Cetak

Suara Jumaat Minggu Ini

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

ZAKAT PELABURAN AKHIRAT

24 hb Februari 2017 / 27 Jamadil Awwal 1438

Manusia sering alpa, leka menunaikan ibadah wajib

Cuba bayangkan anda sedang melihat sebiji kek coklat besar diletakkan di sebuah meja. Ambil kek itu dan potongkan kepada 40 bahagian. Setelah siap ambil hanya satu bahagian dan berikan pada seorang rakan yang dari tadi sudah menelan air liurnya melihatkan kek itu. Kawan tersebut di dalam keadaan yang susah, duit gajinya habis dan beliau bekerja tanpa membawa sesen wang pun, tambahan lagi dari pagi dia belum menjamah secubit makanan pun.

Kemudian lihat kembali kek itu, bakinya adalah milik anda dan anda berhak makan semuanya. Bandingkan milik anda dan satu bahagian yang telah anda berikan kepada rakan tadi. Sejujurnya, tanyakan pada diri kek siapa lebih banyak bahagiannya? Semestinya kek yang berbaki di tangan kita.

Betul, inilah bahagian kita. Tidak semena-mena, kerana perbuatan baik kita memberikan bahagian yang sedikit kepada kawan kita itu, kita diviralkan oleh kawan-kawan sepejabat, bos dan pegawai atasan memberi pujian kepada kita, kerja di pejabat dipermudahkan dan lantaran itu ianya membantu di dalam penilaian Sasaran Kerja Tahunan.

Inilah sedikit perumpamaan bagi orang yang mengeluarkan zakat; selain dari berdasarkan dari Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebiji / sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai (butir), pada tiap-tiap tangkai  pula ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Apakah mungkin seseorang yang tidak pernah merasai enaknya durian menceritakan keenakannya kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Jika ingin tahu rasanya maka anda perlu mencubanya. Begitu juga dengan hikmah dan rahsia menunaikan zakat”," Surah an- Nur, Ayat 55

Ini adalah analogi untuk membina kesedaran kerana ramai dalam kalangan kita sering mengeluh tatkala tiba masa untuk menunaikan ibadah wajib atas harta kita. Bukannya apa, manusia sering alpa dan leka. Kadangkala kita juga digoda oleh nafsu dan syaitan juga. Akhirnya menyebabkan kita sering tersasar dan terlupa untuk membuat persediaan perbelanjaan bagi pelaburan akhirat kerana terlalu terpesona dengan kehidupan dunia yang sementara, sedangkan hasil pelaburan akhirat amat berbaloi dengan apa yang kita telah keluarkan. Cuba perhatikan bil perbelanjaan dunia dan bandingkan dengan bil akhirat yang kita persiapkan untuk menuai hasilnya kelak.

Barangkali jumlah perbelanjaan dunia melebihi perbelanjaan akhirat yang kita peruntukkan. Sedangkan dunia akan hilang dan akhirat yang semakin mendatang pasti kekal. Lakukanlah taksirannya, anda pasti terkejut dengan realitinya yang mendukacitakan. Sementara masih berkesempatan, sementara nyawa masih di badan maka, burulah akan pelaburat akhirat.

Inilah indahnya suatu sistem perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang diturunkan Allah Taala menerusi ayat al-Quran. Betapa kasihnya Allah Taala yang memberikan harta dan rezeki, bahkan menurunkan pula kaedah perbelanjaan harta itu yang menjanjikan pulangan di dunia dan akhirat.

Hakikat dan hikmah

Hebat sungguh tawaran ini. Malangnya manusia masih tidak sedar kerana dibuai ilusi ‘kemerosotan’ harta disebabkan menunaikan zakat. Inilah hakikat dan hikmah yang masih belum ramai menyedarinya. Ilusi ini sering dimainkan oleh nafsu kebinatangan yang tidak pernah puas, dibajai lagi dengan bisikan syaitan yang terlaknat. Jatuh miskin, nak pakai duit, duit luak dan 1001 momokan ilusi dari entity kemaksiatan ini sering menghantui orang-orang yang hendak membayar zakat. Sekiranya keimanan dan keyakinan kepada janji Allah itu kuat, maka berjayalah dia di dunia dan akhirat, sekiranya tumpas, maka jadilah dia hamba kepada hartanya dan ini akan menjadi kecelakaannya di akhirat sana.

