Print

ARKIB 2016 - Disember

Written by Super User. Posted in Pengenalan Pusat Islam

AMANAH ASAS DALAM DIRI PEKERJA

25 hb November 2016/ 25 Safar 1438H

SETIAP pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali.

Jika kita seorang majikan sesebuah organisasi, maka kita perlu memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, menghormati pandangan mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan supaya mereka mencintai pekerjaan, memotivasi dan memberi semangat dalam melaksanakan tugas.

Sebagai seorang pekerja maka di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya. Amalan melaksanakan tugas dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran.

Apatah lagi, isyarat tentang ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyah r.a.

Begitu juga setiap pekerja atau warga sesebuah organisasi mesti sedar akan amanah yang ada pada diri mereka untuk menjalin hubungan yang baik dan penuh kasih sayang antara pekerja. Mereka perlu sentiasa berusaha mewujudkan nilai-nilai mulia dalam hubungan antara sesama mereka seperti bekerjasama, bantu-membantu, bersangka baik, nasihat-menasihati dan sebagainya. Sebaliknya, sikap dan nilai buruk seperti iri hati, saling memudaratkan, hasut-menghasut, berprasangka buruk dan lain-lain perlu dijauhi serta dihapuskan.

Di samping itu, amanah diri pekerja turut dikaitkan dengan sejauh mana mereka dapat melindungi kepentingan serta rahsia dalam mempertahankan nama baik atau imej organisasi. Kita ibaratkan sahaja organisasi atau syarikat tempat kita bertugas sebagai sebuah keluarga, masyarakat atau sebuah negara. Maka dari situ kita perlu menjaga organisasi agar tidak terpalit dengan unsur-unsur negatif yang boleh menjatuhkan organisasi berkenaan. Selain itu, sebagai pekerja kita turut diamanahkan untuk menjaga peralatan serta kemudahan yang disediakan oleh majikan untuk kegunaan kakitangannya. Ini bertujuan memastikan kelancaran tugas yang diamanahkan. Segala peralatan dan kemudahan milik pejabat atau organisasi tempat kita bekerja seperti telefon, mesin fotokopi, kereta pejabat, pencetak dan lain-lain untuk keperluan pejabat perlu dimanfaatkan hanya untuk tujuan penyempurnaan tugas semata-mata; bukan sebaliknya.

Asas kepada nilai amanah seseorang pekerja juga hendaklah sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia perlu mengatur perancangan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau sering menunda-nunda kerjanya. Keadaan ini penting untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik menurut tempoh yang telah ditentukan.

Menyentuh tentang sikap gemar menunda-nunda kerja, ia sebenarnya merupakan amalan yang akan mendorong kegagalan seseorang pekerja, sama ada dari sudut matlamat pekerjaan mahupun juga pencapaian organisasi. Oleh yang demikian, perancangan tugasan yang baik akan dapat membantu pekerja untuk menentukan keutamaan dalam pelaksanaan tugas. Tugas yang lebih penting, didahulukan dan yang kurang mendesak, dilakukan kemudian.

Fikirkan pula jika nilai amanah ini terhakis daripada diri kita. Apakah yang akan berlaku jika masyarakat kita telah mula menerima budaya khianat-mengkhianati, menyalahgunakan kuasa, tidak bertanggungjawab, rasuah dan sebagainya?

Justeru, cara terbaik untuk memupuk nilai amanah dalam diri pekerja ialah dengan memanfaatkan semua bentuk ibadah yang difardukan ke atas kita.Bahkan seseorang pekerja Muslim sebenarnya amat beruntung kerana memiliki peluang yang amat banyak untuk memupuk nilai amanah. Ini kerana sejak kecil lagi, kita telah diberikan pendidikan keimanan (Rukun Iman) dan bimbingan untuk beribadah (Rukun Islam).

Sebagai contoh, dengan mengerjakan solat pasti dapat menghalang seseorang yang melaksanakan tugas dengan penuh ketulusan dan keimanan untuk tidak terbabit dengan perbuatan melanggar amanah seperti penyalahgunaan kuasa, salah laku di tempat kerja, ponteng dan sebagainya.

Selain itu, hayatilah nilai amanah Rasulullah SAW yang boleh menjadi teladan terbaik dalam kehidupan kita. Nabi SAW yang memulakan perniagaan bersama-sama dengan bapa saudaranya tetapi dalam tempoh masa yang singkat, disebabkan kejujuran dan keadilannya, baginda terkenal di kalangan penduduk Quraisy Mekah sebagai seorang yang sangat jujur lagi amanah sehingga digelar al-Amin (orang yang jujur) dan al-Siddiq (orang yang benar).

Oleh itu, pemupukan nilai amanah dalam diri pekerja seharusnya bermula dengan diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain terutama dalam organisasi akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan apa yang diungkap oleh cendekiawan, "Seseorang yang tidak memiliki sesuatu (amanah), tidak akan dapat memberikan apa pun (amanah)."


