Cetak

ARKIB 2016

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

WASPADA SAMBUT TAHUN BARU

30 Disember 2016/ 30 Rabiul Awwal 1438H

KEHADIRAN tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan syarak. Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut ia dicemari dengan aksi pergaulan bebas di antara kaum lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, penggunaan pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru.

Maka sorak-sorai serta jerit-pekik gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12. Hiburan-hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga ke pagi hari. Ini sebenarnya budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa ini. 

Budaya sebegini begitu giat dipropagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi oleh musuh-musuh Allah agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Hakikatnya, kita telah diperingatkan tentang niat buruk golongan ini melalui Firman-Nya: 

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)." (Surah al-Baqarah: ayat 120)

Malangnya terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mengendahkan peringatan tersebut dan ramai yang bukan sekadar terlibat dalam upacara sambutan tahun baru ini malah ada juga yang menganjurkan, mempromosikan dan menggalakkan sambutan hari tersebut. Sebenarnya terdapat banyak sekali dalil-dalil daripada al-Quran mahupun sunah yang melarang perbuatan menyerupai tingkah-laku kaum yang menolak agama Allah di dalam perkara yang menjadi sifat dan khusus bagi mereka. Termasuk dalam perkara seumpama ini adalah meniru mereka dalam menyambut hari-hari perayaan dan pesta-pesta mereka. 

Setiap sambutan yang dikhususkan pada hari tertentu dan sambutannya berulang-ulang setiap tahun serta diagung-agungkan oleh orang-orang bukan Islam maka ia termasuk dalam kategori hari-hari perayaan yang terlarang bagi umat Islam menyambutnya. Apatah lagi umat Islam mempunyai hari-hari perayaan tersendiri yang diredai oleh Allah SWT dan ia membatalkan seluruh hari-hari perayaan lain yang tidak disyariatkan. 

Daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah, maka Baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri." (riwayat Imam al-Nasa'i di dalam Sunannya no: 959)

Daripada Tsabit bin Al-Dhahhak r.a bahawasanya dia berkata: “Seorang laki-laki telah bernazar pada masa Rasulullah SAW untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku telah bernazar untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu Nabi SAW bertanya: Apakah di dalamnya terdapat salah satu daripada berhala-berhala Jahiliah yang disembah? Mereka menjawab: Tidak. Baginda bertanya lagi: Apakah di dalamnya terdapat salah satu dari hari-hari besar mereka? Mereka menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: Tepatilah nazarmu kerana tidak perlu menepati nazar di dalam berbuat maksiat kepada Allah dan di dalam hal yang tidak dipunyai (tidak mampu dilakukan) oleh manusia.” (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3313)

Lihatlah bagaimana berhati-hatinya Rasulullah agar kita tidak membuat sesuatu perkara yang bersamaan dengan tarikh hari-hari perayaan golongan yang syirik kepada Allah. Tentu sekali menyambut hari-hari besar musuh-musuh Allah seperti pesta sambutan tahun baru bersama mereka di seluruh dunia memiliki implikasi yang lebih berat di sisi syarak. 

Umat Islam dilarang mengikuti budaya-budaya sesuatu kaum yang bertentangan dengan syarak dan sesiapa yang meniru budaya tersebut maka di akhirat kelak mereka akan tergolong bersama-sama dengan kaum yang memusuhi Allah tersebut. "Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3512)

Tambahan pula Allah SWT telah menjadikan kelompok-kelompok yang ingkar kepada perintah-Nya memiliki hubungan yang akrab di antara satu sama lain. Maka keterlibatan orang-orang Islam dalam upacara-upacara golongan yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya menunjukkan mereka telah menjadi sebahagian daripada kelompok yang zalim tersebut sebagaimana ditegaskan dalam surah al-An'am ayat 129.

Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan terlarang yang menyerupai kaum yang memusuhi Allah, ia sebenarnya secara tidak langsung menampakkan seolah-olah kita kagum dengan golongan yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengagung-agungkan budaya mereka. Sikap sebegini dicela oleh Allah SWT melalui firman-Nya: 

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.” (Surah al-Mujaadalah: ayat 22)

Seperti yang telah sedia maklum, upacara-upacara sambutan tahun baru ini kebanyakannya adalah pesta-pesta yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat dan Allah SWT telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta di atas muka bumi ini dengan perbuatan-perbuatan terlarang. Ini dijelaskan dalam surah Ghaafir ayat 75.

Berdasarkan paparan yang telah dikemukakan di atas, maka tidak boleh hukumnya seorang Muslim untuk menganjurkan, menghadirkan diri, mempromosikan ataupun membantu mengadakan perayaan-perayaan hari-hari besar yang tidak ada landasannya dalam Islam seperti sambutan tahun baru. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti dalam surah al-Maaidah ayat 2.