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan adalah buruk bagi mereka, kelak harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak dilehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala (warisan) yang ada di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Ali’Imran : ayat 180).

Daripada jumlah 100 peratus harta yang diperoleh hanya 2.5 peratus diperlukan sebagai zakat. Ibarat kek, baki 97.5 peratus itu masih milik kita. Siapakah yang memiliki lebih banyak? Sudah tentu kita. Allah pemilik mutlak harta, daripada-Nya ia datang dan Allah berhak menarik kurnianya bila-bila masa. Firman Allah SWT:

“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu. Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang yang bertakwa dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (Surah al-A’araf, ayat 156)

Harta itu adalah amanah Allah, bukan milik mutlak kita, Allah dengan belas ihsanNya meminjamkan kepada kita dan dalam masa yang sama, Allah akan menghitung dan menilai prestasi dan komitmen kita semasa ‘menjaga’ amanahNya.

Rahsia menunaikan zakat

Hikmah dan rahsianya mungkin terlalu besar dan abstrak untuk diungkapkan. Ia hanya mampu dirasai golongan yang menunaikan tuntutannya. Apakah mungkin seseorang tidak pernah merasai enaknya durian menceritakan keenakannya kepada orang lain? Sudah tentu tidak. Jika ingin tahu rasanya maka anda perlu mencubanya. Begitu juga dengan hikmah dan rahsia menunaikan zakat.

Hisablah dan nilaikanlah. Jika 2.5 peratus itulah taruhannya, maka anda berhadapan dengan pilihan yang pelbagai iaitu 2.5 peratus modal untuk mendapat rahmat daripada-Nya dan 2.5 peratus adalah kos untuk anda hilang segala-galanya tanpa disedari.

Jumlah 2.5 peratus adalah nilai yang sangat tidak berbaloi untuk ditamakkan jika dibandingkan dengan azab neraka yang sangat pelbagai. Nilai itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan nikmat bakal diterima di syurga kelak.

Kecil jumlahnya namun kesannya lebih besar daripada yang anda sangka. Justeru, apakah nilai 2.5 peratus kepada anda? Renungkan dan fikirkan. Jadikan ia sesuatu yang bermakna dan bernilai di dunia dan akhirat.

Artikel Asal oleh Husni Abdul Rahman
Sudut Agama, Berita Harian 16/12/2012


Disunting Oleh :
Unit Unit Takmir dan Penerbitan ICT
Pusat Islam UTHM

 


KEPENTINGAN  ZAKAT DALAM MENYUCIKAN HARTA

1 hb Mac 2017 / 2 Jamadil Akhir 1426H

Zakat adalah salah satu dari ibadah yang diwajibkan di dalam Rukun Islam. Ianya tergolong di dalam ibadah yang bersifat ‘maaliyyah’ (harta benda) selain dari sedekah, haji, waqaf dan seumpamanya. Sayugianya, zakat itu mempunyai banyak kelebihan dan fadilatnya, meskipun pada zahirnya, hanya sedikit dari lebihan harta kita diambil, tetapi ‘pulangan’nya adalah terlalu banyak.

Allah SWT telah merakamkan ganjaran dan kelebihan serta keuntungan kepada hambaNya yang telah menunaikan ibadah zakat ini melalui al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, sebagai galakan dan motivasi bagi orang-orang yang beriman menginfaqkan hartanya ke jalan Allah. Maksud Firman Allah Ta’ala di dalam surah al Baqarah ayat 261 :

“Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”

Orang yang berzakat itu, In sya Allah akan mendapat pahala yang besar dan ganjaran yang mulia disamping memperoleh faedah dan keuntungan dunia dan akhirat. Setiap harta yang dimiliki itu terdapat beberapa hak yang perlu ditunaikan dan sekiranya tidak ditunaikan hak itu, ia akan menjadi fitnah dan bencana. Setiap muslim yang berkemampuan tidak akan terlepas dari tuntutan tersebut melainkan setelah dia mengeluarkan zakatnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

