuat baik, bergaul dan menyayangi fakir atau miskin adalah perbuatan nabi seperti maksud hadis: 

“Menyintai orang fakir termasuk pekerti para nabi dan benci terhadap orang fakir termasuk pekerti fir’aun.” 

Mereka yang berkelakuan baik terhadap golongan ini terhindar daripada sifat sombong dan mementingkan diri serta dipandang mulia oleh Allah seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: 

“Berlaku rendah hati, duduklah bersama orang miskin, nescaya kalian menjadi pembesar Allah dan keluar daripada sifat sombong.” 

Islam tidak menghendaki umat membeza golongan berada dengan fakir miskin. Rasulullah SAW sangat murka terhadap sikap sedemikian. Sabda Baginda yang bermaksud: 

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan pesta (jamuan) yang mengundang orang kaya saja dan ditinggalkan orang fakir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tujuan Allah menyuruh kita berbuat baik kepada orang yang tidak bernasib baik supaya silaturahim terjalin erat dan tidak ada lagi jurang pemisah antara orang susah dengan masyarakat, dapat hidup dengan baik, tidak rasa terhina dengan kesusahan yang terpaksa ditanggungnya. Kedua-dua golongan itu (anak yatim dan fakir miskin) wajib disayangi sepenuh hati kerana Allah. Apabila tidak mempeduli nasib mereka, Allah menganggap orang itu sebagai ‘pendusta agama’. Allah memberi peringatan yang bermaksud: 

“Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (Surah al-Maa’un, ayat 1-3) 

Dengan perhatian serta pembelaan terhadap orang susah, masyarakat dapat hidup bersatu padu, tidak ada sifat dengki mendengki dan beban kesusahan dapat diatasi dengan baik. Hidup kita akan terhormat, disegani dalam pergaulan, menambah teman dan mendapat rezeki daripada Allah. Inilah suasana hidup masyarakat yang diberkati dan diredai Allah. 

Oleh Mohd Adid Ab Rahman 

Sudut Agama, Berita Harian 24/10/08

100 SUNNAH RASULULLAH ﷺ TANDA KECINTAAN

8 hb Januari 2016/ 28 Rabiul Awwal 1437H

Terdapat begitu banyak sunnah yang boleh diamalkan sebagai kecintaan kita kepada Rasulullah , berikut adalah antara 100 sunnah tersebut : 

