Print

Sejarah Pusat Islam

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

 

Pusat Islam UTHM merupakan satu Pusat yang bertanggungjawab di dalam menguruskan hal ehwal agama Islam. Berdiri selaras dengan konsep misi universiti iaitu "Bertunjangkan konsep tauhid", Pusat Islam UTHM membantu pihak pengurusan universiti di dalam melahirkan teknokrat yang mempunyai asas dan pegangan agama yang kukuh.

Dari sebuah unit kecil ( Unit Kerohanian ) di bawah pentadbiran Pejabat Hal Ehwal Pelajar, kini ianya berkembang menjadi satu Pusat yang disegani di UTHM ini. Idea penubuhannya diilhamkan oleh Allahyarham Tn. Hj. Hasbullah Bushro b. Kasban yang merupakan ketua Unit Kerohanian ketika itu.

Sebelum penubuhan Pusat Islam, Masjid Jamik KUiTTHO telah dinaik taraf dari sebuah surau kepada Masjid Jamek pada tahun 2000. Di zaman awalnya, Masjid KUiTTHO diletakkan dibawah kelolaan Allahyarham Tn. Hj. Hasbullah Bushro b. Kasban, Ketua Unit Kerohanian, Pejabat Hal Ehwal Pelajar. Kakitangan masjid ini hanyalah 3 orang iaitu seorang Imam dan seorang Noja selain dibantu oleh beberapa orang pelajar. Walaupun kekurangan fasiliti dan kakitangan, Masjid KUiTTHO masih dapat memberikan khidmatnya dengan baik kepada warga kampus. Apabila Pusat Islam ditubuhkan, maka pentadbiran Masjid ini diletakkan terus dibawah pentadbiran Pusat Islam.

Pusat Islam secara rasminya ditubuhkan pada awal tahun 2001 dan menggunakan sebahagian dari Masjid KUiTTHO sebagai pejabatnya. Selaras dengan pertambahan beban kerja dan tanggung jawab, Pejabat Am Pusat Islam telah dipindahkan ke bangunan HEP pada tahun 2003 dan kekal di sana sehingga 2011i.

Pada 1 Februari 2007, Pusat Islam KUiTTHO telah bertukar nama kepada Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selaras dengan pertukaran nama KUiTTHO kepada UTHM.

Di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK- 9), rancangan pembangunan Pusat Islam dan Masjid Jamek UTHM termasuk di dalam rancangan pembangunan infrastruktur universiti iaitu pembangunan Kompleks Pusat Islam dan Masjid baru yang menelan belanja kira-kira RM 25,953,456 juta dan dijangkakan siap pada tahun 2011 (bermula dari 9 hb Oktober 2008 sehingga 20 hb Oktober 2011). Ianya bakal dilengkapkan dengan Dewan Solat yang memuatkan kapasiti jemaah kira-kira 3 ribu orang, Pejabat Pentadbiran, Dewan Seminar dan lain-lain kemudahan.