”Jika anda menunaikan zakat hartamu dengan senang hati, maka sebenarnya anda telah terselamat dari bencananya ”

Demikianlah pula harta yang telah dizakatkan itu tidak akan ditimpa kerosakan dan kebinasaan sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”

SabdaNya lagi yang bermaksud :

” Bentengi harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan ubati penyakit-penyakit kamu dengan mengeluarkan sedekah”

Harta yang telah dizakatkan itu terbenteng dan terpelihara dalam pemeliharaan Allah SWT kerana harta itu bersih dan diberkati. Manakala harta yang tidak dizakatkan itu adalah harta yang tersia-sia kerana ianya kotor dan tidak diberkati. Bayangkan, jika ianya tidak dikeluarkan zakatnya, harta-harta ini bergelumang dengan sesuatu yang haram dan syubhah, yang mana akan memberi kesan buruk kepada empunyanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

” Tiada sesuatu harta yang bercampur dengan zakat ( tidak dizakatkan ) melainkan ia memusnahkannya”

Apalah ertinya sesuatu harta yang sudah tiada lagi keberkatannya, sebaliknya yang tinggal hanyalah bencana dan fitnah semata-mata. Hilangnya keberkatan dalam harta itu adakalanya terlihat secara zahir mahupun batin. Antaranya apabila sentiasa tidak kecukupan dalam melunaskan tuntutan perbelanjaan dan terpaksa menghadapai pelbagai mehnah serta cabaran dalam melayari kehidupan. Antara lain perkara yang berlaku adalah apabila terhapusnya kemewahan harta dan kembalinya seseorang itu sesudah kaya raya menjadi miskin dan papa kedana, hidup penuh gelisah dan keluh kesah, tidak dapat menerima ketentuan Allah SWT.

Selain daripada itu, petanda hilangnya keberkatan dalam harta itu apabila harta yang dimiliki itu menjadi faktor penyebab seseorang itu jauh daripada Allah SWT dan semakin dnegan kemaksiatan kepadaNya. Sepatutnya harta yang miliki dapat memberikan ruang yang seluasnya untuk seseorang itu mendampingkan diri kepada Allah SWT. Perkara serupa ini sering menimpa ke atas ramai orang yang mengambil mudah dan tidak mengambil berat terhadap kewajipan zakat.

Lebih parah lagi apabila ia ditambah dengan bisikan hawa nafsu syahwat yang sentiasa rakus, tamak dan tidak merasa puas atas kurniaan Allah, selain dari hasutan-hasutan syaitan yang menari-nari di dalam minda, yang sentiasa memberi kebimbangan akan jatuh kejurang kemiskinan. Sedangkan nisbah zakat yang dikeluarkan hanya sedikit sahaja iaitu 1/40 dari harta-harta yang sampai nisab zakat dan haulnya. Di dalam jumlah yang sedikit itulah, terkumpulnya hak-hak para fuqara wal masakin (fakir dan miskin), orang yang berjuang fi sabilillah (menuntut ilmu salah satunya), orang-orang yang berhutang, para amil dan lain-lain dari 8 asnaf zakat. Sekiranya kita menahan zakat tersebut, kita secara tidak langsung menzalimi diri kita dan menzalimi insan-insan yang berada di dalam 8 asnaf zakat.

Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita daripadanya ataupun membelanjakannya pada memburu nafsu syahwat yang tidak akan mendapat faedah atau hasil yang baik di dunia mahupun di akhirat.

Justeru, Pusat Islam UTHM menyeru melalui sebaran artikel ini agar kita sentiasa cakna dan prihatin dengan ibadah ini ; Sentiasa mengemaskini penyata gaji dan simpanan kita untuk zakat pendapatan dan zakat wang simpanan, sentiasalah kita membuka dan memeriksa emas simpanan isteri kita, samada berlebihan ataupun tidak, digunakan atau pun tidak. Kepada yang mempunyai ternakan, maka keluarkanlah zakat atas ternakan yang lebih dari syarat wajib zakatnya, begitu juga dengan perniagaan kita. Selamat menunaikan ibadah berzakat, semoga kita mendapat rahmat, pengampunan dan redha Allah di dunia dan akhirat.

