Cetak

Suara Jumaat Minggu Ini - FEBRUARI

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

 

 

ALLAH HIBURAN GOLONGAN BERIMAN

27 hb Januari 2017/ 29 Rabiul Akhir 1438H


MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman. Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.

Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.

Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling. Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.

Ada tiga kategori hiburan:

i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.

Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal. Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud:

"Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang."

ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.

Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.

Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja. Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.

iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini. Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.
Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.

Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran. Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.

Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan.

Tazkirah bersama Mohd Zawawi Yusoh. Sudut Bimbingan, Harian Metro

 

AKUI KESALAHAN, MOHON MAAF PERIBADI MULIA

20 hb Januari 2017/ 22 Rabiul Akhir 1438H

Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang sering kali dianggap sebagai mudah mengalah, tidak kuat pendirian dan dianggap terlalu lembut.Pada dasarnya, tidak salah merendah diri untuk memohon maaf atas kesalahan dilakukan. Sikap mudah rasa bersalah walaupun terhadap perkara remeh dibenarkan bagi bertujuan membersihkan hati. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah kemasyarakatan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah At-Taghabun, ayat 14)

Pemimpin telus, jujur

Jika menjadi pemimpin, sifat seperti ini menggambarkan ketelusan dan kejujuran yang ada kaitannya dengan natijah keyakinan dan kepercayaan rakyat.Mengakui kesalahan dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan adalah ciri-ciri orang beriman. Meminta maaf bukanlah suatu tindakan yang hina. Malah, mengakui kesalahan adalah tindakan yang berani.

Tidak ramai manusia termasuk pemimpin bersedia memohon maaf di atas kesilapannya. Ini hakikat yang perlu difahami kerana manusia bukanlah makhluk sempurna dan sentiasa terdedah dengan kesilapan. Namun manusia harus bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan bagi menjana peribadi yang mulia.

Khalifah Abdul Malik Marwan pernah mengungkapkan mutiara kata iaitu

“Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.”

Allah SWT sangat mencintai orang yang memaafkan kerana ia termasuk dalam perbuatan baik kepada manusia. Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik seperti terakam dalam firman-Nya yang bermaksud:

 “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali ‘Imran, ayat ke-134).

Rasulullah SAW sendiri adalah insan yang mudah memaafkan orang lain. Baginda Rasulullah SAW pernah berdepan dengan perlakuan seorang wanita Yahudi memberi hadiah kepada Nabi berupa daging kambing yang didalamnya mengandungi racun. Sesungguhnya Nabi sendiri tidak mengetahui akan perkara itu dan memakannya. Selepas mengetahui diri Baginda diracun, Nabi berbekam untuk mengeluarkan racun berkenaan.

Dengan izin Allah, Baginda terselamat lalu dipanggil wanita itu dan ditanya maksud dan tujuannya berbuat begitu kepada Nabi. Ternyata dari jawapannya dia ingin membunuh Nabi. Namun Rasulullah SAW memaafkan wanita itu dan tidak sesekali menghukumnya. Rasulullah ada bersabda:

“Sayangilah makhluk, nescaya kamu akan disayangi Allah dan berilah ampunan nescaya Allah mengampunimu.” (Sahih Al-Adab Al-Mufrad)

Islam menuntut umatnya memaafkan orang yang memohon maaf dengan tanpa perasaan prejudis atau pandangan serong.Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah At-Taghabun, ayat 14)

Daripada Abu Hurairah ra menyebut bahawa ada seorang lelaki memberitahu Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai kerabat. Aku berusaha menyambungnya, namun mereka memutuskan hubungan dengan aku. Aku berbuat kebaikan kepada mereka, namun mereka berbuat tidak baik. Aku bersabar dengan mereka namun mereka berbuat kebodohan terhadapku.”

