Print

ARKIB 2016 - April

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

 

FALSAFAH DI SEBALIK ISRAK MIKRAJ

29hb April 2016/ 21 Rejab 1437H

Terdapat tiga makhluk Allah yang terlibat dalam peristiwa Israk Mikraj iaitu Nabi Muhammad, seekor haiwan bernama Buraq dan malaikat Jibrail AS. Rasulullah SAW mewakili manusia yang dijadikan dari tanah dan dibekalkan akal dan nafsu, manakala Buraq pula mewakili binatang yang hanya dibekalkan nafsu tetapi mempunyai akal yang tidak sempurna sebagaimana manusia. Jibrail AS pula adalah mewakili makhluk Allah yang dicipta daripada cahaya dan hanya memiliki akal sahaja.

Secara ringkasnya perlakuan makhluk-makhluk Allah itu adalah berdasarkan kepada apa yang ada kepada mereka iaitu akal dan nafsu. Akal adalah kemuncak kemuliaan pada setiap makhluk.

Akal yang diberikan oleh Allah jika digunakan dengan sebaiknya akan mendorong ke arah kebaikan dan kesejahteraan namun jika menggunakan hanya kepada pertimbangan akal semata-mata tidak boleh menjamin kebaikan dan kesejahteraan melainkan mesti dilandaskan berdasarkan kepada syariat Allah.

Hal ini adalah kerana kebaikan dan keburukan sesuatu perkara bukan mengikut pertimbangan akal semata-mata tetapi mestilah didasari oleh syariat dan peraturan Allah selaku pencipta dan pentadbir.Oleh yang demikian, Allah telah mengutus para nabi dan rasul untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.

Pertemuan

Dalam peristiwa Mikraj, ketiga-tiga makhluk Allah iaitu Rasulullah sendiri, malaikat Jibrail dan Buraq bergerak dari satu lapisan langit kepada satu lapisan langit sehingga sampai di suatu tempat dikenali sebagai Sidratul Muntaha.

Apabila tiba di Sidratul Muntaha, di situlah terhentinya perjalanan itu, lalu Jibrail berundur, maka Rasulullah bertanya kepadanya: 

"Apakah sampai di sini engkau harus meninggalkan aku?” 

Jibrail menjawab: "Aku tidak boleh melangkah walau setapak pun melewati tempat ini."

Maka di situlah juga Rasulullah mendapat perintah dari Allah untuk mengerjakan solat sebanyak 50 waktu solat sehari semalam dan akhirnya dengan rahmat dan kasih saying Allah maka dijadikan dan dikurangi sehingga 5 waktu adanya.

Persimpangan

Rasulullah SAW seorang manusia yang sempurna dapat mengatasi ketinggian malaikat mahupun Buraq untuk bertemu Allah dan ini bererti akal waras yang dipandu syariat dapat mengawal nafsu menjadikan manusia mencapai kedudukan yang amat tinggi di sisinya.

Sebaliknya manusia yang diperkudakan oleh nafsu semata-mata tanpa pertimbangan akal yang dipandu syariat menjadikan manusia di kedudukan yang amat rendah dan hina di mata makhluk dan tiada nilai sedikitpun di sisi Allah. 

Firman Allah dalam surah al-Tin ayat 4 -6 bermaksud: 

“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya neraka, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”

Fitrah

Secara fitrahnya kita dapat merasai tentang nilai kemanusiaan dan kemuliaan akal. Manusia dalam keadaan mana sekalipun sentiasa meletakkan akal lebih tinggi daripada pinggang (nafsu). 

Kita merasa amat tidak selesa apabila kita berbaring dalam keadaan yang condong bila mana kedudukan kepala ke bawah dari pinggang kita. 

Mengapa? 

Jawapannya kerana kedudukan tersebut telah meletakan kedudukan kemaluan (nafsu) lebih tinggi dari kepala (akal/otak).

Dalam kedudukan yang sama (berbaring) ditempat yang rata permukaannya sekalipun kita merasa tidak merasa selesa apatah lagi sebaliknya. Bila kita letak bantal sebagai alas kepala, baru kita rasa selesa. Kita berjalan, duduk, makan, minum, semua keadaan tetap meletakkan kepala di atas mengatasi punggung.