SYARAT-SYARAT UMUM UNTUK MENUNAIKAN ZAKAT

ISLAM
Zakat adalah rukun ISLAM yang ketiga. Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang ISLAM dan  tidak diwajibkan ke atas orang bukan ISLAM.

MERDEKA
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib dan hamba tidak diwajibkan zakat.

MILIK SEMPURNA
Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak hiyazah) dan keupayaan mengurus (hak tasarruf) di mana seseorang berhak menjual, menyewa dan seumpamanya ke atas barangan tersebut. Bagi harta yang berkongsi antara orang ISLAM dan orang bukan ISLAM, hanya bahagian orang ISLAM sahaja yang diambil kira dalam pengiraan zakat.

HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT
Semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

CUKUP NISAB
Nisab ialah paras minimum pemilikan sesuatu harta yang menyebabkan seseorang itu wajib mengeluarkan zakat. Bagi kebanyakan harta, nisabnya ialah 20 misqal bersamaan nilai 85 gram emas pada harga semasa.

CUKUP HAUL
Harta yang dimiliki itu genap setahun Hijrah ( 354 hari ). Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun 0020 merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan

 

8 ASNAF PENERIMA ZAKAT
1. Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10 tetapi hanya memperoleh RM8.
2. Amil – orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.
3. Muallaf – seseorang yang baru memeluk agama Islam.
4. Riqab – seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.
5. Gharimin – penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.
6. Fisabilillah – orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.
7. Ibnus Sabil – musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.


Disunting Oleh :
Unit Unit Takmir dan Penerbitan ICT
Pusat Islam UTHM

Sumber: ZAKAT PAHANG

 


ALASAN TIADA KERJA CIPTAAN ORANG MALAS

17 hb Februari 2017/ 21 JAmadil Awwal 1438H

Peluang mencari rezeki terbuka luas jika buang sikap memilih

Kerajaan menyediakan pelbagai program latihan dan bantuan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang berkemampuan. Antara bantuan itu ialah Bantuan Akhiri Zaman Miskin (1AZAM), Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Bantuan itu membolehkan golongan miskin atau mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Riwayat Thabrani).

Apakah kaitannya bantuan ini dengan Islam pula? Pada dasarnya, Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup. Galakan ini membuktikan Islam tidak menolak kekayaan dan kemewahan seperti didakwa sesetengah pihak yang tidak memahami ajaran Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77).

 

Islam tak hina orang miskin

Dalam Islam orang miskin tidak dihina, bahkan dilayan sama rata dalam masyarakat, namun itu tidak bermakna kemiskinan adalah perkara yang baik. Sebab itulah, setiap orang perlu berusaha untuk mencari rezeki dan mengelak diri terus berada dalam keadaan miskin sehingga terpaksa meminta sedekah atau bantuan orang lain.

Amalan meminta sedekah untuk memenuhi keperluan hidup seharian sebenarnya amat ditegah dalam Islam, melainkan dalam keadaan terpaksa. Alasan tidak bekerja disebabkan tiada peluang pekerjaan sengaja dicipta oleh orang malas.

Kewujudan bantuan kerajaan dan sumbangan golongan kaya kepada golongan miskin tidak patut dijadikan alasan golongan miskin sekadar menanti bantuan diserahkan kepada mereka. Mereka sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan usaha mencari rezeki halal mengikut keupayaan dimiliki.Ketua keluarga atau suami pula bertanggungjawab mencari rezeki untuk memenuhi keperluan sendiri dan ahli keluarga di bawah tanggungannya. Sebab itu kedudukan suami dilebihkan dalam hierarki keluarga.Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)

Sementara itu, pada hakikatnya, dalam Islam tidak ada istilah pengangguran. Di negara kita peluang pekerjaan terbuka luas dalam pelbagai sektor yang boleh diceburi mengikut kelulusan akademik, minat dan kemampuan masing-masing.Jika diperhatikan senario semasa, Malaysia masih mengalami masalah kekurangan tenaga kerja untuk sektor tertentu sehingga terpaksa mengharapkan tenaga kerja asing. Alangkah baiknya jika jawatan itu diisi rakyat Malaysia sendiri, sekali gus mengelak pengangguran dan masalah sosial.