Maka Rasulullah SAW bersabda:

“Jika benar yang kamu ucapkan maka seolah-olah kamu menebarkan abu panas kepada mereka. Dan kamu sentiasa mendapat pertolongan dari Allah atas (perbuatan) mereka selama kamu di atas hal itu.” (Riwayat Muslim)

Jiwa ikhlas

Orang yang memiliki jiwa yang ikhlas selalunya menghiasi diri dengan kemuliaan dan dalam hatinya sentiasa berusaha untuk menyingkirkan sifat tidak baik. Nabi Allah Yusuf as adalah antara contoh manusia memiliki jiwa dan keperibadian yang luhur walaupun beliau disakiti saudaranya sendiri dengan dilemparkan ke dalam perigi dan dijual kepada kafilah dagang sehingga berpindah dari satu tempat ke tempat lainnya.

Sebagai balasan diatas kemuliaan hatinya, Allah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf sehingga menjadi orang besar yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan Mesir ketika itu.

Justeru, manusia seharusnya mempunyai perasaan rendah hati untuk mengakui kesilapannya. Mereka juga seharusnya bijak mengambil manfaat daripada kegagalannya dan bertindak berani membetulkan kesilapannya.

Oleh Amran Zakaria
Sudut Agama, Berita Harian , 27/12/2012

 


AHLI HADIS TERKEMUKA: SIDDIQ AL-GHUMARI

13 hb Januari 2017/ 15 Rabiul Akhir 1438H

AL'ALLAMAH al Muhaddith al Syarif Sayyid Abdul Aziz al Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani dilahirkan di Tanjah, Maghribi pada 1338 Hijrah bersamaan 1918 Masihi daripada keluarga al Siddiq yang masyhur dengan keilmuan dan ketakwaan.

Nasab yang penuh ialah Abdul Aziz bin Muhammad bin al Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mu'min bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhail bin Ali bin Umar bin al 'Arabi bin 'Allal bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Idris bin Idris bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin al Hasan al Sibt bin Ali dan Fatimah al Zahra' binti Rasulullah SAW.

Bapanya Sayyid Muhammad al Siddiq merupakan salah seorang ulama dan wali Allah yang masyhur. Manakala bondanya pula ialah Syarifah Fatimah al Zahra merupakan cucu kepada Sayyid Ahmad 'Ajibah al Hasani pengarang syarah kitab hikam yang masyhur iaitu Iqaz al Himam fi Syarh al Hikam dan kitab al Bahr al Madid fi Ulum al Quran al Majid.

Keberkatan bapanya juga terzahir apabila tujuh anak lelakinya menjadi ulama Islam yang alim lagi disegani iaitu Sayyid Ahmad, Sayyid Abdullah, Sayyid Muhammad al Zamzami, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Ibrahim dan Sayyid al Hasan. Menurut sejarah Islam, belum ada lagi dalam sebuah keluarga yang menghimpunkan ulama besar Islam seramai ini, yang membidangi kemahiran yang pelbagai.

Semenjak kecil lagi beliau telah menghafaz al-Quran dan mendapat perhatian dan didikan yang sempurna daripada bapanya. Selepas itu beliau menyibukkan diri dengan menguasai ilmu-ilmu asas Islam. Selepas kewafatan bapanya, pada tahun 1355 Hijrah, beliau ke Mesir bersama adiknya Sayyid Abdul Hayy dengan ditemani oleh abang sulung mereka, Sayyid Ahmad. Di sana beliau melanjutkan pengajian di al Azhar yang masyhur ketika itu menghidangkan pelbagai jenis ilmu Islam.

Antara guru-gurunya di sana ialah Syeikh Mahmud Imam al Mansuri, Syeikh Abdul Salam Ghunaim al Dimyati, Syeikh Muhammad Izzat dan ramai lagi. Di al Azhar, Sayyid Abdul Aziz al Ghumari telah memilih untuk mendalami mazhab Syafii disebabkan kelebihan dan ikatannya yang kuat dengan hadis Nabi SAW.


Pakar hadis

Selepas melengkap dirinya dengan pelbagai bidang ilmu dalam dirinya, beliau pun menumpukan sepenuh perhatiannya kepada hadis dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Hafazannya terhadap hadis amat kuat dan luar biasa ditambah lagi dengan kemahirannya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis seperti ilmu 'ilal dan rijal juga al Jarh wa al Ta'dil. Kelebihannya berdamping dengan kedua orang abangnya Sayyid Ahmad dan Sayyid Abdullah memberikan banyak kelebihan dan faedah kepadanya sehingga beliau tampil masyhur di dunia Islam sebagai seorang ahli hadis yang terkemuka pada zamannya.