Binatang adalah makhluk yang ada akal tetapi tiada sempurna dan nafsu. Adanya nafsu untuk kelangsungan kehidupan di dunia. Akal tidak sempurna sebagaimana manusia, jin dan malaikat. 

Manusia yang mahu bersujud di hadapan Allah adalah manusia yang paling mulia di sisinya. Ketika bersujud, manusia berada dalam keadaan yang paling rendah dan hina kerana sengaja meletakkan kepala lebih rendah daripada kemaluan.

Ia dilakukan semata-mata sebagai tanda kehambaan daripada seorang makhluk kepada khalik iaitu pencipta. Semasa di Padang Mahsyar nanti ketika Rasulullah memohon syafaat kepada Allah bagi memulakan perbicaraan terhadap umatnya dan umat-umat seluruhnya, baginda bersujud terlebih dahulu di hadapan Allah sehingga diperkenankan. 

Oleh demikian, Allah memerintahkan kepada seluruh malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam. Semua sujud kecuali iblis. Mereka enggan dan takbur, maka jadilah mereka daripada kalangan orang-orang yang kafir. 

Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 34: 

“Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah (tunduklah dengan membongkokkan badan sebagai memberi penghormatan) kepada Nabi Adam: Lalu mereka sekalian sujud melainkan Iblis, ia enggan dan takbur serta ia menjadi sebahagian daripada golongan orang-orang yang kafir.”

Oleh KHAIRUDDIN HAIYON

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Artikel asal© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

AMBIL PELUANG REJAB LUNAS HUTANG PUASA RAMADAN

18 hb Mei 2012/ Jamadil Akhir 1433H

22 hb April 2016/ 14 Rejab 1437H (Keluaran Kali ke-2)

Menunaikan qada ibadat wajib lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat 

Apabila masuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi. Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

"Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang sudah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Oleh sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu tibanya Ramadan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah kepadanya. Puasa adalah perkara asas dalam Islam yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan. Firman Allah yang bermaksud: 

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286) 

Oleh itu, ada sebahagian kita yang mendapat kebenaran meninggalkan puasa pada Ramadan yang lalu. Antaranya, orang yang dalam musafir, wanita sedang haid atau nifas, wanita hamil, golongan mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja berat dan menggunakan banyak tenaga. Bagi mereka ini, kebenaran meninggalkan puasa bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa, akan tetapi kewajipan menunaikan qada' (ganti) puasa haruslah diambil kira supaya tidak tergolong di kalangan hamba Allah yang rugi pada kemudian hari. 

Firman Allah yang bermaksud:

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain." (Surah al-Baqarah, ayat 184) 

Di sinilah terpancar keadilan Islam dalam perintah menunaikan ibadat khusus kepada umatnya. Sebarang kesulitan dan masalah yang menimpa, tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab melaksanakan ibadat. 

Mungkin ada yang teruja melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti dianjurkan Islam, namun sebenarnya menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama. Hal ini seperti mana dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

"Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa juga pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari) 

Jelas kepada kita, menunaikan qada' ibadat yang wajib adalah lebih utama daripada melakukan ibadat sunat. Jika amalan wajib tidak terlaksana maka kita dikira berhutang dengan Allah dan menjadi satu kewajipan melunaskannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

"Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi terlebih dulu." 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: 

"Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim) 

Secara tidak langsung, hadis itu menjelaskan tuntutan memenuhi puasa Ramadan mengatasi amalan puasa sunat yang juga dituntut Islam sebagai satu peluang menampal kecacatan puasa pada Ramadan. Janganlah kita menjadi orang yang mengejar amalan sunat, sedangkan yang wajib ditinggalkan begitu saja. 

Sementara masih ada masa sebelum tiba Ramadan tahun ini, bagi mereka yang masih lagi berhutang dengan Allah, maka sewajarnya bersegera menunaikan qada' ibadah puasa Ramadan lalu. Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan nanti. Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum serta yang lebih penting, dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah. 

Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: 

"Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban." (Hadis riwayat Muslim). 