Sikap pilih pekerjaan

Sikap rakyat kita terlalu memilih pekerjaan sehingga memberi kesan sosial yang buruk. Mereka bukan saja tidak mendatangkan produktiviti kepada ekonomi negara, tetapi lebih mudah terdorong melakukan perbuatan tidak berfaedah yang kadangkala mengundang perbuatan jenayah seperti ragut.Dalam hal ini, umat Islam dan masyarakat perlu menyedari bahawa Islam amat menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki bagi keperluan diri sendiri dan orang di bawah tanggungan.

Malah, Allah SWT menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang mencari rezeki memenuhi keperluan diri dan keluarga. Perkara ini membuktikan tugas mencari rezeki bukan setakat untuk memenuhi keperluan hidup, tetapi satu tuntutan agama.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Riwayat Thabrani).

Rasulullah SAW mengajar sahabat yang miskin bagaimana cara berusaha mendapatkan rezeki secara berterusan. Hal ini bertepatan dengan pepatah, jika ingin memberikan makanan kepada seseorang, jangan diberikan ikan kepadanya. Sebaliknya, berikan dia pancing dan ajarkan dia cara bagaimana untuk mendapatkan bekalan ikan yang berterusan baginya.

Setiap individu mesti berusaha sendiri mencari rezeki dengan kudrat yang dikurniakan Allah SWT. Mereka yang tidak mahu berkerja dianggap mempersia-siakan nikmat fikiran, tenaga, masa, kemahiran dan peluang yang dianugerahkan Allah SWT.
Oleh Lokman Ismail

Sudut Agama, Berita Harian, 19/11/2013

 

HARI VALENTINE BERTENTANGAN SYARIAT ISLAM

10 Februari 2017 bersamaan 14 Jamadil Awwal 1438H

”BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.”

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal menjadikan manusia makhluk bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam menggariskan prinsip kebudayaannya tersendiri seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis. Dengan itu, akan lahirlah budaya hidup Muslim hakiki berteraskan iman dan takwa. Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.

Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban bercanggah dengan syarak. Apabila umat Islam lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.
Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai 'Valentine's Day'. Menurut Ken Swiger dalam artikelnya 'Should Biblical Christians Observe It?' menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud 'yang perkasa, kuat dan kuasa'. Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari 'Valentine' adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.
Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali daripada menyambut Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, kadangkala sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka. Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan yang diadakan itu akan dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan.

Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta. Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga. Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat. Amalan ini kemudiannya disambut oleh pelbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari 'Valentine' ini.

A) Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari 'Valentine' pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

B) 'Valentine' adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari 'Valentine'. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.

Oleh Mohd Shukri Hanapi
Sudut Agama, Berita Harian 12/2/2010

 

ADAB MENEGUR ERAT SILATURAHIM

3 Februari 2017/ 7 Jamadil Awwal 1438H

Berbicara dengan lembut, selami perasaan individu kelompok sasaran

Seorang pengerusi jawatankuasa di sebuah masjid menggunakan bahasa agak kasar dan keras ketika menegur jemaah sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka berkecil hati serta terkilan dengan teguran itu. Mereka menganggap kata-kata yang agak emosional serta tidak sepatutnya diungkapkan hanya disebabkan perkara kecil yang terlanjur dilakukan oleh jemaah. Akibatnya, segelintir jemaah mula menjauhkan diri daripada masjid itu dan ada yang memilih untuk berjemaah di masjid lain.

Hal ini tentulah merugikan kita pada saat kita sedaya upaya berdakwah untuk mendidik lebih ramai masyarakat mencintai dan memakmurkan masjid serta surau.