Oleh NOR HARTINI SAARI.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sudut Rencana, Utusan Malaysia 16/4/2010


AL-SUFI: AHLI SAINS ISLAM TERSOHOR

18 hb November 2016/ 18 Safar 1438H

Abd. Ar-Rahman Al-Sufi, salah seorang ahli sains Islam tersohor. Al-Sufi adalah ahli astronomi Parsi (kini Iran) yang juga dikenali sebagai Abd. Al-Rahman Abu Al-Hussain atau lebih dikenali di barat sebagai Azophi. Beliau lahir pada 7 Disember 903 dan meninggal dunia pada 25 Mei 986. Tinggal di kawasan Emir adud ad-Daula di Isfahan, beliau melakukan tugas menterjemah dan mengembangkan kerja-kerja ahli astronomi Greek, terutama Ptolemy.
Sebagai seorang ahli astronomi terkenal pada zaman pertengahan, al-Sufi melakukan beberapa sumbangan dengan membetulkan senarai bintang Ptolemy dan melakukan anggaran magnitud dan kejelasan yang menyimpang daripada kerja Ptolemy. Beliau mengenal pasti Awan Besar Magellanic yang kelihatan di Yaman dan bukan di Isfahan yang tidak dapat dilihat atau ditemui oleh bangsa Eropah sehingga pengembaraan Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Al-Sufi merupakan penterjemah utama ke Bahasa Arab mengenai Astronomi Hellenistic yang berpusat di Iskandariah. Beliau memerhatikan dan dapat mengira tempoh panjang tahun tropika dan menerangkan mengenai bintang, posisi, magnitud dan warna, dan menghasilkan keputusan mengenai buruj demi buruj. Bagi setiap buruj, beliau menghasilkan dua lukisan, satu daripada luaran cakerawala dan satu lagi dari sebelah dalam yang dilihat dari Bumi.

Al-Sufi juga menulis mengenai astrolab dan mencari beberapa kegunaan mengenainya. Beliau menerbitkan bukunya yang terkenal Book of Fixed Stars pada 964 Masihi, memaparkan mengenai kerjayanya dalam bentuk teks dan gambar. Dalam keterangan dan gambar mengenai Andromeda, beliau memasukkan A Little Cloud yang sebenarnya adalah Andromeda Galaxy M31. Beliau menggambarkannya berada dalam mulut ikan yang besar, yang merupakan buruh Arab dan 'awan' berkenaan telah dikenali oleh ahli astronomi di Isfahan sebelum 905 Masihi.

Dalam bukunya, beliau juga menerangkan mengenai gugusan Omicron Velorun IC 2391 sebagai 'bintang nebulous ' di Vulpecula, satu gugusan atau asteris yang kini dikenali sebagai Al-Sufi atau Gugusan Brocchi atau Collinder 399.Beliau juga menggambarkan Awan Magellan sebagai Al-Bakr, lembu jantan putih di selatan Arab yang mana ia tidak kelihatan dari utara Arab kerana latitudnya.
Al-Sufi menyediakan carta langit daripada pemerhatiannya dan mengubah mengubah magnitudnya dengan cermat. Bukunya Kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar merupakan hasil karya yang unggul dalam astronomi stellar. Bukunya boleh didapati dalam Bahasa Arab dan diterjemah ke dalam Bahasa Perancis oleh Schjellerup dan ia dikatakan penting sehingga kini bagi kajian pergerakan dan kepelbagaian. Kerja-kerja Al-Sufi tidak diketahui di Eropah.

Pada masa penciptaan teleskop, Andromeda Nebula telah ditemui oleh Simon Marius pada 1612 menggunakan teleskop. Al-Sufi juga menjelaskan mengenai warna Sims (satu bintang) tidak berubah yang kemudian disahkan melalui pemerhatian.

Seneca melaporkan melihat Sirms berwarna merah di Rom, Ptolemy pula melihat warna kemerahan di Iskandariah dan Schmidt pada 1841 nampak warna putih selepas warna kuning beberapa hari sebelumnya. Warna yang berlainan dianggap hasil daripada perubahan cuaca dari satu tempat ke tempat lain.

Oleh sebab sumbangannya yang besar dalam bidang astronomi, sebuah kawah di bulan dinamakan Kawah Azophi yang mempunyai diameter 47.0 kilometer dalam sembilan bahagian peta bulan dan terletak 22.1 Selatan 12.7 timur. Bear dan Madler dalam tugasannya terkenal Der Mond pada 1837 menyebut kawasan permukaan bulan sempena nama al-Sufi (Azophi).

Sudut Agama, Utusan Malaysia 1/3/2011

 

AMALAN MEMURAHKAN REZEKI

11 hb November 2016/ 11 Safar 1438H

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d: ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan sebanyak-banyaknya

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim: ayat 7) 

dan Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran: ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.”

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Sayyidina Abdullah ibnu Mas’ud dikatakan berpesan kepada puteri-puterinya agar mengamalkan pembacaan Surah al-Waqiah berdasarkan hadis yang tersebut tadi yang mana disampaikan oleh beliau dan diriwayatkan oleh imam Al-Baihaqi.

Ada juga amalan yang dilakukan oleh para orang soleh terdahulu antaranya mengamalkan ayat 1000 dinar iaitu Surah At-Tholaq ayat 2-3 sebagai wirid selepas solat, bukan digantung dan ditampal di dalam kedai atau premis perniagaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allahberi kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang jiwa dibacanya Al-Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (Surah At-Thalaq: ayat 3)

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah At-Talaq: ayat 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa yang mendekatkan diri kepada Allah. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Hakikat kenaikan harga minyak, minyak masak dan lain-lain barang keperluan sehingga membebankan masyarakat bukan dari individu atau organisasi, hakikatnya adalah ujian dan cubaan dari Allah untuk kita, menginsafi dan muhasabah diri, agar kembali kepada jalanNya yang lurus. Wallahu a’lam.

 

ALLAH BERHAK BERI HIDAYAH WALAUPUN TERHADAP INSAN LAKUKAN KEJAHATAN

 4 hb November 2016/ 4 Safar 1438H

ALLAH berfirman yang bermaksud:  

“Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125). 

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa. 

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar. Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah. 

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa. 

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab. Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala. Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya. 

Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah. Firman Allah yang bermaksud: 

“Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272) 

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin. Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka. 

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah. 

Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik. Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup. 

Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. 

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) 

Sudut Agama, Berita Harian 26/5/2011