Berdasarkan hadis itu, jumhur ulama berpendapat penundaan qada' puasa wajib selewat-lewatnya adalah Syaaban dan tidak boleh sampai masuk Ramadan berikutnya. 

Sebenarnya keadaan ini bukanlah bermaksud menunaikan qada' ibadat wajib itu tidak penting sehingga boleh di lewat-lewatkan, akan tetapi ia memberi mesej berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadan dapat melatih rohani dan jasmani lebih aktif dan bersemangat melalui Ramadan nanti. Diriwayatkan oleh Anas, katanya, Rasulullah SAW ditanya: 

"Apakan puasa yang afdal selepas puasa Ramadan? Lalu Baginda SAW menjawab: "Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis riwayat at-Tirmidzi) 

Marilah sama-sama kita berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu, maka ambillah peluang yang ada ini untuk melunaskan hutang Allah itu. 

Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadan lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa masih tertanggung di bahunya. 

Sesungguhnya ibadat puasa besar nilainya di sisi Allah dan begitu juga dari aspek kesihatan. Sebuah hadis Qudsi menjelaskan kelebihan ibadat puasa yang antara lain bermaksud:

"Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya, dan bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau al-misk (wangian) di sisi Allah." (Hadis riwayat Bukhari) 

Oleh Mohd Shahrizal Nasir 

Sudut Agama, Berita Harian 7/7/09

 

AHLI KITAB TAURAT SEMBUNYI KEBENARAN MUHAMMAD DEMI PANGKAT

15 April 2016/ 7 Rejab 1437

"Hai bani Israel, ingatlah nikmat-Ku yang Aku kurniakan ke atas kamu dan sempurnakan perjanjianmu, nescaya Aku sempurnakan perjanjian kamu dan Akulah semata-mata hendaknya kamu takuti. 

"Dan kamu beriman kepada barang yang Aku turunkan, menyetujui apa yang ada pada kamu dan jangan kamu jadikan orang yang mula-mula kufur kepada-Nya dan jangan kamu jual perintah-Ku padan harga yang sedikit dan Akulah semata-mata hendaklah kamu takuti".

Ayat itu bermaksud, Allah memberitahu dan dituju kepada anak cucu Yaakub khusus kepada ahli kitab yang hidup pada masa Nabi Muhammad. Allah memberi ingatan kepada mereka supaya mensyukuri nikmat kurniaan Allah. Allah mahu mereka menunaikan janji dan pesanan Allah yang terkandung dalam kitab Taurat. Jika mereka menunaikan pesanan itu nescaya Allah menunaikan janji-Nya kepada mereka dengan balasan syurga. Allah mengingatkan mereka supaya beriman dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sedangkan al-Quran mengakui kaum Yahudi daripada bani Israel mempunyai kitab Taurat. 

Oleh itu, jangan mereka membeli ayat Allah dengan murah iaitu dilarang merahsiakan kandungan kitab Taurat kerana ingin mendapat kepentingan di dunia. Mereka sepatutnya takut kepada Alah dengan tidak melakukan perbuatan dilarang-Nya.

Sesungguhnya Allah mengingatkan orang Yahudi bahawa mereka berasal daripada anak cucu bani Israel iaitu Nabi Yaakub dan Nabi Ishak yang digelar Israel kerana perkataan Isra bererti hamba dan  il /el bermaksud Ilah/ Tuhan/ Allah. Oleh itu, Israel bererti hamba Allah di dalam bahasa Ibrani. Allah juga mengingatkan Bani Israel khususnya ahli kitab yang sezaman Rasulullah mensyukuri nikmat dikurniakan antaranya ramai kaum mereka menjadi nabi dan rasul serta diturunkan kitab. Allah menyelamatkan mereka daripada kekejaman Firaun. Mereka ialah pengikut Nabi Musa yang diberi minum air terpancar dari batu dan diberi makanan dari langit bernama manna (manisan atau madu yang turun dari langit seumpama embun, yang juga dikenali sebagai Arabic Gum) dan salwa (sejenis burung seperti burung puyoh yang mudah ditangkap). 