Islam sebagai agama yang syumul sangat menekankan persoalan berkaitan hubungan dalam masyarakat khususnya aspek menegur atau menasihati orang lain. Ini penting kerana pendekatan yang betul akan memberi impak besar dalam hubungan sosial. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahlu, ayat 125)

 

Adab menegur perlu ikut syariat
 
Adab dan tatacara menegur perlu mengikut syariat yang diajar oleh Islam melalui contoh akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW serta sahabat. Antara adab Islam ketika menegur adalah menggunakan kata-kata yang baik, sesuai serta difahami oleh orang yang ditegur.Nada dan intonasi digunakan ketika berbahasa juga akan menjadi penilaian sama ada teguran itu dianggap lunak, lemah lembut, bersopan atau sebaliknya.

Perkara kedua yang perlu ditekankan ketika menegur ialah jangan sesekali merendahkan ego terhadap orang yang ditegur. Ini penting kerana setiap orang mempunyai ego masing-masing. Justeru, sikap bijaksana dan berhati-hati perlu dijadikan teras ketika berhadapan dengan mereka.

Kemungkinan orang yang hendak ditegur itu sedang ditimpa musibah atau masalah emosi yang boleh menyebabkan mereka mengeluarkan kata-kata kurang ajar selepas ditegur. Banyak kes yang berlaku orang yang ditegur bertindak balas secara kekerasan hingga berlaku permusuhan.

Perkara ketiga perlu diambil berat ialah mencari waktu atau masa yang tepat dan bersesuaian. Nabi Muhammad SAW melarang kita menegur seseorang di hadapan khalayak ramai kerana ia boleh menimbulkan perasaan aib. Justeru, tegurlah ketika seseorang itu berada dalam keadaan bersendirian atau di tempat yang tertutup supaya teguran kita diterima dengan senang hati. Perhatikan juga raut wajah serta perwatakan supaya maruah dan harga diri mereka terpelihara daripada umpatan dan dipandang serong oleh orang lain.

Aspek seterusnya adalah memahami dan menyelami kedudukan seseorang yang ditegur. Setiap individu mempunyai pangkat, kerjaya serta darjat dalam masyarakat sama ada tinggi, rendah atau sederhana. Orang yang berpendidikan atau memiliki kerjaya hebat perlu ditegur dengan hujah ilmiah melalui perbahasan bijaksana serta berilmu. Selain itu, fakta dan nas yang betul perlu dijadikan sandaran demi menegakkan kebenaran yang ingin dipertahankan. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:

“Barang siapa yang melihat kemungkaran dalam kalangan kamu hendaklah dicegah dengan tangan (kuasa). Sekiranya tidak mampu hendaklah dicegah dengan lidah (nasihat). Jika tidak mampu juga cegahlah dengan hati (niat). Maka itu adalah serendah-rendah iman.”

 

Dakwah secara lemah lembut

Setiap rasul yang diutuskan Allah SWT kepada umat mereka akan menggunakan kaedah dakwah menyampaikan kebenaran secara lemah lembut, tertib, bersopan santun serta menjauhi daripada ungkapan yang emosional, celupar atau penggunaan kata-kata kesat.

Nabi Musa dan Nabi Harun sewaktu berhadapan dengan Firaun menunjukkan kebaikan melalui kata-kata yang lunak dan berhemah meskipun berhadapan dengan kebiadapan serta kezaliman Firaun.Rasulullah SAW sentiasa menggunakan bahasa yang baik dan bijaksana sewaktu berdialog serta berhujah dengan golongan Musyrikin atau Yahudi ketika menyampaikan kebenaran agama Islam kepada mereka.

Masyarakat Melayu sejak zaman nenek moyang lagi menggunakan kaedah menegur secara halus dan sinis termasuk menggunakan bidalan, perumpamaan serta kata-kata pepatah supaya orang yang ditegur tidak mudah berasa hati atau cepat melenting.Wajarlah dalam hal ini, pendidikan menegur dengan bahasa yang betul dan berlapis dijadikan amalan dalam masyarakat demi memastikan silaturahim, kerukunan terus utuh yang membentuk tembok kukuh membina generasi teguh, berprinsip serta cinta-mencintai sesama sendiri.

Oleh Nazri Hussein, Sudut Agama, Berita Harian 06/05/ 2014