Pun begitu, tidaklah pula menjadi kesalahan sekiranya setiap kali munculnya tahun baru, seseorang Muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing. Oleh itu, apabila tibanya tahun baru maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanamkan azam baru yang positif serta selari dengan syarak dan hendaklah pula dia bersungguh-sungguh untuk memastikan azam tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar angan-angan. 

Apa yang lebih baik, umat Islam mengutamakan tahun baru hijrah menurut kalendar yang telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dalam menetapkan azam baru ini. Penggunaan kalendar hijrah ini juga lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian seluruh umat Islam. Hendaklah umat Islam merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkaitan dengannya. 

Janganlah kita menjadi umat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanamkan dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita daripada jalan yang lurus lagi diredai Allah. Hindarkan diri kita daripada menjadi ejen-ejen yang mempopularkan gaya hidup musuh-musuh Islam serta memasyhurkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang Islamik.

Oleh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS 

Bicara Agama, Utusan Malaysia 22/12/2008

 

ABDULLAH IBNU ABBAS PAKAR SASTERA, TAFSIR, MATEMATIK

23 Disember 2016/ 23 Rabiul Awwal 1438H

Abdullah ibn. Abbas adalah antara tokoh Islam yang belum menjangkau umur dewasa ketika wafatnya Rasulullah SAW, namun apabila dewasa, beliau berjaya menjadikan dirinya sebagai ilmuwan terbilang setaraf Ibn Sina, Al-Kawarizmi dan ramai lagi. Salah satu keistimewaan Abdullah berbanding sahabat Rasulullah SAW yang lain ialah keluasan ilmu yang dimilikinya.

 

Beliau terkenal sebagai tokoh yang memiliki pelbagai bidang ilmu pengetahuan antaranya ilmu sastera, bahasa Arab, tafsir, matematik dan faraid. Justeru, keluasan ilmunya itu membolehkan beliau mendapat gelaran pendeta Islam atau profesor dalam konteks bahasa moden pada hari ini. Salah satu punca kejayaan Abdullah ialah doa Rasulullah SAW yang meminta supaya sepupunya itu dapat memahami agama dan ilmu tafsir yang dimakbulkan Allah. 

Sedari kecil, Abdullah amat gemar bermain di rumah Baginda dan pada suatu hari ketika Abdullah berlari menuju ke rumah Baginda, beliau ternampak Rasulullah SAW sedang berwuduk dan dengan segera mengucurkan air wuduk untuk Baginda.Perbuatan beliau amat menggembirakan Baginda dan apabila selesai menunaikan solat, Baginda memangku Abdullah sambil mengusap kepalanya berdoa, 

“Ya Allah, berikanlah keberkatan kepadanya dan berikanlah perkembangan ilmu daripadanya.”

Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah ialah kisah beliau terpandang malaikat Jibrail.Menurutnya, pada suatu hari ketika memasuki rumah Rasulullah SAW, beliau ternampak seorang lelaki tidak dikenalinya sedang bersama Rasulullah SAW, lalu segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya, Abbas Abdul Muttalib.

Kemudian ayahnya menjawab, 

“Wahai anakku, kau melihat Jibrail yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah SAW.”

Tatkala dewasa, Abdullah mencapai kedudukan terkemuka di kalangan sahabat Rasulullah. Beliau mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dan memahami al-Quran sedalam mungkin serta memberikan fatwa kepada masyarakat berhubung hukum agama.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, Abdullah mencapai pelbagai kejayaan antaranya sebagai ahli tafsir dan hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari pelusuk negeri berminat untuk menuntut ilmu dengannya.Sebagai tanda penghargaan, Khalifah Umar menggelarkan Abdullah dengan gelaran Ibn Abbas, seorang pemuda yang tua ilmunya, mempunyai lidah amat berharga dan mempunyai hati yang bersih.Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada Abdullah hingga beliau memiliki otak yang cerdas.

 

AKHLAK DALAM ISLAM PENDIDIKAN SEKS PALING SEMPURNA

16 Disember 2016/ 16 Rabiul Awwal 1438H

Adab pergaulan, batas aurat antara perkara asas boleh hindari seks bebas di kalangan remaja 

KISAH rakaman seks yang tersebar meluas di internet adalah fenomena membimbangkan kerana zina dilakukan sewenang-wenangnya. Alasan rakaman untuk simpanan peribadi bukan alasan yang boleh diterima kerana perbuatan itu sendiri menyalahi syariat agama. 