Allah mengingatkan ahli kitab bani Israel supaya mengambil iktibar daripada tindak-tanduk datuk nenek moyang mereka yang mengingkari nikmat Allah. Mereka akhirnya diseksa kerana kufur. Allah mengingatkan bani Israel supaya memberitahu manusia mengenai kelahiran Nabi Muhammad dan keistimewaan Baginda sebagai nabi dan rasul akhir zaman. Mereka dikehendaki beriman kepada Nabi Muhammad dan kitab yang dibawanya. Jika menunaikan janji ditetapkan Allah mereka diberikan Allah balasan yang amat besar iaitu syurga. Mereka diberi amaran supaya takut kepada Allah dan tidak berdusta kepada Rasulullah. 

Diceritakan dalam kitab Allah kepada rasul terdahulu yang menerangkan kepada manusia termasuk bani Israel supaya beriman dengan Nabi Muhammad dan selepas itu tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya. Jika Nabi Muhammad tidak mengikut kitab yang diturunkan kepadanya, nescaya Allah mengazabkan mereka seperti kaum yang mengingkari rasul terdahulu daripada Baginda. 

Allah mengingatkan ahli kitab supaya beriman dengan al-Quran diturunkan kepada Muhammad SAW yang turut mengakui kitab Taurat diturunkan kepada bangsa Yahudi daripada bani Israel. Oleh itu, tidak wajar ahli kitab menjadi orang pertama mendustakan Muhammad dan menafikan Baginda datang daripada Allah sedangkan mereka mengetahui kebenaran Muhammad dalam Taurat. 

Ahli kitab seolah-olah menjual ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab mereka pada harga terlalu murah kerana mahukan kepentingan di dunia yang terlalu rendah nilainya. Mereka meninggalkan kenyataan dalam Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad dan juga al-Quran yang diturunkan untuk umatnya bagi mendapatkan jawatan ketua penganut agama Nasrani. Mereka patut takut dengan perbuatan menjual ayat Allah pada harga murah kerana membeli sesuatu yang rendah nilainya untuk kepentingan di dunia. Mereka sanggup menjadi kufur dengan al-Quran dan Nabi Muhammad. 

Tindakan mereka membawa bencana kerana Allah murka seperti juga kepada datuk nenek moyang mereka yang ingkar. 

Ahli kitab tidak perlu mencampur-adukkan perkataan benar dengan yang salah seperti mereka mencampurkan kebenaran kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dengan kepalsuan yang ditulis sendiri. Mereka tidak sepatutnya menyembunyikan hakikat yang sebenar sedangkan mereka mengetahuinya. 

Sudut Agama, Berita Harian 23/3/2009

 

KELEBIHAN REJAB BERDASARKAN DALIL

8 hb April 2016/ 30 Jamadil Akhir 1437H

Ulama muktabar sokong kelebihan beramal, tingkat hemah diri sempena bulan mulia 

Rejab ertinya mulia kerana bangsa Arab dulu sangat memuliakan bulan ini. Pada 1 Rejab, mereka akan menyembelih unta sebagai korban. Selain itu, pada 27 Rejab jumhur, ulama bersepakat berlaku peristiwa penting dalam hidup Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mikraj. Kita perlu yakin berlakunya peristiwa itu kerana ada dalil qatie dalam al-Quran dan hadis yang menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj.

Apabila diteliti kepelbagaian sumber daripada ulama, Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis, “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku” disokong oleh ulama muktabar. Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas seperti direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam kitab al-Ghunyah. Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya. 

 

Matan hadis tak bertentangan nas al-Quran 

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah, ayat 36, mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. 

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW menegaskan Rejab adalah bulan Allah iaitu bulan Ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka. Manakala Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: 

“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.” 

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien (Hadith 40). 

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: 

“Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim) 

Imam al-Nawawi mengatakan: 

“Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam lain. “

 

Tiada larangan puasa 

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa pada bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi, apa yang disunatkan ialah kerana sunnah puasa terbabit. Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: 

“Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu daripadanya.” 

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: 

“Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) pada zaman jahiliah. Maka, apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab: “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.” 

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi: 

“Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.” 

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulama salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab. 

 

Fahami isu, dalil secara menyeluruh 

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam supaya kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan. 

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita? Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. 

Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, inshaa-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya. 

Muhammad Naim Che Berahim,

Sudut Agama, Berita Harian,14/5/2013