Beliau juga turut mendapat ijazah ilmiah daripada ramai jaguh ulama zamannya seperti Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Syeikh Abdullah Muhamad al Ghazi al Hindi al Makki, al Musnid al Muarrikh Muhammad Raghib al Tabbakh al Halabi, al Musnid Sayyid Ahmad Rafi' al Tahtawi, al Imam al Akbar Muhammad al Khadir Husain al Tunisi, al 'Allamah Muhammad Zahid al Kauthari, al 'Allamah Muhammad Abdul Baqi al Ansari, al Musnid Sayyid Abdul Hayy al Kattani dan ramai lagi.
Apabila beliau bermusafir ke Mekah, para ulama di sana akan menyambut dan mengalu-alukan kedatangannya sebagai ahli hadis yang dikagumi. Mereka juga menganjurkan majlis periwayatan hadis Nabi untuk beliau menyampaikan ilmunya dan majlis tersebut mendapat sambutan yang luar biasa dan dihadiri oleh ramai penuntut ilmu dan umat Islam yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah.

Dalam satu majlisnya di Mekah pada Hari Arafah, beliau juga telah mengijazahkan sebilangan besar ulama Islam yang terdiri daripada tuan guru dan kiai dari Tanah Melayu Nusantara dengan ijazah umum. Jumlah mereka yang diijazahkan itu mencecah angka ratusan orang di mana kebanyakan mereka adalah murid kepada Musnid al Dunya al 'Allamah Syeikh Muhammad Yasin al Fadani dari Indonesia, Malaysia dan Pattani.

Di antara tokoh ulama dari Malaysia yang menerima ijazah tersebut ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman pengasas Madrasah Rahmaniah yang dikenali sebagai Pondok Lubuk Tapah dan anaknya Tuan Guru Haji Abdullah, Tuan Guru Yahya Junid dan ramai lagi.

Beliau adalah seorang pakar hadis yang menceburi bidang tasawuf dan menyelam ke dasar lautannya. Pada dirinya terhimpun akhlak mulia ahli sufi yang menjadi kebanggaan Islam. Beliau adalah seorang ulama dan ahli hadis yang mengasihi Rasulullah SAW dan ahli keluarga Nabi SAW. Sering sahaja beliau dilihat mengalirkan air mata apabila dihikayatkan perihal keperibadian, kebaikan, kemuliaan dan sirah kehidupan Baginda SAW dan ahli keluarganya.
Beliau juga adalah seorang yang tegas dalam menyatakan kebenaran dan tidak pernah merasa takut dan gentar dalam menegakkan kalimah yang hak. Pelbagai ujian dan dugaan menimpa dirinya disebabkan kesungguhannya yang amat sangat dalam mempertahankan maruah agama dan umat Islam.

Biografi

Sebilangan daripada sanad-sanad miliknya telah ditakhrij oleh muridnya al Muhaddith Dr. Mahmud Sa'id Mamduh di bawah tajuk Fath al Aziz fi Asanid al Sayyid Abd al Aziz. Beliau juga turut menulis biografinya sendiri bertajuk Ta'rif al Mu'tasi bi Ahwal Nafsi.

Sayyid Abdul Aziz kembali ke kampung halamannya di Tanjah, Maghribi pada bulan Rabiulawal 1366 Hijrah selepas menghabiskan waktu selama 12 tahun menuntut ilmu di Mesir. Di Tanjah, beliau menyibukkan diri dengan menyampaikan ilmu pengetahuan, menulis kitab, menyampaikan ceramah, khutbah dan melazimi bacaan wirid serta zikrullah.

Beliau amat kuat menekankan tentang perlunya amal ibadah itu diamalkan dengan kesungguhan dan ilmu. Beliau pernah mewasiatkan kepada salah seorang murid kanannya agar mengkhususkan satu hari dalam seminggu untuk beramal ibadat dalam erti kata memenuhkannya dengan amalan sunat seperti solat, puasa, bacaan al-Quran, wirid dan selawat ke atas Nabi.