Bagaimana jika rakaman terlepas ke tangan pihak tidak bertanggungjawab seperti kerap dilaporkan sekarang ini. Malah, lebih menakutkan apabila rakaman seks mula disebarkan melalui telefon bimbit dan menjadi tatapan umum. Allah berfirman yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” – (Surah al-Isra’, ayat 32) 

Melihat kepada situasi ini, sudah tiba masanya pendidikan seksual di sekolah dan universiti yang suatu masa dulu dibincangkan secara hangat dipertimbangkan semula supaya dapat dilaksanakan menurut acuan pendidikan Islam. 

Menurut perspektif Islam, pendidikan mempunyai pengertian dan konsep yang luas, syumul serta mempunyai kedudukan yang tinggi. 

Pendidikan seks di negara Barat menitikberatkan perilaku seks sihat, tetapi tidak mendidik anak supaya menghindari seks bebas sehingga tidak dapat mengurangi timbulnya penyakit kelamin dan kehamilan luar nikah. 

Pendidikan seks menurut Islam adalah pengajaran dan penerapan mengenai masalah seksual dalam usaha menjaga anak daripada kebiasaan yang tidak Islamik serta menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang (zina). 

Pendidikan seks sebenarnya bermula ketika anak mulai bertanya mengenai seks. Sejak kecil, anak perlu dididik dengan contoh teladan, kebiasaan akhlak yang baik, penghargaan terhadap anggota tubuh, menanamkan rasa malu apabila aurat terlihat orang lain ataupun malu melihat aurat orang lain. 

Sejak seusia 10 tahun, anak lelaki dan perempuan perlu dipisahkan tempat tidur. Mereka juga perlu diajar mengetuk pintu dan meminta izin ibu bapa ketika hendak masuk ke bilik tidur ibu bapa terutama dalam tiga waktu iaitu sebelum solat Subuh, selepas Zuhur dan setelah waktu Isyak. Firman Allah yang bermaksud: 

“Wahai orang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa itu, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nur, ayat 58-59) 

Pada usia menjejak umur mumayyiz (7 hingga 10 tahun), anak perlu diajar mengenali organ biologi mereka serta perbezaan antara lelaki dan perempuan, membantu mereka memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di depan khalayak. Anak juga harus tahu bahawa ada bahagian daripada tubuhnya yang tidak boleh dilihat orang lain apalagi menyentuhnya. Selain itu mereka juga perlu dijelaskan mengenai tumbesaran tubuh serta fungsi anggota tubuh dalam bahasa mudah difahami. Contohnya, usia baligh apabila perempuan kedatangan haid dan anak lelaki mengalami mimpi basah. 

Pada usia mencecah baligh (10 hingga 16 tahun), anak harus diberi penjelasan mengenai fungsi biologi secara ilmiah, batas aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dengan perempuan dan menjaga kesopanan serta harga diri. Pada peringkat ini, anak perlu dijauhkan daripada pelbagai rangsangan seksual, seperti buku porno, bahan lucah, rancangan televisyen atau internet yang berunsurkan seks. 

Ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak perlu sentiasa menjaga dan memerhati perlakuan anak mereka di rumah mahupun luar, selain sentiasa mengingatkan mereka larangan mendekati zina. 

Kurikulum pendidikan seks yang ingin diajar perlu tertakluk kepada nilai akhlak dan etika ditetapkan Islam melalui perbincangan munakahat yang merangkumi peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan hubungan lelaki dan wanita. Dalam konteks masyarakat kita, mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama, adalah lebih baik dan munasabah jika pendidikan munakahat diperkemaskan dengan memasukkan elemen baru berkait masalah berlaku hari ini untuk disesuaikan dengan kepelbagaian kaum. 

Walaupun Islam dijadikan sebagai garis panduan, namun sayugia dinyatakan bahawa dalam agama lain juga tidak membenarkan atau menghalalkan perlakuan zina sebelum berkahwin. 

Oleh Tuan Musa Awang
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya. 

Sudut Agama, Berita Harian 3/11/2010

 

RAI MAULIDUR RASUL SEMAI RASA CINTA KEPADA RASULULLAH

9 Disember 2016/ 9 Rabiul Awwal 1438H

Terdapat dalil umum daripada al-Quran yang dijadikan hujah ulama membenarkan diadakan sambutan Maulidur Rasul antaranya untuk menggalakkan umat Islam menjadi insan berjaya dengan mencontohi Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:  

“Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah al-A’raf, ayat 157) 

Meraikan sambutan Maulidur Rasul juga termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Surah al-Ma’idah, ayat 12) 

Sabda Rasulullah SAW: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Semai perasaan cinta

Memperingati dan menghayati perjalanan hidup Rasulullah SAW juga boleh menyemaikan perasaan cinta kepada Baginda. Kini ramai orang semakin jauh daripada perasaan cinta kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: 

“Belum sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Saidina Umar al Khattab berkata kepada Nabi Muhammad SAW: 

“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri. Saidina Umar berkata:

“Demi Allah SWT, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Sekarang wahai Umar.” (Riwayat Bukhari)

Tiada salahnya meraikan sesuatu perayaan kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menyebut mengenai hari kebesaran. Semasa datang ke Madinah, Nabi Muhammad SAW mendapati orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu 10 Muharam. Nabi SAW bertanya: 

“Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura? Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan bila mana Firaun dikaramkan dan Musa dibebaskan. Kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Rasulullah bersabda: Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim) 

Salafussoleh juga menyambut Maulidur Rasul. Mantan Mufti Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah berkata: 

“Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke-4 dan ke-5 merayakan peringatan maulid Nabi SAW yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al-Quran, berzikir, melantunkan puisi dan puji-pujian mengenai Rasulullah.”

Justeru, tidak perlulah kita mempertikaikan sama ada boleh atau tidak meraikan sambutan Maulidur Rasul sebaliknya bersama melakukan sesuatu yang baik supaya umat Islam sentiasa mencintai Nabi Muhammad SAW. Pastikan pengisian majlis akan mendekatkan hati kita dengan Baginda.

Oleh Hasyim Ahmad 

Sudut Agama, Berita Harian 11/01/2014 

 

ALI MENANTU RASULULLAH

2 Disember 2016/ 2 Rabiul Awwal 1438H

ALI bin Abu Talib ialah sepupu kepada Rasulullah SAW. Ibnu Ishak menceritakan ketika Ali datang menemui Rasulullah, baginda ketika itu sedang bersembahyang bersama isterinya, Siti Khadijah. Ali sangat kagum melihat segala yang dilakukan oleh baginda dan isterinya. Lalu, Ali pun bertanya kepada Rasulullah apa yang dilakukan oleh baginda itu. 

Baginda pun menjawab, itulah agama Allah yang baginda pilih, dan dengan agama itulah Allah mengutuskan semua utusan-Nya. Oleh itu baginda turut menyeru kepada Ali supaya menyembah Allah Yang Esa. Baginda juga turut menyuruh Ali supaya meninggalkan berhala Laata dan Uzza.

Mendengar kata-kata baginda itu Ali meminta izin untuk memberitahu kepada ayahnya, Abu Talib terlebih dahulu. Namun, baginda melarang Ali memberitahu sesiapa pun kerana baginda tidak mahu perkara itu diketahui oleh orang lain sebelum datangnya perintah untuk menyebarkannya kepada orang ramai.

Semalaman Ali berfikir tentang perkara itu dan ruparupanya Allah telah membukakan pintu hatinya untuk menerima Islam. Maka, keesokan harinya Ali terus pergi menemui baginda dan beliau pun berkata, 

"Apakah yang engkau mahukan dariku, wahai Muhammad?"

Baginda pun menjawab, "Hendaklah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan hendaklah engkau mengkufuri berhala Lata dan Uzza, dan membersihkan dirimu daripada segala macam Tuhan selain Allah".

Ali segera menerima ajakan baginda itu dan memeluk Islam. Selepas itu, beliau tetap mendatangi baginda secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh bapanya. Ali terus menyembunyikan keislamannya dan tidak mengkhabarkan kepada sesiapapun.

Sementara itu dalam medan peperangan, baginda sangat mempercayai Ali. Baginda mengatakan ingin menyerahkan bendera perang kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicintai Allah dan Rasul-Nya juga. Maka Ali telah dipilih oleh baginda. Tetapi ketika itu Ali sedang sakit mata. Baginda tetap menyuruh Ali datang kepada baginda dan baginda meludah mata Ali yang sakit itu dan memohon kepada Allah. Dengan tiba-tiba, mata Ali terus sembuh seolah-olah tidak pernah ditimpa sakit atau pedih. Kemudian bendera Islam itu diserahkan kepadanya.

Ketika pihak Quraisy sedang membuat perancangan untuk membunuh Rasulullah ketika baginda sedang tidur, baginda meminta Ali menyamar sebagai dirinya dengan tidur di tempat perbaringan baginda. Ali menerimanya tanpa bantahan walaupun nyawanya dalam bahaya.

Rasulullah juga telah mengahwinkan anak baginda iaitu Fatimah dengan Ali disebabkan perwatakan dan perangai Ali yang sangat menawan hati baginda. Ali dan Fatimah dikurniakan empat orang anak iaitu; Hasan, Husain, Zainab dan Ummu Kalthom. Melalui anak Fatimah dan Ali ini, baginda mempunyai keturunan yang banyak di samping berjasa kepada agama Islam. 

Ada di antara mereka seperti Hasan dan Husain menjadi penguasa, pemimpin, menjadi imam yang sering beramal dan berjihad di jalan Allah. Begitulah kasih sayang yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah terhadap Ali bin Abu Talib.

Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.