Print

ARKIB 2016 - Jun

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

 

 

 

PUASA SYAABAN PERSEDIAAN HADAPI RAMADAN

13 hb Mei 2016/ 6 Syaaban 1437H

Umat Islam diajar berterusan menambah kualiti ibadat

Syaaban antara bulan yang dihormati Nabi SAW kerana hampirnya ia dengan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT. Baginda pernah bertanya sahabat dalam sabdanya: 

“Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan Syaaban? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW: Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Raudatul Ulama) 

Sabda Baginda SAW: “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)

Ada yang menyatakan cabang ganjaran kebajikan dipercambahkan kerana hampirnya Syaaban dengan Ramadan. Bagaimanapun, setiap kebajikan tetap mendapat ganjaran tanpa mengira masa dan tempat ia dilakukan. 

Nabi SAW adalah ikutan yang baik dan kita dapat melihat perubahan Baginda apabila tibanya Syaaban. Daripada Aisyah: 

“Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka dia tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami mampu melihat dan mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi berpuasa penuh satu bulan melainkan dalam Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa lebih banyak selain daripada Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari) 

Baginda telah memberi gambaran kepada umatnya bahawa banyak berpuasa pada Syaaban akan menambahkan kualiti puasa Ramadan kerana jiwa sudah dididik. 

Aisyah meriwayatkan: 

“Nabi SAW tidak pernah berpuasa dalam sebulan lebih banyak daripada Syaaban. Baginda juga pernah berpuasa bulan Syaaban semuanya.” (Mengikut lafaz al-Bukhari)

Namun, dalam mengimbangi kekuatan Nabi SAW selaku manusia terulung dengan ibadat umatnya, maka Baginda meletakkan kemampuan sebagai kayu pengukur kepada amalan sunat. Nabi SAW bersabda: 

“Beramallah mengikut kemampuan kamu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu sendiri yang jemu.”

Baginda SAW terus beribadat pada mana-mana bulan sekalipun tanpa menafikan Syaaban memang menjadi tumpuan. Kita juga tidak harus meninggalkan sabda Baginda SAW: 

“Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain) 

Dapat disimpulkan, ibadat pada bulan Syaaban adalah kesukaan Baginda SAW. Namun solat atau puasa khusus sempena Syaaban atau bacaan Yasin sebanyak tiga kali berturut-turut memang tiada ulama meriwayatkannya. Ibnu Majah hanya meriwayatkan mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban. Sabda Rasulullah SAW: 

“Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk-Nya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah) 

Apa yang jelas kepada kita, amalan puasa yang menjadi tumpuan Rasulullah pada Syaaban bertepatan dengan sabda Baginda apabila ditanya apakah terdapat bulan selain Ramadan yang terbaik untuk berpuasa? Maka, Nabi SAW bersabda: 

“Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan. Nabi SAW ditanya lagi: Sedekah apakah yang terafdal? Baginda menjawab: Sedekah pada bulan Ramadan.” (Riwayat Tirmizi)

Baginda SAW banyak bersedekah pada bulan Ramadan. Puasa dan sedekah sering dikaitkan justeru bersedekah pada bulan Syaaban juga digalakkan. Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, ada disebut secara khusus dengan kalimat Nisfu Syaaban, dan ada yang disebut secara umum. Oleh itu, kita disarankan untuk melihat kedudukan hadis berkaitan Syaaban sama ada sahih, baik, hasan, lemah, atau ada yang direka. Semuanya menjadi perbincangan akademik ulama hadis. 

Walaupun kedudukan hadis tidak mencapai tahap hadis sahih, jika dipadankan dengan pelbagai riwayat yang banyak, ia boleh dijadikan panduan untuk menyuntik semangat motivasi beribadat. 

Imam Hasan al-Banna berkata: 

“Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama ke arah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha itu membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub kepada sesuatu pihak.”

Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan kebenaran. Perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT kerana ramai yang masih alpa dengan segala dosa dilakukannya.Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik sehingga ke suatu masa tertentu, dan akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.” (Surah Hud, ayat 3) 

Kesimpulannya, ambillah peluang untuk mencari keredaan Allah SWT dan menebus segala dosa atas segala kesalahan lalu kerana jiwa orang beriman akan lebih dekat ketika hampirnya bulan Ramadan.

Zamanuddin Jusoh, Sudut Agama, Berita Harian, 2/6/2014

 

LIMA PENGAJARAN UTAMA PERISTIWA ISRAK MIKRAJ 

6 hb Mei 2016/ 28 Rejab 1437H

# artikel asal disiarkan pada 31 hb Mei 2013/ 21 Rejab 1434H

Kembara Rasulullah ke alam lain perkuat lagi akidah mengenai kepercayaan ghaib, perintah solat

Kini selepas 45 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak diketahui akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai pancaindera. Justeru, wahyu dan pertolongan Allah SWT saja yang boleh merungkai segala rahsia alam. 

Contohnya peristiwa kembara agung Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang beriman betapa Allah Maha berkuasa menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Makkah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin, lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia. 

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud; 

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" . (Surah al-Isra':1) 

Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan saja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian itu. Banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah; 

Wajib beriman dengan perkara ghaib 

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran disampaikan Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya, perjalanan mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi Baginda SAW tempoh satu malam. Oleh itu, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar kerana di dunia ini banyak perkara dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat pandangan mata kasar. Contohnya oksigen dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sebenarnya. 

Perintah wajib mengerjakan sembahyang 

Ibadah sembahyang yang difardukan Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj adalah suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu adalah tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaan. 

Wajib percaya dengan hari Kiamat 

Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab segala perlakuan ketika di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini di ambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan saja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi. 

Wajib percaya dengan azab Tuhan 

Berbagai-bagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba', ingkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa. 

Dari sudut lain, gambaran kurnia Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan. 

Wajib percaya dengan qada dan qadar 

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Aminah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya. 

Ada pelbagai lagi iktibar yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. 

Oleh Mohd Ali Muhamad Don 

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru. 

Sudut Agama, berita Harian  20/7/2009