Setelah menghabiskan sebahagian besar usianya dalam lapangan ilmu dan dakwah, Sayyid Abdul Aziz dijemput menemui Ilahi pada hari Jumaat 6 Rejab 1417 Hijrah bersamaan 17 November 1996 Masihi. Beliau disemadikan di sisi makam ahli keluarganya di Zawiyah Siddiqiah, Tanjah Maghribi.

Sudut Agama, Utusan Malaysia 18/9/2012

 

PEMAHAMAN TERHADAP ISLAM BANTU TINGKAT IBADAH

6 hb Januari 2017/ 8 Rabiul Akhir 1438H

Tahap iman individu Muslim ada ketikanya meningkat dan ada ketikanya menurun. Begitu juga semangat melakukan ibadah atau berjuang di jalan Islam, ada ketikanya begitu bersemangat dan kadang-kadang lemah untuk berjuang.

Cabaran laksana kerja baik

Umpama seseorang yang pada peringkat awalnya begitu bersemangat memperjuangkan Islam, namun tidak beberapa lama kemudian merasa bosan dan tidak mampu bersabar menghadapi cabaran.

Ummu Salamah, isteri Rasulullah pernah ditanya apakah doa yang sering dibaca oleh Nabi. Dia berkata, doa yang sering dibaca oleh Nabi ialah: “Wahai Tuhan yang menggenggam hati, tetapkanlah hatiku kepada agamamu.”

Allah SWT memberi peringatan melalui firman-Nya:

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Surah Ali-Imran, ayat 142)

Begitu juga yang berlaku terhadap seseorang yang tiba-tiba bersemangat mendekatkan diri kepada Allah, tetapi akibat tuntutan kehidupan, mereka mengurangkannya dan berasa ia membebankan. Orang yang bersifat sedemikian juga telah diingatkan oleh Allah SWT. Firman-Nya:

“Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit juga berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” (Surah at-Taubah, ayat 38)

Umumnya ada beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi memastikan kita sentiasa mempunyai prinsip, iman teguh dan penghayatan Islam yang tinggi. Antaranya, mempunyai pemahaman sebenar terhadap Islam, membaca sirah untuk mengetahui sejarah perjuangan sebagai teladan, memperbanyakkan zikir kepada Allah, bersabar dan meningkatkan ibadah.Selain itu, perlu diingatkan bahawa keteguhan hati dan keimanan yang mantap tidak akan tercapai kecuali dengan izin Allah SWT.

Sirah juga telah mencatatkan apabila ada dalam kalangan sahabat yang meninggal dunia, Rasulullah sering hadir di perkuburan dan berdoa:

“Ya Allah berilah keteguhan dan keampunan untuk sahabatku ini, sebab kini ia sedang ditanya.”

Ummu Salamah, isteri Rasulullah pernah ditanya apakah doa yang sering dibaca oleh Nabi. Dia berkata, doa yang sering dibaca oleh Nabi ialah:

“Wahai Tuhan yang menggenggam hati, tetapkanlah hatiku kepada agamamu.”

Ummu Salamah juga pernah bertanya kepada Rasulullah mengapakah Baginda sering membaca doa itu, Rasulullah menjawab:

“Sesungguhnya hati manusia berada dalam genggaman Allah dan Allah yang berkuasa untuk membolak-balikkan hati manusia.”

Kemudian Rasulullah membaca doa:

“(Mereka berdoa Dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jugalah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 8)

 

Berdoa tetapkan hati, iman

Apakah kita sentiasa inginkan keteguhan hati dan jiwa kepada Allah dalam hidup ini? Jika itu yang kita inginkan marilah kita bermohon kepada Allah kerana kita tidak dapat melakukan sesuatu kecuali dengan pertolongan Allah. Dalam setiap rakaat solat, kita sering membaca dan mengulang ayat: “Engkaulah saja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah saja Kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, ayat 5).

oleh Burhanuddin Abdul Jalal
Penulis ialah Pegawai KAGAT berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Dakwah dan kini bertugas di Sel Psikologi dan Kaunseling Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan

Sudut Agama, Berita Harian, 18/10/2012