1- Tidur Dalam Keadaan Berwuduk

2- Baca Surah Ikhlas, Al-Falaq Dan An-Nas Sebelum Tidur

3- Takbir Dan Tasbih Ketika Di Tempat Tidur

4- Berdoa Pada Waktu Malam

5- Doa Ketika Bangun Daripada Tidur

6- Berkumur Dan Menghisap Air Ke Dalam Hidung Dari Satu Cedukan Sebelah Tangan

7- Berwuduk Sebelum Mandi

8- Baca Doa Selepas Wuduk

9- Jimat Penggunaan Air

10- Selepas Wuduk Solat Dua Rakaat

11- Menjawab Seruan Azan

12- Banyak Bersugi

13- Pergi Awal Ke Masjid

14- Berjalan Kaki Ke Masjid

15- Hadir Solat Dengan Tenang

16- Doa Ketika Masuk Dan Keluar Masjid

17- Mengadakaan Sempadan Ketika Solat

18- Duduk Atas Dua Tumit Ketika Duduk Antara Dua Sujud

19- Duduk Atas Lantai Dengan Mendirikan Kaki Kanan Ketika Duduk Tahiyat

20- Banyakkan Berdoa Selepas Tahiyat Akhir Dan Sebelum Beri Salam

21- Melakukan Solat Sunat Rawatib

22- Solat Dhuha

23- Qiyamullail

24- Solat Witir

25- Solat Dengan Beralas Kaki

26- Solat Di Masjid Quba ‘

27- Solat Sunat Di Rumah

28- Solat Istikharah

29- Duduk Di Tempat Solat Selepas Solat Subuh Hingga Terbit Matahari

30- Mandi Hari Jumaat

31- Hadir Awal Untuk Solat Jumaat

32- Mencari Masa Mustajab Doa Hari Jumaat

33- Pergi Dan Balik Solat Hari Raya Dengan Jalan Berbeza

34- Solat Jenazah

35- Ziarah Kubur-Kubur

36- Bangun Sahur

37- Segera Berbuka Puasa

38- Menghidupkan Ramadhan

39- Iktikaf Pada Bulan Ramadhan

40- Puasa Sunat Enam Hari Dalam Bulan Syawal

41- Puasa Tiga Hari Setiap Bulan

42- Puasa Hari Arafah

43- Puasa Hari Asyura

44- Pilih Seorang Ketua Ketika Bermusafir

45- Takbir Ketika Melalui Tempat Tinggi Dan Tasbih Ketika Menuruni Tempat Rendah

46- Doa Ketika Di Singgah Sesuatu Tempat

47- Terlebih Dahulu Ke Masjid Apabila Balik Dari Musafir

48- Doa Ketika Memakai Baju Baru

49- Mula Dengan Kaki Kanan Apabila Pakai Selipar / Kasut

50- Baca Bismillah Ketika Makan

51- Ucap Al-Hamdulillah Selepas Makan

52- Minum Dalam Keadaan Duduk

53- Berkumur Selepas Minum Susu

54- Tidak Mencela Makan

55- Makan Dengan Tiga Jari Tangan Dan Menjilat Jari Itu Apabila Selesai Makan

56- Minum Dan Berubat Dengan Air Zam-Zam

57- Sarapan Terlebih Dahulu Sebelum Pergi Solat Hari Raya Fitri

58- Banyak Membaca Al-Quran

59- Baca Al-Quran Dengan Suara Yang Baik

60- Zikir Kepada Allah Setiap Ketika

61- Bertasbih

62- Mendoakan Orang Yang Bersin

63- Doa Untuk Pesakit

64- Meletak Tangan Pada Tempat Sakit Serta Doa

65- Berdoa Ketika Mendengar Ayam Berkokok

66- Berdoa Ketika Hujan Turun

67- Baca Zikir Ketika Masuk Rumah

68- Baca Zikir Dalam Majlis

69- Berdoa Ketika Hendak Masuk Tandas

70- Berdoa Ketika Angin Bertiup

71- Doa Untuk Muslimin Yang Tidak Bersama

72- Berdoa Ketika Mendapat Musibah

73- Menyebarkan Salam

74- Menuntut Ilmu

75- Meminta Izin Sebelum Masuk Tiga Kali

76- Tahnik Mulut Anak Yang Baru Lahir

77- Aqiqahkan Anak

78- Singkap Sebahagian Badan Agar Kena Hujan

79- Melawat Pesakit

80- Senyum

81- Ziarah-Menziarahi Kerana Allah

82- Nyatakan Kecintaan Apabila Cinta Terhadap Seseorang

83- Tutup Mulut Apabila Menguap

84- Sangka Baik Terhadap Manusia

85- Membantu Keluarga Dalam Kerja Rumah

86- Sunnah Fitrah

87- Menjaga Anak Yatim

88- Menjauhi Marah

89- Menangis Kerana Takut Terhadap Allah

90- Bersedaqah Jariah

91- Membina Masjid

92- Toleransi Ketika Berjual

93- Menghilangkan Gangguan Jalan

94- Shadaqah/ Sedekah

95- Banyak Melakukan Amal Soleh Pada 10 Zulhijjah

96- Membunuh Cicak

97- Larangan Mencerita Dari Semua Perkara Yang Didengari

98- Memberi Nafkah Keluarga

99- Lari-Lari Anak Semasa Tawaf

100- Beramal Soleh Berterusan Walaupun Sedikit.

Daripada Amru bin Auf radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda,

“Sesiapa menghidupkan sunnahku, kemudian (sunnahku tersebut) diamalkan oleh orang lain, maka baginya pahala seumpama pahala orang yang mengamalkannya tanpa berkurangan sedikitpun dari pahala-pahala mereka. Sesiapa yang berbuat bid’ah, kemudian perbuatannya tersebut diikuti oleh orang lain, maka baginya dosa dan dosa-dosa orang yang melakukannya tanpa terkurang sedikitpun dari dosa-dosa mereka.” (Sahih Ibnu Majah.0174)

AZAM BAIK TIDAK PERLU TUNGGU TAHUN BARU UNTUK DITERAP

1 Januari 2016/ 21 Rabiul Awwal 1437H

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan. 

Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk. Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah. 

”Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, Ayat 60) 

Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa. 

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60) 

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain. 

Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera. Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya. 

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: 

“Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: 

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya. 

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

Oleh Lokman Ismail, 

Sudut Agama, Berita Harian, 28/12/2011